Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
45,719
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 8

DARI sudut ruang tamu itu, Hani mendengar dengan jelas lafaz ijab kabul walaupun ruang itu agak sesak dengan tetamu. Semua setuju mengatakan lafaz itu sah. Maka selepas itu, bacaan doa kedengaran. Hani menadah tangan mengaminkan bacaan doa. Mudah-mudahan keputusannya menerima Jay itu tepat. Mudah-mudahan juga ALLAH memanjangkan jodohnya hingga ke jannah dengan bahagia.

Namun setiap kali bibirnya menyebut ‘amin’, menyerbu perasaan sebak di dada. Tak semena-mena matanya bergenang. Tak tahu kenapa. Ditahan agar air matanya tidak gugur ketika ini.

“Kakak... tahniah, kakak!” Azah yang duduk di sebelah Hani sejurus bacaan doa selesai memeluk kakaknya dengan erat. “Adik doakan kakak bahagia hingga akhir hayat.” Sayu hati melepaskan satu-satunya kakak yang dia ada kepada orang lain. Dan tatkala Hani membalas dakapannya, air matanya berderai ke pipi. Antara gembira dan sebak, dua-dua menggelodak dalam hatinya.

“Dah, dah... jangan menangis,” pujuk Hani apabila terasa tubuh Azah terenjut-enjut. “Kalau pun kakak dah kahwin, kakak takkan abaikan adik. Kakak tetap sayang adik. Sampai bila-bila.” Tak tertahan lagi, mengalir jua air matanya.

“Hani...” Rozilah mencuit bahu Hani. “Nak sarung cincin tu.”

Hani dan Azah melepaskan pelukan masing-masing. Segera diseka air mata dengan hujung jari.

Ketika Hani mendongak, yang memenuhi tatapan matanya kini wajah Jay. Kacak berbaju Melayu putih, bersamping songket dan bersongkok. Rambut Jay panjang mencecah leher. Wajahnya masih seperti dulu. Malah, bertambah kacak walaupun tanpa misai atau janggut. Gaya Jay seakan-akan Zac Efron.

Jay bertentangan mata dengan Hani. Langsung tidak ada debaran di hati. Tidak ada walau sedetik pun rasa terpesona tatkala melihat Hani. Ya, memang Hani cantik. Kelihatan sempurna. Ayu berbusana baju kurung warna putih, tudung putih serta bermekap sedikit. Wajah Hani yang kecil itu cerah bersih. Mata bulat dan berdagu runcing. Tetapi hatinya sudah penuh dengan wajah Liana. Tidak ada ruang sikit pun untuk orang lain. Apatah lagi Hani.

“Sarunglah cincinnya. Takkan dari tadi nak pandang aje,” tegur Rozilah sambil menyenggol Jay.

Dengan separuh hati, Jay duduk berlutut di hadapan Hani. Bersedia mencapai sebentuk cincin yang dihulur Rozilah.

Hani dengan dada yang bergemuruh debar menundukkan wajah. Dan apabila jarinya disentuh Jay, bagaikan ada arus elektrik mengalir hingga mengejangkan tubuh untuk bertindak balas. Dibiarkan saja Jay memegang tangannya. Cincin emas bentuk melingkar berpermata akhirnya disarung kemas di jari manis Hani.

“Salam tangan suami tu, Hani.” Mahara menyuruh.

Teragak-agak Hani. Salam? Dipandang mak ngahnya itu. Dipandang Rozilah pula. Kemudian memandang Azah, juga sekeliling mereka yang masing-masing memegang telefon berkamera. Ya ALLAH... segannya! Tumpuannya beralih ke arah Jay yang jelas kelihatan kekok berdepan dengannya. Nak tak nak, dia menghulurkan kedua-dua belah tangan.

Jay merenung tangan Hani. Rasa macam nak tepis. Berbulu hatinya melihat muka Hani ketika ini. Kalau tak kerana mereka dikelilingi orang ramai, sudah lama dia tinggalkan rumah itu.

Rozilah menyenggol lagi lengan Jay. Direnung Jay tajam sambil mengetap gigi. Menahan perasaan geram yang meluap-luap. Di matanya, dia nampak Jay menunjuk riak muka tak rela.

Kerana kerlingan tajam Rozilah, Jay menyambut tangan Hani tanpa perasaan. Dibiarkan Hani tunduk mencium tangannya.

Hani sebak ketika bibirnya menyentuh tangan Jay. Terasa status sebagai isteri yang baru disandang bukanlah mimpi. Naluri seorang isteri mengalir bagaikan meresap ke setiap saluran darah. Membuatkan mukanya kini kemerahan dan bagaikan berpijar panas. Pelik sungguh perasaan ini.


-*-*-*-*-*-


MELEWATI jam 3.00 petang, tetamu mula beransur pulang dan semakin lengang. Hani yang masih berbusana pernikahan mula berkemas-kemas di bawah khemah. Mujur makanan mencukupi. Bahkan, masih berbaki sedikit lagi.

Azah pula masih melayan kawan-kawannya berborak di sebuah meja. Dibiarkan saja. Mak cik-mak cik, pak cik-pak cik dan sepupu-sepupunya sudah masuk ke dalam rumah. Jay pun sama. Rasanya tak ada lagi tetamu yang datang. Namun, ada sebuah teksi berhenti di hadapan rumah. Saat melihat sesusuk tubuh yang melolos keluar dari teksi itu, mendadak dia melangkah menghampiri.

“Suri?” tegur Hani dengan muka berkerut.

