Home Cerpen Fantasi Penamat?
Penamat?
NasTheArtist
3/6/2016 15:22:49
2,631
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Malam yang gelap, diterangi sedikit oleh cahaya lampu suluh di jalanan. Angin mendung bertiupan dengan kerap sambil menyanyi. Hujan renyai turun dan kemudiannya menjadi lebat, namun masih ada hidupan yang berkeliaran di luar sana. Ada yang berjalan kaki, namun ada yang menaiki kenderaan bermotor. Kemunculan sebuah helikopter dapat diketahui melalui bunyi sayapnya yang berputar-putar, namun air hujan yang kerap melimpah ke tanah menenggelamkan bunyi tersebut.

Amir seorang diri di dalam biliknya; di hotel yang bernama Miracle. Okeh kerana cuaca yang tidak bagus, dia terpaksa mengurungkan dirinya. Dari dalam, dia menoleh pandanganya ke arah tingkap lutsinar dan melihat kenderaan meluncur di jalan raya, serta lebuh raya berdekatannya. Kelihatan juga sekumpulan manusia yang memakai pakaian serba hitam, disaluti jaket kulit hitam. Salah seorang daripada mereka mempunyai parut yang mengerikan berhampiran mata kirinya.

Namun, Amir tidak mempedulikan mereka. Sebaliknya, dia hanya menumpukan ke arah tingkap biliknya, tanpa sebarang tujuan yang nyata.

Anak muda kelahiran Ipoh itu kelihatan kaku; tiada ekspresi wajah yang berbeza. Namun, setelah hampir tiga minit berdiri tanpa pergerakan apa-apa, dia duduk di penjuru katil dan merehatkan mukanya pada kedua belah tapak tangannya.

Kemudian, dia menegakkan kepalanya yang sebelum ini tunduk. Tangannya direhatkan di katil, tetapi untuk seketika, dia menggenggam kedua-dua belah.

"Saya akan melarikan diri," katanya. "Saya tidak akan berputus asa."

Tiga orang berjaket hitam menaiki lif ke tingkat tiga hotel. Lif bergerak pantas tanpa sebarang halangan. Mereka kemudian menuju ke arah bilik bernombor 313.

Bilik 313; bilik yang didiami oleh Amir untuk seketika. Pemuda itu boleh mendengar tapak kaki tiga orang itu. Dia pun segera bangun dari katilnya dan bersedia untuk merancang, serta bertindak.

"Cuba ketuk pintu," suara salah seorang didengari.

"Kalau dia tak buka macam mana?" tanya seorang lagi, yang kelihatan kurus berbanding dua lagi sahabatnya.

"Tahulah apa nak buat nanti," jawab yang ketiga, yang bertubuh sasa dan pemilik parut berhampiran matanya.

Lalu lelaki yang kurus mengetuk pintu, dilihat oleh dua orang rakannya.

"Tolong buka pintu," katanya.

Namun, tiada yang menjawab setelah dua kali disuruh.

Dia pun menaikkan suara dan mengetuk dengan lebih kuat. "Buka pintu ni, woi!"

Amir masih di dalam, memalingkan pandangannya bebrapa kali, seakan-akan memikirkan sesuatu tindakan untuk diambil. Dia tidak memiliki masa yang banyak. Sekiranya berfikir terlalu lama, samseng-samseng yang mencarinya pasti akan menangkapnya sebelum dia sempat melepaskan nafas.

Kepalanya berpaling ke arah tingkap di dalam tandas.

Ketiga-tiga samseng berjaket sudah hilang kesabaran. Lelaki yang bertubuh sasa terus menendang pintu lalu memecahkannya.

"Macam ni lagi senang," katanya kepada rakan-rakannya yang hanya boleh mengangguk.

Namun, di dalam bilik, selain mereka bertiga, tiada kelihatan sesiapa pun. Bilik agak bersepah, dengan kain bertaburan di sebalik katil, serta beg yang tidak berzip yang hanya berisikan buku. Tandas pula dikunci; kedengaran bunyi air.

"Ada orang dalam tandas," kata lelaki yang bertubuh montel.

"Nampaknya macam tu," jawab rakannya yang sangat kurus.

Lelaki yang bertubuh gempal tidak memberi jawapan, sebaliknya memecah masuk ke dalam tandas.

"Eh? Tak tahu malu ke?" tanya rakan-rakannya atas perbuatannya yang dilakukan secara tiba-tiba.

Lelaki sasa itu kemudian mengamuk lalu menendang sinki dan tab mandi yang di dalamnya diisi dengan banyak air sehingga melimpah ke lantai bilik air.

"Dia sudah lari," kata lelaki tersebut.

Seterusnya, dia dan rakan-rakannya menoleh ke arah tingkap bilik air yang terbuka luas.

