Home Cerpen Islamik Merdeka Yang Terleka
Merdeka Yang Terleka
Mohd Fazli Fast
20/8/2017 02:17:40
1,401
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

MERDEKA YANG TERLEKA

Karya: Mohd Fazli Fast

ANGIN pada pagi itu bertiup lembut dan syahdu. Kelihatan seorang pak cik tua berumur 75 tahun sedang duduk dibangku kecil di kawasan riadah Taman Sejati. Matanya sepet dan bercermin mata bulat. Wajahnya sudah berkerut dan berkedut. Walaupun sudah tua, dia masih mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat sebagai alat bantuan . Dan dia selalu keluar ke tempat riadah pada setiap waktu pagi. Itulah rutin hariannya sepanjang mengisi sisa-sisa umur yang masih berbaki.

     Dia melihat beberapa orang pemuda-pemudi sedang berjoging dan melakukan senaman ringan. Ada juga yang membawa kekasih hati yang kelihatan sedang berbual mesra sambil menepuk-nepuk bahu sesama mereka. Diiringi juga gelak tawa yang tidak berselindung dan tidak ada perasaan malu. Perlakuan mereka tidak ada batasan serta pergaulan bebas yang terbabas musnah.

     Pak cik tua itu hanya mengelengkan kepalanya.

     Dalam hatinya terasa sedih dan kecewa dengan keadaan anak-anak muda yang semakin tidak beradab sopan dan telah hilang identiti sebagai orang Melayu yang beragama Islam. Apatah lagi kebanyakkan anak muda yang tersilap menggunakan kebebasan hidup untuk enjoy semata. Hinggakan halal dan haram pun tidak dipedulikan mereka. Adakah mereka tidak bersyukur dengan kemerdekaan yang telah terbina? Atau adakah kemerdekaan yang difahami mereka cuma berhibur dan bebas melakukan apa-apa sahaja yang dimahu?

     Beberapa ketika, pak cik tua itu terkenangkan kisah hidupnya sebelum Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan. Kisah yang menjadikan jiwanya sungguh cintakan akan tanah airnya. Tidak mahu negara ini dijajah semula oleh penjajah luar. Kalau dicerita kepada sebahagian anak-anak muda mungkin mereka menguap, mengantuk dan berkata bosan. Tetapi bagi dirinya yang mengalami sendiri, ia cukup memberi kesan yang mendalam.

 

“MAK,adik laparlah.” Kasim mengosok-gosok perutnya. Matanya kuyup dan badannya kurus kering. Dari pagi tadi dia tidak menjamah walau sebutir nasi. Perutnya hanya diisi dengan angin dan air telaga sahaja.

     “Sabar nak. Mak pun lapar.” Jawab ibunya, Halimah. Hanya itu yang dapat dikatakannya ketika ini. Dia mengukir senyuman kepada anaknya supaya anaknya tidak kalah dengan kelaparan yang mencengkam.

     Penjajah Jepun sungguh tidak berperikemanusiaan. Membuat catuan makanan tanpa mempedulikan langsung keadaan penduduk Tanah Melayu. Dibuatnya pula sebahagian penduduk Tanah Melayu menjadi buruh paksa.  Tiada upah dan pemberian yang setimpal dengan pekerjaan yang mereka lakukan. Pekerjaan yang hanya membuatkan urat-urat hijau menebal dan keletihan yang tidak berkesudahan. Bila tidak mengikut arahan askar Jepun, penduduk Tanah Melayu akan dibunuh tanpa ada belas kasihan dan berhati perut.

     Air mata Halimah menitis dan jatuh ke dua pipinya kerana mengenangkan nasib hidupnya yang tidak sempurna dan menjadi cacamarba. Begitu juga nasib penduduk Tanah Melayu yang lain yang menanggung beban dan luka yang sama.

     Negara sendiri dijajah.

     Orang luar yang mahukan Tanah Melayu sanggup mendera dan membunuh penduduk asal Tanah Melayu. Sungguh membuatkan hatinya pilu.  Dia turut diuji dengan kematian suaminya. Suaminya dibunuh oleh askar Jepun. Kerana apa dibunuh? Halimah tidak mengetahui hal yang sebenarnya.

     “Ayah mana, mak? Ayah ada janji dengan adik yang ayah nak bawa balik makanan? Mana ayah, mak? Adik laparlah mak.” Kasim merungut lagi. Tidak tahan sangat perutnya ketika ini. Terasa mahu pitam.

     Halimah memeluk erat badan anaknya. Dia membelai-belai kepala Kasim dengan pergerakan perlahan dan berulang-kali. Air matanya jatuh dan menitis ke rambut hitam anaknya.

     Kasim masih belum mengerti. Dia hanya inginkan kebebasan. Kebebasan bermain dan merasai alam kanak-kanak yang penuh keseronokkan dan kegembiraan. Namun, itu semua menjadi mimpi yang tidak pasti kepada kanak-kanak di zaman itu. Tidak ada gelak tawa kanak-kanak bermain, tetapi kedengaran bunyi tembakan yang telah meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

     “Kasim tidur dulu ya. Nanti ayah pulanglah tu bawa makanan untuk kita.” Halimah menepuk-nepuk perlahan belakang badan anaknya. Dia mahu anaknya tidur dan tidak menunggu harapan yang palsu. Dia terpaksa menipu anaknya.

     Kasim hanya mengangguk. Masuk untuk kali ketiga Kasim tidur pada hari itu tanpa ada secebis makanan diperutnya. Dan kelibat kepulangan ayahnya turut tidak kelihatan apabila dia bangun dan terjaga dari lenanya. Ke mana ayahnya pergi?

     Perlahan-lahan mata Kasim terkatup. Akhirnya kegelapan menguasai pandangan matanya.

 

“TIDAK!” jerit Halimah.

     Askar Jepun tidak mengendahkan jeritan Halimah.Senapang yang dipegang askar Jepun itu rapat ke arah kepala anaknya, Kasim dan juga kepadanya.

     Kasim terkebil-kebil matanya. Kenapa dua orang lelaki itu sedang menghalakan senapang kepadaku? Kasim belum mengerti. Dia baru sahaja terjaga dari lena.

     Askar Jepun itu menghalau Halimah dan Kasim keluar dari rumah mereka. Kasar mereka menolak badan dua beranak itu.

     Rupanya rumah mereka ingin dibakar oleh askar Jepun. Tanpa ada sebab dan punca yang sebenar rumah mereka mahu dibakar. Adakah kerana suaminya yang kuat menentang askar Jepun, sampaikan rumahnya turut dimusnahkan? Suaminya sudah meninggal. Kenapa Jepun masih marah dan berdendam dengan arwah suaminya?

     “Jangan! Jangan kau bakar rumah aku! Inilah satu-satunya rumah yang aku miliki. Inilah harta suami aku yang masih tertinggal di dunia ini.” Rayu Halimah sambil memegang kuat seluar askar Jepun.

     Dia merayu sangat kepada dua orang askar Jepun itu. Ke mana dia mahu menetap dan tinggal bila rumahnya dimusnahkan dan dibakar hangus?

     Askar Jepun itu terasa rimas dengan tindakan Halimah tersebut lalu dia menendang Halimah hingga wajahnya tersembam ke tanah.

    Kasim terkejut dengan perlakuan askar Jepun itu yang telah menjatuhkan ibunya dengan cara yang kasar sekali.

     “Ibu!!!” Kasim mendekati ibunya.

     Halimah mengangkat kepalanya dari tanah.Terdapat kesan darah di gigi hadapannya. Darah itu menjadi saksi kekejaman askar Jepun tersebut.

     Askar Jepun hanya ketawa melihat kelakuan dua beranak itu. Tidak ada rasa apa-apa. Hati mereka tidak tersentuh langsung bahkan mengejek Halimah yang sedang menangis hiba.

     “Huuuuhuuuuuu…” ejek dua orang askar Jepun itu. Jari mereka berdua berpura-pura mengosok kelopak mata masing-masing yang menunjukkan mereka sedang bersedih.

     Halimah hanya mampu menangis. Jika bertindak lebih jauh, mungkin nyawanya tidak akan selamat. Dia masih mempunyai anak. Dia tidak mahu anaknya menjadi yatim piatu. Cukuplah anaknya menjadi anak yatim untuk kali pertama. Janganlah berulang untuk kali kedua pula.

     Rumah Halimah sudah marak dengan api merah. Api yang menganas memakan seluruh kayu-kayu dan papan-papan rumahnya.Tangisan Halimah semakin kuat bila terpandangkan rumahnya yang sedang dijilat api.

     Kasim melihat ibunya sedang menangis dahsyat.

     “Ibu.. kenapa menangis?” soal Kasim perlahan.

     “Besar nanti kamu akan tahu jugak nak.” Itulah jawapan yang membuatkan Kasim terdiam. Walau ringkas tetapi berbekas di dalam hatinya.

 

“PAK Cik!” kedengaran satu suara yang menyapa Pak Kasim.

     Pak Kasim mengangkat kepalanya melihat milik siapa suara itu.

     Kelihatan sepasang kekasih saling berpegangan tangan.Erat genggaman tangan mereka berdua. Sungguh mereka sedang dibuai cinta yang penuh dusta.

     “Kenapa anak muda?” soal Pak Kasim sambil memandang mereka berdua.

     “Pak cik boleh berambus dari bangku ni! Kami nak duduk kat sini! Dah tua-tua ni duduk kat rumahlah! Menyusah duduk kat sini pulak!” keras nada suara pemuda lelaki itu. Menghalau Pak Kasim bagaikan orang tua itu seekor kucing yang berkeliaran di taman.

     Pak Kasim cuba menahan air matanya untuk tidak keluar daripada kelopak matanya. Matanya sudah berair kerana melihat sikap anak muda itu yang cukup biadap.

     “Kamu berdua ni sudah berkahwin?” Pak Kasim bertanya kepada pasangan kekasih itu dengan nada lembut. Dia sedaya upaya ingin membetulkan perbuatan pasangan kekasih itu jika bersalah dan belum berkahwin.

     “Belum! Kenapa?” perempuan yang berada disebelah lelaki itu pula yang menjawab pertanyaan Pak Kasim.

     Pak Kasim terperanjat. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Apa yang sudah terjadi kepada anak-anak muda sekarang?

     “Tak boleh begini anak muda. Kamu berdua masih belum ada ikatan. Berpegangan tangan ni pun haram dan berdosa hukumnya.” Lembut Pak Kasim menjawab.

     “Haram! Haram! Kau tu dah tua! Kami ni muda lagi! Biarlah kami bebas nak buat apa pun! Negara kita pun dah merdeka! Ibu bapa kami pun tak kisah dengan hal kami! Kenapa pak cik nak menyibuk pulak?”bentak pemuda lelaki itu sambil memandang tajam ke arah Pak Kasim. Perempuan di sebelahnya turut memandang keji ke wajah Pak Kasim.

     “Merdeka yang kamu faham tu salah nak.Merdeka memang bermaksud bebas. Tetapi janganlah bebas hingga mengundang kemurkaan Tuhan. Bebas hingga langgar hukum-hakam Islam. Kebebasan kita perlulah disyukuri dan dijaga. Bukannya dirosakkan dengan dosa.” Jelas Pak Kasim tanpa dipinta.

     “Ah! Jomlah balik, sayang. Baby tak sukalah duduk sini. Ada orang bagi ceramah free pulak kat sini.”Sindir perempuan itu sambil melihat kekasihnya dengan pandangan manja dan menggoda.

     “Jomlah. Abang pun malas nak layan orang tua nyanyuk ni. Apa guna kebebasan kalau tidak boleh buat apa yang disuka.”

     Pasangan kekasih itu lalu meninggalkan Pak Kasim seorang diri.

     Pak Kasim menunduk sepi.

     Kemerdekaan yang dikecapi kini ramai yang salah mengerti. Memang negara sudah merdeka daripada penjajah. Tetapi kini anak-anak muda dijajah dengan minda barat yang bernanah. Dahulu dijajah dalam bentuk fizikal, kini dijajah dalam bentuk pemikiran!

     Pak cik tua itu hanya mampu berdoa.Harapannya suatu hari nanti, mereka akan faham erti kemerdekaan yang sebenar.Kemerdekaan yang sebenar bukan merdeka yang terleka. Tetapi merdeka yang mulia.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mohd Fazli Fast