Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
34,067
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 5

SEJAK pagi mereka berkemas rumah tak sudah-sudah sampai ke petang. Setiap sudut rumah bersih berkilat! Azah keluar dari bilik belakang dengan sebatang bulu ayam di tangan. Mukanya lemah tak bermaya. Jalan pun longlai aje. Dia menuju ke ruang tamu.

Agak kuat volume yang berkumandang di radio. Bergema lagu Hang Pi Mana. Azah menghampiri Hani yang sedang mengelap setiap bingkai gambar dengan tuala kecil. Yang digantung di dinding, di atas almari kabinet... semua dikerjakan. Sesekali Hani bergelek mengikut irama rancak nyanyian kumpulan Khalifah itu.

“Kakak...” Azah bersuara bagaikan merengek.

Pinggul Hani ke kiri dan kanan mengikut rentak irama lagu itu. Bibirnya terkumat-kamit menyanyi perlahan. Tak terdengar panggilan adiknya. Dia dah larut dalam keasyikan lagu itu.

“Kakak!”

Hani menoleh. Nampak muka Azah yang monyok.

“Penat...” rengek Azah sambil menyandarkan tubuh ke dinding. Dipandang Hani yang macam tak pedulikan dia.

“Dah siap ke belum?” Hani tahu Azah mengada-ngada. Buat kerja sikit, penat. Manja sangat!

“Belum...” Perlahan aje Azah bersuara. Muka makin monyok.

“Kenduri minggu depan tau. Banyak lagi kita tak buat.” Hani memperlahankan nada suara radio yang sedang berkumandang.

Azah beralih ke sofa sambil berjalan bagaikan mengheret kaki. “Kak... kita nak buat kenduri doa selamat aje pun. Bukannya nak hari raya. Bukan masuk TV. Tapi berkemas itu ini macam kenduri gilang-gemilang. Cat dinding dapurlah, ganti karpetlah, tukar cadar katil sarung bantal setiap bilik apa semua... semua kena buat.” Di hujung ayat dia mengeluh.

“Kita kan nak merai tetamu.” Hani menghadap adiknya itu.

“Orang yang datang tu nak makan ajelah, kak. Bukan nak check rumah ni. Bukan nak belek satu satu.”

Melihat Azah melentok kepala ke sofa macam dah tak ada kudrat, Hani menghampiri dan duduk di sebelah Azah. Dia meliarkan pandangan ke seluruh ruang tamu itu. Dah kemas, cantik, bersih. Lebar bibirnya tersenyum. Puas.

“Bila adik dah pergi Mesir, kakak tinggal sorang aje. Kalau raya, tak tahulah kakak larat ke tak nak buat semua ni. Hmm... tak apalah. Kakak raya sorang aje pun.” Suara Hani bergetar sebak.

Azah terdiam. Dengan ekor mata dia mengerling Hani sekilas. Rasa berat hati pula nak pergi. Tunduk dia bermain dengan jari-jemari sendiri. Dahlah kakaknya itu...

“Tak jadilah nak ke Mesir.”

Mendadak mata Hani terbeliak dan terduduk tegak memandang Azah. “Jangan mengadalah!”

Sayu wajah Azah. “Habis, kakak...”

“Kakak bukannya budak kecik. Adik tu... tunaikan impian arwah ibu. Tahu?”

Diam Azah mengiakan. Memang itu impian arwah ibu dulu. Memori demi memori bagaikan berlayar depan mata. “Dah tiga tahun arwah ibu pergi.” Nafas panjang dilepaskan perlahan-lahan.

Hani merenung siling. Begitu cepat masa berlalu.

“Tak sangka ibu pun tinggalkan kita. Mula-mula dulu atuk dengan nenek. Lepas tu, ayah pulak meninggal sebab sakit jantung.” Azah menyambung lagi. Nadanya kedengaran sayu.

Hani berdiri. Tak nak terus hanyut dengan kenangan. Nanti tak pasal-pasal air mata berderai. “Eh, mana handphone kakak?” Dia tercari-cari. Ketika melihat telefon bimbitnya di atas kabinet bingkai gambar, dicapainya.

Azah rasa geram dengan kakaknya itu. Orang baru aje nak feeling. Potong stim betul!

“Dari hari tu kakak call Suri tak dapat-dapat. Hantar mesej pun tak reply. WhatsApp dia macam tak berfungsi.” Hani merungut sambil cuba menghubungi sahabatnya itu.

Pelik Azah. Berkerut dahinya. “Takkan tukar nombor kot.”

Hani mengangkat bahu. Dia pun tak tahu kenapa. Mendengar di hujung talian disambut oleh operator, dia mematikan panggilan. Mengeluh dia dibuatnya.

“Tak dapat?”

Hani menggeleng. Dia duduk semula di sebelah Azah. “Memang pelik. Kakak nak jemput dia datang kenduri ni.”

“Kalau tukar nombor, takkanlah tak bagi tahu kakak. Sahabat paling karib kot. Macam belangkas. Tapi sejak dia kahwin, dah ada anak... susah betul kita nak jumpa dia sekarang ni. Padahal, duduk taman perumahan sebelah kampung kita ni aje.”

“Orang dah kahwin lain komitmen dia, dik oii.”

“Tulah... siapa suruh kahwin muda. Muda-muda lagi dah kelek anak. Kena control dengan suami. Tak merasa hidup berdikari.”

Hani menepuk paha Azah agak kuat.

“Adeh!” Muka Azah terseringai menahan pedih. Digosok-gosok pangkal pahanya.

“Dah jodoh dia. Cakap macam orang tak percaya takdir. Memang eloklah adik pergi belajar kat Mesir tu.”

“Yalah, yalah...” Azah mengalah. “Adik bagi pendapat aje pun!” Dia beralih jauh sedikit. Takut kena tepuk lagi.

“Mak bapak dia pun dah pindah. Duduk kat Kedah. Kalau masih duduk kat kampung ni, senang sikit ceritanya.” Hani masih terfikir-fikir bagaimana nak menjemput sahabatnya itu.

“Esok kakak pergi ajelah rumah Kak Suri. Buat apa peningkan kepala? Bukan kakak tak tahu kat mana rumah Kak Suri.”

“Dulu, kakak pernah pergi rumah Suri. Tapi suami dia macam tak suka aje kakak datang. Asyik menjeling aje. Tu yang kakak serik nak datang lagi.” Hani duduk bersandar. Teringat peristiwa itu.

Azah merenung Hani. Muka Hani yang kecil, bermata bulat dan berdagu runcing menjadi tatapan matanya. Kulit Hani lebih cerah berbandingnya. “Cantik rambut kakak. Lurus tapi berombak sikit.” Tangannya bermain-main dengan hujung rambut panjang Hani yang diikat satu itu.

Hani membiarkan saja.

“Kenapa muka kita tak sama?”

Hani memandang Azah. “Kita bukannya kembar.”

“Sebab kakak ikut muka arwah ibu. Muka adik ni banyak ikut arwah ayah.” Kemudian Azah berdecit.

“Arwah ayah handsome.” Meleret senyuman Hani.

Muka Azah sedikit monyok. “Kakak nak cakap adik ni macam lelakilah?”

“Jangan nak merepek!” Hani mencubit pipi Azah. Geram. Suka cakap merepek.

Azah tak rasa sakit pun dicubit begitu. “Kenapalah adik tak ikut muka arwah ibu?”

Dahi Hani berkerut.

“Kalau tak, muka adik pun macam kakak. Macam Selena Gomez.”

Berdekah Hani ketawa. Lawak betullah Azah ni. Tergeleng-geleng dia.

“Betul, kak. Kawan-kawan adik cakap macam tu. Dulu, adik tak perasan langsung. Tapi makin lama bila kakak makin dewasa, memang macam rupa Selena. Cemburunya...” Azah memonyok.

“Banyaklah kau punya Selena Gomez. Nak muntah kakak dengar.” Hani bingkas berdiri sambil ketawa. “Dah, dah... bangun! Sambung buat kerja. Selagi tak siap, malam ni jangan makan!” ugutnya. Terus dia berlalu ke dapur.

“Alah...” Azah buat muka tak rela. “Kakak!” Dia sudah nak merengek. “Kakak!”

Hani tak menoleh. Bibir yang tersimpul senyuman disembunyikan. Sebelum Azah berjauhan dengannya, dia nak buli adiknya itu puas-puas!


-*-*-*-*-*-


RALIT Jay menatang palet pewarna. Dipandang kertas lukisan di hadapannya agak lama. Kemudian berus di tangan dicalit sedikit warna biru dan menatakan di atas kertas. Baru 30 peratus siap. Seketika, dia merenung kembali lukisan itu.

Matanya beralih pada telefon bimbit di atas katil. Bunyinya bertubi-tubi sejak tadi. Dari grup WhatsApp. Diletak ke tepi palet pewarna dan berus di atas meja. Dengan tangan yang sedikit comot dengan pewarna, telefon bimbit dicapai. Lalu, dia berbaring selesa.

Melihat apa yang dibaca, matanya membulat. Ternganga dia dibuatnya. “Liana futher studykat Melbourne? O... M... G...”

Dia membaca lagi mesej di dalam grup WhatsApp itu. Satu demi satu. Dari atas sampailah ke bawah. Semua ucapkan tahniah pada Liana. Sambil menahan rasa berat hati, dia hantar juga mesej tahniah untuk Liana.

Congratulation, Liana! Syoknya dapat further master. Kat Melbourne pulak tu. Susahlah nak jumpa lepas ni. Rindu kita orang nanti.

“Ceh! Kita orang konon. Cakap ajelah aku yang rindu kat dia.” Jay mencemik diri sendiri.

Hey... chill, dude! Kita boleh contact each other macam biasa.

Balasan Liana dibaca dengan jiwa yang tawar. “Kalau dah duduk jauh-jauh, bila masa nak bercinta? Macam mana nak tunjuk yang aku betul-betul serius suka kat dia?” Jay mengeluh.

Mesej daripada rakan-rakan lain masuk. Dia baca tanpa perasaan. Namun apabila perbincangan makin rancak, sehingga ada yang ajak bercuti meraikan Liana, dia mula betul-betul fokus. Dia hanya membaca. Cari peluang mencelah. Muka yang monyok mula berubah ceria. Senyuman meleret-leret teruja!

“Lepak ramai-ramai kat PD esok jom. Nak celebrate untuk Liana sekali.” Mesej daripada kawan-kawan yang lain dibacanya. “Gila aku tak nak join? Peluang baik ni!”

Setelah berbincang, mereka mencapai kata sepakat. Tak ramai yang dapat meluangkan masa. Mungkin hanya 14 orang saja.

“Ah, tak kisahlah tak ramai pun. Yang penting Liana ada. Dapat mandi-manda, main banana boat sama-sama. Bila lagi nak dapat peluang macam ni?” Jay ketawa. Seronok betul dia.

Dipeluk bantal dengan erat. Mula berangan macam-macam dengan Liana. Wajah gadis itu bermain di mata. Esok dia nak sentiasa di sisi Liana. Nak jalan berpimpin tangan sepanjang pantai sambil membiarkan ombak mengacah-acah kaki mereka. Lebar bibirnya menyengih. Syok sendiri. Padahal, berangan aje lebih!

“Eh, Jay...” Serentak itu bunyi pintu bilik dibuka dari luar.

Jay yang memeluk bantal spontan duduk di birai katil dengan muka terkejut. Melihat mamanya, dia berkerut muka rasa nak marah. “Lain kali ketuklah dulu pintu, ma. Janganlah main redah. Dah banyak kali orang cakap. Sebelum masuk, ketuk pintu dulu.” Digaru-garu kepala. Rasa rimas.

Rozilah buat muka waswas. “Kau buat apa sampai aku nak kena ketuk pintu dulu?” Dia mengerling lukisan di atas easel. Air mukanya jelas kelihatan meluat dengan apa yang dipandang. “Tak habis-habis melukis! Satu habuk pun tak ada hasil,” cemuhnya.

Dah agak dah. Asyik membebel benda yang sama aje. Muak dia dengar. Jay dah bersedia nak pekakkan telinga. Riak mukanya berubah toya.

Rozilah berdiri berpeluk tubuh menghadap anaknya itu. Muka serius. “Esok pagi ikut mama!” Arahan yang sangat tegas.

“Esok?” Muka monyok Jay bertambah cemberut.

“Esok, kau ikut mama dengan papa.” Rozilah terus keluar dari bilik Jay. Tak mahu dengar Jay membangkang.

“Ma!”

Tapi pintu sudah tertutup.

Jay rasa macam nak menangis. “Esok orang nak pergi PD. Nak jumpa Liana. Aduhh...” Terduduk dia di birai katil. Rambutnya yang separas leher itu digenggam dengan kedua-dua tangan. “Eeii..!!” Diketap gigi kuat-kuat.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.