Home Cerpen Islamik Pasir Berdarah - Give us Peace
Pasir Berdarah - Give us Peace
ballerina
25/2/2017 21:50:19
1,809
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Langkahnya yang tadi laju sudah semakin perlahan, di perhatikan sekelilingnya, apa yang dilihat hanyalah pohon dan padang yang bukan hanya kontang malah seolah-olah tiada penghujung. 

Bayu sejuk sekali sekala menyapa pipinya membawa sekali butir-butir pasir halus berterbangan. Udara sejuk menyelinap terus ke sum sum tulangnya. Tubuh kecil itu mengigil. Bibirnya yang kering dan bekerak itu diketap-ketap menahan sejuk.

Tiba-tiba dari kejauhan matanya memandang satu susuk tubuh kecil sedang terbaring layu tidak begerak. Segera dia berlari ke arah tubuh itu. 

Tetapi kakinya yang lemah itu sepertinya enggan berkerjasama apabila dia tersandung batu lalu jatuh diatas pasir, sedaya upaya dia cuba untuk bangkit dan berdiri semula agar dia bisa segera sampai ke tubuh itu.

Diperhatikan susuk tubuh dihadapannya. Budak perempuan itu diangarkan berusia dalam lingkungan 12 tahun iaitu lebih kurang umurnya sendiri.

Segera dia melutut, jarinya terketar-ketar diletakkan dibawah hidung budak perempuan itu bagi memastikan dia masih bernyawa. Dapat dirasakan hembusan nafas yang perlahan dan lemah.

‘Masih hidup’ bisik hati kecilnya.

“Hei..hei bangun” Dia cuba mengerak-gerakkan tubuh budak itu.

“Hei bangunlah, kenapa kau baring disini, bahaya!!” tambah Mohammed lagi.

Perlahan budak perempuan itu membuka matanya, lalu memandang ke arah Mohammed. Di perhatikan keadaan sekelilingnya. 

Mohammed cuba untuk membantunya bangun, namun tangan Mohammed ditepis kuat. Sejurus itu, budak itu terus menangis teresak-esak.

“Janganlah menangis, aku bukan orang jahat” pujuk Mohammed panik, dia cuba mengambil sesuatu daripada beg galas yang dibawanya. Sebotol air, yang isinya hanya tingal satu per empat bahagian dari botol itu diserahkan kepada budak perempuan itu.

Budak itu hanya merenung botol air ditangan Mohammed sambil dahinya berkerut-kerut.

“Minumlah, kau mesti haus walaupun dalam cuaca sejuk begini. Jangan risau tiada racun, tapi tinggalkan aku sedikit sahaja” terang Mohammed lagi seolah-olah memahami keraguan yang timbul diminda budak itu.

“Kenapa kau ada ditengah padang yang kontang ini? Kau sesat?” botol air tadi sudah bertukar tangan. Mohammed hanya memerhatikan sahaja susuk tubuh dihadapannya itu meneguk air yang tidak seberapa dengan rakus sehingga dia tersedak-sedak.

Budak itu masih membisu.

“Kenapa kau diam?, kalau kau diam macam mana aku hendak tolong kau”

Suasana masih sepi.

“Jadi kau tak boleh cakap?” soal Mohammed lagi sambil mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia menghelakan nafasnya kerana tiada jawapannya diterima.

“Baiklah aku anggap kau tak boleh cakap, dan untuk mudahkan aku panggil kau mulai dari saat ini nama kau Mariam. Itu nama ibuku….” Suara Mohammed terhenti seketika, berat untuk dia teruskan kata-katanya.

“Ibuku….dia..dia baru dibunuh pagi tadi” sedaya upaya dia menahan rasa. Budak perempuan tu kelihatan tekejut dengan kata-kata Mohammed.

“Jadi kau faham apa yang aku cakap?” soal Mohammed apabila melihat perubahan riak wajah Mariam . Dia masih diam membeku.

“Tak apalah, jadi sekarang ni aku rasa kau mesti dah sesatkan?Tak mungkin kau ditinggalkan ditengah padang luas ini begitu saja” Tebak Mohammed lagi. Mariam hanya tunduk memandang tanah berpasir itu.

“Cuba kau tunjuk pada aku dari mana asal kau, atau ke arah mana kau hendak pergi ” soal Mohammed lagi, cuba mencari jalan bagaimana untuk membantu Mariam. Perlahan Mariam mengangkat tangan kanannya lalu menunjuk ke arah utara dari tempat mereka berdiri. Kali ini Mohammed pula yang teperanjat. Tidak disangka Mariam menunjuk ke arah sana.

‘Owh jadi kau dari sana’ bisik hati kecilnya.

“Baiklah kalau begitu, biar aku hantar kau dahulu baru aku teruskan perjalanan aku” terang Mohammed lalu berjalan kea rah yang ditunjuk Mariam, Mariam dengan perlahan mengikuti langkah Mohammed.

Dilihat Mariam yang lemah bergerak perlahan-lahan mengekori dia, sekali sekala tubuh Mariam mengigil-gigil menahan cuaca. Melihat keadaan itu segera ditarik muffler dilehernya lalu diserahkan kepada Mariam.

“Pakailah, kau sejuk tu” Mariam hanya terkebil-kebil memandang Mohammed. Padangan yang dilemparkan pada Mohammed aneh sekali. Tetapi dengan pantas tangannya mencapai muffler itu dan dililit disekeliling lehernya.

Mereka terus berjalan ditengah padang kontang yang luas itu.

Sejam kemudian…

“Macam mana kau boleh sesat sampai sana, aku masih tak faham?” soal Mohammed memecah kesunyian. Bibirnya hampir sahaja membiru menahan kesejukan. Kedua-dua tangannya digosok-gosok agar dia boleh kekal hangat. Senyap.

‘Ah…aku lupa dia tak boleh bercakap’ bisik Mohammed lagi lalu dia menoleh ke belakang , namun jantungnya bagi ingin gugur apabila Mariam tidak ada dibelakangnya.

Matanya melilau mencari susuk tubuh Mariam. Dia seperti ibu kucing hilang anak.

“Mariam….Mariam…” teriak Mohammed kuat. Mohammed berlari-lari tidak tentu arah mencari susuk Mariam.

Seketika kemudia dari kejauhan dia melihat Mariam sedang duduk jauh dari tempat dia berhenti tadi. Segera dia berlari ke arah Mariam.

“Kenapa kau tak bagi tahu aku, kau nak berhenti…atau nak berehat. Bahaya kalau kau sorang-sorang macam ni” bebel Mohammed lalu duduk disebelah Mariam.

Mariam hanya memandang Mohammed dengan pandangan yang jelek. 

Mohammed cuba mentaksir pandangan itu. Namun dia gagal memahami makna disebaliknya.

“Jangan risau sikit lagi kau sampailah. Oh ya lupa aku nak kenalkan diri aku kan. Nama aku Mohammed. Kau tahu tak?, aku sedang mencari ayahku. Ibu kata ayah ada disekitar sini dan dia seorang pejuang. Ibuku….dia mahu aku mencari ayahku. Ibu…ibuku dia ditembak disini” terang Mohammed sambil menunjukkan dahinya. Jarinya mengigil menahan amarah. Kelihatan air matanya jatuh dipipi.

“Kau tahu, aku sudah tiada siapa-siapa. Aku tidak pasti kalau ayahku masih hidup atau tidak. Aku juga tidak faham kenapa mereka membun….bunuh seluruh ahli keluargaku.” Kali ini Mohammed megelap air matanya yang tidak dapat ditahan.

“Maafkan aku menangis dihadapan kau, aku hanya mahu mengeluarkan apa yang terpendam didalam hatiku” Mariam hanya memandangnya kosong sambil menghelakan nafas berat.

“Marilah kita bergerak sekarang, sebelum hari gelap” Mohammed segera bangun, dia kemudian menanti Mariam untuk bangun. 

Kedua-duanya melangkah perlahan mengharung padang kontang itu. Cuaca yang sejuk menyukarkan perjalanan mereka. Tubuh kecil mereka mengigil-gigil menahan bayu sejuk. Jauh mereka berjalan. Mohammed sangat ingat jalan di sekitar kawasan ini. Beberapa kali dia dan ibunya secara senyap-senyap beligar-ligar dikawasan itu mencari ayah. 

Jauh mereka melangkah tidak lama kemudian dari kejauhan Mohammed melihat sebuah pondok pos kawalan sempadan. Kelihatan beberapa orang lelaki lengkap berpakaian tentera sedang berkawal. Pos kawalan itu sangat digeruni orang dewasa apatah lagi bagi kanak-kanak seusianya. Namun Mohammed mengumpul segala semangat yang ada untuk terus melangkah.

Dia memandang Mariam, ditariknya baju Mariam agar Mariam mengikuti langkahnya. Pegawai-pegawai tentera itu menyedari kehadiran mereka.

Hanya beberapa meter sahaja jarak antara Mohammed dan Mariam dengan pegawai-pegawai tentera itu.

“Apa yang kau mahu budak kecik!!!”jerkah tentera itu sambil tangannya memegang senapang panjang yang dia sendiri tidak tahu namanya.

“Aku hanya mahu memulangkan dia!!” teriak Mohammed ke arah tentera itu sambil menolak Mariam kehadapan.

“Pergilah, kembali ke tanah kau, aku sudah tahu kau siapa sejak awal lagi, pergi!!, sebelum mereka tembak kita” bisik Mohammed kepada Mariam. Mariam hanya memandang wajah Mohammed. Dia teragak-agak untuk bergerak ke arah Pos Kawalan itu.

“Pergi!!!” bisik Mohammed lagi. Segera Mariam melangkah ke arah sekumpulan tentera yang sedang memandang ke arah mereka berdua.

“Bukankah itu budak yang dilaporkan hilang semalam?” soal seorang dari tentera itu ke arah rakannya.

“Ya betullah budak tu orang kita” nyata tentera itu sambil dia mengamati wajah budak perempuan yang sedang menuju ke arah mereka.

Mohammed menarik nafas lega apabila Mariam sudah berada di tempat yang sepatunya, dengan segera dia melangkah untuk kembali ke tujuan utamanya tadi, iaitu mencari ayahnya.

“Tunggu…!!!” jerit seseorang dengan kuatnya, menyebabkan Mohammed terpaksa menoleh ke belakang semula. Alangkah teperanjatnya Mohammed apabila beberapa senapang dihalakan ke arahnya.

“Aku sudah membantu bangsamu dan aku berada di atas tanah aku, kenapa kau acukan senapang pada aku?” Soal Mohammed dengan lantang. Terasa amarah menguasai dirinya apabila diperlakukan begitu, sedangkan dia sudah membantu Mariam.

“Hei budak perempuan betulkah budak lelaki itu menculikmu?” soal tentera itu. Mohammed tekejut dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya, seorang budak yang hanya berusia 12 tahun ini.

“Kenapa kau tanya dia soalan begitu?. Dia tak boleh berca…”

“Ya…dia menculik aku!” kata-kata yang keluar dari mulut Mariam bagaikan racun yang menyelinap masuk kedalam setiap sendinya. Ternyata Mariam boleh berkata-kata. Dengan lancar sekali. Malah mampu melemparkan fitnah kepadanya. Mohammed hanya mampu tertawa mendengar kata-kata Mariam.

“Rupanya aku hanya ditipu oleh kau Mariam!!!. Tidak..tidak kau tidak layak dengan nama sesuci itu!!"

"Ingat satu perkara, aku tidak pernah menyesal bantu kau, kerana kau sebagai manusia juga ada hak untuk hidup daripada mati membeku disitu!!!, tetapi aku menyesal kerana tidak sedar ternyata kau dan bangsa kau sama, tiada bezanya. Sama!!” bentak Mohammed kuat sekuatnya. Matanya yang dari tadi memandang batu dihadapanya itu dengan segera mengutip batu itu untuk dijadikan sebagai senjatanya.

“Jangan begerak budak!!” jerit salah seorang tentera itu, sambil mengacukan senapangnya. Mohammed bersedia untuk membaling batu itu ke arah mereka. Dia tidak gentar, kerana dia di tanahnya yang berdaulat.

“Aku tidak bersalah, aku sudah menghantar dia, jadi biar aku pulang ke tempat asalku”bentak Mohammed lagi.

“Aku kata jangan bergerak!!! Jangan sampai aku tembak kau budak!!! Kau jangan ingat aku main-main” gertak tentera itu lagi sejurus Mohammed hendak membaling batu kearah mereka, tanpa sebarang amaran lagi beberapa das tembakan dilepaskan tepat mengenai dada Mohammed.

“ALLAHUAKHBAR !!!” jerit Mohammed, tubuhnya yang kecil itu jatuh menyembah bumi, darah membuak-buak keluar membasahi pasir tanah bangsanya. Kepalanya perlahan-lahan diangkat agar dia bisa memandang ke arah manusia yang tidak berhati. Mariam sudah meraung melihat Mohammed begitu. Mariam menyesal dengan kata-katanya. Bukan ini yang dia mahu. Dia ingin segera pergi ke arah Mohammed tetapi tubuhnya ditahan tentera-tentera itu.

Dari kejauhan Mohammed melihat dua susuk tubuh sedang menuju kearahnya.

“I…i...ibu…Ayah….”panggil Mohammed tersekat-sekat menahan rasa. Tangannya digapai-gapai agar dia dapat menyentuh kedua-dua susuk tubuh yang kini sedang berlari ke arahnya sambil tersenyum.

“Mohammed!! Mohammed anak ibu, mari kita pulang. Ibu dah jumpa ayah” Panggil ibunya yang sedang mengenggam tangan ayah yang juga sedang tersenyum ke arahnya. Mohammed hanya mampu tersenyum bahagia kerana akhirnya cita-citanya untuk bersatu bersama insan-insan kesayangnya tercapai. Segala kesakitan yang menyelinap keseluruh tubuhnya tadi seolah-olah sudah hilang.

“Allah…” 

Perlahan Mohammed menutup matanya .Tenang.Pergi.

Pasir itu sudah dipenuhi darah yang harum baunya. Pasir berdarah.



~Al-Fatiha untuk permata-permata kecil yang telah gugur~


(Free Palestine & Syria)

Give Us Our Childhood, Give Us Peace

We’ve came to wish you happy holidays … and during the holidays we ask you

Why is that we do not have any holidays or decorations

Ye , World

My land is burned down

My land is stolen freedom

Our sky is dreaming , asking the days

where is the beautiful sun … and where is the fluttering of the doves ?

Ye , World

My land is burned down

My land is stolen freedom

My land is small … like me , it is small

Give the peace back to it , give us childhood

Give us the childhood

Give us the childhood

Give us the childhood

Give us … give us … give us peace

A’touna Et-Tufoole by Remi Bandali

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.