Home Cerpen Alternatif JANGAN LAFAZKAN!
JANGAN LAFAZKAN!
Alfian Mender
20/6/2017 11:05:53
3,362
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Dia tertunduk.


Masa seakan-akan terhenti seketika. Dia cuba membayangkan rupa takdir yang menanti di hadapannya selepas mendengar keputusan yang keluar dari mulut Yang Arif sebentar tadi.


Takdir keluarganya.


“Kita akan buat rayuan. Masih ada peluang,” bisik sang pembela di telinganya.


Sudah terlambat, bisik hatinya membalas. Dia menoleh ke arah ruang galeri mahkamah, tercari-cari sang isteri yang tidak kelihatan.


Isteri dan 5 orang anak.


Mungkin aku pun sudah ditinggalkan, bisiknya lagi. Airmatanya mula bertakung di birai mata.


Aku temanmu. Akan sentiasa menjadi temanmu.


******************************


Aku tertunduk.


Masa terasa begitu lambat berlalu. Bagi setiap detik di luar sana, seakan-akan setahun lamanya berada di ruang nan sempit dan gelap ini. Saban tahun juga, takdir yang sama menantiku. Dipaksa masuk tanpa rela. Terasa begitu kerdil aku diperlakukan bagai anak kecil.


Pertama kali aku ditempatkan di sini, aku merasa begitu terhina. Aku merayu-rayu minta dibebaskan. Bermacam-macam janji keluar dari mulutku, namun tidak dihiraukan. Ini adalah ketetapan hukum semesta yang baru dilestarikan, seiring dengan perubahan zaman. Demikian aku dimaklumkan.


Kalau di luar sana akulah raja, tapi di sini, aku hilang segala-galanya. Lemah dan tidak bermaya. Hilang keanggunanku. Hilang aura mempesonakanku. Kegelapan yang ku rasai di sini begitu asing, begitu menyakitkan. 


Walhal, kegelapan itu sendiri adalah darah dagingku.


Pintu dibuka dan tiba-tiba aku berada di sini.


Aku diheret masuk melalui satu lorong sempit oleh dua pengawal pengiring. Di kiri dan kanan lorong itu, terdengar jerit tangis suara-suara mereka yang senasib denganku. Aku dihumban masuk ke dalam penjara tanpa belas kasihan, sebelum dibiarkan sendirian. Aku ikut sama melolong bersama suara-suara itu, membentuk alunan simfoni yang menyayat hati.


Terasa begitu kerdil aku diperlakukan bagai anak kecil.


Aku meraba-meraba setiap ceruk yang ada di dalam ruangan itu, cuba meneroka tempat tinggalku yang baru. Pandanganku gelap. Semuanya hitam. Lantai tempatku berpijak, kasar dan menyakitkan. Langkah kakiku terhenti bila gerakan kakiku menjadi terbatas. Aku meraba-raba kakiku.


Rantai!


Kemudian aku meraba-raba leherku.


Rantai!


Aku dirantai dalam kegelapan ini seperti binatang. Dan dibiarkan kesejukan tanpa pakaian.


Betapa hinanya aku!


Aku merenung kegelapan alam itu. Siang dan malam sudah tidak wujud di sini. Cuba mengingat kembali kesalahan-kesalahan yang telah ku lakukan sehingga selayaknya aku menerima hukuman sebegini.


******************************


Usah risau, usah ragu. Ramai yang sudah mencuba, dan untung beratus ribu. Ditangkap, dipenjara, tidak semudah itu. Dengar kataku, dengar pesanku.


Dia hanya mendiamkan diri. Akalnya cuba membuat pertimbangan.


Tidak perlu lagi kau berfikir panjang. Ini rezeki, ini peluang. Tidakkah kau ingin untuk hidup senang? Punya harta melimpah ruah dan berekar-ekar tanah ladang?


Dia merenung kertas di tangannya itu. Hatinya kini berada dalam persimpangan.


Fikirkan nasib isteri dan anak-anak. Milah, si anak sulung, perlukan banyak duit masa di universiti kelak. Arif, si anak bongsu, perlukan bantuan sepanjang hayat untuk dia mudah bergerak. Jika benar kau sayangkan mereka, jika ikhlas kau kasihi mereka, nombor keramat itu, usah kau teragak-agak.


