Home Cerpen Islamik DEMI PERSAHABATAN
DEMI PERSAHABATAN
8/9/2016 10:35:02
2,098
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Sekeping kertas di paparkan di papan kenyataan. Senarai nama pelatih praktikum disiarkan oleh pihak pentadbiran kolej.

“ Assalamualaikum, perhatian kepada para pelatih guru. Senarai nama dan sekolah praktikum telah di siarkan di ruang legar pejabat. Jadi, silalah ambil perhatian.’ Pengumuman itu di diumumkan di corong pembesar suara.

Muaz, seorang yang berasal dari Kelantan. Berkulit sawa matang dan tubuhnya gempal. Mahasiswa tahun akhir yang sedang menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Kolej Tinggi Perguruan Selangor. Setelah pengumuman diumumkan, Muaz tidak sabar lagi untuk melihat sekolah praktikum terakhirnya. Semuanya dikhabarkan berpraktkikum di sekolah yang jauh. Baginya, praktikum ini merupakan suatu pengalaman yang menarik untuk membentuk jati diri seorang guru yang berwawasan.

“ kawan, jom kita pergi tengok sekolah praktikum baru. Dimanakah agaknya sekolah praktikum kita? Harap-harap, kita dapat tempat yang sama.” ajak Muaz kepada kawannya iaitu Zani dan Hasni.

Zani dan Hasni adalah kawan baik Muaz. Umur mereka sebaya, 23 tahun. Jurusan pengajian yang sama dengan Muaz iaitu Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam. Susuk badan Zani. Berkaca mata dan kurus orangnya. Sungguh biasa orangnya. Orang yang sentiasa tawaduk dengan ilmunya. Berasal dari Negeri Sembilan. Manakala, Hasni berwajah kacak, kulitnya putih. Berasal dari negeri Terengganu.

Mereka semua ditemukan di satu tempat pengajian yang sama. Ke mana-mana mereka pergi pasti ada mereka bertiga. Seiring dan sejalan, berkawan rapat, tidur sebantal, makan bersama dan segala-galanya mereka bersama. Indahnya ukhwah dan persahabatan mereka apabila segalanya kerana Allah.

Sambil membaca buku, Zani berhenti seketika.

“Syeikh Hasni Al-Besuti, apa kiranya kita pergi bersama melihat sekolah praktikum baru nanti?” Tanya Zani sambil menoleh kepalanya kepada Hasni yang sibuk dengan laptopnya. Di dalam kelas, Zani berada di belakang Hasni. Manakala Muaz berada di sebelah Zani.

Sambil tersenyum. Hasni berkata kepada Muaz dan Zani.

“Sekejaplah kawan-kawan, aku sedang mencari maklumat untuk pembentangan esok. Ustazah Aisyah ada pesan pada aku. Supaya mencari maklumat mengenai tajuk ukhwah kerana Allah.” Sahut Hasni kepada kawan-kawannya.

“Iyalah, aku pun kena cari maklumat juga. Tajuk aku ialah mengenai ujian Allah.” Kata Zani kepada kawan-kawannya.

‘Alhamdulillah, aku sudah bentang tajuk ikhlas.” Sambil berdiri, Muaz berjalan ke arah meja Hasni untuk melihat kawan baiknya mencari maklumat.

Kawan-kawan yang lain asyik bersembang. Ada yang membaca. Ada yang menulis. Maklumlah musim menghantar kerja kursus. Semuanya sibuk.

“Apa kata, waktu rehat nanti, kita sama-sama turun ke luar legar pejabat untuk melihat sekolah praktikum baru kita. Selepas tu, terus kita makan. Hari ini, aku belanja makan. Bukan apa, hari tu aku sudah berkongsi mengenai keikhlasan. Jadi, aku ingin belajar makna keikhlasan dalam setiap perkara yang aku buat. InsyaAllah, aku tidak minta apa-apa. Itulah makna keikhlasan kan. Memberi tanpa dipinta.” Cadangan itu keluar dari mulut Muaz sambil mentazkirahkan kawan-kawannya.

“MasyaAllah, semoga Allah murahkan rezeki kamu wahai sahabatku.” Dengan rasa gembira Zani menadah tangan kerana kawan baiknya ingin belanja makan.

Dengan perlahan dua belah tangan Hasni disusun erat mengucap kalimah.

“Amin.”

Terpancar kegembiraan pada raut wajah mereka.

“Kata ulama, apa gunanya ilmu kalau tidak beramal. Ibaratnya, seperti sebatang pokok yang hidup subur, tetapi tidak menghasilkan buah yang ranup masak.” Perumpamaan itu diucap oleh Muaz sambil ketawa kecil menampak gigi putihnya.

Apabila tiba waktu rehat, semua mahasiswa sibuk. Mereka sibuk berjalan dengan hala tuju yang berbeza. Ada yang beriringan dan ada juga berkumpulan. Semuanya menuju ke dewan makan.

Disebabkan kelas mereka berada di tingkat empat. Maka, berjalanlah mereka keluar dari kelas meneruni anak tangga ke ruang legar pejabat. Tujuannya untuk melihat sekolah praktikum baru mereka yang akan dijalankan selama tiga bulan.

“Assalamualaikum anak-anak sekalian.” Sapa Ustazah Aisyah yang sedang menaiki tangga.

“Waalaikumusalam ustazah.” Jawab mereka dengan suara yang lembut.

“Ustazah nak kemana ni? Banyaknya bawa buku?.” Tanya Muaz kepada Ustazah Aisyah.

“Ustazah nak pergi ke perpustakaan. Dua hari lepas, ustazah ada pinjam buku. Jadi, ustazah ingin ke sana untuk memulangkan buku yang ustazah pinjam ini.” Tunjuk ustazah sambil berhenti sekejap melayan karenah anak didiknya.

“Ok ustazah.” Jawab mereka bertiga tadi.

Ustazah Siti Aisyah merupakan naqibah bagi kelas mereka. kelas Muaz, Hasni dan Zani. Bagi mereka, Ustazah Siti Aisyah ini ibarat pelita yang bercahaya dalam mendidik mereka. Bagaikan ibu kandung mereka sendiri. Perwatakannya sentiasa menunjukkan nilai kasih sayang. Kadang-kadang segala masalah mereka sentiasa dikongsi bersama ustazah Siti Aisyah. Seorang yang mendalam ilmunya dalam pengetahun Islam. Apa tidaknya, dia telah menghabiskan waktu belajarnya di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Pengajian Islam dan menyambung falsafah kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Psikologi Islam. Sepatutnya dia dipanggil doktor. Tetapi, ustazah Siti Aisyah cukup tawaduk orangnya. Cukuplah orang mengenalinya sebagai ustazah Siti Aisyah.

Mereka bertiga terus berjalan untuk melihat sekolah praktikum masing-masing.

“Alhamdulillah, kita bertiga berpraktikum di sekolah yang sama.” Kata Muaz kepada kawannya. Mereka menyambut dengan tanda kesyukuran kepada Allah.

Masing-masing sangat bertuah kerana berpraktikum di Sekolah Kebangsaan Simpang 2, Selangor. Dua jam daripada pusat pengajian mereka.

Sambil memegang bahu Muaz, “Jadi semua sudah tahu tempat praktikum, perutku sangat lapar. Apa kata, jom kita ke kantin. Nanti makanan habis. Melepaslah hasrat kawan kita ingin buat pahala nanti.” Kata Hasni kepada Muaz sambil ketawa.

Semua mereka gelak mendengar Hasni berceloteh.

Pergilah mereka bertiga ke kantin untuk makan. Mereka semua mengambil makanan. Menempah air di kaunter bayaran. Selepas itu, duduklah mereka makan sambil berbual-bual. Seperti biasa penjual akan datang memegang pen dan kertas untuk ke meja makan setiap orang bagi mengira harga.

“Semuanya dalam RM 15.00.” kata penjual sambil meletakkan tanda harga di atas meja.

“Ini bang, RM 15.’ Kata Muaz sambil menghulurkan tangan kanan untuk membayar duit RM 15 kepada penjual.

“ terima kasih dik.” Ucapan abang penjual itu kepada Muaz dengan tersenyum.

“Wah, terima kasih Muaz. Rasanya seperti kami ini meyusahkan kamu sahaja. Kena belanja kami makan.” Kata Zani sambil menyuap sedikit demi sedikit nasi ke dalam mulutnya.

“Eh, tidak susahlah. Semuanya pahala sekiranya dibuat kerana Allah. Bila lagi aku nak belanja kamu semua. Lagipun aku baru sahaja berkongsi makna keikhlasan semasa dalam kelas ustazah Siti Aisyah tempoh hari. Apa salahnya sekiranya aku ingin praktikan. Barulah namanya ilmu dan amal. InsyaAllah, saat itu barulah aku dapat rasa manisnya keikhlasan.” Jawab Muaz dengan suara yang lembut.

Makanlah mereka dengan penuh riang di hati. Sambil makan, mulut mereka sentiasa berbicara mengenai ilmu pengetahuan. Bagi mereka, ilmu itu sesuatu yang perlu dihidupkan melalui tutur kata dan sentiasa segar dalam ingatan. Barulah ilmu itu dapat diamalkan pada setiap masa.

“ kamu tahu tak, kenapa Nabi Ibrahim a.s. diberi gelaran khalilullah yang bermaksud sahabat Allah?” Soal Zani kepada mereka berdua yang asyik makan.

“huuu, soalan mencabar ni. Entahlah, aku pun tak tahu. Kamu tahu ke Hasni?” Soal Muaz kepada kawannya Hasni.

Dengan senyum monyet, Hasni terus menjawab.“Errr, aku rasa jawapannya hanya Zani sahaja yang tahu.” Sambil tangannya kirinya disusun menunjukkan kepada Zani.

Tergelak mereka. Hasni ini seorang yang peramah. Kadang-kadang dengan kata-katanya, mereka semua tergelak terbahak-bahak. Maklumlah Hasni ini periang orangnya.

Dengan seyuman dibibir Zani, berkatalah dia.

“Kamu nak tahu tak?” sahut Zani kepada kawan-kawannya.

“Nak-Nak.” Jawab Muaz. Rasa ingin tahu terpancar pada raut wajah Muaz dan Hasni.

“Jawapannya adalah kenapa Nabi Ibrahim di beri gelaran khalilullah iaitu sahabat Allah kerana sikap Nabi Ibrahim a.s. yang suka memberikan makanan kepada orang ramai. Lebih-lebih lagi kepada orang yang lapar dan susah. Sikap inilah yang telah mengangkat martabat nabi Ibrahim a.s. di sisi Allah s.w.t sebagai Khalilullah.” Mereka berdua mengangguk mendegar Zani bericara mengenai Nabi Ibrahim a.s. Setelah itu, makanlah mereka sehingga perut kekenyanagan.

Rutin hariannya seperti mahasiswa lain juga. Masanya perlu diatur dengan bijaksana supaya tidak berlalu begitu sahaja. Ada waktu perlu diruntukkan kepada ilmu. Ada waktu perlu juga digunakan untuk bermain bagi menyihatkan badan. Perlu di urus masa dengan amanah daripada Allah. Begitulah kehidupan mereka mengurus diri mereka.

Hari terus berlabuh tirainya. Bersiul sang burung dengan kicauan suaranya. Gelap malam bersilih ganti menjadi siang. Hadir matahari, membawa harapan pada segenap kehidupan. Cukup indah Alam ini berbicara. Bagi menturuti perintah Allah yang Maha Mulia. Bersiaplah mereka untuk pergi ke kelas. Jam tepat pukul 7.00 pagi, ramailah manusia bergelar mahasiswa menyusun langkah. Bunyi tapak kasut memecah suasana hening pagi. Bukti mahasiswa guru sedang mengatur langkah untuk terus ke kelas mereka masing-masing.

Kelas PA02 adalah kelas bagi Zani, Hasni dan Muaz. Tiba-tiba, kedengaran pintu kelas diketuk. Ada suara luar memberi salam. Semua bangun memberikan penghormatan. Itulah adab murid terhadap gurunya. Rupa-rupanya, pada pagi itu adalah kuliah pengajian bagi mata pelajaran Ustazah Aisyah iaitu Pendidikan Islam.

“Assalamualaikum, wahai anak-anak” suara itu diucap untuk murid-muridnya.

“Waalaikumusalam ya Ustazah.” Semua berdiri menunjukkan tertib keadaban dengan gurunya.

“Semua duduk.”arah ustazah sambil memberikan senyuman. Pandangan matanya terus memerhati kepada seluruh muridnya sambil tangannya membuat isyarat supaya murid duduk.

Memang menjadi tabiat Ustazah Aisyah akan bertanya khabar. Sembang-sembang pagi ustazah akan berkisarkarkan iman, bacaan Al-Quran mereka setiap hari, amalan mereka dan berkaitan dengan kehidupan diri. Setiap kali waktu kelas Ustazah Aisyah, sememangnya Ustazah Aisyah akan memperuntukan masanya selama dua hingga tiga minut sebagai sesi ‘sharing is charing’. Sebagai tanda kasih sayang antara mereka.

“Alhamdulillah, kamu semua cukup hebat. Wahai anak-anakku, carilah sesuatu yang berharga untuk masa depanmu anakku. Fikir sejenak, Bagaimana rahsia didikan Nabi Muhammad s.a.w kepada para sahabat-sahabat baginda? Bagaimana didikan Sultan Muhammad Al-Fateh dapat membuka pintu Kostantinopale? Bagaimana didikan Imam Ghazali dapat menjadi ulama sufi terkemuka pada zamannya? Dan persoalan bagaimana itu harus kamu semua rungkaikan supaya ditangan kamu akan terdidik orang yang hebat yang ustazah katakan tadi. ” nasihat ustazah dengan penuh semangat.

Di ceruk meja, tiba-tiba air mata Zani berkaca. Tingkap matanya tidak tertahan apabila mendengar nama Rasulullah s.a.w. Kotak pemikiran terjunam jauh mengimbau kenangan semasa membaca dan mengkhatam kitab Raheq Maktum karya Syeikh Shafiyyurrahman Al-mubarakfuri. Seorang ulama yang hebat penulisannya dalam mengisahkan kehebatan manusia bernama Muhammad b. Abdulllah. Lalu, fikiran terjentik seketika membayangkan kesusahan insan yang mulia itu dalam menyampaikan dakwah. Cabaran dakwah Baginda diterima dengan cacian, makian, difitnah dengan pelbagai cara dan pelbagai cabaran. Dibaling dengan benda-benda yang kotor. Bersusah payah pagi petang. Menaruhkan keringatnya demi segala-galanya untuk memperjuangkan Islam. Terus air mata itu dikesat supaya tidak diketahui oleh kawan-kawannya.

“Baiklah anak-anak didik yang ustazah kasihi sekalian, memandang pada minggu depan kamu akan berpraktikum dan tidak ada lagi kuliah selepas ini. Maka, hari ini ustazah nak kamu semua habiskan tajuk pembentangan kamu. Ustazah takut tak sempat untuk habiskan silibus nanti. Jadi, hari ini siapa yang bentang?” Tanya Ustazah Siti Aisyah kepada seluruh anak didiknya.

“Ustazah, rasanya saya dan Zani yang tidak habis lagi bentang. Yang lain, semuanya sudah bentang ustazah. Saya perlu membentangkan tajuk ukhwah dan Zani membentangkan mengenai tajuk ujian Allah.” Jawab Hasni dengan rasa bersemangat untuk berkongsi maklumat dengan rakan-rakannya.

Zani pula menganguk tanda setuju yang mana beliau juga perlu membentangkan tajuk ujian Allah.

“silakan.” Sambil senyum ustazah Siti Aisyah menjemput mereka berdua untuk mempersembahkan tugasan mereka berdua.

Laptop dibuka. Slaid di pancarkan melalui LCD. Isi kandungan terus di bentangkan. Dimulai oleh Hasni membentangkan mengenai tajuk ukhwah. Tutur kata tersusun indah ibarat seorang pendakwah menyampaikan kuliah. Dalil Al-Quran dan hadis terus dihuraikan sebagai hujah. Semakin lama, semakin bertambah faham apa yang dikongsikan oleh Hasni.

Selepas sesi pembentangan Hasni tamat. Diikuti kawan baiknya iaitu Zani. Membentangkan tajuk ujian Allah. Kedua-dua mempunyai ilmu yang hebat. Nur ilmunya terpancar indah dibibir mereka. Penuh hikmah penyampaian mereka sehingga semua orang di dalam kelas terus terpukau dengan kedalaman ilmu mereka.

Soal jawab dapat dijawab dengan elok. Mereka berdua cukup gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan kawan-kawan mereka. Setelah tamat, ustazah Siti Aisyah memberikan pandangannya kepada semua pelajar di dalam kelas.

“Bagus, persembahan ilmu yang mantap. Jadilah orang yang berilmu, yang mana dengan ilmunya dapat memberikan manfaat pada diri sendiri dan orang lain. Itulah makna ilmu. Ingatlah wahai anak-anak ustazah, ukhwah itu pertalian erat yang utuh atas dasar cinta keranaNya. Jangan kamu berukhwah atas dasar selain daripada Allah. Kelak Allah akan membinasakan kamu. Manakala, ujian yang dibentangkan oleh Zani tadi cukup baik. Ujian itu akan sentiasa hadir pada hidup kita. Jadilah ujian itu sebagai jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah. Allah tidak akan memberikan ujian melainkan Allah benar-benar sayang kepada hambanya. Secara kesimpulannya, ukhwah itu indah dan ujian itu indah. Ia saling berkaitan. Saat suatu masa, Allah akan uji segala apa yang kita ada dalam kehidupan kita. Jadi, berbekalah ilmu supaya kamu tidak jatuh tergolek di saat Allah menguji kamu. Ingat, apa pesan ustazah ini? ” Ucapan tahniah terucap indah membentuk bait-bait nasihat daripada Ustazah Siti kepada mereka berdua iaitu seluruh pelajarnya.

“Baik ustazah, kami dengar pesan ustazah” jawab seluruh pelajar kelasnya.

“Waktu ustazah sudah pun tamat, buat kali terakhir perjumpaan kita di dalam kelas ini. Ustazah mendoakan akan kejayaan kamu dalam praktikum nanti. Hari ini, kamu telah dibekalkan dengan segala ilmu. Bawalah ia dengan penuh tawaduk dan ikhlas apabila berada di medan nanti. Medan sebenar kamu bukan di sini. Tetapi, medannya akan kamu lalui pada minggu depan nanti. Itulah medan dakwah kamu untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang mengenal Tuhannya, sekian terima kasih.” Amanat terakhir ustazah Siti untuk murid-muridnya. Pelajar perempuan menghulur tangan untuk bersalaman. Pelajar lelaki mengucapkan terima kasih atas amanat yang begitu berharga dan bermakna sebentar tadi. Kata-kata ustazah bagaikan mutiara yang menyinar di dalam hati sanubari anak didiknya.

Di luar sana, bunyi azan berkumandang. Menandakan masuk solat fardhu Zohor. Selepas kelas Ustazah Siti Aisyah tamat. Seluruh Murid PA02 tidak kira lelaki dan perempuan berjalan kaki untuk ke masjid untuk melakukan solat zohor berjemaah.

Selepas solat Zohor secara berjamaah. Berehatlah mereka bertiga iaitu Zani, Hasni dan Muaz.

“Hasni, Zani.. Semalam, aku telah menelefon tuan rumah baru kita. Pak Cik Azmil namanya. Dia kata, rumahnya sudah ada.” Cerita Muaz kepada kawan-kawannya.

“ Berapa sewanya?” Tanya Hasni.

“Pak Cik Azmil cakap, dia kata sebulan sebanyak RM 200 sahaja. Lagipun dia cakap, kita masih belajar, sebab itulah Pak Cik bagi harga murah sahaja.” Jawab Muaz kepada kawan-kawannya.

“Cantik, aku ada satu cadangan. Apa kata, hari sabtu nanti kita terus angkat barang-barang kita naik kereta aku. Hari ini baru hari Khamis, jadi esoknya kita pergi cari kelengkapan praktikum kita di pasaraya Mydin. Boleh dapat dengan harga murahkan. Hari Sabtu, kita kemas-kemas barang masuk dalam kereta aku dan terus kita pergi rumah sewa baru. Bagaimana, setuju tak?” kata Hasni kepada kawan-kawannya.

Ibu jari tangan Muaz dan Zani diangkat sebagai tanda setuju.

Esokkan harinya, pagi-pagi lagi mereka pergi ke pasaraya Mydin untuk membeli kelengkapan mengajar nanti. Banyaklah mereka membeli kerana kelengkapan mengajar itu sangat penting dalm proses memudahkan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bersama-sama dengan murid nanti. Daripada pagi hinggalah petang, mereka mencari bahan untuk persiapan mengajar. Setelah kepenatan, pergilah mereka berehat bersantai di bawah pokok ke kedai Cendol Kiah berdekatan dengan tempat pengajiannya untuk menghilangkan dahaga.

“Syukur pada Allah, segala kelengkapan kita sudah ada. Jadi esoknya kita bolehlah berangkat ke rumah sewa baru.” Ujur Hasni kepada kawan-kawannya sambil minum di kedai Cendol Kiah selepas kepenatan mencari barang keperluan praktikum.

“Malam ini, kita sama-sama kemas barang yang akan kita bawa ke sana nanti. Esok, tidaklah kelam kabut sangatkan.” Cadang Muaz kepada semua kawannya.

Mereka semua bersetuju. Pada malam itu, mereka mengemas barang mereka masing-masing.

“Oh, penatnya kemas barang ni!” Keluh Zani kepada kawannya.

“Em, berpeluh-peluh sudah kamu Muaz. Baguslah peluh, kamu tu gempal. Bagi kurus sekit.” Ejek Hasni kepada Muaz.

Tergelak mereka bertiga. Itulah mereka bertiga. Sangat rapat dan erat hubungannya. Segala ukhwah mereka atas dasar keranaNya. Selama empat tahun, mereka menyelami kehidupan bersama. Saat senang, mereka akan sentiasa bersama-sama. Manakala, saat susah mereka juga akan bersama-sama. Tidak ada istilah keseorangan. Kisah mereka sentiasa bersama. Tidak dapat dibeli ukhwah mereka sekalipun dengan wang ringgit dan harta. Tidak ada sendiri-sendiri. Masing-masing bagaikan adik-beradik. Ibaratnya seperti air yang dicincang, tidak akan putus. Itulah ukhwah yang di terjemahkan oleh mereka.

Hari Sabtu telah tiba, cuaca dilangit kelihatan redup. Sang matahari tidak kelihatan. Mungkin hari ini, hujan akan turun. Membasah menyimbah bumi yang lama sudah kering kontang. Selepas bersarapan, mereka bekerjasama menurunkan barang mereka masing-maaing untuk dibawa ke rumah baru. Ada beg baju, kotak buku dan bermacam-macam benda yang ada dalam kereta. Maklumlah, praktikum akhir ini selama tiga bulan. Barangan pun banyak.

Enjin kereta Hasni dibunyikan. Menandakan perjalanan mereka ke SK Simpang 2 sangat dekat. Membawa sejuta harapan. Mendidik anak bangsa untuk mengenal, si pecipta alam. Di raut wajah mereka terukir senyuman. Merentasi bukit bukau. Lebuhraya, deretan kedai, pasaraya besar dan segalanya menyaksikan mereka sedang membawa kehidupan baru sebagai bakal guru.

Takdir Allah mengatasi segala perancangan manusia. Malang itu tidak pernah berbau. Dalam perjalanan, tiba di suatu bukit. Jalan yang dilalui mereka cukup bahaya dan banyak selekoh. Semasa asyik mereka berbual kosong sambil mendengar ayat-ayat suci Al-Quran melalui radio kereta Hasni. Tiba-tiba, Hasni tertekan brek yang sangat kuat. Bunyi brek kereta itu sangat kuat dan mencengkamkan tayar kereta Hasni.

“Allah ukbar, apa dah jadi ni.” Kata Zani dengan terkejut. Hasni tidak dapat mengawal kereta itu. Cukup cemas pada waktu itu. Tiba-tiba, kereta yang dipandu Hasni tadi terjatuh kedalam gaun bukit. Tercampak kereta jauh dari jalan raya. Berpusing-pusing keretanya. Habis kemek.

“Zani, Hasni kamu macam mana?” kata Muaz dengan suara perlahan. Kedua-dua tidak sedarkan diri. Muaz tiba-tiba pengsan kerana darahnya banyak keluar daripada kepalanya.

Ambulans dan bomba bergegas ke tempat kejadian. Hampir dua jam masa diperuntukkan untuk mengeluarkan badan mereka daripada kereta itu. Mereka semua di hantar ke hospital Putrajaya.

Dalam ambulans, Muaz seperti sedar tidak sedar. Siren ambulans yang dinaikinya berbunyi kuat. Pemandu laju membawa ambulans untuk ke hospital. Seorang jururawat yang membantu Muaz untuk membawanya ke hospital bercakap antara mereka.

“Masyaallah, teruknya kemalangan ini. Disahkan ada seorang yang meninggal dunia. Seorang lagi tidak sedarkan diri.” Ujur jururawat itu kepada kawan-kawannya.

“betul ke doktor?” suara halus ditanya oleh Muaz. Tangannya dibalut akibat patah. Kakinya ada luka dan mukanya ada sedikit bengkak. Kepalanya dibalut akibat pecah. Habis seluruh bajunya berlumburan darah.

“Dik, rehatlah. InsyaAllah dik, Tidak ada apa-apa.” ujur jururawat itu memberi motivasi.

Muaz cukup risau. Dalam fikirannya, dia terkenangkan kawan baiknya itu, Hasni dan Zani. Apakah dia selamat? Apakah Allah telah mengambil nyawa mereka? Tertanya dalam fikirannya menyebabkan dia sebak. Ada titisan air mata mengalir mengingatkan kawannya yang berdua itu. Kalaulah betul apa yang dikatakan oleh jururawat tadi. Cukup sedih perasaannya.

Dalam masa 15 minit, sampailah ambulans yang dinaiki Muaz ke hospital. Dia dibawa keluar daripada ambulans itu. Ramai orang berkerumun di hospital. Kawan-kawannya, pensyarahnya, dan seluruh orang ramai berada di hospital.

“Muaz, kamu macam mana Muaz, ok?” Tanya emaknya dengan linangan air mata melihat keadaan Muaz yang cedera teruk.

“Alhamdulillah mak, Muaz boleh bernafas lagi,” ujur Muaz dengan senyuman walaupun keadaannya cedera teruk.

Muaz dimasukan ke wad kecemasan untuk berehat. Seorang doktor lelaki datang kepadanya untuk memberikan rawatan susulan. Dibajunya tertera nama yang bertulis Hadi.

“Doktor Hadi, macam mana keadaan dua orang kawan saya yang sekali kemalangan dengan saya.” Tanya Muaz sambil memberikan doktor Hadi merawat badannya.

“Dik, InsyaAllah mereka selamat dik. Sama-sama doakan.” Kata-kata motivasi keluar daripada doktor itu. Tetapi Muaz dapat merasakan sesuatu yang tidak elok berlaku kepada kawannya kerana Muaz sempat melihat keadaan kawannya semasa kejadian. Mereka berdua tidak sedarkan diri.

Selepas doktor memberikan rawatan, Ramai orang datang untuk melawat. Ustazah Siti Aisyah, kawan-kawan dan emaknya masuk melawat. Raut wajah mereka ada kesedihan. Seperti ada sesuatu yang berlaku. Mata mereka merah. Mungkin sudah puas menangis. Tetapi apa yang mereka tangisi itu menjadi tanda tanya.

“Muaz, kamu macam mana? Ok tak?” tanya emaknya sambil berada di sisi anaknya.

“Alhamdulillah, saya ok mak.” Jawab Muaz.

‘Ustazah, macam mana keadaan Hasni dan Zani? Mereka ok tak?” tanya Muaz.

Ada air yang membasahi pipi ustazah. Kawan-kawannya pun begitu. Seperti ada perkara yang kurang baik berlaku kepada mereka berdua.

“Ustazah, mereka ok tak?” kuat suara Muaz sekali lagi menanyakan ustazah.

Cukup berat ayat yang ingin dikeluarkan dari lidah Ustazah Aisyah. Seluruh kawan-kawannya yang hadir turut menangis.

“Muaz, Allah lebih sayangkan mereka. Hasni disahkan…” lisan Ustazah Aisyah kelu untuk menjawab pertanyaan Muaz tadi. Air mata ustazah semakin mengalir deras. Begitu juga kawan-kawan mereka.

“Jawablah ustazah.” Muaz tetanya-tanya.

“Hasni disahkan meninggal dunia dan Zani disahkan koma.” Tersedu-sedu ustazah membalas pertanyaan Muaz.

“Inalillahiwainnailaihirajiun.” Ucap Muaz diatas musibah yang berlaku. Air matanya juga mengalir deras. Kawannya yang selama ini tempat berkongsi rasa, duka, susah senang dan segala-galanya telah pergi meninggalkannya.

“bersabar wahai Muaz, kan kita pernah belajar tempoh hari mengenai makna keikhlasan, ukhwah dan ujian Allah. Jadi, pada masa ini Allah sedang menguji kita semua. Adakah kita ini ikhlas menerima segala ujianNya.” Nasihat ustazah kepada Muaz.

“Tetapi, kenapa Allah mengambil nyawanya ustazah?” soal Muaz kepada ustazah.

“Nak, ustazah tahu kamu semua memang rapat. Ukhwah kamu cukup erat. Tetapi Muaz, sebenarnya Allah sangat sayangkan kamu semua nak. Sebab itu Allah berikan ujian ini kepada kamu semua nak. Tatkala kamu berukhwah kerana Allah. Maka, Allah akan menguji dan memberi ujian kepada hambaNya sebagai tanda sayangnya Allah kepada hambaNya.” Nasihat ustazah kepada Muaz.

Masa melawat sudah tamat. Semuanya diminta keluar oleh pengawal keselamatan. Semua orang meninggalkan tempat untuk keluar. Di sepanjang malam, Emak Muaz akan menemaninya.

“Emak, bagaimana keadaan kawan saya mak, Zani?” Soal Muaz yang terlantar di katil.

“Kalau ikutkan ayahnya tadi, Zani Koma. Kepalanya pecah. Ada darah beku di kepalanya. Sekarang pun ayahnya memberitahu mak bahawasanya dia masih tidak sedarkan diri,’ ujur emaknya sambil berada di sisi anaknya Muaz.

“Bagaimana keadaan Hasni mak?” tanyanya lagi.

“Hasni berada di bilik mayat, warisnya sedang berurusan untuk dibawa pulang ke Besut. Tempat tinggal Hasni dan akan dikebumikan di sana.” Kata emaknya dalam keadaan sedih.

Kematian itu pasti. Allah akan mengambil nyawa sesiapa sahaja manusia yang bernyawa. Allah tidak akan sekali-kali lewat sesaat dan awal sesaat. Semuanya telah tersurat dalam takdir kekuasaaNya.

“Nak, rehatlah. Kamu sakit lagi tu. Tidurlah, berehat. Mak doakan Muaz cepat sembuh. Emak sayang Muaz.” Emaknya mengucup dahinya. Itulah kasih seorang ibu kepada anaknya. Tidak ada yang dapat menghalang melainkan Allah jua yang akan pisahkan.

“baik mak, sayang mak,” senyum Muaz pada ibunya.

Cukup ramai pesakit di hospital. Bermacam-macam pesakit yang dialami oleh semua orang. Muaz terus menutup matanya. Malam semakin kelam. Semua pesakit berehat dengan harapan kesakitan yang dialami terus cepat sembuh. Bibir mulutnya membaca zikir dan doa. Bersyukur, bertahmid dan bertakbir kerana Allah sediakan nyawanya lagi untuk terus hidup. Muaz terus lena dengan alunan zikir kepada Allah. Hatinya pasrah dengan pemergiannya kawannya Hasni.

Keesokan harinya. Mulalah tugasan doktor, jururawat dan seluruh kakitangan hospital. Sibuk untuk menyelamat manusia. Itulah mulianya kerja mereka. Seperti biasa, pesakit yang berada di bilik rehat akan sentiasa diurus dan dijaga dengan baik.

“Alhamdulillah, kamu sudah beransur pulih. Dalam tiga atau empat hari lagi, kamu akan sihat. InsyaAllah.” Ujur doktor selepas memeriksa keadaan Muaz.

“terima kasih doktor,” ucap Muaz kepada doktor Hadi.

“Muaz, jom makan.” Jemput emaknya membuka bukusan makanan.

“Baik mak. Emak suapkan untuk Muaz,” renggek Muaz pada maknya. Lama sudah Muaz tidak bermanja dengan emaknya. Muka emaknya terus tersenyum.

“Mak, boleh tak nanti saya ingin melawat kawan saya Zani.” Tanya Zani kepada emaknya.

“Boleh nak. Nanti mak bawa kamu pergi tengok kawan kamu di biliknya nanti.” Kata emaknya tanda setuju.

Selepas makan, kerusi roda dibawa oleh emaknya untuk melawat keadaan Zani yang koma. Muaz terpaksa menggunakan kerusi roda kerana kakinya tidak pulih sepenuhnya. Kakinya terhendak semasa kemalangan. Perlu kepada sokongan. Mungkin dalam tiga atau empat hari lagi, kakinya pulih dengan sedia kala. Itulah yang telah doktor beritahu kepada emaknya.

Muaz dibawa oleh ibunya ke bilik Zani. Hanya tiga bilik daripada bilik rawatan Muaz. Tiba dipintu masuk, Muaz tersempak dengan kawan-kawannya yang datang melawat. Semua ingin mengetahui keadaan Zani. Di situ juga, ada seorang tua memakai baju melayu dan berkopiah putih. Raut muka itu seperti ayah Zani. Muaz masih kenal lagi muka ayah Zani yang manis dan penuh beriman. Ayahnya bernama Pak Cik Zul. Seorang imam masjid di kampungnya.

“Assalamualaikum pak cik, apa khabar?” tangan kanan Muaz dihulur sebagai tanda pertemuan dengan ayah Zani dan tangan kiri masih dibalut akibat patah.

“Waalaikumusalam, Muaz kan? Bagaimana keadaan kamu, sihat?” soal ayah Zani kepada Muaz.

“Alhamdulillah, Allah masih lagi beri nyawa dan kesihatan kepada saya pak cik. Hanya ada kecederaan sedikit sahaja.” Jawab Muaz.

“Bagaimana keadaan Zani pak cik? Ada perubahan yang baik tak daripada Zani?” Soalan lembut ditujukan kepada Pak Cik Zul.

“Alhamdulillah, Allah masih berikan dia nyawa. Cuma, dia masih koma. Ada pendarahan dalam otak. Dia tidak sedarkan diri. Menurut doktor darah bekunya mesti dikeluarkan. Takut dijangkiti kuman dan kalau tidak dikeluarkan boleh membawa maut. Lagipun, anak pak cik memerlukan darah B yang banyak untuk pembedahan nanti.” Jawab Pak Cik Zul.

“Maut? balas Muaz dengan terkejut.

“Benar Muaz, sekiranya jangkitan kuman merebak pada anak pak cik, anak pak cik boleh maut.” Jawab Pak Cik Zul kepada Muaz.

Allah tidak lahirkan sesuatu keadaan dengan kebetulan. Tetapi, Allah lahirkan sesuatu keadaan itu dengan hikmah supaya manusia terus berfikir. Kasih keakraban itu hadir bukan satu misteri, tetapi ia membuka jalan kehebatan sebuah persahabatan yang kekal abadi. Nilai keakraban persahabatan mereka itu bukan sahaja ditunjukan melalui pengorbanan. Tetapi, darah mereka seakan-akan menjadi saksi kasih sayang antara mereka.

“Subhanallah, bolehkah saya menderma darah saya kepada Zani? Saya juga darah B.” Muka Muaz menunjukan riaksi positif kepada Pak Cik Zul.

“Eh, kamu belum sihat lagi. Bagi pada orang yang lebih layak. Nanti kamu pula yang jatuh sakit akibat kekurangan darah.” Terang Pak Cik Zul kepada Muaz.

Dia ingin menolong kawannya yang sakit itu. Ingatannya masih segar pada kisah yang diceritakan oleh arwah Hasni semasa sesi pembentangan dulu dalam kelas ustazah Siti Aisyah. Hasni pernah menceritakan bagaimana para sahabat nabi Muhammad s.a.w seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan ramai lagi para sahabat baginda berkorban demi sahabatnya kerana Allah. Semasa arwah Hasni bercerita, seluruh kelasnya diam dan ada jernih air yang keluar daripada jendela mata kawan-kawannya yang mendengar ceritanya termasuk Muaz. Sungguh hebat cinta dan kasih sayang persahabatan mereka kepada baginda s.a.w. Muaz ingin merasai juga bagaimana para sahabat rasulullah s.a.w saling mencintai antara mereka. Demi cintanya yang tulus kepada Zani, Allah mengilhamkan idea pada Muaz.

“Pak Cik, apa kata saya pergi berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan saya ini boleh atau tidak menderma darah saya kepada anak pak cik. Saya sayang anak pak cik kerana Allah. Allah telah mengambil seorang kawan baik kami, Hasni. Jadi, saya tidak ingin kehilangan kawan baik saya juga iaitu Zani.” Tertunduk kepala Muaz. Ada air yang keluar di matanya.

Pak Cik Zul pergi kearah Muaz. Merendahkan badannya yang sudah berdiri itu. Di ambil kain kecil di dalam sakunya dan terus mengelap air mata yang keluar pada wajah Muaz lalu berkata:

“Muaz, yang pak cik sayangi. InsyaAllah Muaz, pak cik tahu apa perasaan kamu sekarang nak. Pak Cik lagilah. Ingin melihat wajah gembiranya terukir kembali. Seorang ayah, tidak ingin melihat anaknya sedih dan tidak bahagia. Kita tahu, kebahagian itu datang daripada Allah. Kan Rasulullah pernah pesan pada kita, jangan kita sedih, jangan kita kecewa. Pasti ada penyelesaiannya pada setiap masalah yang Allah timpa pada kita.” Nasihat Pak Cik Zul itu kepada Muaz.

Tiba-tiba air mata Pak Cik Zul menitis. Ada linangan pada matanya. Apa tidaknya, saat yang cukup getir yang di hadapi olehnya. Anaknya Zani, masih koma. Tidak ramai ayah yang dapat menerima hakikat sesuatu ujian. Tetapi, sebagai seorang imam masjid, dia tahu Allah sedang menguji dirinya.

Pak Cik Zul dan Muaz berpelukan. Kata-kata semangat terus didendang keluar.

“Sabar Muaz, Allah sedang meningkatkan tahap keimanan kita. Tatkala kita menerima musibah, kita perlu sabar dan redha akan kehendakNya. Saat itu Allah anugerah pelbagai hikmah yang tidak semua orang akan menerimanya. Hikmah itu bukan hanya dipelajari di bilik kuliah sahaja. Tetapi melalui pengalaman hidup yang Allah tentukan untuk hidup kita itu pun adalah hikmah yang perlu kita ambil pengajarannya.” Pak Cik Zul menggosok belakang Muaz. Meredakan kesedihan yang dialami oleh Muaz.

Selepas beberapa ketika, Muaz meminta izin ayah Zani iaitu Pak Cik Zul untuk masuk melihat keadaan kawannya itu.

“Wahai kawanku yang ku cintai kerana Allah, pernah suatu hari kita bertiga bertanya tentang makna ukhwah. Ku teringat akan kata-kata arwah Hasni kepadaku. Wahai kawan, kamu tahu tak kenapa para sahabat yang diasuh oleh baginda nabi Muhammad s.a.w cukup sayang dan cinta antara satu sama lain? Aku dan kamu jawab tidak tahu. Hasni pun berkongsi ilmu iaitu katanya, para sahabat baginda s.a.w sangat sayang dan cinta kepada kawan-kawannya yang lain tidak lain dan tidak bukan adalah mereka mengenal Allah. Mereka ingin dapat makna keredhaan Allah. Apabila Allah redha antara mereka, syurgalah tempatnya. Tempat yang paling agung yang dijanjikan olehNya kepada manusia yang mencari keredhaanNya. Dan aku yakin, Allah berikan syurga kepada arwah kawan kita iaitu Hasni kerana dia sangat memahami erti ukhwah kerana Allah.” Kata Muaz Kepada Zani sambil memengang tangan kawannya yang lemah longlai itu.

Hati Muaz cukup lembut. Air matanya keluar lagi. Entah yang keberapa kali. Itulah bukti kecintaan kepada kawannya itu. Melihat iris wajah Zani yang berbalut kain putih di kepala, mengingatkan kisah mereka di pusat pengajian. Waktu suka dan duka. Waktu makan bersama. Waktu tidur bersama. Waktu itu pasti mengamit kenangan yang abadi dalam coretan hidup mereka. Persaudaraan mereka tidak dapat dipisahkan. Pertalian mereka ibarat cubit paha kanan, peha kiri juga terasa sakit. Itulah gambaran kisah hidup mereka bertiga.

“InsyaAllah, wahai sahabatku yang ku cintai keranaNYA aku sanggup korbankan apa sahaja untukmu. Kerana ku tahu, terbinanya tali persahabatan kita ini adalah kerana Allah.” Hati Muaz berbisik. Memasak niat dalam hati murninya. Bagi menolong kawannya itu.

Keesokan harinya, Muaz berjumpa dengan doktor Hadi memberitahu akan keinginannya untuk menderma darah kepada Zani. Selepas berlakunya sesi perbincangan dengan doktor. Alangkah gembiranya Zani kerana harapannya untuk mendema darahnya tercapai.

“Setelah apa yang kamu cerita kepada saya. Di samping saya telah memeriksa keadaan kamu dan keadaan darah kamu dengan kawan kamu Zani itu, saya bersetuju dengan permohonan kamu untuk menderma darah kepada Zani.” Setuju doktor Hadi dengan permintaan Muaz itu.

Muaz merasakan sungguh seronok dan teruja. Bagaikan kegembiraan menyelimuti seluruh perasaannya.

“Alhamdulillah, syukur padamu Ya Allah. Terima kasih doktor.” Ucapnya dengan gembira sekali.

Diberitakan, dua hari lagi. Hari yang cukup getir pada keluarga Pak Cik Zul. Pada kawan yang bernama Muaz. Pada hari itu, hari pembedahan otak Zani bagi membuang darah beku. Saat dimana, pengharapan kepada Allah cukup tinggi supaya Zani itu dapat hidup seperti sedia kala.

Masuklah muaz ke suatu bilik. Bilik yang mana Muaz akan menderma darah kepada kawannya. Ada seorang jururawat perempuan, namanya Cik Muna sedang duduk memeriksa barangan untuk menderma darah.

“Adik, akak kagum dengan kamu. Walaupun kamu dalam keadaan yang sakit, kamu sanggup bekorban untuk kawan kamu sendiri.” Kata Cik Muna selepas mengambil jarum darah untuk dicucuk sedut ke dalam beg plastik simpanan darah.

“Kehendak Allah semua kak. Allah yang gerakan hati saya untuk berbuat baik pada kawan saya.” Ujur Muaz sambil tersenyum.

Darahnya begitu cepat memasuki plastik simpanan. Darahnya bagaikan mengerti, ada orang yang memerlukan bantuan. Dalam dua beg plastik Muaz mendermakan darahnya untuk kawannya tercinta iaitu Zani.

Sebelum tibanya hari yang di tunggu-tunggu,keluarga Zani, Muaz, kawan-kawannya dan seluruh orang ramai mendoakan akan kejayaan pembedahan itu dan dapat mengembalikan kehidupan yang baik kepada Zani. Semua terus berdoa, bertahmid, bersujud dan membaca al-Quran untuk memohon keselamatan kepada pembedahan otak Zani nanti.

Orang yang paling risau adalah ibu dan bapa Zani. Sentiasa tidak lekang bibirnya berdoa kepada Allah. Muaz pun juga begitu. Setiap solat waktunya, mereka menadah tangan kepada Allah supaya Allah menyembuhkan Zani.

Hari yang dinanti telah pun tiba. Mungkin pada hari ini Muaz akan kehilangan seorang kawan baiknya atau sebaliknya. Semuanya tertulis dalam ilmu Allah. Jam besar dinding menunjukan pukul 8.00 pagi. Ada beberapa doktor pakar masuk ke bilik pembedahan. Hari yang mana pembedahan akan dilakukan kepada Zani. Seluruh manusia berkumpul di bilik pembedahan.

Muaz di bilik sakitnya bersendirian. Bukan dia tidak ingin berkumpul di luar bilik pembedahan Zani, tetapi dia ingin bermunajat memohon kepada Allah supaya Allah mudahkan segala urusan kawannya Zani. Solat hajat dibuatnya. Mulutnya terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Membaca surah Yassin, supaya barakah itu hadir dariNya bagi memudahkan segala urusan Zani. Saat dia membaca Yassin, air matanya mengalir. Mengalir dengan penuh pengharapan dan kebergantungan kepada Allah supaya Allah selamatkan kawannya Zani. Berulang kali Muaz membaca surah Yassin. Pada kali yang ke-5 kali, dibacanya ayat terakhir itu.

“…..kun fayakun, fasubhana ladzi biyadihi malakutu kulli sai’in wailaihi turja’un.” Dibaca Muaz dengan suara yang merdu.

Tiba-tiba, ada suara yang memangil namanya daripada luar. Terus Muaz menghabiskan bacaan surah Yassin dan menyimpan qurannya. Hampir 4 jam Muaz bermunajat kepada Allah.

“Muaz, Zani….” Suara kuat memanggil namanya dan Zani.

“Ustazah Siti Aisyah, kenapa dengan Zani? Bagaiman pembedahannya?’ hati Muaz gementar menanyakan ustazah.

“Ya Muaz, Alhamdulillah Zani dah sedar.” Terang ustazah Siti Aisyah menyampaikan khabar gembira kepada Muaz.

Raut wajah Muaz sangat gembira. Terus menjemput emaknya supaya menolak kerusi rodanya ke bilik pembedahan Zani. Setibanya di luar bilik pembedahan Zani, suasana yang muram tadi bertukar riang. Suasana yang sedih tadi bertukar gembira. Di sekeliling menangis kegembiraan. Semua orang berwajah tenang. Mendapat berita Zani sudah sedarkan diri.

Muaz terus masuk ke bilik pembedahan. Melihat alis mata Zani dibuka, air mata Muaz berderai. Senyuman terukir dibibir mereka. mereka berpelukan. Hangat pelukan itu dipengang erat. Tanda kasih persahabatan mereka.

“Alhamdulillah, sahabat yang ku cintai kerana Allah sudah sembuh. Syukur kepadaMu Ya Allah.” Ucap Muaz dengan tangisan kegembiraan.

“Alhamdulillah, terima kasih juga buatmu sahabat. Semoga Allah membalas jasa dan budimu sepertimana kamu mengorbankan darahmu untukku sahabat.” Balas Zani.

Terus air matanya mengalir. Kenangan bersama terus dalam ingatan mereka. selepas beberapa hari berehat di hospital, mereka semua dibenarkan pulang. Pulang dengan rasa indah dan bahagia. Walaupun, seorang kawannya iaitu Hasni sudah pergi menemui penciptaNya. Tetapi, mereka redha dan bersyukur dengan apa yang dialami oleh mereka. Zani dan Muaz hidup seperti biasa. Tinggallah mereka berdua menghabiskan sisa-sisa waktu akhir di kolej perguruan. Kisah mereka terus terpahat indah dengan kebaikan. Mereka kenal erti kehidupan melalui ujian, keikhlasan dan ukhwah sesama mereka. Setiap apa yang ada di dalam hidup ini. Ujian Allah akan sentiasa ada. Ujian itu bukti cintanya Allah kepada hambaNya. Jadilah mereka iaitu Zani, Hasni dan Muaz kawan bukan sekadar di dunia. Tetapi, mereka juga berharap dapat menjadi kawan di akhirat kelak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.