Home Cerpen Fantasi Mierda
Mierda
Abu Hurairah
16/1/2017 10:39:57
1,621
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Mierda tersedar dari lamunan tidur yang panjang. Tidak beberapa pasti, adakah ianya tidur ataupun kelahiran semula ataupun hanyalah sebuah nukilan mainan perasaan? Tetapi Mierda tahu, terdapat beberapa kepingan memori yang berlegar-legar di fikirannya. Memori yang pudar tanpa sebarang imej dan resolusi grafik yang jelas. Beberapa petikan memori yang kurang jelas mengenai asal usul Mierda. Mierda lantas menidakkan kesemua fikiran yang mencelarukan deria rangsangannya dan cuba kembali berpijak di dunia yang nyata.


Matanya dirasakan amat berat, seakan-akan dihempap timbunan folio teori kemusykilan. Amat sukar untuk dibuka. Mierda cuba menghela nafas, tetapi cubaannya gagal! Deria hidu nya mungkin masih belum diaktifkan. Ataupun ianya dalam tempoh pemulihan barangkali. Mierda berehat sebentar dari melakukan apa-apa, badannya masih terasa lemah. Istirehat diperlukan.


**************************************************


Tiba-tiba Mierda disedarkan oleh satu rangsangan kesakitan yang amat sangat! Seluruh badannya terasa sangat keras dan azab kesakitan yang amat sangat seperti digenggam oleh gergasi danawa yang kejam! Seperti digenggam seerat-eratnya. Mierda dapat mendengar beberapa bunyi anggota badannya yang patah. Satu demi satu bunyi tersebut semakin jelas. Sakit sangat! Mierda terus tidak sedarkan diri tak tertahan dengan kesakitan duniawi yang ditempuhinya. Benarkah duniawi?


**************************************************


Mierda tersedar kerana terasa dirinya dicurahkan dengan air suam. Ataupun dia dicelup ke dalam cecair tersebut? Mierda tidak pasti. Mierda cuba mengumpulkan segala kudrat yang dimilikinya dan menyerondong ke permukaan khuatir kelemasan. Mierda mencuba sedaya upaya untuk bernafas. Dia kemudiannya cuba menggerakkan tangannya dan menendang permukaan air bagi mewujudkan deria apungan. Percubaannya untuk berenang gagal. Kemudia Mierda sedar, dia langsung tidak dapat merasakan refleks tulang empat keratnya. Dia cuba menggerakkan tangan dan kakinya. Tetapi mana tangannya? Mana kakiknya? Perasaan risau semakin menyelubungi segenap fikiran Mierda. Adakah anggota badannya dipotong? Derianya masih lemah, penglihatannya masih kabur, mungkin masih buta. Mierda mula berfikir dan mengenangkan segala dosa yang pernah dilakukannya. Mungkin ini adalah balasan untuk dirinya di atas segala kezaliman yang dilakukan, ataupun mungkin ini adalah kesan halusinasi pengambilan benda haram, ataupun mungkin Mierda terlibat dalam satu kemalangan yang sangat dasyat sehingga menyebabkan benda nyata menjadi sebuah ilusi ini? Akan tetapi, sekali lagi Mierda gagal menggamit memori silamnya. Mierda buntu.


**************************************************


Grooommmmmm!!!!


Mierda dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat kuat. Punca bunyi tersebut amat hampir dengannya. Bunyi seakan-akan dentuman guruh berserta tiupan taufan yang menghentam betul-betul di sebelah jasadnya.


Grokkkkkkkkkkk!!! Tingg!! Tingg!!


Sekali lagi Mierda terkejut. Kali ini butiran intonasinya lain, seakan-akan bunyi geseran batuan yang amat besar diselangi dengan bunyi lengking, yakni bunyi seperti besi yang dipukul.


