Home Cerpen Alternatif Taruhan Cinta
Taruhan Cinta
Nazsuha Faizila
6/9/2016 11:14:12
2,690
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

AWAN mendung berarak laju. Meninggalkan awan putih yang jauh ketinggalan di belakang. Langit yang pada mulanya kelihatan membiru kini semakin lama semakin gelap, kelabu dan mula menghitam. Sinaran cahaya matahari yang pada mulanya memancar terik di atas kepala kini, hilang. Hilang ditutup oleh awan yang sudah menghitam pekat.

“Lela!” Aku mengalihkan pandanganku sebaik sahaja mendengar namaku diseru oleh seseorang.

Dahiku mengerut memandang gadis yang berseluar jeans hitam, berbaju kemeja biru dan bertudung kelabu. Satu kombinasi warna yang cantik bukan?

“Kau buat apa berdiri kat situ? Tenung awan hitam tu bukan ada faedah pun! Cepatlah balik bilik! Nak hujan ni! Baju banyak kat ampaian tu!” Membebel. Itulah hobi rakanku ini.

Aku melepaskan keluhan lemah lantas langkah kuatur mendekati si gadis yang bertubuh agak gempal itu dan sedang bercekak pinggang ke arahku. Kaki kuhayun malas sambil tanganku memegang buku teks Akaun yang tebalnya mengalahkan kamus dewan bahasa dan pustaka.

“Kau ni, mesti buat metafora dalam kepala otak kau tu, kan?” Si gadis yang kupanggil Wani itu tersenyum sinis memandang ke arahku sebaik sahaja aku mendekati dirinya.

Pantas kupandang wajahnya. “Metafora?” Aku tergelak kecil.

Tidak sangka dia mampu menyebut perkataan tersebut. Kukira perkataan tersebut hanya sesuai untuk penulis. Aku tergelak sinis dalam hati.

“Aku tak buat metafora. Aku cuba memerhati sekeliling. That’s how a writer does.” Riak kedengaran nada suaraku. Aku mengangkat kedua-dua belah keningku sebagai tanda aku riak dengan kata-kataku sebentar tadi.

“Lela, tak baik riak tau.” Nadanya kedengaran serius.

Angkatan kedua-dua belah keningku tadi terus sahaja terhenti sebaik sahaja aku mendengar kata-katanya. Kulihat dia memandangku dengan wajah yang serius. Tiada senyuman langsung! Ajaib!

Aku hanya tersengih. Cuba untuk menahan malu dek teguran daripada si gadis yang berasal dari Perak ini.

Tap! Tap! Tap! Tap!

Kami berpandangan sesama sendiri sebaik sahaja mendengar bunyi sesuatu yang datangnya daripada bumbung di atas kepala kami.

“Hujan!” Serentak kami bersuara. Serentak itu juga kami berlari-lari anak. Tujuannya adalah untuk menyelamatkan baju-baju kami yang maha banyak tersidai di ampaian.

Sudahlah bilik kami terletak di blok kolej paling hujung. Blok yang kelima. Selepas itu bilik kami pula terletak di aras tiga! Sudahnya, bersusah payah aku dan Wani memanjat anak tangga yang tinggi melangit ini.

“Habislah baju aku!” Aku yakin fikiran Wani juga sama.

BAJU-baju yang dapat kuselamatkan sebentar tadi kucampak ke atas katil.

‘Bersemadilah kau wahai baju! Malam nanti baru aku lipat kau!’ Sambil membuat ekspresi muka Rika Sumantho dalam hati.

“Farah tak balik lagi?” Kudengar suara Wani bertanya di hujung sana. Aku lantas mengalihkan pandanganku memandang ke arahnya.

“Hmm… belum lagilah tu.” Kemudian, aku mengalihkan pandanganku ke arah katil dan meja belajar milik Farah yang berada bertentangan dengan kedudukan katilku.

“Beg dia tak ada lagi pun. Maknanya dia belum balik lagilah tu.”

“Qila?” Sekali lagi dia bertanya tentang rakan sebilik kami. Kulihat Wani sedang meleraikan butang kemejanya sambil matanya memandang ke arahku sekilas.

Aku mendekati meja belajarku yang kedudukannya bersebelahan dengan meja belajar Qila.

Syaqila, nama penuhnya. Kepala kugeleng sambil meletakkan buku teks Akaun itu di atas meja. Aku tidak pasti sama ada Wani nampak gelengan aku ataupun tidak. Malas aku mahu mengambil tahu. Malas juga aku mahu bercakap.

Mataku meliar melihat sekeliling meja belajarku dan meja belajar Qila sambil telingaku mendengar bebelan daripada Wani. Aku sudah terbiasa. Telingaku sudah lali.

“Tadi, aku nak jatuh kat depan tangga tu. Nasib baik, Lela. Kalau tak malu aku. Dahlah depan senior lelaki. Jatuh saham aku, weh! Manalah aku…”

Dan itu sahaja yang aku sempat dengar daripada mulutnya. Selepas itu, otakku sudah berada di tempat lain sebaik sahaja mataku dapat menangkap satu dokumen ataupun borang yang aku sendiri tidak pasti di atas meja belajar Qila. Dahiku mula mengerut.

“Jabatan Agama Islam Selangor. Borang keputusan ujian darah.” Suaraku tidak kedengaran kerana aku berbisik sabaja.

“Bertujuan untuk… menikah? Nikah?” Membulat terus mataku.

“QILA.” Kupanggil gadis yang bertudung biru itu. Tangan kulambai agar dia datang mendekatiku dan mengambil tempat duduk di sebelahku.

“Kenapa?” Soalnya sambil mengerutkan dahi. Memandang ke arahku.

Aku berdehem seketika. Borang atau dokumen yang aku masih belum pasti itu kusuakan kepadanya.

“Jelaskan. Sekarang.” Gayaku seperti seorang polis yang sedang menyoal siasat suspek. Berlagak! Itulah keburukanku.

Kulihat Qila tunduk sambil matanya memandang kertas putih tersebut. Dia segera mengambil kertas putih tersebut sambil tersenyum ke arahku.

Kuangkat sebelah keningku sebagai tanda aku tidak faham akan reaksinya dan mahukan penjelasan daripadanya. Mungkin dia anggap aku faham senyumannya bersama lesung pipit itu.

Qila kelihatan terangguk-angguk sendiri. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Minta maaf aku tak beritahu pada korang semua awal sebab perkara ini pun mengejut.”

“Perkara apa?” Pantas aku memotong.

“Aku nak nikah hujung bulan ni. Aku nak kahwin!” Ceria! Wajahnya sangat ceria! Nadanya terlalu ceria tatkala dia memberitahu perkara tersebut.

“Hah?! Kahwin?!” Serentak aku dan Wani membuat ekspresi muka yang sama. Terkejut! Ya, memang kami sangat-sangat terkejut!

Kemudian, reaksi mereka bertukar gembira, suka dan ceria. Sama seperti Qila. Mereka berpelukan sambil mengucapkan tahniah.

Aku! Aku hanya terdiam. Membisu. Tanpa sebarang reaksi.

Terkejut? Ya, aku memang masih terkejut!

Gembira? Suka? Ceria? Tidak! Lupakan sahaja reaksi tersebut.

“KAU dah fikir masak-masak?” Entah kali yang ke berapa aku bertanya soalan tersebut kepada si gadis manis ini. Wajahku kelat setiap kali aku menuturkan soalan ini. Sekelat soalan itu yang aku dapat rasakan di hujung lidahku.

Kudengar keluhan lemah keluar daripada mulut Qila. “Ya, Lela. Aku dah fikir masak-masak sangat-sangat dah ni. Kalau buah mangga tu dah hampir busuk dah sebab terlalu masak.”

Aku menghela nafas panjang. “Bukannya apa, aku risaukan kau. Yalah, mana kau nak kejar rumahtangga kau? Mana kau nak kejar pelajaran kau? Lagipun, kau masih muda. Baru 19 tahun. Takkan kau nak sia-siakan masa muda kau, Qila?” Aku cuba memujuk. Kugenggam jarinya agar sama-sama merasai perasaan aku ini.

Qila mengusap genggaman jari-jemari kami. Aku dapat rasakan usapannya itu sangat tenang. Jika usapannya itu mampu berkata pasti berbunyi begini,

“Lela, kau tak payah risaukan aku. Aku tahu aku akan bahagikan masa sebaik mungkin bila bergelar isteri nanti. Kau jangan risaukan aku.”

“Lela, sekarang ramai pelajar yang kahwin muda. Macam Aiman Banna. Contoh paling terdekat. Bahagia. Macam senior kita pun kahwin masa umur baru 20 tahun. Bahagia.”

Aku masih tidak dapat menerima alasan daripadanya. Jauh di sudut hatiku, aku bangkang keputusannya.

Kahwin muda! Memang lari sangat daripada perancangan masa depanku. Bagiku kahwin ini memerlukan komitmen, toleransi serta tanggungjawab yang tinggi. Jangan lupa pula, bersikap matang.

Aku ini masih solo. Boyfriend pun tiada.

“Aku takut… kau salah bertaruh, Qila. Aku takut apa yang kau pertaruhkan kecundang di tengah jalan.”

Qila hanya tersenyum. Aku tidak pasti sama ada dia faham kata-kataku sebentar tadi ataupun tidak.

“Jangan risau. Nik mampu jaga aku. Nik mampu jadi suami yang baik untuk aku.”

Nik, nama bakal suami Qila. Aku hanya tahu Nik sahaja sebagai namanya. Orangnya tinggi lampai. Wajahnya kejantanan dan agak baik bagiku. Aku pernah beberapa kali terserempak dengan jejaka yang berkulit cerah dan memakai kaca mata itu memandangkan kami satu fakulti.

Aku berharap jejaka yang pernah hampir melanggarku kerana asyik dengan telefon pintarnya itu semasa di fakulti, dapat menjaga Qila dengan sebaik-baiknya. Aku hanya mampu berharap dan berdoa. Yang selebihnya mereka berdua yang uruskan.

“Kau risau macam ni sebab takut aku akan hilang dan takkan kawan dengan kau, kan?” Qila mengangkat sebelah keningnya dan aku hanya tersenyum pendek. Tawar pula kurasakan senyumanku ini.

AKU berdiri tegak sambil tangan kananku membuat halangan supaya cahaya matahari tidak masuk tepat ke dalam mataku. Dahiku berkerut seribu dek menahan teriknya mentari. Mataku tepat memandang ke arah satu susuk tubuh yang sudah kupanggil wanita sejak enam bulan yang lalu.

Wanita tersebut memakai selendang hitam bersama jubah berwarna merah jambu. Bersusah-payah wanita itu berjalan ke arahku sambil membawa perutnya yang semakin hari semakin membulat itu. Wajahnya kelihatan muram walaupun dari kejauhan.

Aku dapat rasakan air matanya sekarang sudah bertakung di sekitar tubir matanya walaupun aku tidak dapat melihatnya. Kertas putih erat berada di pegangannya. Hampir renyuk kertas itu jadinya.

“Dah selesai?” Aku bertanya sebaik sahaja dia mendekati aku.

Dia hanya mengangguk lemah. “Dah.” Kemudian, dia menundukkan wajahnya.

“Kau…” Aku menelan liur dahulu sebelum meneruskan bicara. “…nekad?” Sebelah kening kuangkat.

Kulihat dia sedang mengesat air matanya yang mungkin sahaja sedang bertakung di tubir matanya. Anggukan kecil sekali lagi jadi jawapan buat soalanku. Kemudian, dia mengangkat wajah. Memandang tepat ke wajahku.

“Aku nekad nak… bercerai dengan dia.” Ada nada sebak kedengaran di setiap tutur bicaranya.

“Nik… dah curang dengan aku. Dia tak bagi aku nafkah. Dia bawa perempuan lain tidur dengan dia. Dia abaikan aku…” Nafasnya lemah namun, dia kuatkan juga.

Sambungnya, “…dan dia tak pedulikan aku langsung walaupun aku dah berbadan dua sekarang. Anak pertama kami, Lela.” Perutnya diusap perlahan.

“Aku tuntut fasakh dekat mahkamah.” Kertas putih itu ditunjukkan kepadaku. Air mata kulihat tidak henti-henti mengalir menuruni lekuk pipinya yang semakin membulat itu.

Aku mengeluh lemah. “Sekarang macam mana?”

“Buat sementara ni mahkamah tak boleh jatuhkan talak sebab aku tengah mengandung. Lepas aku bersalin nanti baru boleh jatuhkan talak.”

Study kau?” Laju aku memotong.

“Aku nak teruskan. Aku tak nak berhenti macam apa yang aku rancang sebelum ini. Aku nak fokus apa yang ada depan mata aku dulu. Apa yang nyata.” Dia mengesat air matanya dengan hujung lengan jubahnya.

Aku mengusap lengannya. “Baguslah kalau itu keputusan kau. Aku sokong.” Aku tersenyum.

“Sebenarnya, kau kalah pertaruhan. Kau pertaruhkan cinta kau dulu berbanding pelajaran kau. Kau pertaruhkan perkara yang tak nyata berbanding perkara yang nyata.”

Dalam sedu-sedan itu kelihatan bibirnya mula menguntum senyuman. “Memang betul apa yang kau cakap tu, Lela. Aku kalah bertaruh.” Ada ketawa kecil kedengaran di hujung katanya.

“Lela.” Dia memandang tepat ke dalam anak mataku.

Aku hanya mengerutkan dahiku sedikit.

Pantas tubuhku didakap. Erat dakapannya. Aku dapat rasakan.

“Kau kena janji dengan aku satu perkara.”

“Apa dia?”

“Janji dengan aku jangan hilang. Jangan hilang waktu aku perlukan kau. Jangan hilang waktu aku susah dan perlukan pertolongan. Aku tak kisah kalau kau nak hilang waktu aku senang tapi tolonglah jangan hilang waktu aku susah. Sebab aku dah banyak sangat hilang kawan sekarang ni.”

Aku tersenyum. Air mata yang mula bertakung di sekitar tubir mataku cuba kutahan agar tidak tumpah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.