Home Cerpen Fantasi Zaeola & Bunga Pop
Zaeola & Bunga Pop
SRI WAHYUNI
31/7/2016 22:19:24
1,580
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Zaeola & Bunga Pop

Oleh : Sri Wahyuni


Kapten Mimit memandang serpihan batu yang di bawa oleh Gazier. Puas dia memerhati. Keputusan yang diterima dari lab langsung tidak memberikan kesan yang memberangsangkan. Semuanya kosong. Batu yang kehijau-hijauan itu telah ditemui oleh Zaeola dua bulan lepas. Semuanya berpunca dari bunga pop yang ditanamnya. Bunga itu tiba-tiba memancarkan cahaya terang berwarna hijau dan batu itu berada di awang-awangan. Apa yang diberitahu oleh Professor Mac ianya bukanlah batu biasa.

Anehnya, bila batu itu berada pada Zaeola ianya akan memancarkan cahaya kehijau-hijauan. Tetapi bila batu itu tidak di pegang oleh Zaeola ianya hanya seperti batu biasa sahaja.

"Gazier, esok bawa Zaeola jumpa aku." Gazier hanya mengangguk. Bila Kapten Mimit sudah meminta untuk dia membawa Zaeola menemuinya itu bermaksud ada sesuatu yang penting untuk dibincangkan.

"Ingat! Ini rahsia. Minta Zaeola datang seorang diri."

"Baik kapten. Saya akan cuba beritahu Zaeola."

Gazier menarik zip di bahu kiri dan kanannya. Sepasang sayap terus membawanya pergi dari kediaman rahsia Kapten Mimit. Dia perlu melaksanakan arahan Kapten Mimit tanpa gagal.

*****

Izara sedang sibuk dengan masakannya di dapur. Hatinya teringin mahu mencuba resepi baru yang ditunjuk oleh chef Petro semalam. Dengan senang hati dia telah mengeluarkan bahan masakan yang dibelinya pagi tadi.

Ketukan bertalu-talu dari pintu membuatkan tugasnya terhenti.

"Siapa tu?." Sekarang ini dia perlu berhati-hati dengan tetamu yang tidak diundang.

"Gazier makcik. Boleh saya jumpa Zaeola?." Izara menarik nafas lega bila suara Gazier yang kedengaran. Dibukakan pintu untuk Gazier dan anak perempuannya dipanggil.

"Gazier... Lama tak nampak." Zaeola tersenyum senang memandang Gazier. Seingatnya dia hanya bertemu Gazier dua bulan lepas kemudian lelaki tidak muncul lagi.

Hidung Gazier dan Zaeola terhidu sesuatu. Pasti ada yang tidak kena. Izara memandang keduanya.

"Mak... Mak tak padamkan api ke?."

"Alamak!. Mak terlupa." Izara terus meluru ke dapur. Habislah kalau resepi barunya tidak menjadi.

Zaeola geleng kepala. Emaknya kadangkala boleh jadi pelupa.

"Gazier!. Makan kat sini tau. Makcik masak special harini." Sempat lagi Izara menjerit dari ruang dapur. Untunglah Gazier dapat merasa hidangan enak dari Izara.

Zaeola membawa Gazier ke taman mini yang berada di tepi rumah. Nampak cantik dan menarik. Ada tumbuhan baru yang Gazier nampak.

"Cantiknya bunga tu."

"Oh. Itu bunga pop. Orang kata itu bukan sebarangan bunga."

Zaeola tersenyum. Ramai yang memuji bunga yang baru di tanamnya itu. Bunga itu hanya berkembang pada waktu-waktu tertentu sahaja. Bukan sepanjang masa.

"Ada apa datang ni?."

Zaeola yakin, Gazier datang bukan sekadar suka-suka tetapi pasti membawa berita tentang batu itu.

"Kapten Mimit nak jumpa kamu." Separuh berbisik Gazier. Risau kalau-kalau si kembar adik Zaeola ada di situ juga. Dia masak benar dengan perangai si kembar yang suka bermain sorok-sorok. Munculnya tak kira masa.

Zaeola tertawa. Gelihati melihat wajah Gazier.

"Jangan risau... Raz dan Riz tak ada. Mereka berdua keluar ke perpustakaan tadi." Gazier menarik nafas lega.

"Macamana esok? Kapten Mimit nak jumpa."

Zaeola tidak memberikan jawapan. Sebaliknya tangan Gazier ditarik. Dia perlu tunjukkan sesuatu.

Kedengaran suara Izara di luar sedang bertelagah dengan seseorang. Zaeola perlu buat sesuatu pada Gazier untuk menyelamatkan keadaan.

Suara bingit Izara semakin menghampiri taman mini. Kedengaran juga suara garau yang mengganggu. Pintu terkuak. Zaeola sedang duduk di buai sambil membaca buku. Wajah cemas memandang dua orang yang berbadan tegap bersama emaknya.

Izara menghampiri Zaeola. Gazier tidak kelihatan di mana-mana. Kedua orang yang menyerbu masuk tadi memerhati sekeliling. Di tangan mereka lengkap bersenjata.

"Kau buat apa di sini?." Soal lelaki yang bermata sepet.

"Baca buku." Buku perihal tanaman di angkat untuk membuktikan dia sedang membaca.

"Raja Ves sedang mencari kuncu-kuncu Omot. Dia dikatakan selalu berlegar-legar di kawasan berhampiran sini. Mereka semua pengkhianat!. Kalau ada orang asing datang ke sini maklumkan segera," seorang lagi bersuara. Dia menekan satu punat yang ada di tepi bebola mata. Satu alat mengesan benda asing atau terlarang terpasang. Zaeola besarkan biji mata. Dia terkejut.

"Kuncu-kuncu Raja Omot?. Apa mereka boleh buat sedangkan Raja Omot sudah tidak berkuasa?." Izara menyinggul sedikit anaknya. Kalau boleh jangan banyak soal jawab. Orang-orang Raja Ves sangat merbahaya.

"Zaeola. Bukan Raja Omot... Omot sahaja. Kuasa sudah bertukar tangan. Raja Ves dapat tahu masih ada waris Omot yang hidup dan ada pengikut Omot yang mengawal warisnya." Ringkas tapi padat jawapan yang diberikan. Mata mereka meliar ke sana sini.

"Tapi kenapa baru sekarang?. Bukankah ianya sudah hampir sepuluh tahun berlalu?." Zaeola tidak puas lagi mahu tahu.

"Sebab... Raja Ves dapat mengesan ada peninggalan Omot yang telah... ."

Suara riuh rendah si kembar baru pulang terus mematikan perbualan mereka. Dua orang lelaki berbadan tegap itu terus meluru keluar diikuti Izara.

"Itu anak kembar saya." Raz dan Riz meluru memeluk emak mereka. Takut pun ada dengan tetamu yang ada di dalam rumah. Setelah berpuas hati, kedua lelaki itu terus beredar dari situ.

Gazier membuka genggaman tangannya. Kuasa apakah yang telah melindungi dia?. Zaeola yang memberikan serpihan batu yang bersinar pada dia dan serta merta dia tidak kelihatan dari pandangan mata orang lain. Apa yang lebih menakjubkan, alat pengesan juga tidak mampu menemui dia walhal dia ada di situ juga.

"Bukan itu sahaja Gazier. Tengok ni." Zaeola menunjukkan aksinya di hadapan Gazier. Dia menundingkan jari pada setiap bunga-bungaan yang ada. Semuanya kembang mekar. Nampak cantik.

Kemudian dia menghalakan pula jarinya yang runcing pada aliran air yang mengalir di taman mini itu. Air itu terus terhenti alirannya. Berlari Gazier mendapatkan air tersebut. Dicelupnya tangan. Air langsung tidak berkocak. Tangan ditarik keluar. Baru separuh. Pantas Zaeola menghalakan jarinya lagi. Cahaya hijau bersinar. Air membeku keras. Gazier cuba sedaya upaya menarik keluar. Terkekeh-kekeh Zaeola tertawa sebelum dia mengembalikan kepada keadaan sediakala.

*****

Kapten Mimit membelek buku yang tersusun di atas rak. Dia merasakan ada satu persamaan yang terdapat dengan serpihan batu yang dibawa oleh Gazier. Dia yakin dan pasti dia hampir menemui jawapannya.

"Kapten. Esok Zaeola akan datang seorang diri." Gazier muncul di bilik Kapten Mimit. Dia yakin Zaeola akan datang.

"Ada perkembangan dari Zaeola?." Buku yang di tarik keluar di letak atas meja.

Buku yang sama dengan pembacaan Zaeola. Gazier merapati Kapten Mimit. Soalan dibiarkan sepi.

"Mana kapten dapat buku ni?."

"Professor Mac beri pada saya."

Tidak pula Gazier menyangka yang Professor Mac, Kapten Mimit dan Zaeola mempunyai minat yang sama. Sukakan tumbuhan.

"Kapten, orang-orang Raja Ves berada di merata tempat. Sesiapa yang dicurigai akan ditangkap."

Kapten Mimit mendengar dengan penuh minat. Pasti ada sesuatu yang sedang berlaku di luar pengetahuan mereka.

"Orang-orang Raja Ves?"

Gazier angguk. Pada awalnya dia juga berasa hairan.

"Dikhabarkan waris Raja Omot wujud. Bukan dongeng. Ada pengikut Raja Omot yang menyelamatkan mereka."

Ini perkara serius! Jika benar apa yang diberitakan oleh Gazier, dia juga perlu bersiap sedia.

