Home Cerpen Cinta Kemerdekaan Terindah
Kemerdekaan Terindah
EZZAN HAQIS
28/8/2017 02:40:52
1,084
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

TAJUK : KEMERDEKAAN TERINDAH

NUKILAN : EZZAN HAQIS


RATNA Sari masih seperti tadi. Berdiri diam di sisi jendela. Renungannya tajam memanah ke luar. Tiada apa yang menarik di luar sana. Hanya rintik-rintik hujan yang turun membasahi permukaan jalan. Namun padanya, waktu hujan turun itulah saat-saat yang sentiasa ditunggu-tunggu. Tatkala telinganya menangkap bunyi hujan menyimbah bumi, jendela yang dipasang jeriji besi berwarna coklat yang ada kesan-kesan karat melekat itulah dituju dulu.


Segar. Tak dapat digambar dengan perkataan aroma dari air hujan yang turun. Namun bau itulah yang sentiasa dirindu. Ratna Sari sendiri kurang mengerti mengapa hatinya begitu tertarik dengan fenomena alam yang satu itu. Apa yang dapat dirasa, hujan yang turun bukan hanya membasahi bumi yang kering. Malah tempiasnya seolah-olah turut sama menyimbah hidupnya yang kontang selama ini.


Dan hujan juga mengingatkan dia pada seseorang. Yang selama ini menjadi pelindung dalam apa juga keadaan.


“Ishhh....Suka sangat dia dengan hujan.” Rungut sang jejaka.


“Awak tahu tak kenapa saya suka hujan?”


“Kenapa?” Soal sang jejaka kembali.


“Sebab saya tahu awak akan sentiasa datang memayungi saya bila hujan...”


Memang manis. Tapi itu hanyalah sebuah kenangan yang kini kian terkubur tidak bernisan. Dan tika ini tiada lagi pelindung yang dapat memayunginya lagi.Sesungguhnya dia rindu dengan setiap kenangan yang lepas. Dan kerana rindunya itulah fikirannya semakin tidak keruan.


Jiwanya lara. Hati meronta membentak. Pedih. Tapi apa yang mampu dilakukannya? Dia ingin kembali seperti dulu. Terbang bebas ke destinas iidaman. Dan ini sudah tentu bukan perjalanan yang hendak dituju. Tiga tahun dia terkurung di bilik yang hanya memuatkan dua buah katil bujang dengan cadar yang kusam dan sebuah almari pakaian yang agak usang bagaikan satu penjara yang amat menyeksakan jiwa dan batinnya. Batin? Ratna Sari tersenyum sinis. Entah. Mungkin senyuman mengejek itu ditujukan khas buat diri sendiri.


“Jauh kau termenung tu, Ratna. Fikirkan apa?”


Suara itu kini menarik perhatian Ratna Sari. Pandangannya kini tertumpu pada tubuh genit yang masih terbaring lesu di katil yang bertentangan dengannya.Dilihat Junaidah yang tadinya berbaring lena di katil kini menggeliat bebas. Membetulkan kembali urat-urat yang berselirat di badan setelah berehat lama. Posisi Junaidah yang tadinya berbaring kini telah berubah. Bantal ditegakkan ke kepala katil. Dia duduk bersandar dengan badan berlapikkan bantal tersebut. Selimut ditarik hingga ke bahu. Membungkus diri di katil. Sejuk barangkali.


Ratna Sari memandang sekilas teman sebiliknya itu sebelum pandangannya kembali melirik ke luar jendela. Anak matanya menangkap satu objek. Ya, deretan bendera Malaysia yang seakan berat berkibar di beberapa unit apartment bertentangan dengan bilik yang didiaminya itu begitu menarik perhatiannya. Walaupun basah ditimpa hujan tadi, namun sesekali pabila ditiup angin dilihat tetap gah berkibar.


“June, hari ni berapa haribulan?” Ratna Sari tiba-tiba bertanya memecahkan jeda masa yang tadinya agak sunyi. Hanya terdengar bunyi keriuk kipas siling di bilik yang berpusing perlahan.  


Junaidah terdiam seketika. Dalam kepayahan, matanya cuba dibuka dan diarahkan ke kalender kuda yang tergantung di balik almari yang tampak begitu usang di sebelah katilnya.


“30 Ogos..” Junaidah membalas acuh tak acuh. Matanya kembali dipejamkan. Penat malam tadi masih lagi terasa. Dia perlu memanfaatkan waktu siang yang hanya tinggal beberapa jam saja lagi ini dengan merehatkan badan dan mindanya. Lagi-lagi hujan di luar. Saat dan waktu yang dinantikan untuk membungkus dirinya di katil. Seronok tidur waktu hujan ni. Sejuk. Bilik yang selama ini panas bagaikan neraka itu terasa seakan berubah menjadi syurga dunia tatkala hari hujan.


“Bermakna esok Hari Merdeka la, kan?” Ratna Sari menagih kepastian. Matanya tetap tertarik dengan bendera yang sedang berkibar ditiup angin di luar sedang akalnya rancak merangka sesuatu.


“ Hurmm.... Ye la kot..” June hanya sekadar berbasa basi membalas. Matanya masih terkatup rapat. Padanya topik bualan sahabatnya itu tidak langsung menarik minatnya untuk melawan bual. Dia amat mengantuk tika itu. Badannya terlalu letih.


Malam nanti dia perlu menyiapkan diri untuk berjaga. Tugasnya sebagai pegawai perhubungan pelanggan atau lebih sinonim dengan panggilan GRO oleh netizen itu memerlukan tenaga pada waktu malam. Orang di luar memang memandang jijik dengan kerja seperti mereka. Namun apa yang masyarakat di luar sana boleh membantu mereka selain daripada mengutuk dan mengeji? Ah, persetankan itu semua!


Pada Junaidah, itu sahaja kerja yang mampu dilakukan dengan kelulusannya yang hanya setakat habis darjah enam. Kerja apa yang mampu dilakukannya dalam kota metropolitan ini dengan hanya sekadar berbekalkan kelulusan yang dia ada sekarang. Sebagai ibu tunggal, dia perlukan duit untuk menampung perbelanjaan Haikal,satu-satunya anak lelaki yang kini dalam jagaan ibunya yang uzur di kampung. Apa lagi pilihan yang dia ada.


Berbeza dengan Ratna Sari, gadis itu boleh dikategorikan gadis yang malang. Sesungguhnya bukan kehendak gadis itu untuk masuk ke dalam dunia yang tiada hala tuju ini. Junaidah akui. Ratna Sari memang gadis yang baik. Cuma silapnya dia berada pada waktu dan tempat yang salah ketika itu. Namun apa dayanya, sekali dah terjerumus ke lembah ini, selamanya akan terperangkap di dalam tempat durjana ini.


“June...”


“Hurmmm...”


“Kita lari, jom....” Perlahan Ratna Sari bersuara.


Mata Junaidah yang tadinya terkatup malas kini terbuka luas tatkala mendengar ajakan teman sebiliknya itu. Mulutnya terlopong mendengar kata-katayang terkeluar dari mulut comel itu. Walaupun seakan berbisik namun ayat itu begitu jelas sekali pada pendengarannya. Terasa hilang terus kantuknya. Junaidah menelan liur.

*****

 

“RADEN... Kau yakin dia yang kau nampak semalam?”


Pertanyaan Riezman dibiarkan sepi. Mata Raden Eidlan masih liar mencari bayang seseorang yang mungkin terselit di antara celahan mereka yang terkinja-kinja menari mengikut alunan muzik disco dance yang diputarkan di kelab itu.


Walaupun matanya tidak nampak dengan jelas, namun nalurinya begitu yakin dengan dengan apa yang dilihatnya semalam adalah insan yang dicari selama ini. Tapi apa yang dibuat oleh gadis itu di dalam tempat seperti ini? Semakin hatinya menidakkan jawapan yang tercerna difikirannya semakin kuat pula kepalanya memikirkan pelbagai andaian yang negatif walaupun dia cuba untuk menidakkannya. Ini malam kedua dia cuba mengesan figura yang dilihatnya setelah semalam usahanya gagal.


“Jom kita duduk dulu kat sana, Raden. Pening pulak aku ikut kau yang tanpa haluan ni. ” Rungut Riezman.


Raden Eidlan akur. Dia hanya membontoti Riezman ke satu ruang yang agak tersorok. Tidak dinafikan, dia juga agak rimas dengan suasana di dalam kelab itu. Dengan bunyi muzik yang dipasang kuat yang dirasakan mampu untuk memecahkan gegendang telinganya. Ditambah pula dengan anak muda tidak kenal lelaki mahupun perempuan yang rancak menari seiring dengan muzik yang dimainkan. Itu belum termasuk lagi dengan golongan elit yang leka melanggan gadis-gadis yang mungkin GRO kelas atasan. Dengan yang mabuknya, yang sedang khayal dengan pengaruh pelbagai pil dan pelbagai ragam lagi pengunjung di situ.


Sesekali kesal bermain diminda. Malam ni malam merdeka. Jika di luar sana rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan menjelang detik 12 malam untuk melaungkan perkataan keramat ‘merdeka’, namun tidak pada dunia di sini. Lain benar. Tiada sebarang sambutan dan mungkin tiada langsung difikiran pengunjung kelab ini untuk meraikan erti sebuah kemerdekaan.


Apa yang pasti, mereka lebih gemar meraikan kemerdekaan dengan cara mereka sendiri. Mengagungkan budaya barat itu, sudah pasti. Arak, tarian, maksiat. Betul-betul tidak terjangkau oleh minda sedarnya. Bukan calang-calang orang yang masuk di dalam kelab ini. Dilihat daripada penampilan seorang demi seorang, Raden Eidlan yakin, mungkin di kalangan pengunjung di sini turut terdiri daripada golongan VVIP. Sayangnya, kuasa penjajah masih kuat membelenggu diri dan minda, mengikat anak bangsa meskipun negara hampir 60 tahun mencapai kemerdekaan.


Jika tidak kerana apa yang dilihatnya semalam, pasti tidak sesekali dia berada dalam kelab ini. Dan sebagai teman rapat di kota metropolitan ini, Riezman ditarik bersama menemaninya ke kelab malam yang agak terkemuka di ibu kota ini memandangkan Riezman sudah biasa dengan tempat-tempat seperti ini.


Light coke two glasses, please.”Riezman memesan pada seorang pelayan lelaki yang menghampiri meja mereka.


Riezman mengeluh. Penat terasa barangkali. Kotak rokok di saku seluar kirinya diseluk keluar. Api dihidupkan dan dicucuh ke sebatang rokok yang telah sedia terkapit di bibirnya. Di sua sebatang ke Raden Eidlan. Namun ditolak lembut pemuda itu. Bagi Raden Eidlan, dunia rokok telah lama ditinggalkan semenjak ayahnya meninggal dunia selepas disahkan mengidap kanser paru-paru oleh doktor yang merawat ayahnya.


“Aku yakin memang dia yang aku nampak semalam. Mata aku tak pernah menipu,Man.” Raden Eidlan bersuara setelah pelayan tadi berlalu selepas menghidangkan dua gelas minuman yang dipesan di meja mereka. Masakan dia dapat melupakan wajah yang dicari-cari selama tiga tahun itu. Matanya mungkin salah, namun hati dan firasatnya tidak pernah silap percaturan. Kehadiran aura gadis yang dicarinya sekian lama itu turut dapat dirasakan dalam segenap jiwanya. Jantungnya pasti akan berdegup kencang bila itu berlaku.


“Kalau betul pun apa yang kau nampak, apa rancangan kau sekarang ni?” Tanya Riezman. Asap tebal yang disedut dalam tadi dihembuskan keluar.Terasa satu kepuasan padanya.


Raden Eidlan hanya menggeleng. Sesungguhnya dia juga tiada jawapan untuk soalan itu. Fikirannya juga celaru. Dalam keadaan ini, tiada satu pun yang dapat dijana akalnya tika itu.


“Sekejap, aku ke wash room.”Raden Eidlan bangun meninggalkan Riezman yang masih sibuk menjamu matanya pada pelayan-pelayan wanita yang berpakaian agak terdedah di sana sini di sekeliling tempat duduk mereka.

*****

 

“KAU ok tak ni, Ratna?”


“Aku tak rasa malam ni aku boleh buat lagi, June.” Ratna Sari bersuara lemah.


“Dah dua malam kau macam ni, Ratna. Aku bukan apa...Aku risau kalau kau berterusan macam ni. Kau tahu kan akibatnya nanti.” Junaidah sekadar mengingatkan. Bimbang sungguh dia dengan keadaan Ratna Sari. Padanya ada sesuatu yang dirancang oleh teman sebiliknya itu. Apakah dia akan mengotakan apa yang mereka bualkan siang tadi? Mana mungkin Ratna Sari seberani itu. Junaidah cuba bersangka baik.


Ratna Sari terdiam. Dia tahu itu semua. Namun kemahuannya yang lagi satu lebih tinggi menandingi rutin hariannya. Malam ini dia harus mengotakan permintaan hatinya yang satu itu. Tidak boleh tidak. Cukuplah tiga tahun dia terpenjara di sini. Kali ini dia nekad. Hatinya tidak lagi di sini. Otaknya ligat berfikir menyusun strategi mencari setiap peluang yang ada.


“Aku ada pelanggan kat luar tu. Ini pun aku lari sekejap bila nampak Madam Wong herdik kau tadi.” Ujar Junaidah. Bimbang juga dia jika berlama-lama di situ. Banyak mata-mata Madam Wong yang memerhati. Dia tidak mahu mencari nahas dengan mereka. Ini mata pencariannya. Setiap saat adalah duit padanya.


“Ye la.. Pergi lah sambung balik kerja kau June. Jangan risau. Aku boleh jaga diri aku. Cuma aku tak rasa malam ni aku boleh kerja.”


“Ratna... Aku betul-betul harap kau tak maksudkan apa-apa dengan perkara yang kita bualkan siang tadi, kan?” Junaidah memandang tajam Ratna Sari di hadapan menanti jawapan balas. Hatinya seolah-olah meragui dengan setiap perbuatan gadis di hadapannya itu. Dia cukup risau. Ratna Sari satu-satu teman rapat yang dia ada. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi pada temannya itu meskipun tahu akan penyeksaan batin sedang berlaku dalam diri temannya itu. Tapi apakan dayanya untuk membantu.


Ratna Sari hanya tersenyum lesu.

*****

TIDAK syak lagi. Memang itulah gadis yang dicari selama ini. Bisik hati Raden Eidlan. Dari tadi dia cubauntuk curi-curi dengar setiap perbualan gadis-gadis di luar itu tanpa pengetahuan mereka. Meskipun sesekali suara itu tenggelam timbul dengan bunyi muzik yang sedang rancak bermain di luar, dia tetap berusaha untuk menangkap butir bicara mereka.


Ratna Sari dalam kesusahan. Raden Eidlan pasti. Dari air muka yang ditunjukkan gadis itu jelas terpancar resah di wajah. Meskipun cuba disorokkan dengan calitan solekan yang sedikit tebal di wajah yang ayu itu. Kenapa dan mengapa Ratna Sari berada di tempat ini bukan lagi menjadi persoalan. Apa yang pasti Raden Eidlan perlu membantu untuk gadis itu keluar dari tempat ini.


Raden Eidlan pasti, dari perbualan mereka tadi, gadis itu dijaga seseorang. Dia keluar dari balik dinding itu. Laju langkahnya mengekori. Kali ini dia tidak mahu melepaskannya lagi. Dapat dilihat melingas mata Ratna Sari memandang sekeliling. Seolah-oleh berhati-hati dengan setiap langkahnya. Perlahan-lahan gadis itu menyelinap keluar ke satu sudut. Dia berjalan pantas merapati gadis itu.


Lantas lengan Ratna Sari diragut pantas dan tubuh kecil itu dipeluk dari belakang. Mulutnya ditekup. Terpaksa dilakukan seperti itu. Raden Eidlan cukup bimbang sekiranya gadis itu menjerit. Pasti akan memusnahkan rancangannya untuk membawa keluar gadis itu dari tempat ini.

Tepat sekali jangkaannya. Ratna Sari meronta. Mujur dia memeluk erat dan menekup mulut gadis itu. Jika tidak pasti rancangannya gagal.


“Ratna..! Ratna...Saya ni, Raden..Raden Eidlan..!” Sempat Raden berbisik tegas. Meskipun dalam keadaan yang sukar. Dia pasti, gadis itu mendengarnya. Ratna Sari berhenti meronta dan berada dalam keadaan terkawal sebaik sahaja melihat wajah jejaka itu, wajah yang cukup dikenalinya. Wajah yang selama ini amat dirinduinya. Wajah yang masih setia bertakhta dalam hatinya, dulu, kini dan selamanya.


Ratna Sari lantas memeluk kedap jejaka di hadapannya. Wajahnya disembam ke dada jejaka itu. Kolam air matanya yang selama ini ditahan akhirnya melimpah keluar. Tiga tahun dia menunggu kedatangan jejaka itu. Dan selama tiga tahun itu jugalah dia terkurung di dalam sangkar besi manusia durjana. Meskipun dia kesal bertemu dengan jejaka itu dalam keadaannya seperti sekarang, namun tiada yang lebih mengembirakan selain bersua kembali dengan insan yang paling dirindui itu.


Ratna Sari mengangkat wajah. Matanya sembab. Wajahnya masih basah dengan air mata yang masih bersisa. Kornea matanya yang masih berkaca memandang Raden Eidlan di hadapannya dengan satu pandangan yang sukar dimengertikan. Air mata masih laju menitis di pelipisnya. Sedih, gembira, bercampur baur.


“Raden....Merdekakan Ratna....” bisiknya perlahan menahan sendu.


Raden Eidlan mengangguk laju. Sempat dia mengesat air mata yang mencurah jatuh ke pipi gadis itu. Dia mengeluarkan telefon bimbit mendail nombor Riezman. Mujur berangkat. Setelah yakin arahan yang diberi kepada Riezman difahami, dia lantas membuka jaket hitam labuh ber’hood’ yang dipakainya dan disarung ke tubuh Ratna Sari yang agak terdedah sedikit.  Ini bagi mengelak gadis itu dikesan. Dia tidak tahu sejauh mana keberkesanan melindungi Ratna Sari dengan cara itu.


Raden Eidlan nekad. Gadis itu akan dimerdekakan dari neraka dunia ini. Dia harus pantas berlari membawa gadis ini jauh dari tempat ini. Meskipun dia tahu,diri mereka sedang dikejar rapat oleh orang-orang yang menjaga Ratna Sari dari belakang.


Ratna Sari tidak peduli lagi dengan apa yang berlaku. Tidak sesekali untuk dia berpaling biarpun salur telinganya dapat menangkap suara sahabat yang dikasihi memanggil sayu namanya. Maafkan Ratna, June. Inilah kemerdekaan yang Ratna nantikan selama tiga tahun. Maafkan Ratna...


Sempat Ratna Sari menoleh sekilas jejaka yang seolah-olah menjadi malaikat penyelamatnya tika itu. Terima kasih Ya Allah kerana memberi kemerdekaan yang cukup indah buatku. Bisik hatinya. Air mata menitis laju selaju hayunan langkah mereka berdua. Jemarinya bertaut erat menggenggam jemari jejaka itu. Terima kasih, Raden Eidlan!

 

 

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh EZZAN HAQIS