Home Novel Seram/Misteri Hantu Jepun
Hantu Jepun
fiona izy
9/6/2018 07:48:15
11,567
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

Kahariah berjalan menuju ke laluan penjalan kaki yang menghubungkan wad- wad yang ada di aras bawah itu. Dia mahu menuju ke bahagian wad bersalin, tempat emaknya bekerja. Nasib baik emaknya bertugas pada waktu ini. Kalau tidak, terpaksalah dia meredah terus berjalan ke rumahnya yang jaraknya dua kilometer dari hospital ini.

Ketika Kahariah membelok ke sebelah kiri di laluan masuk ke wad bersalin, dia terserempak dengan seekor kucing hitam yang sedang tidur nyenyak di tepi sebuah kerusi batu panjang yang ditempatkan berdekatan dengan meja pengawal wad bersalin itu.. Sebelum ini tidak pernah pula dia nampak kucing hitam ini.

Semakin dekat, Kahariah menegur pengawal berbangsa India yang sedang bertugas menyuruh empat pelawat yang sedang berbaris hendak memasuki wad bersalin itu menulis nama di dalam buku log.

“Letchumy,” Kahariah memanggil pengawal itu setelah pelawat akhir selesai menulis maklumat di dalam buku log yang disediakan di atas meja pengawal itu.

 Letchumy memandang ke arah suara itu. “Hei adik. Kenapa baju basah?

Kahariah senyum sinis. Soalan berbasa- basi itu dijawab juga. “Kena hujan la Letchumy.”

“Iya la, hujan lebat la hari ni. Nak jumpa emak ke?” Letchumy bertanya lagi.

Kali ini anak mata Kahariah memandang kucing yang baru sahaja mengeliat bangun tidur. Matanya merenung kucing. Tidak semena-mena kucing betina berwarna hitam itu berlari laju ke arah laluan belakang bangunan hospital meninggalkan Kahariah dengan pengawal berbangsa India.

“Hei, apalah kucing tu. Macam nampak hantu!” Letchumy memandang kucing tersebut yang berlari menyusup hilang ke belakang bangunan hospital.

Letchumy memandang Kahariah. “Mesti adik ni punya pasal. Tengok kucing sudah takut.”

“Eh, apa pula salah saya ni, Letchumy.” jawab Kahariah dengan nada tidak puas

“Yelah, adik basah kuyup, kucing itu ingat hantu la.” kali ini Letchumy tersenyum sinis.

“Mana ada. Letchumy, saya nak jumpa emak saya. Tolonglah panggil dia.” kata Kahariah.

“Nanti kejap.” Lethcumy menarik pintu berjaring besi dan menguncinya sebelum berjalan masuk ke wad bersalin.

Kahariah hanya memerhati lenggok Letchumy yang berbadan gempal itu masuk ke dalam wad. Letchumy sebenarnya muda lima tahun sahaja daripada umur emaknya. Ini bermakna Letchumy berumur 37 tahun. Sepatutnya Kahariah perlu memanggil wanita India itu dengan panggilan mak cik sebagai tanda hormat. Tetapi, entahlah, waktu mula-mula berkenalan, Letchumy yang menyuruhnya memanggil dengan nama sahaja. Mungkin kerana Letchumy tidak berkahwin lagi. Jadi perasaan jadi “mak-mak” itu tiada.

Seketika Letchumy menolak pintu gerigi besi untuk keluar dari wad bersalin. “Adik, emak awak cakap tunggu dia. Dia tengah buat report.”

Jawapan Letchumy itu membuatkan Kahariah mengeluh. Sudahlah bajunya basah. Dia pun sudah mula merasa sejuk. Kalau dapat berjumpa emaknya, boleh juga dia meminjam baju yang disimpan di dalam kereta untuk kecemasan. Kalau dah nama jururawat semuanya kena ada keceemasan.

Dalam kereta Innova milik ayah yang digunakan oleh emak untuk pergi bekerja pun ada peti kecemasan, baju kecemasan, biskut yang disimpan untuk kecemasan. Cuma air minuman sahaja emak tidak simpan di dalam kereta untuk kecemasan. Sebab emak kata air minuman tidak elok disimpan lama di dalam kereta. Boleh mengundang bahaya kepada peminum.

 Erk… mungkin boleh jadi racun kut. Entahlah, Kahariah sudah lupa teori emaknya sebab kenapa air minuman yang disimpan di dalam kereta itu tidak elok.

“Macam mana saya nak buat ni?” Kahariah mengeluh seorang diri tanpa sedar Letchumy yang duduk di meja pengawal itu mendengar butiran keluhannya dengan jelas.

“Adik pergi jalan-jalanlah. Pergi makan ke.” Letchumy memberi cadangan. Simpati juga tengok Kahariah dengan baju basah itu, sudah tentu dia kesejukan.

‘Okeylah, saya pergi kantin. Letchumy tolong saya simpan beg ini boleh?” tanya Kahariah sambil berdiri dan menunjukkan beg sekolahnya yang turut basah.

“Boleh. Simpan sini.” Letchumy mengambil beg tersebut dan meletakkannya di tepi laci meja pengawal itu.

 

 

Kahariah sudah melewati sebuah gerai yang menjual masakan panas di kantin hospital. Kawasan hospital ini sesak kerana sekarang waktu lawatan. Kahariah melihat jam di tangan. Hampir 10 minit lagi waktu melawat hampir tamat. Pada fikirannya, sekejap lagi kawasan kantin ini akan lengang.

Ketika beratur untuk memesan MIlo panas, Kahariah baru teringat beg duitnya tertinggal di dalam beg sekolah yang diserahkan kepada Letchumy untuk disimpan. Kahariah mengetap bibir. Sudahlah dia tebalkan muka berjalan ke kantin ini dengan baju yang basah, duit untuk beli minuman pula tidak dibawa. Kahariah terpaksa keluar dari barisan. Duit di dalam poket juga tiada. Apalah nasib!

 

Lama ke Yaya tunggu mama tadi?” Soal Fatihah kepada anak keduanya.

“Lama juga.

“Kenapa tak panggil mama tadi?”

“Kan dah suruh Letchumy panggil mama, tapi dia kata mama tengah sibuk buat laporan.

“Mana ada Letchumy panggil mama tadi.” Fatihah menidakkan. Seingatnya ketika dia bertugas jam 8 pagi hingga tiga petang tadi, dia hanya sempat melihat pengawal keselamatan perempuan itu lalu di depannya sahaja. Mereka langsung tidak bertegur sapa.

Fatihah sudah biasa dengan situasi itu tambahan pula sejak dua tiga hari ini dia memang sibuk kerana minggu depan Menteri Kementerian Kesihatan akan melawat Hospital Batu Gajah ini sempena perasmian bangunan baharu Hospital Batu Gajah.

“Aik, Letchumy yang cakap dia dah bagi tahu mama Yaya datang tapi dia cakap mama suurh pesan mama sibuk.

Erm… ya ke? Fatihah seolah-oleh tidak percaya dengan kata-kata anaknya.

Mama nak singgah pergi pasar raya dulu ke? Soal Kahariah.

“Iya, mama nak beli hadiah kejap."

“Hadiah? Untuk siapa?”

“Untuk kak Marrissa,”

“Kenapa untuk kak Marissa?” Kahariah tertanya-tanya seolah-olah cemburu dengan kak Marissa.

“Kak Marissa kan nak balik cuti. Mama nak belikan dia hadiah,” balas Fatihah acuh tidak acuh.  

“Amboi, seronoknya. Kalau macam tu Yaya pun nak pergi jauh-jauhlah macam tu. Setiap kali balik kampung, Yaya mesti dapat hadiah dari mama,”

“Jangan harap kalau malas belajar. Kalau Yaya pergi jauh untuk belajar mama bagi hadiah. Kalau pergi jauh sebab berjalan-jalan nak habiskan duit mama dengan baba jangan harap hadiah.

Mendengar kata-kata mamanya membuatkan Kahariah berkecil hati tidak kisahlah kata-kata itu benar atau sekadar gurauaun sahaja.

Malas dia mahu melayan perasaannya, dia mengambil keputusan melelapkan mata dengan harapan sakit hatinya hilang entah ke mana.

Fatihah yang sudah memakir kereta berdekatan pintu masuk utama pasar raya TF itu mematikan enjin.

“Jom.” ajaknya.

“Yaya, nak ikut tak?” Fatihah memandang anaknya. Dia menggeleng apabila melihat Kahariah sudah tidur. Bunyi dengkuran itu walaupun tidak jelas menunjukkan anaknya penat. Mungkin penat disebabkan menunggunya habis kerja tadi.

Lalu, Fatihah terus sahaja membuka pintu sambil di tangannya memegang dompet. Dia terpaksa meninggalkan Kahariah yang sedang lena itu sendirian di dalam kereta. Biarlah, lagipun bukan dia tidak biasa buat begitu. 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy