Home Cerpen Cinta Pelamin Anganku Musnah
Pelamin Anganku Musnah
Nkal
22/3/2018 16:52:19
6,874
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

        Saat kau membaca warkah ini, aku pasti kau berada disamping dia yang kau sayangi. Pastinya kau sedang meniti satu kebahagiaan yang kau idamkan selama ini.  Tiada apa yang ingin aku ucapkan atau ungkapkan buat  

dirimu dan pasanganmu sekarang. Hanya sekadar ucapan tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat kalian berdua. Warkah ini bukanlah untuk memujuk engkau ke pangkuanku atau pun menceritakan kekecewaan dan kelukaan yang kau tinggalkan buat diri ini. Cuma ingin menyampaikan sekalung doa buat kau dan dia. Semoga berbahagia………

Azie menarik nafas sedalam-dalamnya. Pen yang terselit di celah ibu jarinya sebentar tadi dijatuhkan perlahan di atas sekeping kerja kajang yang tercoret isi surat yang ditulis sebentar tadi. Perlukah surat ini sampai pada tangan orang yang dituju.? Azie memejam kelopak matanya perlahan. Entah untuk kali ke berapa air matanya harus bergenang dalam kolam matanya itu. Nafasnya bagai tersentap sewaktu dadanya sebak menahan tangisan hatinya yang sudah tidak tertanggung lagi olehnya. Sekali lagi kad madah berwarna pink dicapai lalu ditatapi setiap barisan yang tercatat. Walimatu urus…Tuan/puan/Datuk/Datin di jemput hadir ke majlis anak lelaki kami……Mohd Izham Khairuddin dan pasangannya Norliana Abd Aziz.

Berita yang harus disambut gembira oleh semua yang mendapat jemputan tersebut. Yalah, mana tidaknya orang ingin mendirikan masjid. Sepatutnya sebagai sesama saudara islam semua ini harus di sambut dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Namun bukan buat Azlina Riduan. Berita ini tidak dapat disambut dengan rasa gembira sebaliknya kesedihan dan tampalan kelukaan di hatinya. Tergamak orang yang disayangi dengan sepenuh hatinya mendustai cinta yang terbina selama ini. Mana janji-janji manis sang teruna untuk mengukuhkan tali cinta yang terjalin.?

Janji? Memang mudah untuk diluahkan kata cinta. Kerana ia tidak memerlukan sekeping cek mahupun wang yang beribu untuk mengukapkan suatu janji. Hanya bermodalkan air liur semata-mata. Siapa pun boleh mengungkap janji, Tidak kira jantina mahupun pangkat dan harta. Bezanya cuma sejauh mana mereka berpegang teguh pada janji yang diungkapkan.

“ Azie. Izinkan hati ini bertaut dengan hatimu itu sayang.” Terluah kata-kata itu dari mulut seorang jejaka lewat 20-an. Bertubuh tegap, berwajah putih serta dikurniakan sebuah senyuman yang manis. Pasti menggoda setiap wanita yang memandangnya.

Azie melepaskan keluhan kecil. Haruskan dia menerima luahan kata-kata itu.

“ Tidakkah terlalu awal untuk  semua itu Iz.” Azie mematikan persoalannya. Perkenalan mereka baru menjangkau dua bulan. Dan kini Izham sudah menyatakan hasrat untuk mengambil dia menjadi permaisuri hidup lelaki itu.

“ Buat apa bercinta lama-lama Azie. Bukankah lebih manis cinta itu disemai selepas kita menjadikan ikatan ini kepada ikatan yang lebih suci.”

Azie mengerti maksud Izham. Dia sendiri bersetuju dengan pendapat untuk menyemai cinta selepas berkahwin. Namun hatinya tidak yakin, apakah benar Izham mahu menjadikan dia sebagai teman hidupnya. Sesungguh pengalaman lalu cukup mengajar Azie untuk lebih berhati-hati dalam soal memilih teman hidup. Cukuplah dua pengalaman yang diharungi sebelum ini.

“ Perkahwinan bukan suatu perkara yang boleh dipermainkan Iz. Kita kena  fikir semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan ini. Bahtera rumah tangga bukan mudah untuk dikemudikan. Apakah Iz sudah siap untuk menghadapi semua itu?” 

“ Azie.” Panggil Izham perlahan. Azie berpaling lantas memandang Izham,. Dari  sudut kecil pandangan  anak matanya, Azie seolah-olah meminta sedikit keyakinan agar dia yakin dengan ucapan yang keluar dari bibir Izham sebentar tadi.

Izham mengukir sebuah senyuman, merenung tepat  ke dalam anak mata gadis tinggi lampai, berwajah bujur sireh dengan rona warna kulit kuning langsat itu.

“ Azie. Dalam rumahtangga kedua-duanya memainkan peranan penting. Kesetiaan dan tolak ansur merupakan asas dalam penyatuan dua jiwa ini untuk mengharungi alam rumah tangga.” Perlahan-lahan bibirnya mengungkap kata-kata itu.