"Alamak!" seru lelaki yang kurus. "Dia terjun!"

Tetapi tidak. Amir tidak terjun, sebaliknya mendekatkan diri ke arah dinding hotel, mencuba sesaya upaya agar tidak terjatuh ke tanah. Sekiranya jatuh, maka tamatlah riwayatnya. Amir pernah terfikir bahawa dia lebih rela mati daripada ditangkap oleh samseng yang sering berkeliaran di kawasan gelap. Akan tetapi, dia tidak ingin hidupnya tamat dengan cara yang memalukan. Membunuh diri itu adalah dosa besar.

Amir beristighfar atas kesilapannya. Setelah itu, dia cuba mengimbangkan dirinya berhampiran tingkap bilik jirannya. Kemudian, dia menajamkan penglihatannya ke arah kiri.

Sebuah atap bangunan kecil, dia berfikir. Harap-harap saya boleh mendarat di sana sekarang.

Tiba-tiba, muncul kepala samseng berparut. Wajahnya yang mengerikan telah disaksi Amir; tidak memberikannya motivasi. Namun, dia tetap ingin melarikan diri.

"Awak tidak boleh lari dari kami," kata samseng itu.

Amir berfikir sejenak, setelah itu mendiamkan diri untuk seketika. Setelah itu, dia menjawab, "Saya pasti cuba."

Amir pun menambahkan kelajuannya meskipun hampir terjatuh dari penjuru yang kecil. Samseng-samseng terkejut dengan tindakannya, namun yang berparut kelihatan marah.

"Kelilingi dia!" jeritnya.

Rakan-rakannya pun mengangguk dengan terkejut dan mula bergerak. Mereka keluar dari bilik Amir dan menuju ke bangunan kecil di mana dia ingin mendarat. Dari jauh, seorang lelaki bertopi keledar meneliti pergerakan mereka dengan mata tajam.

Mereka bergegas turun melalui tangga, menolak ke tepi sesiapa sahaja dalam perjalanan. Perbuatan mereka meyebabkan kemarahan orang ramai, terutamanya anak kepada warga tua yang kedua-duanya ditolak tanpa sebab sehinggakan orang tua itu hampir terjatuh dari tangga. Mujurlah anaknya pantas menghulurkan tangan untuk menyelamatkannya.

Pada masa yang sama, Amir berusaha melompat ke arah atap bangunan bersebelahan hotel. Namun, terdapat sebuah jurang. Amir sedar dia perlu berhati-hati; sedikit demi sedikit, dia berjalan sambil berhati-hati pada penjuru yang sempit, hingga dia sampai ke penghujung. Dia terpaksa menggenggam penjuru tingkap untuk mengelakkan daripada jatuh.

Dengan lafaz Bismillah, Amir memposisikan dirinya dan melakukan lompatan. Dia menggunkan sepenuh tenaga yang ada pada dirinya.

Setelah melakukan lompatan, dia hampir menjerit apabila terapung di udara untuk seketika. Setelah itu, dia jatuh tersembam di atap tersebut. Mujurlah dia tidak tercedera; hanya memperoleh lebam kecil pada dahinya.

Dengan perlahan, pemuda itu bangun untuk meneruskan perjalanan. Dia harus beredar dari bandar, sekiranya mampu, agar anggota samseng tidak menangkapnya.

Malangnya, dia terlambat; dua orang samseng, seorang yang berbadan montel dan seorang lagi kurus kering, tiba di hadapannya.

"Nak pergi mana?" tanya yang berbadan montel.

"Hang tak boleh lari dah," kata yang kurus sambil ketawa. "Dah tiba masa kau ikut kita, ataupun kau mati!"

Amir tidak mampu bergerak ke mana-mana. Dia masih berfikir untuk melarikan diri daripada mereka, tetapi tiada laluan yang sesuai. Dia mengambil beberapa langkah ke belakang, namun terlanggar sesuatu.

Dia sedar bahawa samseng berbadan tegap berada betul-betul di belakangnya.

"Berhenti bergeraklah!" jeritnya sebelum menolak Amir yang betubuh kecil.

Amir berkata, "Hidup dan mati di tangan Allah, bukan kamu semua."

"Kau tetap akan kami bawa ke markas kami," jawab samseng itu.

Dia mengeluarkan tali dari poket jaketnya, lalu bergerak untuk mengikat tangan Amir yang kelihatan tersekat dan tanpa berbuat apa-apa.

"Saya tidak akan ikut kalian," jawab Amir sambil memandang terus ke mata samseng bertubuh sasa itu. "Apa-apa pun, saya tidak akan menjalankan kegiatan jenayah untuk kalian."

"Oh, mahu lawan ya?" Samseng montel merasa jengkel.

"Tembak dia!" seru yang kurus lalu mengeluarkan pistolnya dari poket seluarnya.