"Apa lagi yang kamu tahu Gazier?."

"Itu sahaja kapten."

Kapten Mimit tidak jadi membaca buku yang di beri oleh Professor Mac sebaliknya dia menyuruh Gazier membacanya. Dia ada tugas baru dengan maklumat yang dibawa oleh Gazier. Professor Mac perlu ditemui segera.

*****

"Hati-hati." Pesan Izara pada Zaeola. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia menyuruh Raz dan Riz menemani kakaknya. Tapi bila teringatkan pesanan Gazier kelmarin, dia terpaksa melepaskan Zaeola sendirian.

Zaeola berjalan sambil menyanyi riang. Sambil berjalan dia menggunakan kuasanya untuk membiarkan bunga di sepanjang perjalanannya mekar cantik. Dia perlu tahu batu apakah yang ditemuinya dua bulan lalu. Tidak sabar rasanya dia mahu bertemu Kapten Mimit. Sesekali dia menoleh kiri dan kanan agar perbuatannya tidak dapat dikesan.

"Hai si cantik manis... Nak ke mana ni?." Perjalanan Zaeola terhenti. Raer menghalang perjalanan Zaeola. Sudah lama dia cuba mendekati Zaeola sebenarnya. Cuma tidak berpeluang.

"Sana." Jari lurus menunding arah hadapan. Sengaja.

Mata Raer melihat arah yang di tunjuk. Tiada arah yang benar. Hanya sebatang jalan biasa yang lurus.

Zasss!!!...

Sepantas kilat Zaeola hilang. Raer mencari kelibat Zaeola.

"Arghhh! Ke mana dia menghilang?." Dada kanan Raer di tekan. Dia menghubungi seseorang. Cuba menyampaikan sesuatu.

"Kapten. Zaeola hilang. Tak dapat di kesan." Kedengaran jawapan untuk dia mencari Zaeola hingga di temui.

Sekejap sahaja sebelum talian terputus. Tidak lama kemudian, Raer sudah terbang ke udara. Hilang dari pandangan.

Perlahan-lahan genggaman tangan di buka. Zaeola sendiri tidak tahu bagaimana ianya boleh terjadi. Dia masih tercegat di situ sebenarnya. Mendengar dan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia rasa risau. Lantas di ambil sekuntum bunga dan disiat kelopaknya. Ditiup setelah dibacakan sesuatu lantas ianya menjadi seperti hamparan permaidani. Zaeola melompat ke atasnya. Terus sahaja dirinya di bawa pergi ke destinasi yang dikehendaki.

*****

Raer kembali ke istana Raja Ves. Dia menyelinap masuk ke bilik Julia. Ada yang perlu dilakukannya di situ. Setelah urusannya selesai dia mendapat isyarat untuk bertemu Raja Ves.

"Sudah dapat siapa sebenarnya waris Raja Omot?. Apa keputusan yang kamu dapat Raer?."

"Tidak pasti tuanku. Tapi sekiranya benar ada waris Omot yang lain, ini bermakna kerajaan tuanku akan hancur."

Wajah Raer dipandang. Satu-satunya orang kepercayaan yang dia ada. Dia tidak pernah terfikir tentang kehadiran waris lain selain Julia.

Raja Ves mengangkat tongkat di tangannya. Dia membawa Raer bersama dengannya ke hadapan tingkap. Mentera di baca dan kelihatan cahaya kekuningan menyinar. Ianya seperti skrin layar besar. Dari situ terlihatlah bunga-bungaan yang indah sedang mekar. Tak ubah seperti musim bunga.

"Kamu lihat ini Raer. Inilah bukti waris Omot memang wujud. Mampu menyuburkan tanaman dan ada beberapa keistimewaan lain lagi yang ada padanya. Jika cahaya kuning aku digabungkan dengan cahaya hijau warisan Raja Omot, ianya akan mengekalkan kuasa luarbiasa yang bisa menakluk kesaktian seluruh alam." Raer mendengar dengan tekun. Dia seolah-olah ada melihat orang melintasi kawasan itu tetapi dia tidak pasti siapa. Raja Ves kesal kerana dia tidak diwariskan dengan batu hijau itu oleh datuk mereka. Omot yang mendapat keistimewaan itu.

Sekarang ini dia tidak ada pilihan lain. Dia nekad mahu mengahwinkan Hadt dengan Julia. Julia juga dikatakan waris Raja Omot. Sejauh mana kebenarannya dia tidak pasti. Sekarang ini yang paling penting dia akan mengumumkan kepada seluruh rakyat Quwanick. Raja Ves sendiri yang menangkap Julia bersama permaisuri Hartini ketika itu. Sekarang ini Hartini dijadikan dayang di istana Raja Ves. Hartini perlu menjaga Julia. Itulah syarat yang telah diletakkan oleh permaisuri itu satu masa dahulu. Dia mengugut untuk tidak menyerahkan batu itu bila Julia sudah cukup usianya 21 tahun jika tidak menurut kemahuannya.

Berita tentang pertunangan antara Hadt bersama Julia tersebar luas. Perkahwinan mereka akan berlangsung pada hari ulangtahun Julia tujuh hari lagi. Tidak siapa menyangka Hadt seorang berdarah diraja akan memilih anak dayang istana. Seluruh media sudah menyebarkan berita tersebut. Raja Ves tersenyum puas hati. Sekarang dia yakin, dia bakal mendapat kuasa yang diidamkannya.

*****

Julia asyik menangis. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi. Patah hatinya mengenangkan apa yang terjadi. Pelbagai persoalan sarat dalam kepala.

"Ibu, kenapa Raja Ves begitu kejam?. Sepatutnya dia perlu berbincang dengan saya." Rasa sudah habis tumpah semua air mata. Tetapi dia tidak mampu mengubah kenyataan.

"Ada rahsia yang perlu kamu tahu Julia. Maafkan ibu selama ini ibu berbohong dengan kamu." Hartini rasa sudah tiba masanya dia menceritakan segalanya pada Julia siapa dirinya yang sebenar.

Sewaktu kekecohan berlaku, Julia sedang bermain di dalam taman bersama beberapa kanak-kanak lain. Ketika itu Permaisuri Hartini meminta Izara membawa Zaeola masuk kerana anak itu tertidur. Ketika itulah mereka saling melarikan diri dan atas dasar rasa tanggungjawab, Permaisuri Hartini bertindak menyelamatkan Julia.

Dia akhirnya di tawan oleh Raja Ves iaitu sepupu kepada Raja Omot. Demi untuk menyelamatkan suami serta anak sendiri, dia mengaku Julia adalah anaknya. Dia juga berharap anaknya selamat bersama Izara.

Tanpa sesiapa sedari, dia telah meletakkan batu itu di dalam bunga pop. Kemudian dia meminta Karr menghantar kepada Izara secara senyap-senyap.

*****

Zaeola sudah mengetahui hal yang sebenar. Dia sepatutnya berterima kasih dengan Julia. Dalam masa yang sama, nyawa emaknya juga dalam bahaya. Dengan bantuan Kapten Mimit dan Gazier, dia akhirnya dapat menembusi pintu istana.

"Raja Ves!." Zaeola sudah berada di dalam bilik Raja Ves tanpa siapapun dapat mengesan. Dia telah tahu apakah fungsi batu yang kehijau-hijauan itu bila dipegangnya. Dia mempunyai kuasa luarbiasa.

"Siapa kau?. Berani masuk ke dalam istana beta."

Tiada seorang pun menyedari hal tersebut kerana semua sedang sibuk dengan majlis perkahwinan Hadt dan Julia di balai istana.

"Aku Zaeola. Aku adalah pewaris tunggal Raja Omot."

Raja Ves berubah wajah. Tak mungkin dia tersilap percaturan. Jika Zaeola adalah waris Raja Omot, siapa pula Julia? Bukankah Hartini mengaku Julia adalah anaknya?.

Kapten Mimit dan Gazier mencari pintu kurungan. Dia perlu mengeluarkan Raja Omot dari situ. Akhirnya mereka menemuinya. Setelah pintu berjaya di buka, Raja Omot yang dalam keadaan lemah di bawa keluar. Gazier telah membawa air penawar yang diberikan oleh Zaeola sebelum mereka berpecah tadi. Sekarang mereka sedang menuju ke balai istana sebagaimana yang dirancangkan.

Keadaan jadi hingar bingar di balai istana. Zaeola berjaya membawa Raja Ves ke situ. Majlis akan bermula bila-bila sahaja lagi.

"Raja Omot!" Kedengaran satu suara bergema. Ketika itu Raja Omot juga di bawa masuk. Izara yang terlihatkan Hartini terus sahaja meluru kepadanya. Masing-masing dengan wajah kegembiraan. Berterima kasih antara satu sama lain.

Hadt membuat satu pengumuman. Dia tidak akan berkahwin dengan Julia tetapi sebaliknya Raer lebih layak. Dia juga meminta maaf bagi pihak Raja Ves kerana dia tahu selama ini Raja Ves telah memerintah dengan penuh kekejaman. Dia juga tahu Raer dan Julia saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

Akhirnya, Zaeola telah mengembalikan semula tahta ayahndanya. Batu yang ditemui oleh Zaeola adalah batu warisan keturunan Raja Omot. Bunga pop yang ditanam oleh Zaeola saling bertindakbalas dengan batu itu menyebabkan ia kembali kepada pemiliknya. Mereka semua kembali hidup dalam aman dan damai serta bahagia.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.