Dia mendail nombor yang tertera pada kertas itu. Akal dan hatinya sudah membuat keputusan.


“Hello, Taiko Tai....Err...saya ni. Bila boleh jumpa boss?”


Walhal, aku hanya memberi nasihat.


******************************


Di ruang yang tiada petunjuk masa ini, aku tercari-cari petanda lain yang menjadi petunjuk akan hari kebebasanku. Hanya itu yang mampu aku lakukan. Di samping mengenang kembali detik-detik akhir sebelum aku dihumban ke penjara sepi ini.


Untuk apa? Untuk diinsafi?


Aku tergelak sendiri. Sudah terlambat. Tuhan sudah pun meninggalkanku.


Tiada lagi suara tangis lolong seperti pada masa dikri baru itu mula-mula dikuatkuasakan di segenap kosmos. Semuanya sudah akur dengan undang-undang yang sudah termaktub. Seperti akurnya dengan suratan kehidupan yang sudah tertulis buat kami.


******************************


“Abang hendak ke mana lagi tu? Berbulan-bulan abang tinggalkan kami, abang ke mana sebenarnya?”


     “Itu urusan aku. Kau perempuan tak perlu tahu.”


“Mana abang dapat duit beli semua ni? Rumah banglo ni. Rantai, emas, kereta. Abang buat kerja apa sebenarnya?”


     “Aku cakap kau tak perlu tahu, tak perlu tahulah. Pening kepala aku dengar suara kau ni lah!”


“Abang mencuri, kan? Merompak? Berjudi? Jual dadah?!”


     “Diam, Midah! Kau patutnya bersyukur dapat hidup mewah macam sekarang. Aku bagi betis, kau nak paha. Aku bagi paha, kau nak apa lagi?!”


“Midah tak nak itu semua. Midah tak nak paha, Midah cuma nak....”


Toot.Toot.Toot.


     “Hello, ... Taiko Tai?”


Aku temanmu. Akan sentiasa menjadi temanmu.


******************************


Dari celah-celah kegelapan yang tidak bersempadan itu, mulanya muncul satu titik kemerah-merahan dari kejauhan. Yang semakin lama, semakin merebak. Semakin membesar. Hingga menjadi seperti ufuk jingga yang perlahan-lahan menerangi ruangan ini. Itu adalah tandanya. Bahawa suatu laungan suci sudah tersebar di segenap muka bumi.


Cahaya mengatasi kegelapan.


Untuk suatu permulaan baru seperti terbitnya mentari di timur.


Dan itu juga tandanya, bahawa aku sudah boleh mengecap kebebasan untuk sebelas bulan mendatang.


Rantai pengikat di leher dan kakiku lesap tanpa ku sedari. Pintu penjara terbuka dengan sendiri. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari ruangan durjana itu. Sebaik sahaja kedua-dua kakiku bertapak di luar penjara, aku mula mengukir senyuman. Hari ini adalah hari untuk bergembira dan menyanyi riang.


          Lama ku tunggu bertemu di pagi mulia

          Namun tidak kesampaian airmata jatuh berlinangan

          Ku ingin berulang manisnya bersama menyambut hari bahagia

          Jarak memisahkan rindu pertemuan bilakah hasrat jadi nyata


******************************


Senyumanku semakin lebar, meleret sampai ke cuping telinga, memperlihatkan barisan gigiku yang mula bertukar runcing. Kulitku bertukar warna kemerah-merahan seperti warna api yang menjadi acuan jasadku. Pandangan mataku semakin jelas bila bebola mataku bertukar menjadi hitam sepenuhnya. Kepalaku yang licin botak mula ditumbuhi rambut yang lebat menghitam, beralun panjang menutup separuh wajah.


Aliran kuasa yang datang dari empat penjuru alam mengalir ke segenap tubuhku yang telah kembali ke saiz asalnya. Aku kembali bertenaga. Angin kencang yang bertiup membawa bersama gumpalan kabus hitam yang menyaluti seluruh tubuhku. Logam ganjil dari teras bumi yang menghiasi jubah yang terbentuk itu adalah lambang kekuasaanku yang menjangkau jauh hingga ke tujuh petala bumi. Dari kepala, meleret labuh menyentuh daratan. Aku kembali anggun. Dengan aura mempesonakan.


