Kelihatan
jauh sekali Haji Azhar tercokoh di sebalik jendela rumahnya. Diulit khayalan
yang tidak beberapa menyedapkan perasaan. Bunyi dedaun pohon kelapa di hadapan
rumahnya berdesir dek tiupan angin. Butirannya dapat didengar dengan jelas.
Kelihatan pepohon di sekitarnya juga turut melambai-lambai seakan-akan
memanggil Haji Azhar. Dingin malam juga turut menggigit tulang-temulangnya pada
ketika itu. Sejuk sungguh pagi itu.
“Macam
nak hujan je pagi ni,” tafsiran yang dikeluarkan oleh Haji Azhar.
Brumm..rumm..rummm..rummmm..
Kedengaran bunyi enjin motosikal milik Haji Azhar dimatikan.
Dia melihat kelibat anaknya yang lengkap berserban dan berjubah putih menongkatkan
motosikal di sebalik tiang hadapan rumahnya.
“Assalamualaikum...Rizqi dah balik...”
Rizqi, anak Haji Azhar yang baru pulang dari surau untuk
solat subuh berjemaah. Haji Azhar menjawab salam dengan lantang sambil
melunjurkan kedua-dua kakinya. Penyakit gaut yang dihadapi Haji Azhar telah
membataskan pergerakannya. Sudah lama dia tidak menjengah ke surau kerana
kesukaran dan kesakitan yang terpaksa ditanggung ketika dia cuba untuk bergerak.
Setiap kali hari jumaat, dia terpaksa berhempas pulas menahan sakit untuk
menunaikan Solat Jumaat. Pernah sekali, dia terpaksa ponteng Solat Jumaat
kerana anaknya terpaksa berkursus di negeri lain. Tiada siapa yang sanggup
membantunya, melainkan anaknya sendiri walhal niat sebenarnya tidak mahu
menyusahkan jiran-jirannya.
Haji Azhar memerhatikan sekali imbas wajah anaknya. Sejuk
hatinya apabila melihat anaknya yang soleh itu. Tidak sia-sia dia mendidik
anaknya dengan didikan agama. Hilang segala susah payah yang terpaksa
diharunginya dahulu dengan pelbagai cubaan dan dugaan ketika menghantar anaknya
itu ke sebuah sekolah agama yang terkenal. Banyak onak dan duri terpaksa
direntasi mereka sekeluarga, apatah lagi ketika anaknya mendapat tawaran untuk
melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jordan. Haji Azhar bersyukur
segala penat lelahnya terbalas. Anaknya itu kini menjadi pegawai di majlis
zakat negeri. Di samping itu, jadual malam anaknya padat dengan jemputan
pengajian dan memberi tazkirah di sekitar masjid dan surau di daerah mereka.
Satu kampung kenal anaknya, Ustaz Rizqi. Bahkan, berkat rezeki yang diperolehi
anaknya itulah yang membantu dia dan isterinya menjejakkan kaki ke Baitullah,
dapat menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5, walaupun dengan keadaan yang kurang
mengizinkan.
“Ramai ke orang kat surau tadi Rizqi?” Tanya Haji Azhar.
“Alhamdulillah abah. Cukup satu saf macam biasa,” jawab
anaknya bersahaja.
“Tu, umi kamu dah bancuh kopi dengan cekodok pisang. Jom
kita sarapan jom,” pelawa Haji Azhar.
Rizqi perlahan-lahan memapah ayahnya ke kerusi roda.
Dengan cermat sekali, ayahnya diangkat dan diletakkan di kerusi roda, dan
dengan cermat sekali, dia menolak kerusi roda ke arah dapur. Mereka sekeluarga
menjamah sarapan yang kelihatan tidak seberapa itu bagi pandangan mata kasar
masyarakat sekarang, tetapi secara tersiratnya, itulah diantara makanan yang
terbaik yang pernah dirasai oleh Haji Azhar dan anaknya. Air tangan wanita yang
merupakan tulang belakang bagi mereka berdua. Cukup sedap!
“Rizqi, abah nak tanya sikit, boleh?” Haji Azhar mula
membuka persoalan selepas mereka hampir selesai menjamah sarapan.
“Ye abah? Nak tanya apa tu?” Jawab Rizqi selepas
menghirup beberapa kali air kopi panas yang luar biasa penangannya itu.
“Abah tak berapa nak sedap hati sejak kebelakangan ni.
Abah tahu ilmu agama kamu kamu tinggi. Tapi abah letih dengar buah mulut orang
kampung yang selalu mengumpat kamu.”
Rizqi hanya tersenyum mendengar rintihan ayahnya itu.
Perlahan-lahan dia meletakkan cawan yang dipegangnya ke atas piring. Rizqi
tersenyum manis melihat ayahnya. Sambil itu, Rizqi mengurut lembut janggut
seciputnya. Haji Azhar kehairanan dengan telatah anaknya yang langsung tidak
menunjukkan sebarang elemen kejutan. Hanya bersahaja dengan mukadimah soalan
yang dituju olehnya. Seperti sedang berfikir sesuatu, ananknya membalas;
“Ni mesti pasal orang kampung cakap Rizqi ni Golongan
Wahabi kan? Konon-kononnya golongan yang semakin menguasai dan meracuni
pemikiran Ahli Sunah Wal-Jamaah di negara kita ni kan?” Balas Rizqi.
“Tu laa..abah pun tak berapa pasti, mungkin kamu betul,
mungkin juga pendapat kamu tidak beberapa tepat. Tambah-tambah lagi masa kamu
mengatakan dalam tazkirah yang bacaan talkin adalah bida’ah. Benda yang tidak
pernah dibuat oleh Rasulullah S.A.W.”
“Abah dengar Tok Imam kampung kita marah benor bila
dengar benda tu dari mulut orang kampung.”
“Apa ntah diorang cakap haritu. Tok Imam ada membalas dan
membidas penyataan kamu. Lupa pula. Bida’ah hasanah kot? Ye ke?”
“Betul abah, Bida’ah hasanah. Perkara yang tidak
diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, tetapi memberi manfaat kepada pengamalnya.”
Jawab Rizqi.
“Haa..abah bukan apa, risau. Orang kampung mengata kamu
ni golongan Wahabi. Golongan yang baru muncul untuk menyesatkan umat di negara
kita ni.” Sambung Haji Azhar lagi.
Rizqi hanya tersenyum simpul mendengarnya. Dia melepaskan
pandangan ke arah luar jendela. Seakan-akan memikirkan sesuatu. Selang beberapa
ketika, Rizqi melihat wajah ayahnya, tersenyum dan kembali menyusun
percakapannya.
“Macam ni la abah. Rizqi buat satu penceritaan dan
perbandingan.”
Golongan yang digelar Wahabi, Salafi dan satu lagi
golongan, yakni golongan Ibnu Tammiyan dikatakan semakin meracuni pemikiran
umat Islam di negara kita.”
“Walhal, golongan ini tidaklah menggelarkan diri mereka sendiri
sebagai Wahabi, Salafi dan sebagainya. Mereka bukannlah bertindak untuk
meracuni pemikiran sesiapun. Ianya hanyalah gelaran yang telah diberikan oleh
sebuah pihak, dan di viral kan di media sosial.”
“Semakin lama, gelaran ini semakin kuat melekat kepada
mereka. Dan masyarakat semakin takut dan berwaspada dengan golongan Wahabi ni.
Bahkan beberapa ulama’ besar negara kita pun digelar Wahabi. Hinggakan terdapat
ulama’ yang tinggi tarafnya di negara kita pun hampir terpengaruh dengan penggelaran
Wahabi, Salafi, dan sering mengumumkan untuk berdebat sesama sendiri secara
langsung dan sebagainya.”
“Tapi tahukah abah, siapa yang sebenarnya mencetuskan
pemberian gelaran ini?”
“Siapa?” Tanya Haji Azhar.
Rizqi masih mengukir senyuman di wajahnya, dan kembali
menyambung percakapannya.
