Cerita kanak-kanak
TAJUK : Ulat buku dan pari-pari cantik
Pada zaman dahulu, di alam dongeng yang indah penuh misteri, tinggallah seekor ulat yang berwarna merah jambu sambil dihiasi berlian-berlian yang berkilauan, di dalam sebuah rumah epal. Rumah epalnya sangat luas berbanding dipandang dari luar dan berbau harum. Di dalamnya, terdapat pelbagai buku-buku menarik untuk dibaca oleh si ulat. Hampir keseluruhan kulit buku itu berwarna merah jambu, dan sekali-sekala ia menyemburkan wangian ke dalam ruang rumah itu.
Ulat amat menyukai hobi membacanya walaupun pengetahuannya terhadap huruf-huruf serta bacaan masih di tahap yang sederhana. Semua hidupan di alam dongeng itu amat mengagumi usaha gigih si ulat. Hal ini menyebabkan mereka menjadikannya sebagai contoh dan tauladan kepada semua.
Pada suatu malam yang indah, bintang-bintang bertaburan di langit, membawa tidur yang nyenyak buat si ulat. Ulat yang kelihatan letih itu menguap dan serta-merta terkejut apabila mengetahui dirinya sedang berada di sebuah taman bunga yang dipenuhi buku-buku cerita yang menarik. Disebabkan terlalu teruja, dia terus melompat riang lalu mencapai sebuah buku berbentuk hati. Tertera tajuk di hadapannya, “Ulat buku dan pari-pari cantik”. Ulat terus membaca dengan tekun sambil tersenyum membayangkan dirinya sedang bersemuka bersama pari-pari.
Selepas menghabiskan bacaannya, dia mula mengelamun di taman indah itu buat seketika. “Alangkah indahnya jika aku dapat menemui pari-pari cantik tersebut. Aku juga ingin menjadi ulat buku. Aku amat menyukainya.”, dia berkata pada diri sendiri sambil merenung rumput yang menghijau dan selembut karpet. Si ulat tersentak apabila bunga-bunga yang berwarna-warni turun secara tiba-tiba dari langit ungu di atasnya umpama hujan, tetapi yang aneh, ia langsung tidak menyakitkan si ulat.
Si ulat terus melompat dengan sepuas hati. Dia ke sana ke mari mencapai beberapa buah buku. Si ulat langsung tidak menghiraukan di mana dia sedang berada sekarang kerana terhalang oleh keterujaannya. Si ulat berjalan sambil memandang sekeliling bersama tiga buah buku di tangannya. Bacaannya langsung tidak terganggu walaupun sedang berjalan di syurga buku itu. Tanah-tanah di situ semuanya terdiri daripada coklat, manakala pokok-pokok dan bunga-bunga diperbuat daripada gula buah-buahan. Tempat tersebut cukup menyamankan buat si ulat.
Setelah puas mengelilingi syurga buku itu, dia terjumpa sebatang sungai yang airnya berwarna ungu dan berbau seperti anggur. “Wah, hebatnya tempat ini. Nampaknya ia jauh lebih hebat berbanding di alam dongeng.”. Si ulat membongkok lalu menghirup sedikit air dari sungai itu. Kini, dia dipukau oleh rasa enak yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Jika ini mimpi, dia ingin di dalamnya. Ingin melayan semua mimpi indah yang tercorak cantik di minda.
Keenakan yang dirasainya apabila menikmati air tersebut tidak dapat menghalang semangatnya untuk terus mengamati syurga buku itu dengan lebih lanjut. Si ulat tabah berjalan. Sepanjang perjalanannya, air terjun yang berada di barat dipenuhi dengan coklat cair yang lazat dan manis. Terdapat pelbagai pokok-pokok buah-buahan di situ. Si ulat gembira kerana terpilih untuk memasuki alam yang tidak pernah dijejaki itu.
Dia mengambil masa lebih kurang 15 minit sebelum tiba di hadapan sebuah istana yang dibina daripada bantal-bantal kapas yang gabu, manakala bumbung serta tiangnya diperbuat daripada buku-buku tebal. Buat kali yang ke berapa, si ulat teruja. Dia memulakan langkahnya memasuki istana tersebut. Banyak pokok ceri yang ditanam di tepi pagar istana. Pokok-pokok buah di situ sedang berbuah lebat. Antaranya ialah rambutan, epal, anggur, pisang dan sebagainya.
Si ulat mengetuk pintu istana yang tersergam indah di hadapannya setelah menaiki beberapa anak tangga kaca. Namun, tiada siapa yang menyahut. Si ulat pantas memulas tombol pintu lalu masuk ke dalamnya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati semua perhiasan di situ menggunakan emas. Tangga berpilinnya diperbuat daripada emas, langsir serta alas meja ditenun menggunakan benang sutera emas. Suasananya amat indah sekali.
Tiba-tiba, muncul seorang perempuan yang bersaiz kecil dan ramping serta berkepak terbang turun dari jendela di tingkat atas ke hadapan si ulat. Pari-pari itu menunduk hormat sebelum berbicara dengan sebaris senyuman.
“Mereka yang layak menjadi tuan kepada buku adalah mereka yang setia terhadapnya. Ulat, kamulah orangnya.”, pari-pari cantik itu mempamerkan senyuman menawannya sekali lagi. Tongkat sakti yang terdapat bentuk bintang yang sedang bercahaya terletak baik di hujung tongkat itu. Rambut yang terurai diselitkan di belakang cuping telinga.
“Saya ? Adakah benar saya layak menjadi ulat buku seperti yang diceritakan di dalam sebuah buku yang telah saya baca tadi?”, si ulat tidak mampu menahan rasa gembira dalam dirinya. Buku-buku yang berada di tangan terjatuh begitu sahaja. Pari-pari itu hanya tergelak melihat aksi si ulat.
“Disebabkan kamu amat menghormati buku, saya akan menganugerahkan kebijaksaan ke dalam diri kamu supaya dapat menggalakkan kamu membaca lebih banyak lagi.”, pari-pari cantik itu menghayunkan tongkat saktinya ke udara lalu diacukan kepada si ulat. Dalam sekelip mata, dia merasakan ada sesuatu yang hangat mengalir bersama darahnya dan tubuhnya seperti disedut ke dimensi lain.
Si ulat jatuh terduduk dari corong dimensi itu. Dia terus terbangun dari tidur. Ya, itu semua hanyalah mimpi. Dia terus mencapai sebuah buku di atas meja di sebelah katilnya lalu cuba membaca, dengan harapan apa yang dianugerahkan pari-pari dalam mimpinya itu adalah benar. Si ulat sangat gembira apabila mendapati dirinya dapat membaca dengan lancar tanpa sebarang masalah. Sejak itu, si ulat selalu membaca dan mengajar rakan-rakannya untuk membaca.