Dan dari bumi yang merekah, keluar tongkat mohorku yang menjadi simbol kuasa wilayah taklukku.


“AKU, LUNACIFER! SANG PEMBISIK MALAM!”


Gema seruanku, mengumumkan ketibaan sang penguasa dari dunia hitam kembali ke muka bumi.


Dari pusaran awan merah di atas, turun jelmaan seekor kuda hitam bersayap emas dengan sepasang tanduk bercabang tujuh. Tegap berdiri di hadapanku, lalu tunduk menyembah tanda hormat kepadaku.


Ramadheus kesayanganku, dulu manusia, kini tungganganku.


Sebelum aku memulakan misi baru untuk mendapatkan lebih ramai pengikut, aku terlebih dahulu ingin melawat kembali temanku, yang kini masih berada di penjara dunia. Ada berita yang ingin ku bisikkan kepadanya. Dan tawaran istimewa untuk manusia terpilih seperti dirinya.


     Bahawa tuhanmu sudah pun meninggalkanmu, sepertimana Dia meninggalkan aku, saat kau masih terkurung, terkunci di sini sendirian, hingga tiba waktu kematianmu...


     Ketahuilah, bahawa hanya aku yang setia menjadi temanmu, dan hanya aku yang bisa membebaskanmu...


     Bukankah kau pernah berhasrat untuk bertemu semula dengan isteri dan anak-anakmu? Tidakkah kau terasa rindu untuk mengulang semula kemanisan menyambut hari bahagia ini bersama keluargamu? Berapa lama lagi sanggup kau tunggu? Berapa banyak lagi airmatamu sanggup kau biarkan tertumpah jatuh?


     Syawal, hapuskan airmatamu, lafazkan penafian itu, untuk aku segera menjelma di hadapan matamu, dan melunaskan segala janji-janjiku...


     Saat tuhanmu menjauhkan diriNya dari dirimu, ketahuilah bahawa aku, jauh dari mata, dekat dalam jiwa, teguh kasihku tidak berubah... Syawaleus ku...


SEKIAN

[ Dapatkan antologi cerpen PenaWan SAKSIKU CARNATION terbitan CHERMIN BOOKS untuk membaca salah satu karya saya bertajuk "Di Sebalik Bayang Oedipus", bertemakan keganasan rumahtangga ]


Bila takbir bergema,

ingin hatiku ikut sama berseloka di Hari Raya,

menyambut anugerah Aidilfitri ini,

sepertimana manusia lain,

yang miskin... 

yang kaya...


Namun,

airmataku gugur lagi di pagi Syawal ini.

Kerna sudah tertulis buatku,

satu hari di Hari Raya,

akan ketetapan ini.


"Bersabarlah sayang,

buatmu, dari jauh ku pohon maaf,

dan titipkan salamku buat mereka; 

ku pohon restu ayah bonda."


"Bersabarlah sayang,

diriku ibarat musafir di Aidilfitri,

yang merindui indahnya beraya di desa,

yang dahagakan suasana riang di Hari Raya."


"Bersabarlah sayang,

ku kirimkan sepasang kurung biru,

untuk menghiasi dirimu, 

tibanya Syawal nanti."


Demikian dendangmu wahai perantau,

menggamit nostalgia Aidilfiri masa lalu,

padaku, menjelang Hari Raya.


Cuma doaku,

moga kepulanganmu yang dinanti,

balik ke kampung tercinta suatu masa nanti,

kelak diiringi suara takbir,

di pagi Aidilfitri sebegini.


Pulanglah kanda di lebaran ini,

kembali ke halaman asmara.

Pulanglah dikau di Hari Raya,

sucikan hatimu, sesuci lebaran,

laksana setitis cahaya di Aidilfitri.


Buatmu, 

bingkisan untuk perwiraku,

Selamat Hari Raya,

minal aidin wal faizin.


mendalf


*kredit lagu - Airmata Syawal (Siti Nurhaliza)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham