Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri BISIKAN DENDAM
BISIKAN DENDAM
Hayati Salleh
18/5/2017 00:40:53
7,473
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 8


Bunyi hon kereta di luar rumah mengejutkan Senah yang sedang menjemur kain di ampaian di belakang rumah. Biasanya suaminya Megat pulang, tidak pernah Megat menekan hon kereta bertalu-talu sebaliknya Megat akan muncul di pintu dapur. Lagipun pintu utama rumah banglo jarang berkunci kerana pagar tembok yang tinggi memagari rumah Seri sudah cukup untuk membatalkan hasrat mereka yang berniat untuk mencuri atau menceroboh masuk ke dalam rumah Seri.

Senah terkocoh-kocoh menuju ke pintu utama. Pintu utama di buka. Kelihatan sebuah kereta mewah berada di depan pagar rumah Seri. Seorang lelaki yang kemas berpakaian melambai-lambai ke arah Senah. Senah menghampiri pintu pagar.

“Encik, cari siapa?” Senah curiga dengan lelaki yang berdiri di hadapannya. Sudah lama rumah majikannya tidak menerima kunjungan tetamu. Jika dahulu rumah Seri memang meriah dengan kehadiran tetamu yang merupakan rakan perniagaan arwah suaminya dan rakan-rakan Seri yang terdiri daripada golongan elit. Namun, semenjak sakit Seri semakin menjadi-jadi Seri sudah tidak menerima  tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Terpaksa Senah mereka pelbagai alasan sehinggakan kawan-kawan Seri sudah tidak mahu mengunjungi Seri lagi.

“Saya Omar, saya ingin berjumpa dengan Puan Seri.” Senah mengaru-garu krpalanya yang tidak gatal. Matanya tertacap pada bilik yang dihuni Seri. Gelap! Senah bimbang hendak menyampaikan kepada Seri mengenai kehadiran tetamu yang memperkenalkan diri sebagai Omar. Kali ini matanya berkalih pada wajah Omar.

“Saya tidak pasti puan mahu bertemu encik atau tidak. Encik tunggu di sini sebentar. Saya mahu bertanya pada puan.”

Omar mengangguk. Senah berlari anak masuk ke dalam rumah menuju ke bilik Seri. Berhati-hati Senah mengetuk pintu bilik Seri. Bimbang majikannya masih tidur. Pintu bilik di buka. Wajah Seri terpancul di muka pintu. Seri membetulkan cerucuk sanggulnya. Baju kebaya merah dipakai Seri menyerlahkan penampilannya walaupun wajahnya dimamah usia.

“Puan Seri, ada lelaki mahu berjumpa puan.” Senah menyampaikan hajat lelaki yang berusia dalam linkungan 50-an itu. Seri tersenyum manis.

“Aku sudah tahu dia akan datang bertemu denganku. Jemput dia masuk dan bawa dia ke ruang tamu.” Seri menutup semula pintu bilik. Senah segera mendapatkan Omar yang sedang gelisah menunggu di luar pagar rumah. Omar di jemput masuk ke dalam rumah. Senah meninggalkan Omar di ruang tamu. Senah ke dapur menyediakan air untuk tetamu majikannya.

Bunyi tapak kasuk tumit tinggi dari tingkat atas menarik perhatian Omar. Omar memerhati susuk tubuh wanita berkebaya merah sedang mengatur langkah menghampirinya. Omar terpesona akan penampilan Seri. Tidak percaya wanita yang disebut-sebut orang sudah berusia 70-an masih lagi anggun dan bergaya. Seri duduk bertentangan dengan Omar.

“Aku Seri. Senah memberitahuku, kau mahu berjumpa denganku.” Seri melihat Omar masih lagi terkejut melihatnya. Seri mengukir senyuman membuatkan Omar resah. Namun, Omar sedar dia perlu berhati-hari menutur bicara dengan wanita dihadapannya. Andai buruk sikapnya, padah menanti. Seri bukan wanita sebarangan. Pertemuannya dengan Seri segalanya diatur oleh kawannya yang pernah menggunakan perkhidmatan Seri.

“Saya..saya Omar. Saya datang ini kerana...” belum sempat Omar menghabiskan ayatnya, Senah menghampiri mereka mendulang air. Omar berasa tidak senang akan kehadiran Senah. Seri seolah-olah mengerti segera menyuruh Senah menyusun pokok-pokok bunganya di taman bunya miliknya. Senah menurut tanpa bertanya.

“Apa kau mahu?” Seri bertanya sekali lagi setelah kelibat Senah hilang dari pandangan mata.  Seri minum kopi yang telah disediakan oleh Senah.

Omar segera mengerluarkan sekeping gambar dari poket baju kemajanya, lalu dihulurkan pada Seri. Seri megerutkan dahinya sambail menatap gambar kaku seorang lelaki yang sudah berusia.

“Saya mahu kamu buatkan dia menderita sebelum dia mati. Berapa pun bayarannya saya akan sediakan.” Omar ketawa sinis. Omar tahu Seri seorang yang handal. Manusia sanggup buat apa sahaja demi wang. Seri melemparkan kembali gambar yang diberi Omar ke atas meja.Seri mendengus marah. Seri tahu Omar fikir dia mahukan wang. Seri sudah ada segalanya. Dia tidak perlukan wang!

“Aku boleh bantumu, tapi bersyarat. Aku tidak mahu wang. Aku menolongmu bukan untuk wang.” Omar menelan air liur. Sangkaannya meleset. Omar seharusnya sedar bahawa Seri mewarisi harta peninggalan arwah suaminya yang belum tentu habis jika diwarisi kepada beberapa keturunan sekalipun. 

“Saya bersetuju dengan segala syarat yang kamu inginkan supaya impian saya tercapai.” Tanpa berfikir panjang Omar terus bersetuju dengan syarat yang masih belum diterangkan oleh Seri. Seri tersenyum. Nampaknya jerat yang dipasang mengena.

“Ingat Omar persetujuanmu tidak boleh ditarik balik. Kelak, buruk padahnya.” Seri memberi meningatkan Omar dengan nada berbaur ancaman.

Seri mengambil kembali gambar yang dilemparkan di atas meja. Ditenungnya wajah yang bakal menjadi mangsanya. Wajah lelaki itu seperti Seri pernah lihat tapi seri tidak dapat mengingati raut wajah tenang itu.

“Kenapa kau mahu dia menderita? Dia seperti seorang lelaki yang baik-baik.” Seri memandang wajah serba-salah Omar. Tanpa Seri sedari terbit perasaan simpati terhadap bakal mangsanya.

“Dia abangku. Dia telah mewarisi sebahagian besar harta keluargaku. Aku tahu, aku hanya anak angkat.” Omar berbecerita dengan penuh perasaan benci terhadap abangnya.

“Kau harus bersyukur walaupun kau anak ANGKAT atau boleh jadi ANAK PUNGUT, kau masih menerima harta dari keluarganya. Kau memang seorang tidak mengenang budi Omar.” Seri sengaja menekankan perkataan ANGKAT dan ANAK PUNGUT. Seri mahu menguji sejauh manakah Omar menyanyangi abangnya. Muka Omar merah kerana marah mendengar kata-kata Seri. Namun, dia segera mengingatkan dirinya supaya tidak terlalu angkuh berhadapan dengan Seri.

“Banyak perkara yang membuatkan saya membencinya. Saya benci melihat kebahagiaan keluarganya. Saya benci melihat kemajuan perniagaannya. Saya benci masyarakat menyanjungi dia. Sedangkan saya segalanya dilihat buruk dan  jahat,” suara Omar sedikit meninggi. Perasaan marah yang membuak-buak.

Seri ketawa melihat Omar. Nampaknya, Omar seorang yang sangat berjiwa kotor dan berdendam.

“Siapa nama abangmu dan nama emak kandungnya?” Seri melemparkan senyuman manis pada Omar. Omar kaget.

“Nama dia Osman bin Sudin. Emak, Ramlah Jalaini.” Osman menulis nama di atas helaian kertas kecil lalu menyerahkan pada Seri. Dia tidak mahu Seri terlupa.

“Apa pekerjaannya?” Hati Seri terdetik ingin minta kepastian dari Omar. Omar mengangguk.

“Tadi saya sudah beritahu dia ahli perniagaan. Dahulu dia seorang guru. Usia dalam 70-an.” Omar memberi maklumat yang lebih lengkap kepada Seri.

“Baiklah, aku akan buat seperti kau mahu.” Omar menanti permintaan Seri dengan penuh kesabaran.

“Syarat pertama, kau perlu bawakan aku sehelai baju dan beberapa helai  rambut abangmu. Syarat kedua,sediakan semangkuk darah gadis yang masih suci.Itu sahaja syarat kau perlu penuhi. Syarat-syarat lain akan aku beritahu kemudian.” 

“Darah?” Omar resah. Syarat kedua, syarat yang agak sukar dia laksanakan. Jika syarat pertama dia tidak risau kerana dia bebas keluar masuk ke dalam rumah abangnya. Walaupun dia membenci abangnya, dia masih berbuat baik demi kepentingan dirinya.

“Syarat itu tidak sukar bagimu bukan. Bukan engkau tidak biasa didampingi anak-anak gadis. Ingat Omar persetujuanmu tidak boleh ditarik balik. Buruk padahnya” Seri meninggalkan Omar yang termangu keseorangan. Omar menjangkakan Seri meletakkan syarat sediakan pulut kuning  ayam panggang. Paling tidak pun pengeras yang mudah dia laksanakan. Omar terkejut apabila Seri mengetahui sisi gelap kehidupannya. Omar akui dia suka berfoya-foya dan memiliki beberapa perempuan simpanan. Disebabkan sikapnya itulah dia bercerai dengan isterinya. Tetapi disebalik perwatakan itu, dia masih bertanggungjawab terhadap anak-anaknya setelah bekas isterinya enggan menjaga anak-anaknya kerana suami barunya tidak menyukai kehadiran mereka. Dia memang seorang yang suka berfoya-foya tetapi dia bukan seorang pembunuh!. Omar tidak sedar bahawa dia kini berada di landasan kehidupan sebagai seorang pembunuh yang mempergunakan nama Seri sebagai pembunuh.

Omar segera meninggalkan rumah Seri. Senah yang sedang menyusun pasu-pasu bunga di taman hanya melihat langkah kalut Omar.Senah tahu keberadaannya di dalam rumah tadi tidak disenangi Omar. Senah tertenya-tanya kehadiran Omar di rumah banglo milik Seri. Senah curiga. Senah mengenali hampir kesemua rakan-rakan majikannya tetapi tidak Omar. Perbincangan antara Seri dan Omar dilihat serius.

*************

Mawar pulang ke kampus menjalani kehidupan seperti seorang pelajar. Disebabkan Mawar berada di tahun akhir pengajian Mawar dan Qalisya mengurangkan aktiviti menyertai program yang dianjurkan oleh universiti kerana ingin memberi lebih tumpuan pada projek tahuk akhir yang diwajibkan kepada semua pelajar sebelum tamat belajar. Mawar dan Qalisya juga mula mencari syarikat-syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan untuk pelajar yang baru tamat bergraduasi. Malam itu, ketika usai solat isyak, Qalisya mengajak Mawar makan malam di kafeteria asrama yang dihuni oleh mereka. Mawar bersetuju kerana sudah lama meraka tidak keluar makan bersama kera sibuk dengan urusan harian lantaran Mawar dan Qalisya berlainan kursus pengajian.

“Qalisya, Masa cuti pertengahan semester kita ada program ke Rumah Permata Qasidah selama empat hari. Jadi, ada baki cuti empat hari. Baki empat hari lagi ikut Mawar balik kampung Mawar ya!” Mawar memberitahu khabar gembira pada Qalisya. Pada awalnya, Mawar ingin memberitahu kepada Qalisya sebaik sahaja Seri memberi keizinan, tapi memikirkan ulangtahun kelahiran Qalisya jatuh pada cuti pertengahan semester, Mawar ingin buat kejutan untuk Qalisya.

“Betul ke? Majikan keluarga awak dah beri keizinan ke?” Qalisya inginkan kepastian. Mawar mengangguk mengiyakan.

“Tetapi, saya nak ingatkan awak dirumah majikan saya  ada kawasan larangan. Saya kena pastikan awak tidak masuk ke kawasan larangan di rumah majikan saya.” Qalisya ketawa lucu melihat Mawar serius mengingati Qalisya tentang ‘kawasan larangan’. Qalisya tahu sebagai tetamu dia haruslah menghormati permintaan tuan rumah.

“Kalau saya masuk juga ke kawasan larangan?” sengaja Qalisya mengusik Mawar.

“Ada dua pilihan. Awak atau saya akan mati dan pilihan kedua awak kena selesaikan masalah itu dengan majikan saya.” Mawar meneruskan suapan nasi goreng ke dalam mulutnya. Qalisya ketawa kecil mendengar celoteh Mawar. 

“Program di Rumah Permata Qasidah tu awak sudah dapat penajaan ke?” Qalisya tahu Mawar ahli jawatankuasa untuk penajaan. Qalisya pula  bertindak sebagai setiausaha untuk projek tersebut.

“Sudah!” Selera Mawar mati saat Qalisya mengingatkan Mawar tentang program yang akan dilaksanakan oleh kelab mereka.  Qalisya ketawa. Mujur di kafe tidak ramai pelajar. Qalisya tahu Mawar tidak suka membicarakan soal pelajaran atau tugasan lain jika mereka sedang makan atau melakukan aktiviti santai.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.