Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
45,886
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 15

TERDENGAR suasana yang hingar bingar lain macam. Tak tahu dari mana datangnya bunyi riuh-rendah begitu. Rimas sungguh! Buat hati mula panas rasa nak marah. Nak mengamuk pun ada. Mengacau aje orang nak tidur!

Jay bingkas duduk berlunjur sambil menggonyoh-gonyoh mata di atas katil. Kemudian menggaru-garu kepala sambil mata masih terpejam. Tapi kerana suasana yang hingar, diheret juga diri turun dari katil dan keluar dari bilik. Dengan muka yang mamai dan tergaru-garu kepala, dia mengitarkan pandangan. Tercegat dia apabila melihat Hani sedang menvakum di ruang tamu. Perempuan tu vakum sambil berjoget!

Mata yang tadi susah nak dibuka, kini membulat. Panas hatinya! Diperhatikan Hani sambil bercekak pinggang. Dahlah pasang vakum, kau pasang radio jugak. Kuat pulak tu! Tergelek-gelek macam cacing gila.

“Woi! Woi!” laungnya kuat.

Hani yang tak perasan diperhatikan Jay masih memvakum rumah. Pinggulnya bergoyang-goyang mengikut irama lagu Ariana Grande! Side To Side. Malah, dia menyanyi sekali.

“Woi!!!” jerit Jay macam nak tercampak anak tekak.

Terpinga-pinga Hani. Berdiri tegak dia. Macam terdengar-dengar suara seseorang. Punat vakum ditekan. Bunyi bising berhenti serta-merta. Yang kedengaran hanya lagu dari radio.

“Woi, pekak!” Jay memekik lagi.

Tertoleh Hani ke arah Jay. Melopong dia melihat suaminya itu sedang bercekak pinggang. Riak muka macam nak makan orang. Dahlah muka serabut baru bangun tidur.

“Kau pasang lagu kuat-kuat, kau vakum bagai, tergelek-gelek... gila ke? Memekak aje!”

Cepat-cepat Hani memperlahankan volume radio. Jay kata aku tergelek-gelek? Maknanya, dia nampak aku berjoget? Ya ALLAH, malunya! Terasa muka mula memanas. Dia cuba buat muka tembok.

“Boleh pun buka radio perlahan. Ni dah macam disko kau buat. Bergelek macam orang patah pinggang. Orang nak tidur tahu tak? Fikirlah sikit! Otak letak kat lutut!”

Hani terkulat-kulat memandang jam dinding. “Dah pukul 10.30 pun nak tidur lagi ke?”

“Biarlah! Aku mengantuk. Kau apa tahu?”

“Dah, dah... pergi mandi. Dengan air liur basi kat muka tu ada hati nak marah-marah orang. Orang kejut subuh tadi ketuk-ketuk pintu, dia buat dek aje. Tidur mati!” Ditolak Jay supaya masuk semula ke dalam bilik. “Pergilah mandi! Eii...” Ditutup hidungnya sambil muka mencemik-cemik.

“Biarlah!” rengus Jay. Sakit hati tengok Hani mengejek-ejek.

Hani ketawa kecil. Geli hati tengok muka Jay yang lusuh tak mandi tu marah. “Lepas mandi nanti, Abang Jay sarapan ya? Kat atas meja makan tu ada nasi goreng. Makan sampai habis tau.”

Jay diam. Waswas merenung Hani yang tersengih-sengih. Lain macam aje budak ni.

“Oh ya!” Hani tarik tangan Jay. “Sini kejap.”

Jay yang masih terpinga-pinga mengekori Hani ke ruang tamu.

“Nampak tak tu?” tunjuk Hani ke arah port melukis Jay sambil tersenyum-senyum.

Jay menoleh ke arah yang Hani tunjuk. Ruang balkoni ruang tamu itu berubah sikit.

“Saya alih sofa Cleopatra letak kat situ. Kalau Abang Jay penat ke, nak rehat ke... boleh baring kat situ. Baring sambil-sambil cari idea nak buat lukisan yang paling power.” Di hujung ayat Hani tergelak.

Perhatian Jay tak beralih daripada memandang ruang itu. Dia datang mendekat. Hani buat susun atur yang agak cantik. Dah seakan-akan menjadi bilik pula. Cuma tak berdinding saja. Bukan saja ada sofa Cleopatra warna merah, malah ada meja kerja dan kerusi. Lantai dihamparkan dengan karpet jenis cendol warna hijau.

Siap ada pokok bunga berpasu putih. Satu di penjuru kiri dan satu lagi di penjuru kanan. Dia tahu nama pokok tu. Orang Cina panggil pokok duit. Biasanya orang panggil pokok massangeana. Batang pokok itu tinggi dan berdaun hanya di hujung batangnya.

Segala peralatan melukisnya tersusun kemas di rak tepi dinding. Di situ pula ada juga pasu-pasu kecil pokok kaktus. Lukisan-lukisan yang dia dah siapkan Hani letak di atas palet kayu dan bersandar ke dinding. Pandai juga Hani buat dekorasi ruang melukis untuknya.

“Okey tak?” Hani menghampiri Jay.

Jay menoleh ke arah Hani. “Kau buat semua ni, susun cantik-cantik macam ni... ingat aku nak terharu ke?” Dia sangat yakin motif Hani. Kalau tak, kenapa beria-ia buat macam ni? Entah-entah nak pikat aku!

Mendadak Hani tunjuk muka geli. “Eii... jangan nak perasan! Abang Jay dengan barang-barang Abang Jay tu bersepah macam tongkang pecah. Ingat mata saya ni tak sakit tengok rumah saya dah macam tempat pelupusan sampah? Lepas ni kalau Abang Jay sepahkan tempat tu, barang-barang Abang Jay saya humban ke luar tingkap. Huh!” Geram betul dia. Macamlah aku tak ada kerja lain nak buat dia terharu.

Tanpa mempedulikan riak muka Jay, Hani kembali ke vakum. Dihidupkan semula dan menyambung kerja yang tertunda tadi. Kalau aku tunjuk baik aje, Jay kata aku nak ambil hati dia. Tuduh aku nak pikat dia. Eii... tolonglah. Nasi tak dingin, pinggan tak retak. Orang tak ingin... ah, malas aku sambung ayat ni.


-*-*-*-*-*-


BERSELERA Jay makan nasi goreng yang Hani masak. Siap ada telur dadar bersosej. Setakat ni, tak pernah lagi masakan Hani tak sedap. Kena aje dengan seleranya. Air Milo dalam teko yang dah sejuk, sempat lagi Hani ‘alter’ bubuh ais.

Sendirian dia menikmati sarapan di meja makan itu. Sarapan apanya kalau dah pukul 11.00 pagi.

Di ruang tamu sudah tak ada bunyi bising vakum lagi. Tak tahulah Hani tengah buat apa sekarang. Tak reti duduk diam. Ada aje benda yang Hani buat.

Nasi goreng yang dimakan hampir habis. Tapi dia rasa macam tak cukup pula. Padahal, banyak juga yang Hani masak. Tak apalah... kejap lagi Hani masak untuk tengah hari. Bolehlah aku melantak lagi.

Baru terfikirkan Hani, gadis itu betul-betul muncul di situ. Entah dari mana datang, tahu-tahu dah duduk di hadapannya. Terdongak dia memandang Hani yang selamba menuang air Milo ais ke dalam gelas sebelum meneguknya.

“Ahh... leganya.” Hani betul-betul kehausan. Habis air Milo ais itu sekali teguk. Dituang sekali lagi sehingga penuh. “Panas betul hari ni, kan? Baru buat kerja sikit, dia punya peluh... huih... macam air terjun!”

Jay malas nak melayan Hani. Dia buat tak reti. Dihabiskan suapan terakhirnya.

“Pagi tadi saya pergi dusun kat belakang rumah. Bersihkan apa yang patut. Saya ada petik buah nangka muda. Boleh buat masak lemak. Abang Jay mesti tak tahu macam mana rupa dusun sekarang. Abang Jay nak tengok? Dah makin banyak arwah atuk dan arwah nenek tanam pokok buah tau. Dulu tak banyak sangat.” Ramah pula Hani bercerita.

Dusun? Setiap kali dia yang jarang-jarang balik ke sini, tak pernah dia teringin nak tengok dusun. Kisahlah pulak? Tapi dusun kot. Mesti banyak buah-buahan.

“Ada buah apa?” Tiba-tiba dia boleh tanya soalan itu.

“Macam-macam. Pergilah tengok sendiri.” Saja Hani tak nak bagi tahu belum lagi tiba musim buah. Dia nak Jay keluar rumah jalan-jalan, ambil angin, keluarkan peluh. Jangan nak memerap aje. Pelik betul dia dengan Jay. Boleh pulak duduk kat rumah tak keluar ke mana-mana. Kalau tak melukis, melayan komputer buka internet. Tak pun menonton televisyen. Kalau aku dah bosan gila kot!

Baru saja Jay nak membalas, terdengar bunyi kenderaan di luar rumah.

“Siapa yang datang tu?” Hani bingkas meluru ke pintu dapur. Membuntang matanya apabila melihat kenderaan yang diparkir di halaman rumah.

Jay menuang air Milo ais ke dalam gelasnya. Mahu minum.

Demi melihat kereta CRV warna putih, tahulah Hani siapa yang datang. “Mama dengan papa datang!”

Jay yang baru lepas meneguk airnya terus tersembur. Macam nak terjojol keluar matanya membulat.


-*-*-*-*-*-


GIGIH Hani memasak. Macam-macam yang disediakan. Nak menjamu mertualah katakan. Bersendirian dia buat semua itu. Jay sedang berborak dengan Salleh dan Rozilah di ruang tamu. Selesai semuanya, dihidangkan terus di atas meja. Ada ayam masak sambal, nangka muda masak lemak, ikan kering dan pajeri nanas.

“Hei, Hani...”

Tersentak Hani. Dia berpaling. Kelihatan Jay bersilang tangan sambil bersandar di tepi kabinet.

“Jangan nak buat perangai eh? Jangan buka mulut beritahu mama dan papa pasal kita.” Jay beri amaran dengan muka serius.

Idea nakal serta-merta menerpa akal Hani. “Pasal kita? Pasal kita yang mana?”

“Pasal kitalah!” gumam Jay geram. Perlahan suaranya. Takut didengari mama dan papanya.

“Hmm... kita ada buat apa-apa ke?” Mata dikebil-kebilkan. Makin galak Hani mahu menyakat.

“Eh, tak lawaklah!” Geram Jay perhatikan riak muka Hani yang acah-acah comel. Rasa nak tampar. “Jangan cerita kat mama dan papa yang kita tidur asing-asing. Tahu?”

Hani menggigit bibir. Dilepaskan nafas lemah yang panjang. “Saya ni sejenis yang tak suka menipu. Memang takkan menipu. Sebab menipu ni sifat orang munafik.”

Terbakar hati Jay mendengar. Burn!Sentap.

“Tapi kalau mama atau papa tanya pasal kita... selagi saya boleh mengelak, selagi saya boleh berdalih... saya akan cuba asalkan saya tak menipu.” Hani berterus terang tentang pendiriannya. Kemudian dia senyum. “Abang Jay jangan risau. Saya ni pandai simpan rahsia. Dan sangat suka berahsia. Saya takkan buka aib orang. Apatah lagi aib diri sendiri.”

Entah kenapa hati yang tadi terbakar terus sejuk bagai disimbah air terjun. Jay tergamam sendiri. Direnung Hani yang kelihatan benar-benar ikhlas.

“Sedapnya bau. Masak apa tu?”

Mendadak Hani dan Jay menoleh. Suara Rozilah itu buat mereka terkejut. Rozilah dan Salleh dari ruang tamu dan mula menghampiri meja makan.

“Haa... marilah makan, mama... papa. Hani dah siap masak. Baru aje siap. Nak buat air pulak.” Dengan senyuman meleret Hani mempelawa. Bergegas dia mahu membuat air oren ais.

Jay tercangak-cangak. Panik sebenarnya. Tak tahu nak buat apa supaya antara dia dan Hani tak nampak kekok.

“Abang...” panggil Hani lembut.

Jay secara tak sengaja memandang Hani. Seolah-olah dia dah terbiasa mendengar Hani memanggilnya ‘abang’. Bukan ‘Abang Jay’.

“Abang cedoklah nasi untuk mama dan papa. Nasi dah ada atas meja tu.” Selamba Hani menyuruh. Padahal, nak merinding bulu roma panggil Jay ‘abang’.

Salleh dan Rozilah mengambil tempat duduk.

Barulah Jay tersedar daripada kekejungan tadi. Dibuat apa yang Hani suruh.

“Banyak jugak kau masak ni, Hani.” Salleh merenung lauk-pauk yang terhidang di depan mata.

Hani yang sedang memasukkan ais ke dalam jag melemparkan ketawa. “Hani nak papa dan mama makan kenyang-kenyang.”

Sejag air oren yang sudah siap dibancuh dibawa ke meja makan. Dituangkan air ke setiap gelas. Rozilah dan Salleh sudah mula makan. Jay pula baru menyendukkan nasi ke pinggan sendiri.

Tak berlengah, Hani mencedok lauk ayam masak sambal untuk Jay. Tangan sebelah kirinya memaut bahu kanan Jay. Bersahaja. “Cukup tak, bang?”

Terkujat Jay apabila merasa bahunya dipegang Hani. Tak selesa. Namun apabila Rozilah dan Salleh memandang mereka, dia menyengih. “Cukup, cukup.”

Hani mencedokkan kuah lemak pula.

“Dah, Hani.” Jay menahan apabila Hani mahu menambah lauk yang lain pula. “Nanti abang ambil sendiri,” ujarnya teragak-agak. Kekok gila kot mesra-mesra dengan Hani. Eii... gelilah pulak!

Hani duduk di sebelah kanan Jay. Turut makan bersama. Sengaja dia merapatkan sedikit kerusinya dengan Jay. Sampai berlaga bahu! Sempat dia mengerling riak muka Jay yang agak berkerut. Mengekek dia dalam hati.

Tulah... nak sangat berlakon konon. So, aku pun mainkanlah watak seorang isteri solehah yang taat setia. Tak salah, kan?

“Dah lama kita tak makan lauk nangka masak lemak kan, bang?” Rozilah memandang suaminya.

“Awak masak pun jarang, Zilah. Asyik beli kat kedai aje.” Salleh membidas.

“Kat rumah tinggal saya sorang aje pun. Nak masak buat apa? Dahlah saya sorang yang makan. Abang tu selalu dah makan kat luar. Balik rumah aje cakap dah kenyang. Kalau saya masak mesti tak habis. Malaslah saya nak masak. Buat penat aje! Dah penat-penat masak, pergi makan kat luar dah kenapa?”

Haa... tak pasal-pasal Rozilah dah membebel. Padahal tadi elok aje moodnya. Suara emak mertuanya itu kedengaran bingit kerana nadanya yang tinggi.

Salleh yang dah biasa kena bebel dan herdik dengan Rozilah hanya mencemik. Dia selalu makan di luar sebab Rozilah jarang masak kat rumah. Bukan sebab dia selalu makan kat luar, maka Rozilah tak masak. Kan berbeza dua situasi tu. Tapi kalau cakap dengan bininya itu, dia tetap akan kalah. Rozilah mesti nak menang.

“Tambah lagi lauk, mama... papa?” Hani yang tak mahu keadaan jadi tegang, mencelah sambil mendekatkan mangkuk lauk ayam ke arah Salleh dan Rozilah.

Dari bawah meja, tangan kiri Jay mencuit lutut kiri Hani. Hani terperanjat. Mukanya berkerut memandang Jay. Terasa darah menyerbu ke seluruh tubuh. Panas. Pertama kali Jay buat begitu padanya. Semacam ada kejutan elektrik. Dia jadi kaku.

Jay tunjuk isyarat muka supaya Hani diam. Jangan pandai-pandai nak tunjuk berani. Mama tengah marah tu. Diam ajelah! Mengada-ngada nak buat ramah pulak.

Tapi Hani tak faham langsung bahasa isyarat muka Jay itu. Dahlah mukanya terasa panas ketika ini. Nak cuba faham apa yang Jay maksudkan lagi. Tak sampai ke akalnya. Sistem sarafnya tak berhubung.

“Hulurkan nasi tu, Hani.”

Dari memandang muka Jay, Hani menoleh ke depan semula. Kalut dia mengambil bekas nasi, lalu menghulurkan kepada Salleh yang meminta.

“Sebab susah nak dapat lauk nangka ni, papa nak makan lebih sikit.” Salleh mencedok sendiri nasi ke dalam pinggannya. “Nak?” Dihulurkan bekas nasi itu kepada Rozilah.

Rozilah menjeling Salleh. Masih marah. Membuatkan Salleh tak jadi mempelawa Rozilah.

Takut Hani tengok cara Rozilah pandang Salleh. Betul-betul marah ni.

Rozilah menyudahkan suapan terakhirnya dengan muka bengang. Lantas dicuci tangan.

Semua hanya memandang. Tak berani bersuara.

“Nanti ambil luggage mama dalam kereta, Jay! Mama nak masuk bilik. Nak rehat.” Nada Rozilah tegang. Dia beredar dari dapur dengan langkah yang kasar.

Luggage? Bulat mata Jay. Selepas mamanya hilang daripada pandangan, dia memandang Salleh. “Err... tidur sini ke?”

“Hmm...” Salleh mengangguk tanpa melihat Jay. Bersungguh dia makan. Berselera.

Jay dan Hani berpandangan. Ternganga.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.