Home Novel Seram/Misteri Hantu Jepun
Hantu Jepun
fiona izy
9/6/2018 07:48:15
11,568
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 4

Sepanjang perjalanan pulang itu, Kahariah diam menyepi. Dia hanya mendengar sahaja perbualan kak Marissa dengan mama. Peluh yang merecik keluar dari dahi itu terasa dingin apabila terkena pendingin hawa yang dipasang di dalam kereta.

Kahariah membatu. Dalam fikiran, dia masih lagi keliru dengan mimpi yang dialaminya sebentar tadi. Bertambah keliru apabila kak Marissa pulang sekelip mata sedangkan tadi mama memberitahu mahu membeli hadiah untuk kak Marissa. Tiada pun mama beritahu kak Marissa akan pulang hari ini juga.

Kahariah melepaskan keluhan. Pening!

“Yaya, Yaya okey ke sayang?” Suara mama kedengaran.

Marissa yang duduk di sebelah tempat pemandu hanya ketawa kecil. Dia tahu adiknya itu masih lagi malu kerana mengigau di dalam kereta. Sempat lagi mengigau siang-siang ni.

Kahariah mengalihkan badannya di tengah-tengah tempat duduk belakang supaya senang bercakap dengan mama dan kak Marissa. Dalam hatinya berdoa, janganlah kakaknya menjadikan dia bahan untuk diejek selepas dia mengigau tadi.

“Mama tak bagi tahu Yaya pun kak Marissa nak balik?” soal Yaya dengan nada tidak puas hati.

“Alahai, mama sebenarnya nak buat kejutan untuk Yaya. Semalamkan Yaya tanya mama bila kak Marissa nak balik.” jawab Fatihah.

“Oh, Yaya sebut nama akak lah ni. Patutlah akak tersedak-sedak aje,” sampuk Marissa.

Kahariah melentokkan kepala di penyandar kepala tempat duduk Marissa. “Yalah akak. Yaya nak ajak akak tengok persembahan Yaya nanti.”

“Tarian Jepun tu ke?” soal Marissa. Dia sedia maklum adiknya akan membuat persembahan tarian Jepun sempena Festival Jepun yang akan diadakan di Greentown Sabtu ini. Kahariah memang bergiat aktif di dalam persatuan Jepun sejak memasuki tingkatan 1.

Marissa memang kagum dengan adiknya. Bertuah betul Kahariah kerana dia pandai berbahasa Jepun. Ini bermakna, dalam ahli keluarganya, Kahariah pandai berbahasa Melayu, Inggeris dan Jepun. Marissa tumpang bangga dengan kelebihan salah seorang ahli keluarganya yang fasih berbahasa Jepun. Tambahan pula, dia dan Kahariah pernah berimpian mahu ke negara Matahari Terbit itu satu hari nanti. Waktu itu Kahariah akan memudahkan perjalanan mereka ke sana andai impian mereka dimakbulkan Tuhan.

“Apa nama tarian tu, Yaya?” soal mama.

“Mama lupa la tu. Soran Bushi,” jawab Kahariah.

“Jomlah mama pergi tengok Yaya menari nanti. Kita bawa opah nak? Mesti opah terkejut Yaya menari.” Marissa ketawa.

Begitu juga mama dan Kahariah.

“Erm, tak boleh la Marissa. Mama memang sibuk bulan ni. Nak pula ada perasmian bangunan baru hospital tu nanti. Penat tau.” terang Fatihah. Yalah, kadang kala dia juga kecewa dengan dirinya. Dia hanya mampu mengikuti perkembangan anak-anaknya sahaja. Hendak menemani anak-anaknya pula, ada ketikanya dia tidak berkesempatan kerana tuntutan kerja.

“Erm, sebab tu la Yaya nak ajak akak. Mama memang sibuk pun. Termasuklah si Letchumy yang jadi jaga kat wad mama tu. Sibuk sampai sanggup tipu Yaya.” kata Kahariah. Kahariah mula membuka cerita hal petang tadi. Geram betul dengan Letchumy.

“Esok lusa kalau Yaya jumpa dia, Yaya nak kenakan dia. Pemalas.” tambah Kahariah lagi.

“Mama pun hairan. Betul ke Yaya, dia beritahu Yaya macam tu?” soal Fatihah sekali lagi. Dalam masa yang sama dia cuba mengingati semula apa yang dilakukan, dengan siapa dia bercakap dan ke mana dia pergi sepanjang waktu kerja.

“Betul mama. Letchumy tu yakin aje bagi jawapan dekat Yaya. Tahi lembu betul!” marah Yaya. Memang dia sakit hati dengan pengawal itu. Sudahlah tadi bajunya basah. Tak pasal-pasal dia terpaksa menahan sejuk dek terkena hujan tadi. Tiada langsung rasa simpati dalam diri pengawal itu melihat keadaannya. Apalah salahnya Letchumy beritahu perkara yang betul.

“Tadi kawan mama ada beritahu mama. Tak tahulah betul ke tak.” Fatihah memberitahu. Riak wajahnya nampak resah ketika mahu memulakan cerita.

“Apa, ma?” soal Kahariah dan Marissa, serentak.

“Tadi , Cik Adlina beritahu mama, dia ingatkan mama duduk dekat pantri. Mama memang biasa pergi pantri.” Fatihah membuka cerita.

“Lepas tu?” Marissa pula menyoal.

“Selalunyalah memang mama pergi pantri. Tadi mama pergi pantri sekali je, pukul 9.30 pagi. Lepas makan, mama sambung balik kerja. Tapi Cik Adlina kata dia nampak mama pukul 11 pagi tadi.”

“Erm, ke jam mama rosak?” soal Kahariah. Ada nada ketawa di hujungnya. Manalah tahu tekaannya tepat. Mama, kalau dah sibuk, memang tak ingat dah nak tengok jam.

Fatihah cepat-cepat melihat jam di tangan kanannya. “Elok lagi la jam mama,” balas Fatihah sambil menunjukkan jam yang dipakainya kepada anak-anak.

Marissa dan Kahariah melihat jam tersebut.

Kahariah mencebik. “Ala, entah-entah kawan mama tu bergurau je kut. Nak pulak kebetulan Letchumy hari ini saja nak mengenakan Yaya, tak gitu kak?” bidas Kahariah.

Marissa memeluk tubuhnya. Lama dia berfikir. “Yalah ma, boleh jadi kebetulan. Tapikan ma, dua minggu lepas, kawan sebelah bilik Marissa kena histeria. Yang peliknya, Marissa ada dalam bilik tapi Marissa tak dengar pun.”

“Dah tu, macam mana akak boleh tahu kawan akak tu histeria pulak?” soal Kahariah. Dalam fikirannya dia mula membayangkan asrama kak Marissa di Kolej Canselor, UPM itu. Dia juga tahu asrama kak Marissa memandangkan semenjak kak Marissa menuntut di UPM 3 tahun lepas, Marissa biasa membantu kakaknya membawa barang naik ke bilik yang terletak di aras 4 blok Malinja itu.

“Tu la yang akak peliknya. Mama, Yaya tahu tak macam mana akak boleh tahu? Sebab akak dengar ramai orang berlari-lari kat aras akak tu. Akak pun jenguklah. Bila bukak aje pintu, nampak beberapa pelajar lelaki.” Marissa terhenti seketika.

“Lepas tu? Cerita biarlah bagi habis? Yaya nak dengar ni. Esok boleh cerita pula dekat kawan-kawan. Kawan-kawan Yaya suka dengar cerita hantu ni.”

“Aik? Kata tak percaya dengan hantu.” Fatihah mencelah. Sudahnya kisah Marissa di kolej itu terhenti di situ sahaja.

“Yaya tukang cerita aje. Setiap kali habis cerita, Yaya akan cakap macam ni ma, cerita ini hanyalah cerita orang lain, tiada kena mengena dengan pembawa cerita. Kahariah Samsuddin. Sekian terima kasih.”

Fatihah dan Marissa ketawa mendengar pengakuan Kahariah. Kahariah memang terkenal dengan sikapnya yang bersahaja dan pandai melawak. Sebab itu, di rumah ini Kahariah dianggap sebagai penglipur lara. Sunyi jika Kahariah tiada di rumah.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy