Home Cerpen Cinta MERDEKA DI KAKI PELANGI
MERDEKA DI KAKI PELANGI
Ummu Hanan
11/9/2017 12:00:59
2,058
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

TAJUK : MERDEKA DI KAKI PELANGI


Angin menderu ganas, memukul-mukul pelepah nyiur. Terliuk-liuk huyung. Hujan merejam kasar didada bumi. Berselerakkan beku. Di sisi pepohon nyiur sebatang, berdiri sekujur tubuh nan gigil. Nian berpeluk dingin. Kaku renyah sehabisnya. Enggan jua dia beranjak. Sekeras sapaan cucuran hujan menimpa ubun-ubun, keras lagi sekeping hatinya yang bergumpal menahan rasa.

Guntur menghentak perdu langit beratap kelabu. Namun, dia kekal disitu. Biar berkacip gigi dek sejuk menggigit kulit, asal hatinya puas. Menurut rasa!

"Terima hakikat, kita tak bersama lagi!" Suara lelaki itu tajam menghunus sekeping hati yang terluka. Badannya tertunduk sedikit untuk cuba merenung wajah wanita kesayangannya yang tunduk menghadap bumi.

"Maafkan aku. Dahulu mungkin ia rasa bersemi kerana cinta. Kini, ia bukanlah lagi. Kau, harus melangkah. Dan, aku jua seiring waktunya kita lalui. Bukan dengan menghukum dirimu sebegini" suara  lelaki itu menekan lagi dengan nada yang tidak sekata. Sedih dan hiba menggauli jiwa.

"Senangkah untuk aku lalui hidupku tanpa kau? Biar ku langkah hanya membawa cebisan angan-angan..asal kau ada disisi menemani..aku rela!" Dia enggan mengalah.

"Terimalah hakikat..kita tak dapat bersama seperti dahulu..jangan menghukum dirimu lagi!" Suara itu bernada kesal. Tangannya yang dingin menyeka air mata dipipi dia.

"Aku cinta kau! Selamanya!" Dia menjerit kecil. 

Muktamad dari hatinya!

"Bagaimana kau terus cinta jika aku hanya wujud dalam kenanganmu? Tidakkah ianya satu kesakitan dan sia-sia?" Suara itu memujuk. Tangannya memegang pipi dia. Lembut dan penuh kasih. Belaian yang masih hangat seperti dahulu yang dia dambakan.

"Hidup adalah untuk diteruskan, sayang. Pandanglah masa hadapanmu. Kita bukan seperti dahulu lagi. Dengarlah..aku sayang padamu untuk segenap jiwaku. Aku bahagia kiranya kau teruskan hidup, tanpa mengingati aku. Mengingati aku bermakna kau sakit. Jangan sakiti dirimu lagi sayang. Tolonglah.." suara itu merintih hiba. Wajahnya bungkam menahan sebak. Seolah menyesali perbuatan wanita yang dia kasihi dihadapannya itu.

"Aku..aa..aku tak mampu!" Dia menekan suara lalu mengetap gigi. Dia tertunduk memandang hujung sepatu. Tanah hitam bergumpal menaiki sepatu lusuhnya apabila terkena genjatan hujan yang jatuh dari langit. Lalu, hujan yang mulai turun dengan lebatnya seakan mengerti. Hatinya dihujani rasa!

"Tak mampu kerana kau tak kuat. Mana perginya wanita setabah Hajar yang ditinggalkan Ibrahim ditengah-tengah gurun pasir yang kau jadikan kekuatan mu dulu? Mana perginya wanita secekal Maryam yang melahirkan Isa keseorangan tanpa suami yang kau jadikan semangat untuk teruskan hidupmu dulu? Jangan kau mungkiri janji, saat kau lafaskan syahadah ditelingaku! Saat kau sendiri yang menutup mataku dengan kekuatan jari lembut ini. Saat kau sendiri yang melihat kafan menutup wajahku buat kali terakhir! Bahawa kau, akan setabah Hajar, secekal Maryam! Bahawa kau akan teruskan hidup meski kau keseorangan di dunia fana ini! Jangan sayang..jangan kau seru aku lagi dengan rindumu ini. Dengan kedegilan dan kegilaanmu ini," lelaki itu merintih. Akhirnya menangis melihat keadaan wanita yang berhati degil dihadapannya itu. 

Tangisan mereka bersatu dalam irama hujan.

"Aku..aku..rindu.."Dia menangis semahunya. Jiwanya masih terkurung dalam balang rindu yang maha tebal kacanya. Ianya bergumpal-gumpal memenuhi ruangan jiwanya. Sakit, bahagia, kesal..seakan menyatu. Puas jua disingkir, namun ia tetap menghadir.

"Merdekakan jiwamu!" Lelaki itu menggoncang tubuh wanita yang dikasihinya.

"Merdekakan jiwamu!" Jeritnya lagi dengan harapan, dia sedar dari igauan rasanya sendiri.

"Bagaimana!!!" Dia meraung sekuat hatinya. Suara serak basahnya membelah bunyian hujan yang semakin lebat.

Lelaki itu tunduk. Mereka berjeda seketika. Ralit pada persoalan yang ringkas, namun sukar untuk diberikan jawapan.

"Saat kau rindu padaku, pejamkanlah matamu. Aku tidak menjanjikan aku berada disisimu, namun insyaAllah..aku akan lebih bahagia kiranya kau hadiahkan sepotong al-fathiah buat penemanku disana. Segalanya Allah telah sempurnakan bagi kita,maka jangan pernah kita meragui nikmat ini. Ikhlaskan hatimu menerima pemergianku. Redhakanlah hatimu dengan sebenar-benarnya akan ketiadaan aku disisimu lagi. Lepaskanlah masa lalu kita. Letakkan ia di tempatnya kerana masa lalu harus menjadi masa lalu. Kau..isyitiharkan kemerdekaan buat jiwamu. Merdeka dari dibelenggu rasa rindu yang menyiksakan jiwa dan ragamu selama ini. Dari cinta yang pemiliknya telah mati. Dari kenangan masa lalu yang membuatkan kau enggan membuka lagi pintu hatimu selama ini untuk kehadiran insan lain."

Mata mereka saling bertatapan. Sendu menghurung dada.

"Lalu..dapatkah aku meneruskan kehidupanku?"tanya dia sambil menggenggam erat tangan lelaki yang dia kasihi itu.

"Demi Allah, asal kau redha dan ikhlas menerima takdir ini," pujuk lelaki itu.

"Kau berhak untuk mengecapi rasa bahagia, sayang. Cumanya, jiwamu belum merdeka dari rasa yang kau sendiri ciptakan. Bebaskanlah ia..redhakan." lelaki itu masih memujuk.

Dia benar-benar rasa terharu pantas membenamkan kepalanya pada dada lelaki itu. Dibawah pohon nyiur nan sebatang. Mereka saling berpelukan. Menikmati waktu yang tersisa.

Alam seakan terhenti seketika. Tiada kedengaran bunyi hujan dan angin yang mengasak udara. Yang dirasa cumalah kesunyian dan kedamaian yang memeluk sukma.

"Duhai isteriku, Khadijah Binti Hamdan, saat ini...tanggal 27 Ogos 2015, kita diijabkabulkan setelah sekian lama menyulam cinta mengait kasih. Saat terlafasnya lafas sakinah dibibirku.."aku terima nikahnya"..bercucuran air mata dipipimu. Mensyukuri nikmat Tuhan yang terlalu indah yang telah Tuhan anugerahkan untuk kita. Aku berjanji dihadapan walimu, disaksikan oleh Tok Kadi dan jemputan yang hadir, bahawa aku akan menjagamu dengan sebaiknya. Memeliharamu dengan agama secukupnya. Namun, duhai isteriku sayang...kebahagiaan yang kita baru bina berberapa jam selepas akad, aku telah ditimpa musibah. Bukti kasih Allah kepada kita. Aku telah terlibat dalam kemalangan saat aku dan keluargaku pergi ke hotel untuk menukar baju. Aku selamat. Ibu dan ayah pergi bersama adik bongsuku. Namun, aku kritikal. Dan dirawat dirumah sakit. Kau menjagaku dengan baik, sayang. Meski kau cuba sembunyikan airmatamu dariku. Kau sering bisikkan ditelingaku, kau akan jadi setabah Hajar..secekal Maryam. Kau bisikkan kata semangat buatku agar bertahan dan cepat sembuh

Tanggal 31 Ogos tepat jamnya..airmataku mengalir laju saat kulihat inai masih merah dijarimu. Masaku terasa kian suntuk untuk menatap wajahmu. Duhai kekasih yang sering memberikan hari-hari yang bahagia buatku dimasa sihatku, maafkanlah aku, sayang..janjiku cuma pada saat itu. Tidak kesampaian untuk kita menuai benih-benih cinta kita. Namun, aku bersyukur kerana dikalungkan dengan ikatan suami untuk wanita sehebat kau walau cuma untuk berberapa hari. Saat aku mencoret warkah ini, hatiku merasa sebak dan syahdu. Kau tidur disisku. Walaupun payah..aku ingin mencoret jua. Agar kau tahu, aku sangat cinta padamu. Dan, aku yakin kau juga begitu. Namun, kita hanya mampu merancang. Allah yang melaksana. Teruskan hidupmu..teruskan melangkah..maafkan aku kerana tidak bersamamu. Hidup mesti diteruskan walau apapun yang  terjadi. Jangan siksa jiwa dan ragamu dengan cintaku. Jangan pasung hatimu dengan merinduiku. Redhakan dan ikhlaskan andai aku pergi dahulu..

Dengarkan itu, sayang..aku dengar suara keramaian yang melaung..

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!



Yang sangat cinta,

Suamimu.



Dia mengangkat muka. Hujan tidak lagi selebat tadi. Cuma rintik-rintik halus yang berselerakkan. Langit tidak sekelabu tadi. Bagaikan mentari yang masih berlindung dibalik awan membiaskan.warna putih bersinar.

Tiada lagi bayangan wajah kecintaan dihadapannya. Tiada lagi sentuhan jari lelaki yang dirinduinya itu dipipinya. Tiada lagi....yang ada cuma pandangan yang kosong.

"Abang..." serunya sayu. Dia mengesat sisa airmata dengan hujung jari yang pucat. Sejuk dingin masih membaluti tubuh.

"Maafkan aku, kerana menyiksa diriku sebegini. Dipohon ini, kau mengintaiku yang sedang bermain dengan rakan-rakanku di padang rumput sana. Dipohon ini, saksi pertemuan pertama kita. Lalu, dipohon ini, kau melamarku. Malah, dipohon ini juga, kakakmu menyerahkan surat in kepadaku setelah tiga hari kau pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Tiga tahun sudah pemergianmu, namun..aku terus menyiksa diri berpanas berhujan mengingati kenangan kita disini. Justeru, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.. pada hari ini tanggal 31 Ogos, aku tinggalkan kenangan kita. Aku kuburkan ia! Biar pohon ini menjadi batu nesannya. Masa lalu ini..aku ikat dipohonnya. Ampunkan aku, ya Tuhan..kerana tidak redha dan ikhlas menerima takdirmu. Aku akan terus melangkah dengan bebasnya dari belenggu jiwa yang menyakitkan ini. Aku akan memerdekakan perasaanku."

Kertas coretan warkah daripada sang suami yang sudah hancur ditimpa dan dicarik oleh butir-butir hujan sebentar tadi digumpal dalam tangannya. Surat itu adalah kesayangannya..namun, dia harus redha. Kerana itu yang sepatutnya dia lakukan.

"Kak Khadijah, baliklah.." laung adiknya dari dalam kereta. Bukan sekali ini adiknya itu memanggil. Malah kerapkali. Namun, langsung tidak diendahkan. Kakaknya itu, terpacak mengalahkan pohon nyiur. Pohon nyiur lagikan bergoyang ditiup angin nan deras, tapi, kakaknya tidak. Betapa degil menjunjung cinta suami yang telah mati dengan menyiksa diri. Itu bukan seperti yang agama mahukan. Namun, kakaknya itu.. Degil!

Rintik-rintik hujan kian reda. Khadijah bangkit dengan lutut yang bergetar. Sang mentari mula menampakkan wajah lalu membiaskan cahaya yang indah berwarna-warni.

"Pelangi!" Jerita adiknya dari dalam kereta sambil membuang pandangannya kelangit yang indah.

Khadijah tersenyum. Cuba..ya, cuba tersenyum. Setelah 3 tahun.senyumnya mati dibingkai bibir. Dek kerana hatinya telah ikhlas dan meredhakan..senyuman itu akhirnya terukir indah.

"Semoga abang ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh.." bisiknya perlahan kedalam relung hati yang sedikit demi sedikit membalut luka.


"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" 


Khadijah memusing badan menuju kejalan raya. Kelihatan berberapa orang anak muda yang sedang menunggang motosikal mengibarkan jalur gemilang sambil melaungkan kemerdekaan dengan riang. Seorang daripada mereka kelihatan seperti suaminya. Dia mengibar-ngibar bendera dengan penuh semangat sambil melambai-lambaikan tangannya. Terkedu sebentar Khadijah dibuatnya. Namun, Khadijah pantas tersenyum.

"Merdekalah duhai Khadijah!"

Jeritnya kecil lalu berjalan pulang meninggalkan pohon nyiur itu. Dia mendesak hati agar enggan menoleh. Namun, sampai dalam kereta..dia menoleh lagi.

"Buat kali yang terakhir, selamat tinggal kenangan. Aku akan teruskan langkahku. Al-Fathihah untukmu suamiku, Ahmad Nikman Bin Ahmad Tamrin."


Merdeka bukan sahaja kemenangan dalam menghadapi penjajahan dan bebas daripada terikat dengan cengkaman kuasa asing, namun kemerdekaan juga harus dilihat dari kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri sendiri. Bebas daripada dominasi fikiran dan emosi yang boleh merosakkan diri sendiri. Sepertimana yang telah ditakrifkan oleh pendeta Za'ba, "Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna".


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.