“Dikatakan golongan Syiah yang memulakan agenda
menggelarkan pengikut Wahabi ini. Mereka ini lah, golongan Syiah ini lah, yang
menghasut umat Islam di negara kita dan mengapi-apikan agar berlakunya pergaduhan,
perselisihan pendapat di antara kalangan umat Islam itu sendiri, supaya kita,
masyarakat Islam yang sentiasa kuat dapat berlaga sesama sendiri dan melupakan
siapa musuh kita yang sebenar, iaitu Syiah.”
Kali ni, jawapan yang diberikan anaknya menarik perhatian
Haji Azhar. Dia menunjukkan raut wajah yang agak berminat.
“Oooo..yeke? Teruskan lagi. Abah nak dengar,” kata
Haji Azhar.
“Sebelum Rizqi nak cakap lebih lanjut ni. Abah kena faham
ye. Rizqi takut abah salah faham pula. Hehehe..”
“Rizqi adalah ahli pengikut Ahli Sunah Wal-Jamaah,
ASWAJA. Pegangan akidah Rizqi berpegang teguh dengan ajaran ASWAJA, sepertimana
dengan hampir kesemua umat Islam di kepulauan melayu ini. Ilmu Fiqh Rizki,
Feqah Rizki adalah mengikut Imam Syafi’e dan tassawuf Rizqi, iaitu ilmu untuk
mensucikan hati adalah berdasarkan ajaran Imam Ghazali. Tidak pernah sama
sekali Rizqi mengumumkan Rizqi mengamalkan fahaman Wahabi.”
“Saya yakin majoriti, mungkin hampir kesemua umat Islam
di negara kita bersetuju. Aqidah kita adalah ASWAJA, Feqah mengikut Mazhab
Syafi’e dan Tassawuf menurut Imam Ghazali. Kalau yang lain pun, mungkin mereka bukan
berasal dari negara kita.”
“Ooo..abah pun baru tahu. Hehehehe..” Haji Azhar
tersenyum seakan-akan malu.
Rizqi menyambung lagi.
“Nak bagi senang faham siapa musuh kita sebenarnya, Rizqi
buat perbandingan macam ni. Contoh ye, bukan betul-betul.”
“Abah adalah ASWAJA, Rizqi adalah golongan Wahabi,
manakala Mak adalah pengikut Syiah. Contoh je tau. Hahaha.”
“Hahaha. Mak kamu diletaknya Syiah. Hahahaha! Ok.
Teruskan,” balas Haji Azhar.
“Ok. Kita patah balik kepada asas Iman kita, asas ajaran
Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.”
“Pegangan utama kita, sudah tentu adalah berdasarkan
kitab suci, kitab agung Al-Quran. Abah setuju?”
Haji Azhar mengganggukkan kepalanya.
“Kita bandingkan abah dengan mak, abah ASWAJA, mak Syiah.
Dari segi kesahihan Quran itu sendiri dah terdapat percanggahan. Abah sebagai
wakil ASWAJA yakin bahawa Quran yang menjadi pegangan kita sekarang adalah sama
sebijik-sebijik dengan Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Langung tiada sebarang perubahan, pengurangan dan tokok tambah. Abah setuju
kan?”
“Ye la. Semua orang tahu,” balas Haji Azhar.
“Ok tapi mak, sebagai wakil Syiah tak bersetuju! Mak
cakap Quran yang abah baca sekarang tak lengkap. Mak cakap, ada banyak khilaf,
tapi yang pasti, sebagai seorang Syiah, Quran mereka yang dikenali sebagai
Mushaf Fatimah adalah yang benar.”
“Quran yang abah baca sekarang tak lengkap. Banyak
kurang. Banyak cacat celanya. Mushaf Fatimah mereka, jauh lebih tebal dari
Quran abah, lebih kurang tiga kali ganda tebalnya. Maknanya mak berpegang
kepada Quran yang benar. Quran abah tak benar!” Hujah Rizqi dengan nada yang
tinggi menyebabkan Haji Azhar tersentap kemarahan. Lantas Haji Azhar
mengatakan;
“Gila ke apa Syiah ni?”
Rizqi tersenyum melihat telatah abah nya dan kembali
menyambung andaian.