Lelaki yang sasa sudah pun mengacu machine gun miliknya ke arah kepala Amir. Dia hanya menunggu masa untuk menarik picu. "Tiba masanya kau mati, sama dengan abang kau yang tak guna itu!"

Amir, tangannya diikat, masih ingin keluar dari sana, tetapi dia hanya mampu menutup mata. "Bismillahirrahmanirrahim," ucapnya. "Ya Allah, tolong selamatkan hambaMu yang lemah ini..."

"Selepas dia kena bunuh," bisik yang kurus kepada rakannya yang bulat, "ranking kitorang naik lah! Boleh kita enjoy lagi. Bos bagi kereta ke..."

Mereka berdua bergelak ketawa sambil menunggu rakan mereka menarik picu machine gun.

Mata Amir tertutup, namun dia masih bernyawa. Dia masih boleh bernafas; boleh mendengar nadi hatinya yang kerap berdegup, serta air hujan yang turun selari ke atap-atap bangunan berhampiran.

Matanya masih tertutup.

Pada masa itu, ketiga-tiga samseng terserempak dengan tingkap di hotel yang pecah dengan tiba-tiba. Kelihatan sebuah batu jatuh ke bawah; kemungkinan ia memecahkan tingkap itu. Namun, bagaimana? Batu tidak boleh bergerak dengan sendiri.

Samseng yang kurus dikejutkan apabila dia dipeluk dari belakang. Sejurus itu, bajunya ditarik dan dia memandang ke arah seorang lelaki bertopi keledar. Lelaki itu tidak banyak bercakap, namun kehadirannya menggerunkan kepada samseng-samseng itu.

"Siapa ini?" tanya rakannya yang tangannya tidak berhenti bergetar.

"Tolong aku!" jerit yang kurus. "Tembak dia!"

Yang montel pun, dengan tangannya yang menggigil, menghulurkan tangan kanannya untuk mengambil pistolnya. Namun, dia terlambat.

Lelaki bertopi keledar melontar samseng bertubuh kecil itu ke arah rakannya. Kedua-dua pun jatuh pengsan di permukaan atap.

Seterusnya, giliran seorang lagi samseng. Namun, dia lebih cepat; picu ditarik dan peluru machine gun digunakan dengan sepenuhnya. Salah satu daripada peluru tersebut terkena lelaki itu, tetapi dia masih berjalan dan mengelakkan peluru-peluru lain. Pergerakannya sangat laju dan lincah, seperti seekor haiwan yang mengikuti nalurinya apabila musuh menghampiri.

"Bagaimana...?" Samseng itu tidak dapat memahami bagaimana dia boleh melompat seperti atlet ginnastik, lebih-lebih lagi dengan topi keledar yang sepatutnya melambatkan pergerakannya.

Lelaki itu berdiri sambil menghulurkan tanggannya, seakan-akan mengajak musuh barunya untuk bertanding.

Samseng itu pun hilang sabar. "Oh, kenapa tak beritahu awal-awal?"

Si sasa terus melancarkan serangan dengan tangannya. Kedua-dua tangannya dihayunkan untuk memukul lelaki misteri itu, namun kebanyakannya tidak tersasar. Lelaki itu dapat mengelak dengan cepat.

"Arrrgh!" Samseng yang sudah penat menjerit dengan nada tinggi; dia sangat marah.

Amir secara perlahan membuka matanya dan menyedari keadaan di sekelilingnya. Tangannya masih terikat, namun dia boleh melihat dua orang samseng yang pengsan, dan seorang lagi seperti bertarung dengan seseorang lelaki misteri.

Seterusnya, pukulannya yang kuat tersasar ke arah topi keledar lelaki itu, lalu dia pun jatuh. Menyedari yang demikian, dia mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya.

Namun dia terlepas.

Hasratnya untuk membunuh lelaki itu tidak tercapai setelah lelaki itu lenyap entah ke mana. Tiba-tiba, dia muncul semula di belakang samseng itu. Hujan yang sebelumnya turun dengan lebat mula berkurangan.

Samseng itu cuba menikam secara mengejut dari hadapan, tetapi tetap dielakkan. Sebaliknya, lelaki bertopi keledar itu menarik baju dan jaket samseng berparut itu lalu menghentak topi keledarnya dengan kepala samseng itu.

Rakan-rakan samseng mula sedar semula, namun terserempak dengan tubuh rakan seorang lagi yang jatuh ke arah mereka setelah dicampakkan oleh lelaki bertopi keledar. Mereka bertiga pun terlantar di atap.

Seterusnya, lelaki bertopi keledar mengikat ketiga-tiga samseng sebelum membuka ikatan pada tangan Amir.

Amir berterima kasih kepada Allah kerana menyelamatkanNya, dan juga kerana menghulurkan bantuan dalam bentuk seorang lelaki misteri.

