Home Cerpen Kanak-kanak SELIPAR JEPUN
SELIPAR JEPUN
Aida Mahelen
20/8/2015 12:33:40
3,538
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

Tajuk : Selipar Jepun


“Tak mahu mak!” jerit Aqil dari dalam biliknya. Pintu bilik sudah pun dikuncinya awal-awal lagi. Aqil nekad untuk tidak ke surau malam ini. Biarlah semua kawan-kawannya menunggu. Biar mereka tahu yang dia marah.


“Tok..tok..tok..” kedengaran pintu biliknya diketuk berulang kali. “Aqil...Aqil...marilah ke surau. Bukankah Aqil anak emak?” Sayu hatinya mendengar kata-kata emaknya. Aqil bingkas bangun dari katilnya. Perlahan-lahan kunci dipulasnya. Daun pintu bilik dikuak perlahan-lahan. Emak masih lagi berdiri di depan pintunya. Emak pergilah dengan abah. Aqil kurang sihat malam ini. Aqil cuba untuk berdalih.


“Aqil bergaduh dengan kawan-kawan?”soal emak lagi. “Eh,tak adalah mak! Aqil okey saja dengan kawan-kawan. Aqil nak berehat mak. Lagipun malam ini ada banyak kerja rumah yang hendak Aqil siapkan. Ermm...baiklah... Aqil jangan pula keluar rumah. Emak dan abah selepas isyak baru balik.”


Aqil menuju ke bilik mandi. Dia mengambil wudhu. Tinggal sendirian di rumah tak bermakna dia boleh ponteng menunaikan solat. Malam ini dia solat maghrib dan isyak sendirian. Selalunya dia turut berjemaah di surau. Seusai menunaikan solat maghrib Aqil berehat di katilnya.


Dia teringat akan Mak Usu Ida. Mak Usu Ida jarang sekali balik ke kampung. Mak Usu Ida bekerja di bandar. Jika balik pun ketika cuti yang panjang sahaja. Hatinya mula merindui dengan Mak Usu Ida. Mak Usu Ida satu-satunya ibu saudara yang Aqil rapat. Mak Usu Ida bukan sahaja seperti kakaknya, malah seperti rakan karibnya. Aqil membelek album mininya. Satu persatu gambar dilihatnya. Gambar Mak Usu Ida memberikan dia hadiah hari jadi bulan yang lalu. Dia genap berumur 10 tahun.


“Aqil... Aqil...” kedengaran suara emak memanggil. Aqil terkejut. Emak sudah sampai. Awal juga emak pulang. “Bukankah emak kata tadi selepas solat isyak baru pulang?” Aqil bingkas bangun. Matanya mengerling sekilas ke arah jam dinding. Ya Allah, pukul 9 malam rupanya. Aqil terleka. Aqil merasa bersalah kerana larut dalam emosinya.


Aqil keluar dari biliknya. Kelihatan emak sedang sibuk menghidangkan makanan. Abah pula membaca buku tajwid. “ Aqil sudah solat?” tegur abahnya. “Ermm...belum abah. Tadi Aqil leka melihat gambar di dalam album.” Aqil mengaku dengan jujur. Dia tidak mahu membohongi abahnya.


Aqil solatlah dahulu. Nanti kita makan sama-sama. Aqil sekadar mengangguk lalu beredar ke bilik air untuk mengambil wudhu. Dia sendiri tidak yakin wudhunya tadi masih ada atau tidak. Perasaan was-was itu menyebabkan dia nekad untuk mengambil semula wudhu. Bijak sungguh syaitan merosakkan keyakinannya. Bisiknya dalam hati. Syaitan berjaya membuatkan dia alpa dengan melihat gambar-gambar tadi.


Tangan ditadah memohon perlidungan daripada Allah. Aqil berasa kesal kerana melewat-lewatkan solat isyak. Air matanya menitis dipipinya. Rasa tenang setelah meluahkan rasa hatinya pada Allah yang esa.


“Assalamualaikum.....” kedengaran seperti suara Adli yang memberi salam. Aqil bingkas bangun lalu melipat kain sejadah. Dia masih lagi memasang telinga di sebalik daun pintu biliknya. Selang beberapa saat pula seperti suara emak yang bercakap-cakap. Aqil kaget. Siapakah yang datang malam-malam begini? Jika benar kawan-kawannya yang datang, bocorlah rahsianya nanti. Aqil masih ragu-ragu untuk keluar dari bilik.


“Mak Cik Salma... kami minta maaf. Boleh kami berjumpa dengan Aqil?” ujar Adli. “Oh... Adli..marilah masuk dulu. Nanti mak cik panggilkan Aqil.” Adli, Kasim, dan Nasir pun masuk lalu duduk di ruang tamu.


“Aqil...Aqil..” panggil Mak Cik Salma. “Aqil keluarlah. Ada kawan Aqil.” Mak Cik Salma mengetuk pintu bilik Aqil beberapa kali. Selang beberapa saat kemudia barulah Aqil membuka pintu biliknya. Wajahnya muram.


Aqil duduk di kerusi berhadapan dengan kawan-kawannya. Dia merenung Adli. Adli masih lagi belum bersuara. Wajah Aqil merah. Emak datang dari dapur lalu menghidangkan air milo panas dan biskut. “ Aqil..jemputlah kawan-kawan minum.”


“Aqil, kami minta maaf! Kami tahu kami bersalah Aqil. Aqil mendengus marah. Senang kamu minta maaf Adli. Tahukah kamu bahawa selipar itu sangat berharga buat aku!” bentak Aqil.


“Kami boleh gantikan Aqil,” jawab Nasir.

“Ya, betul itu Aqil. Kami rela menggantikan dengan selipar yang baru Aqil,” kata Kasim.

“Aqil, kami sudah pun mengumpul wang untuk membelikan selipar baru untuk kau,” tambah Adli.


“Selipar baru? Adli...selipar baru tak akan sama seperti selipar itu.” Aqil kelihatan semakin sedih. Selipar itu sangat bererti buat aku. Itulah satu-satunya hadiah daripada Mak Usu Ida. Lagipun selipar itu di beli jauh dari sini. Luah Aqil dengan nada yang pilu.


Emak datang dari dapur. “Aqil, kenapa menangis?” Aqil masih lagi membisu. Air matanya disekanya dengan jari telunjuk. “Tiada apa-apa mak. Barang yang hilang tak akan dapat di cari ganti. Apa yang hilang Aqil?” soal mak lagi.


“Mak Cik Salma, sebenarnya selipar Aqil telah hilang. Tiga hari yang lalu semasa di surau, kami telah main satu permainan iaitu tikam selipar. Masa itu kami pinjam selipar Aqil sebagai pembaling. Malangnya pada malam itu, selipar Aqil hilang selepas kami baling. Kami sudah berusaha mencari di sekitar surau. Tapi tidak dijumpai, jelas Adli bagi mewakili kawan-kawannya.”


“Oh, begitu rupanya! Aqil...janganlah bersedih, pujuk emak. Tapi mak, selipar itu hadiah daripada Mak Usu Ida. Itu mak tahu Aqil. Tapi kalau sudah hilang, Aqil harus redha. Aqil tak kasihan dengan kawan-kawan Aqil? Mereka telah pun berusaha mencari selipar Aqil.”


“Mak Cik Salma, kami telah pun mengumpul wang untuk menggantikan selipar Aqil. Adli menghulurkan sampul surat yang berisi wang. Semuanya ada lima belas mak cik. Itu sahaja yang kami mampu.”


“Kami minta maaf, kami tak dapat tolong belikan. Harap mak cik boleh belikan Aqil selipar yang baru,” ujar Adli. “Eh, tak perlulah begini! Selipar itu bukan mahal pun,” kata Mak Cik Salma.


“Tapi mak cik... kami tak dapat nak beli selipar itu. Selipar itu hanya ada di negara Jepun. Kami tak mampu nak pergi ke Jepun mak cik,”luah Nasir.


Tiba-tiba emak ketawa. Aqil pun terkejut. “Jepun? soal emak lagi. Yalah mak cik, kami mana ada wang kalau nak pergi ke negara Jepun. Bukan dekat, perlu naik kapal terbang lagi,” tambah Kasim.


“Siapa yang memberitahu selipar Aqil itu dibeli di Jepun?soal mak lagi. Adli dan kawan-kawannya berpandangan. Mak cik, bukankah Aqil juga yang beritahu itu selipar jepunnya?”soal Nasir.

Aqil menggeleng kepalanya.


“Adli, Kasim, Nasir... aku cakap selipar jepun, bukan selipar beli di Jepun!” kata Aqil.

Serentak itu emak ketawa lagi. Tika itu barulah Adli, Kasim dan Nasir terkejut. Rupanya selama ini mereka salah sangka. “Apa pun kami minta maaf Aqil,” ujar Adli.


Baiklah, aku maafkan. Tapi dengan syarat pastikan jangan lagi bermain tikam selipar pada waktu malam. Lihat apa sudah terjadi. Selipar kesayangan aku tiada galang gantinya.









Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Mahelen