“Ok. Kita banding pula abah dengan Rizqi. Abah ASWAJA,
Rizqi Wahabi. Dari segi kitab suci Al-Quran itu sendiri. Kita berdua tak ada
masalah langsung. Kita berdua sangat bersetuju dengan kesahihan mukjizat kitab
Quran yang kita amalkan pada masa kini.”
“Poin pertama Al-Quran, Abah dengan Rizqi no problem.
Abah dengan mak banyak problem.”
Haji Azhar semakin tertarik. Kopiahnya diperbetulkan.
“Ok kita bergerak ke poin kedua pula. Setelah Al-Quran,
panduan yang ditinggalkan oleh Nabi Allah S.A.W. kepada kita, umatnya adalah
sunnah-sunnah baginda. Kan?”
Haji Azhar mengangguk. Kali ini lebih laju.
“Kita tengok pegangan hadis dan sunnah yang diamalkan
oleh mak, Syiah. Hahahaha! Sunnah mereka langsung tak boleh pakai! Imam Syiah
mengatakan bahawa memakan terung adalah sunnah, walhal disebabkan Imam Syiah
itu sendiri yang mengusahakan tanaman terung. Segala sunnah yang abah amalkan
langsung tak boleh pakai! Semuanya salah kalau mengikut ajaran yang mak
belajar.”
“Para perawi hadis, orang yang meriwayatkan hadis
baginda, yang kita hormati, dihina oleh mak and the geng. Syiah langsung
tak percayakan sunnah yang abah amalkan.”
Punggung Haji Azhar mula terasa panasnya.
“Tapi kita berbalik di antara Abah dengan Rizqi. Abah
langsung tiada masalah dengan Rizqi, golongan Wahabi, dari segi sunnah baginda.
Bahkan, geng-geng Rizqi lagi hebat dari menjaga hadis-hadis sahih Rasulullah S.A.W.
Segala hadis-hadis daif terus ditolak oleh Rizqi. Bagi geng-geng abah,
hadis-hadis daif masih boleh digunapakai sekiranya dapat memberikan pengajaran
dan semangat, contohnya seperti hadis yang terkenal di negara kita, tuntutlah
ilmu sampai ke negeri China.”
“Tapi tak apa, dari segi pengamalan hadis dan sunnah itu
sendiri. Abah dengan Rizqi memang langsung tiada masalah. Kita berdua berpegang
kepada hadis dan sunnah baginda S.A.W.”
“Poin kedua sunnah Baginda S.A.W., Abah dengan Rizqi no
problem. Abah dengan mak banyak problem.”
Haji Azhar memperbetulkan kedudukannya. Dia terus khusyuk
mendengar.
“Poin ketiga, setelah Al-Quran, As-Sunnah, kita bergerak
kepada para sahabat. Setelah kedudukan sebagai Nabi, tidak ada lagi kedudukan
yang lebih tinggi dan lebih mulia dibandingkan melainkan para sahabat-sahabat
baginda.”
“Abah dengan Rizqi memang langsung tiada problem
dengan kehebatan para-para sahabat Baginda S.A.W. Kita yakin dengan keimanan
mereka, kehebatan mereka, kekuatan aqidah mereka yang terlalu utuh terhadap
Allah yang satu, dan kekasih-Nya.”
“Tapi bagaimana pula pendapat mak jika nak dibandingkan
dengan pendapat kita berdua?”
Kali ni Haji Azhar ketawa sinis, seakan-akan sudah tahu
jawapannya. Berapa taksubnya golongan Syiah dalam bab pertikaian sahabat Nabi
S.A.W. sehingga terus menyeleweng dari ajaran sebenar. Kali ni Haji Azhar
sendiri yang menokok tambah, memintas percakapan anaknya.
“Syiah mengkafirkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq! Banyak
lagi para sahabat baginda yang dikafirkan!” Pintas Haji Azhar dengan nada yang
sedikit marah.
Rizqi membalas, “Betul tu. Poin ketiga para sahabat. Abah dengan Rizqi memang
langsung tiada masalah. Abah dengan mak terlalu banyak percanggahannya.”
Kali ini Rizqi berehat sebentar. Dia menghirup sedikit
kopi yang sudahpun suam-suam kuku itu. Setelah diperbetulkan kedudukan cawan
kopinya, dia kembali menyambung hujah dan andaiannya.
“Baru lah kita tengok ke poin terakhir, poin ke-empat,
dari segi Feqah, dari segi pengamalan ibadah.”
“Cuma dari segi Feqah sahaja, Abah dengan Rizqi, ASWAJA
dengan Wahabi ada sedikit perselisihan. Sedikit je..Itu pun masing-masing
disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Pendapat geng-geng abah mungkin berbeza
sedikit, tetapi disokong dengan hujah yang bernas. Begitu juga dengan geng-geng
Rizqi. Masing-masing bukannlah tidak bersebab.”
“Tapi cuba abah bandingkan dengan mak?” Sambungnya lagi;
“Abah solat tadi, lepas niat, angkat takbir terus
turunkan tangan tak ke sisi? Berdiri tegak?” Tanya Rizqi.
“Eh? Apa pulak, tangan diletakkan dihadapan la, di atas
perut. Ingat Syiah ke apa?” Balas Haji Azhar.
Rizqi ketawa sinis. Dia kembali menyambung.
“Abah mesti lupa letak batu kat tempat sujud tadi kan?
Masa tahiyat akhir abah ada tak tepuk-tepuk peha lima kali sebelum nak bagi
salam?”
“Kalau abah tak buat, solat abah tak sah. Hehehe!”
“Itu kata-kata geng mak la, geng Syiah.”
“Feqah mereka, Syiah, jika nak dibandingkan denga feqah
yang kita berdua pelajari, memang confirm terus out. Langsung tak boleh
pakai. Diorang punya pelik-sepeliknya. Sesat-sesesatnya. Feqah Syiah terus
ditolak mentah-mentah jika nak dibandingkan dengan Feqah ASWAJA dan Wahabi.
Tetapi Feqah abah dibandingkan dengan Rizqi, hanya terdapat sedikit
perselisihan. Tetapi Rizqi ulang sekali lagi, masing-masing mempunyai hujah
yang kuat. Abah setuju kan?”
Haji Azhar mengangguk lagi.
“Setuju sangat,” Balasnya.
“Jadi, dari poin pertama, kedua, ketiga dan keempat, abah
dengan Rizqi tiada masalah yang besar. Jika ada pun, hanyalah sekecil-kecil
perselisihan pendapat jika nak dibandingkan poin-poin dengan puak Syiah. Dari
empat poin utama yang Rizqi beri, satu pun tidak boleh dipakai.”
“Sebab tu Rizqi cakap mula-mula tadi. Dikatakan Syiah
yang memperkenalkan untuk menggelarkan sesetengah golongan sebagai Wahabi,
Salafi, Ibnu Tamiyyan dan sebagainya.”
“Tujuan mereka hanya satu. Bagi kita bertikam lidah
sesama kita, tuduh menuduh, dan akhirnya melonggarkan persaudaraan di antara
umat Islam, sekaligus menguatkan lagi puak Syiah secara diam-diam. Hinggakan
kita terlupa siapa musuh kita yang sebenarnya.”
“Itu je yang cuba Rizqi sampaikan.”
"Tapi Rizqi, banyak orang tidak sukakan mereka. Golongan ini selalu menyalahkan seseorang. Menghukum seseorang. Itu Bida'ah! Itu Haram! ini tak patut buat lah! Macam mana tu?"
"Abah..Ok la..macam ni..kenapa kita perlu menilai seseorang daripada keburukan yang telah dilakukan olehnya? Mungkin kita tidak bersetuju dengan beberapa pendapat ataupun perangai mereka. Tetapi, cuba kita tengok kembali kebaikannya. Adakah kebaikannya lebih banyak dari keburukannya? Adakah kita perlu membenci seseorang yang tidak sependapat dengan kita dalam 5 perkara, walhal, kita bersetuju dengannya dalam 10 perkara?"
-TAMAT-
*Nota
Cerpen ini dikarang dan diolah berdasarkan kuliah Maghrib
di surau tempat penulis. Sekiranya terdapat sesiapa yang terguris dengan coretan ini, penulis menyusun 10 jari memohon maaf. Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk
itu datang dari diri saya sendiri. Wallahhua’lam.