Home Alternatif Umum Di Sebalik Pulau
Di Sebalik Pulau
Zaf Zafirah
28/9/2016 12:05:40
4,423
Kategori: Alternatif
Genre: Umum
Senarai Bab

Pada 24 September 2016, bertempat di SK Pulau Beluru, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah menyampaikan bantuan kepada 550 buah keluarga dari Kg. Pulau Che Soh dan kawasan kepulauan lain yang terletak di Daerah Tumpat, Kelantan. Sumbangan berbentuk pek bantuan makanan itu adalah sebagai persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada penghujung tahun.

Program bantuan ini adalah antara intipati yang terkandung di bawah Projek Desa Lestari – Kelantan. Desa Lestari merupakan salah satu inisiatif IRM untuk memampankan desa menjadi sebuah kawasan yang membangun serta meningkatkan tahap pendapatan ekonomi penduduk terlibat. Usaha ini dilaksanakan dengan meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung. Antara sektor yang akan disentuh di bawah projek ini ialah kehidupan mampan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

IRM tampil menghulurkan bantuan kepada rakyat Kelantan terutamanya di kawasan luar bandar bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Kawasan kepulauan Kg. Pulau Che Soh antara yang terpilih sebagai lokasi Desa Lestari berdasarkan kedudukan geografinya yang unik serta taraf ekonomi dan infrastuktur yang masih rendah. Pengangkutan utama penduduk kepulauan bagi merentasi sungai ialah dengan menggunakan bot atau perahu.

Di sekitar kawasan kepulauan ini terdapat puluhan lagi pulau lain iaitu Pulau Che Soh, Pulau Beluru, Pulau Kerbau, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Timun, Pulau Renjuna, Pulau Raja Muda, Pulau Pak Soh, Pulau Tokang, Pulau Rulah, Pulau Buaya, Pulau Pantai Kuda, Pulau Dollah, Pulau Gagak, Pulau Che Tahir, Pulau Ekor Che Tahir, Pulau Besar, Pulau Seratus, Pulau Sri Tanjung dan Pulau Pantai Suri. Keseluruhan penduduk di gugusan pulau ini ialah 550 buah keluarga yang kesemuanya beragama Islam. Pekerjaan utama penduduk di sini ialah nelayan pesisir pantai dan laut dalam manakala terdapat juga aktiviti pertanian yang dijalankan secara kcil-kecilan seperti penanaman jagung dan kacang tanah.

Dalam program itu, IRM dibawa melawat ke jeti-jeti Pulau Seratus, Pulau Che Soh, Pulau Tongkang, Pulau Pantai Suri dan Pulau Sri Tanjung untuk melihat dan meninjau sendiri keadaan jeti-jeti yang ada antaranya sudah usang. Di bawah Projek Desa Lestari juga, IRM akan menaiktaraf Jeti Pulau Beluru bagi kemudahan dan keselesaan penduduk kampung. Antara cabaran yang sering dihadapi oleh penduduk kampung ialah seperti banjir, hakisan pantai, hakisan sungai dan juga jenayah atau lanun.

Selain bantuan pek makanan dan membaiki infrastuktur, IRM juga akan melaksanakan program-program pembangunan komuniti terutama kepada kaum wanita, kanak-kanak dan remaja serta belia dari kampung-kampung tersebut seperti meningkatkan tahap sosioekonomi wanita dengan menggalakkan wanita melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan, menyediakan landsan terbaik bagi pembangunan modal insan kanak-kanak dan remaja sebagai generasi pelapis kepimpinan negara dan membina generasi belia yang berketerampilan dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan kemahiran dengan memupuk nilai-nilai murni serta gaya hidup yang berkualiti bagi mengukuhkan integrasi nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan wawasan 2020.

Dalam program itu, rata-rata penduduk bersyukur dan berterima kasih kepada IRM kerana hadir menghulurkan bantuan kepada mereka. “Pakcik ucapkan banyak-banyak terima kasih atas sumbangan ini bagi menampung keperluan harian. Terima kasih kerana sudi bantu kami di pulau ini.” – Awang Yaakub.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.