"Terima kasih," katanya sambil mengurut tangannya yang mengalami luka kecil.

Namun, lelaki berhelmet itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia berdiri sahaja di hadapan Amir.

Amir merasakan perbuatannya agak aneh. "Saya sangat menghargai pertolongan saudara. Saya tidak tahu macam mana nak balas balik..."

Belum habis bercakap, lelaki misteri itu melambaikan tangannya, seakan-akan menafikan apa yang Amir telah katakan. Seterusnya, lelaki itu berpaling dan melompat dari atap.

"Eh, apa awak buat?" Amir sangat terkejut dan takut penyelamatnya terjatuh.

Dia menarik nafas, dan melihat kawasan jalanan. Namun, tiada kesan lelaki itu. Sekiranya seseorang itu mati, dia sepatutnya masih ada di sana, dikerumuni orang ramai.

Amir menarik nafas lega dan mengelap dahinya yang basah. Setelah setiap perkara yang dialami beberapa minit yang lalu, bagi Amir, ia adalah satu kejayaan kerana dia masih berdiri. Dia tidak mengalami nasib serupa seperti arwah abangnya.

Dalam malam yang semakin menggelap dan ditemani angin yang bertiup kencang, pemuda itu menikmati udara nyaman, sambil melihat ke arah bulan yang bercahaya. Siren polis didengari dari jauh; kemungkinan seseorang mengetahui tentang suasana huru-hara dan telah menghubungi polis.

Amir pula terserempak dengan lelaki sama yang telah menyelematkan nyawanya sebentar tadi. Lelaki itu memandang ke arahnya, lalu melambaikan tangannya untuk seketika. Amir tercengang; tangannya dilambai kembali. Seterusnya, dia pengsan.

"Bangun, nak..."

Suara seorang tua boleh didengari di telinganya. Dia membuka matanya secara perlahan, lalu melihat lelaki beruban, pemilik suara tersebut, yang berpakaian warna hijau. Tubuhnya sangat kurus; dia duduk di katilnya. Di tepinya seorang pemuda bertopi hitam dan berambut panjang, duduk di kerusi; manakala seorang doktor wanita bertudung hijau terang berdiri sambil memegang beberapa keping kertas.

Amir mula sedar. "Eh...saya di mana?"

"Awak di hospital," jawab doktor itu. "Pihak polis menjumpai awak di atap bangunan IT Sector malam semalam."

Amir teringat perkara yang berlaku malam yang lalu.

"Pemeriksaan kesihatan menunjukkan awak baik-baik sahaja, walaupun ada sedikit luka pada kedua-dua belah tangan."

"Awak anak muda yang kuat," kata lelaki tua yang mula berbaring di katilnya. "Tak sepatutnya bercampur dengan samseng jalanan. Mereka tak akan bagi kebahagiaan kepada awak."

"Ba...bagaimana..." kata Amir.

"Polis dapat tahu tentang awak," sambung lelaki itu. "Awak buat apa dengan mereka?"

"Mereka...ingin masukkan saya...dulu abang saya...dia sudah..."

"Kan dah cakap. Kesian abang awak. Tapi..."

Pemuda bertopi itu mencelah. "Ayah, tak perlulah masuk campur dengan hal dia..."

"Anakku, kita kena membuat keputusan yang betul dalam kehidupan. Jangan lupa, kita kena mencegah perkara yang tidak baik, selemah-lemahnya dengan hati kita."

Amir menegaskan dia tidak terlibat dalam jenayah. "Saya berada di tempat...salah, masa...pun salah...Samseng-samseng itu zalim..."

Doktor mencelah. "Usah risau. Mereka telah ditangkap oleh polis, telah diuruskan."

"Bagaimana...dengan saya...?" tanya Amir.

"Awak tidak dikenakan tindakan apa-apa," jawab doktor.

"Alhamdulillah," ucap Amir sambil memejam matanya untuk seketika.

Lelaki tua itu senyum, sambil diperhatikan anaknya. Seorang doktor lelaki tiba di hadapan katilnya untuk memeriksa keadaannya.

"Syukur Alhamdulillah," kata doktor itu. "Awak baik-baik sahaja. Tetapi saya hairan. Bagaimana awak boleh bertahan dengan tiga orang ganas?"

Amir menggeleng kepalanya perlahan. "Bukan saya..."

"Apa maksud awak?"

"Ada seorang...telah selamatkan saya..." 

Amir tersenyum sambil menumpukan perhatian ke arah tingkap berhadapan katilnya. Dari jauh, dia boleh melihat lelaki bertopi keledar itu muncul sekali lagi. Kali ini, dia melompat dari atap ke atap dengan menggunakan sebuah tali untuk 'melekat'.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.