“ Percayalah Azie. Iz takkan sia-siakan Azie.” Begitu pasti Izham menuturkan janji dan kata-kata itu.

Tersenyum Azie lega mendengar kejujuran dan keikhlasan hati Izham ketika itu. Azie percaya Izham mampu membahagiakan dirinya.


Keretakan kasih


     ” Azie cuma inginkan kepastian dari Iz. Kenapa Iz buat Azie macam ni? Azie semakin keliru dengan perubahan sikap Iz sekarang. Apa salah Azie pada Iz?”

Izham diam. Menjawab tidak, memandang Azie pun tidak. Pandangannya dilemparkan jauh ke arah tasik Titiwangsa yang menerima semakin ramai pengunjung. Terutamanya  pada hujung minggu seperti hari ini.

Namun kehadiran pengunjung yang datang tidak menganggu kosentrasi kekalutan yang sedang bergelut antara dua hati itu.

” Iz.”

” Apa dia?” Jengkil sahaja nadanya.

Terlucut rasa jantung Azie waktu itu, lemah seluruh sendi-sendinya. Jauh di sudut hati kecilnya, jelas nampak kebencian Izham padanya kini.

Sedikit pun lelaki itu tidak berpaling padanya, apatah lagi merenung matanya sewaktu berbicara. Izham yang Azie kenali kini sudah mula menampakan perubahan yang ketara.

” Iz. Kalau benci katakan benci. Jangan buat Azie macam ni.” Dalam sebak Azie merayu. Hatinya sudah tidak mampu untuk menanggung kecelaruan ini.

” Azie. Tolonglah. Kalau nak jumpa Iz semata-mata nak buang masa macam ni baik tak payah. Banyak lagi perkara lain yang berfaedah tahu tak?”

Tersentak Azie mendengarnya.

Pertemuan yang membuang masa? Apakah dia seorang sahaja yang cuba pertahankan hubungan yang terjalin?

” Cukuplah Azie. Iz rasa dah tak ada apa yang nak dicakapkan. Iz ada kerja. Iz minta diri dulu.”

Izham berlalu meninggalkan Azie yang tercengang dengan perlakuan Izham tika itu.

Mujurlah dia datang dengan keretanya sendiri. Kalau tak,tidak mustahil untuk dia dibiarkan pulang bersendirian oleh lelaki itu. 

 Azie…

Lamunannya mati seraya bahunya terasa hangat disentuhi tapak tangan seseorang. Puan Sabrina berdiri di samping Azie. Mengukir senyuman. Sayu matanya memandang keadaan anaknya waktu itu. Walaupun dia tidak berada di tempat Azie. Namun dia tahu apa yang dirasai Azie tika ini  Kesengsaraan yang di rasai buah hatinya itu dapat dilihat dari keadaan wajah Azie yang pucat dan tidak bermaya itu. Mukanya juga sudah berubah menjadi cengkung.

“ Azie. Sampai bila Azie nak macam ni.?”

Soalan itu dibiarkan sepi oleh Azie. Bukannya dia tidak mahu menjawab soalan itu, tetapi dia sendiri tidak tahu sampai bila dia harus begini. Menangisi permergiaan orang yang mengkhianati janji-janji yang pernah diungkapkan sebelum ini.

“ Azie. Azie harus kuat untuk menghadapi semua ini.”

“ Mama. Azie tak tahu apa pengakhiran cerita cinta kami. Azie digantung tanpa sebarang jawapan pasti dari dia. Azie malu pada diri Azie. Azie malu kerana menagih cinta dari orang yang dan tak sudi mencintai. Lama Azie menanti jawapan dari dia. Dan akhirnya ini yang Azie dapat. Berita yang tidak pernah Azie bayangi. Dan orang yang tidak pernah Azie sangka akan menikam Azie seperti ini.” Azie tidak dapat menahan sebaknya sewaktu meluahkan apa yang terbuku di hati. Apa yang terpaksa ditanggung selama ini. Hanya dia yang tahu. 

“ Azie. Ibu faham perasaan Azie. Kerana ibu juga seorang wanita. Tapi Azie kena terima bahawasanya antara Azie dan Izham tidak ada jodoh untuk hidup bersama. Azie kena ingat, kita ada Dia. Dia Yang Maha Esa. Dia yang mengaturkan setiap pertemuan dan perpisahan. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi mengapa perpisan ini terjadi. Sebaiknya Azie menangis sekarang, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan sayang.” Pujuk Puan Sabrina memeluk tubuh Azie erat, mengusap lembut halusnya rambut anak gadisnya. Terluah rasa kasih dan sayang seorang ibu dalam dakapan itu.

“ Pintalah pada Dia Azie. Mengadulah pada Dia. Hanya Dia yang bisa menenangkan hatimu sayang. Kerana Dia Maha Mendengar dan tidak pernah jemu untuk mendengar setiap kesengsaraan hambaNya. 

Air mata Azie terus mencurah di dalam dakapan ibunya itu. Kata-kata nasihat itu bagai memberi satu semangat baru buat dirinya. Ya, dia akan meminta dan mengadu pada Tuhan Yang Satu. 

“ Percayalah sayang. Mama yakin Tuhan akan ketemukan Azie dengan Adam yang lebih baik.” Pujuk Puan Sabrina terus mengusap dan memujuk lembut anaknya. Dalam hatinya berdoa agar anaknya diberi kekuatan semangat dan ketabahan untuk menghadapi semua dugaan ini. Dia tahu betapa terlukanya hati Azie tika ini.

Hati wanita mana yang tidak terhiris mengingatkan kata-kata dan janji-janji manis seorang lelaki yang akhirnya bertukar menjadi kata dan janji-janji dusta. Sudah Azie membuka hatinya untuk menerima Izham sebagai teman hidupnya. Sehingga menolak semua cinta-cinta yang ingin bertandang ke dalam hatinya semata-mata mengingatkan janji dari Izham.

Namun apalah daya sebagai seorang insan dan hamba yang lemah di muka bumi ini. Hanya mampu merancang apa yang terbaik. Namun hanya Tuhan yang tahu penentuan yang terbaik dalam hidup setiap hamba yang diKasihiNya.


Kerelaan Hati


       Ya Allah……

Hambamu ini memohon padaMu. Berikanlah kekuatan untuk aku menghadapi semua dugaan ini dengan penuh ketenangan dan ketakwaan padaMu.

Azie menghentikan doa yang dipanjatkan pada Illahi.  Seketika dia melayan sebak yang terbuku di hati. 

’ Aku harus kuat. Kuat untuk menghadapi semua ini.’ Azie mengentalkan semangatnya. Air mata ini tidak perlu lagi dititiskan hanya kerana seorang lelaki yang penuh keegooan dan menabur kata-kata yang bert ulangkan dusta semata-mata.

Azie menyambung kembali permohonannya pada Illahi.

Dengan rela hati aku redhakan pemergiaan orang yang aku sayangi itu. Berikanlah kebahagiaan pada dua hati yang bertaut itu.  Masukkan cahaya kebahagiaan dan keimanan pada keduanya. Kurniakanlah cahaya mata yang soleh dan solehah buat mereka berdua. Lancarkanlah majlis penyatuan dua hati itu. Sesungguhnya mereka sedang melaksanakan satu perkara yang disunnahkan untuk menyambung tali silaturahim antara dua keluarga dan saudara sesama islam dan menambahkan lagi umat Muhamad di atas dunia ini. Aku bermohon Engkau gantikanlah yang hilang, dan kau tumbuhkan lah yang telah patah.


Azie mengaminkan doanya. Hatinya begitu tenang ketika ini. Setenang air sungai yang mengalir mengikut arusnya. Jiwanya bagaikan terubat setelah meluahkan semua kesedihannya pada Tuhan Yang Satu. Bagaikan mendapat satu nur yang baru untuk dia menempuhi semua ini dengan penuh redha. 

Dia sedar sesungguhnya cinta sesama manusia itu tidak akan pernah kekal sepertimana cinta pada Illahi.

Esok dia akan berangkat. Berangkat untuk menunaikan rukun islam kelima. Terasa dirinya begitu bertuah kerana dapat menjejakkan kaki ke tanah suci itu di waktu usianya masih muda dan diberikan kekuatan serta kesihatan yang masih baik. Akan dia abadikan rasa cintanya ini pada Dia Yang Maha Esa.


Semoga kau berbahagia hidup bersamanya. Percayalah, sedikit pun tidak ada perasaan marah mahupun dendam pada kau walaupun aku tahu orang yang kau pilih untuk menggantikan tempat aku di hatimu adalah sahabat baik aku sendiri. Jagalah dia sebaik mungkin Iz. Jangan sekali-kali kau lukakan hatinya. Dan jangan kau biarkan dia bersedih sepertimana apa yang aku rasa selama ini. Bimbingilah dia, nasihatinya ketika dia hampir terlupa, ubati dirinya sewaktu dia sakit, temani dia ketika dia sedang bersedih dan sentiasalah bersamanya ketika susah mahupun senang. Terimalah dia seikhlas hatimu. Aku percaya kau mampu membahagiakan dia. Dan aku tahu dia juga mampu menggembirakan hatimu.

Salam seribu Kemaafan dan Doa kebahagiaan dari insan yang lemah.


Izham melipat surat itu perlahan. Setitis air mata lelaki seegonya jatuh jua. 

“ Kau tidak akan pernah tahu mengapa aku mengambil keputusan sejauh ini Azie. Biarlah aku sahaja yang mengetahuinya….





Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.