Bunyi-bunyi tersebut masih berterusan tanpa henti. Sangat bising! Mierda mengandaikan gegendang telinganya mungkin akan rosak tidak lama lagi dek bunyi-bunyi yang bingit itu. Kadang-kadang, bunyi tersebut mewujudkan satu situasi seram kepadanya kerana seakan-akan mimik sejenis raksasa penghukum yang sedang bersiap sedia. Raksasa yang sedang bersedia menerima arahan dari tuannya untuk mendera dan menyeksa Mierda. Mierda menguatkan semangatnya dan cuba mengambil inspirasi daripada kejayaannya yang masih dapat bertahan dari segala ujian yang ditempuhinya sepanjang berada di ruangan misteri ini.


**************************************************


Kali ini deria bau Mierda menangkap satu bauan yang kurang menyenangkan. Semakin lama, bauan tersebut semakin kuat. Bau tersebut amat busuk! Sebusuk mayat reput yang telah dibiarkan selama beberapa minggu. Mungkin lebih busuk dari itu! Mierda tidak tahan. Bau tersebut terus berterusan tanpa henti menyerang rongga hidungnya dan menjajah setiap pelusuk tubuhnya. Mierda kehairan kerana dia masih belum dapat merasakan hidungnya, masih belum dapat menggerakkan hidungnya, tetapi bau busuk ini tersebut terus menembusi logik akal tanpa belas budi kasihan.


Acap kali Mierda merasakan kepalanya pening dan ingin pitam. Mungkin Mierda telahpun pitam beberapa kali tanpa menyedari keadaan yang berlaku. Mierda buntu dan hanya pasrah dengan nasib malang yang menimpa dirinya. Apa lagi yang mampu dilakukannya melainkan hanya berserah kepada takdir. Di ketika itu, Mierda hanya berdoa agar segala penderitaannya ditamatkan, agar terus dimatikan! Dirinya sudah tidak terdaya dengan satu persatu ujian yang ditempuhinya. Mierda terus berdoa dan berdoa. Tetapi tiba-tiba Mierda tersedar! Kepada siapa dia ingin berdoa? Mierda cuba mengorek lagi dalam memorinya. Apa agamanya? Siapa yang patut dia berdoa? Apa itu doa???


**************************************************


Badan Mierda mula rasa stabil tanpa sebarang perubahan. Mierda dapat merasakan setiap aggotanya telah kukuh. Mungkin semakin beransur pulih. Suasana turut sunyi sepi seketika. Mierda bersyukur! Adakah doanya diterima? Itu semua tidak penting bagi pendapat Mierda, yang penting kesakitannya dapat dikurangkan. Akan tetapi, bau busuk itu masih terus menyengat hidungnya. Cuma tidaklah sebusuk sebentar tadi. Sebentar tadi? Mungkin semalam? Mungkin 2 hari lepas? Mungking seminggu yang lepas? Mierda tidak pasti. Ataupun, mungkin juga Mierda sudah biasa dengan bau busuk tersebut.


Mierda kembali memfokuskan deria rangsangannya. Mierda dapat merasakan seperti ada sesuatu unsur yang menyokong berat badannya. Oh! Cecair yang hampir melemaskannya sebelum ini rupanya. Selang beberapa ketika, Mierda menyedari yang dia sudah pun terapung! Tanpa sebarang susah payah. Tanpa perlu Mierda berenang apungan mahupun bergerak walaupun sedikit. Mierda terfikir indahnya sains itu dapat mengapungkan dirinya hasil daripada perubahan ketumpatan jisim. Itu adalah pertolongan yang diterimanya! Tidak sia-sia Mierda berdoa. Tetapi sekali lagi persoalan tersebut bermain di fikirannya. Kepada siapa dia patut berdoa? Adakah dia masih diizinkan untuk berdoa pada saat dan ketika ini?


Mierda kembali ke landasan awal niatnya. Setiap saraf rangsangannya cuba diamplifikasikan. Fungsinya cuba difokuskan, digandakan. Ketika itu Mierda dapat merasakan dan menggambarkan keadaan sekujur tubuhnya. Seluruh tubuhnya seakan-akan dibalut sesuatu. Sesuatu yang keras dan melekit. Kejap sekali balutan tersebut hinggakan sebarang pergerakan pun tidak dapat dilakukan oleh Mierda. Mierda cuba membuka matanya sekali lagi. Tetapi tidak boleh. Sangat sukar dan berat. Mierda dapat merasakan seperti kelopak matanya telah dijahit dengan kemas sekali!


**************************************************


Tiba-tiba Mierda dikejutkan dengan hempasan ombak tsunami disertai dengan taufan yang kuat! Bunyi dentuman yang mengerikan itu muncul semula. Mierda dapat merasakan dinding ruang misteri itu bergerak secara rawak dengan frekuensi yang sangat laju! Mengecut dan mengempis hinggakan menekan tubuh badan Mierda dengan kuat. Sakit ya amat! Mierda dapat merasakan ombak-ombak meninggi dan menghemas sekujur tubuh Mierda. Hairan! Mierda langsung tidak dapat merasakan sebarang pergerakan udara hatta angin yang kuat. Akan tetapi, bagaimana terhasilnya ombak-ombak yang menggila ini?


Dinding ruang misteri itu terus memukul-mukul Mierda. Menekan-nekan dan kadang-kadang memulas dan memutarkan badan Mierda. Badan Mierda diperlakukan seakan-akan bola ragbi. Dibawa, digengggam, dilanggar, ditindih, dihentam, ditendang, dipijak dan sebagainya! Mierda langsung tiada masa untuk berharap, berdoa dan menganalisis apa yang sedang berlaku. Kesemuanya berlaku sangat pantas dan menyakitkan! Terlalu menyakitkan Mierda! Fenomena celaka itu berterusan tanpa henti beberapa minit.


Hinggalah Mierda dapat merasakan dia ditolak keluar secara paksaan melaui satu laluan yang dirasakannya sangat sempit. Laluan itu dirasakan memegang seluruh tubuhnya. Seakan-akan tidak membenarkan dia keluar. Akan tetapi! Dinding ruang misteri itu terus memukul Mierda tanpa henti. Menolak dan menghalau keluar Mierda melalui laluan sempit itu. Mierda sudah tidak tahan diperlakukan begitu. Mengapa dia dihalau? Mengapa dia dipukul? Tetapi, mengapa laluan tersebut tidak membenarkannya pergi? Mierda hanya pasrah, menahan sakit yang ditanggung dan menanti apakah kesudahan penderaan yang dialaminya.


Beberapa minit kemudian, Mierda dapat merasakan kepalanya melepasi laluan tersebut. Sedikit demi sedikit, badannya mula melepasi laluan durja tersebut. Mierda tergamam dan sedikit kegirangan terasa menyelubungi perasaannya. Ruangan misteri yang baru dimasukinya agak selesa. Sedikit cerah dan terang dan mempunyai pengudaraan yang baik jika nak dibandingkan dengan keadaan ruangan misteri sebelumnya. Akhirnya seluruh tubuh badan Mierda berjaya keluar dan memasuki ruangan baru. Terus jatuh bebas tanpa mengetahui hala tuju; Dan selang beberapa detik, ajal Mierda sampai. Mierda menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat mengatakan apa-apa, tanpa sempat mengimbau siapakah dirinya sebelum ini. Tetapi hanya sedetik itu di saat-saat akhir pemergian Mierda, Mierda bersyukur. Doanya didengari, penderitaannya sudah tamat. Terima kasih kepada...tetapi sekali lagi Mierda terfikir, kepada siapa dia patut berterima kasih? Siapa dirinya? Siapa yang perkenankan doanya? Persoalan yang tidak terjawab dan terus menghantui seiring dengan pemergian Mierda.


**************************************************


Flluuuussshhhhhhhh!!


Bunyi air yang memenuhi mangkuk tandas hasil daripada flush tangki jamban. 10 minit Ali bertarung tadi. Hanya segilintir manusia yang faham perasaan sembelit. Ali menghela nafas panjang. Lega rasanya bila dapat membuang dan mengosongkan perut.


“Ahhhh..lega...”

"Membuang air besar adalah salah satu nikmat yang tidak ternilai..fuhhh.."



-TAMAT-


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abu Hurairah