Suri yang sedang mendukung anaknya yang masih kecil menoleh. “Hani!” Dia tersenyum mendapatkan sahabatnya itu.

Mereka berpelukan erat penuh rasa rindu. Teksi tadi kelihatan berlalu pergi.

“Ya ALLAH... aku ingat kau tak datang, Suri.” Hani melepaskan pelukan apabila anak Suri mula merengek kelemasan. “Dah besar dah dia. Comelnya...” Dicubit manja pipi anak lelaki Suri itu.

Anak Suri mengelak, menyorokkan muka di bahu Suri.

Suri tergelak. “Dia ni susah sikit nak kat orang lain. Salam Auntie Hani, Aqmal...” suruhnya pula.

Aqmal tetap melentokkan kepala di bahu Suri.

“Dia baru bangun tidur, Hani. Tu yang tak ada mood.”

“Tak apalah. Jom kita masuk. Makan dulu.” Hani menarik lengan Suri. Mereka duduk di sebuah meja.

Ketika itu Azah menghampiri. Dia bersalaman dengan Suri.

“Tahniah, Azah. Bila nak ke Mesir?” Suri senyum bahagia. Tumpang gembira.

“Lusa, Kak Suri.”

“Belajar betul-betul tau. Jangan hampakan kakak awak ni.”

“Insya-ALLAH. Kak Suri berbuallah dengan kakak. Biar Azah yang ambilkan air dengan makanan untuk Kak Suri.” Azah menawarkan diri dan terus berlalu ke meja hidangan.

Suri merenung langkah Azah. “Bagus adik kau tu. Belajar pandai, makin cantik sekarang ni.”

Hani senyum. “Ni apa cerita ni, Suri? Susah betul nak contact kau sekarang. Pergi rumah kau tak ada orang.” Inilah soalan yang nak sangat dia tanya. Yang buat dia keliru dengan situasi Suri.

“Rumah tu nak jual. Aku duduk kat kampung Abang Badrol sekarang ni. Tak ada line internet kat situ. Line telefon pun teruk. Tapi nasib baiklah aku terima jugak SMS kau.”

Dahi Hani sedikit berkerut. Macam tak percaya. “Ni kau datang naik teksi dari Klang ke? Abang Bad tak datang sekali?”

“Abang Bad kerja. Alhamdulillah... sampai jugak aku ke mari. Aku nak sangat tengok kau kahwin. Tahniah, Hani. Cantik betul kau hari ni. Mana Abang Jay?” Suri terjengah-jengah dia mencari lelaki yang berpakaian baju Melayu sedondon dengan Hani.

“Ada kat dalam rumah. Penatlah tu agaknya. Panas pulak tu.” Itu sajalah yang Hani boleh jawab. Ikut persepsi sendiri. Sebab sejak dia sah menjadi isteri Jay, mereka langsung tak berbual.

“Tak sangka kau dapat kahwin dengan orang yang kau puja-puja sejak kecik lagi. Mesti kau hari-hari tadah tangan berdoa supaya dapat kahwin dengan dia,” usik Suri sambil ketawa.

“Tak ada maknanya!”

Mereka ketawa mengekeh.

Sepinggan nasi minyak bersama lauk-pauk diletakkan di atas meja. “Makanlah, Kak Suri.” Azah mempelawa. Secawan air sirap turut diletakkan di hadapan Suri. Dia berlalu mendapatkan kawan-kawannya semula. Sambung berboraklah tu.

Tak menunggu, Suri terus menjamu selera. Sesekali dia menyuap nasi ke mulut Aqmal.

Hani memerhati. Makin berkerut wajahnya. Suri nampak kelaparan sangat. Tak pernah sahabatnya begini. Malah, tubuh Suri lebih kurus berbanding dulu.


-*-*-*-*-*-


PERBUALAN di ruang tamu itu apabila makin larut malam, makin rancak kedengaran. Dah tiga empat kali Hani bancuhkan air teh panas untuk mereka. Masih tak habis lagi berbual. Yang menonton televisyen pula ralit sangat. Toto sudah dibentang depan televisyen. Bantal dan selimut semua cukup. Terus tidur di situlah nampaknya. Yang dah tertidur pun ada.

Sesekali Hani memanjangkan leher melihat aksi Jay yang turut berbual dengan pak cik-pak ciknya. Tak kelihatan langsung seperti orang mengantuk. Tak tahulah nak tidur pukul berapa si Jay tu. Sekarang dah pukul 11.30 malam.

Hmm... biar ajelah Jay dengan yang lain-lain tu berborak. Aku dah tak tahan mengantuk ni. Dari sebelum subuh dah bangun uruskan macam-macam, sampailah majlis habis, membawa hingga ke malam melayan semua tetamu. Badan dah rasa penat sangat.

Hani melangkah masuk ke dalam bilik. Senyumannya mekar. Cantik sangat bilik ni. Dia menghela nafas panjang-panjang. Ahh... wangi. Bau aromaterapi daripada essential oil wangian lavender. Bilik itu dia yang gubah sendiri menjadi kamar mempelai. Dia duduk di birai katil. Matanya melilau mencari sesuatu di setiap sudut.

“Tak ada pun beg dia.” Dahinya berkerut berfikir. “Peliknya. Dahlah dari siang tadi dia langsung tak bercakap dengan aku.”

Perlahan-lahan dia membaringkan diri. Termenung dia di situ. Teringat semula detik-detik bagaimana dia sah menjadi isteri Jay. Sukar nak gambarkan bagaimana perasaannya ketika ini. Rasa macam tak percaya. Macam mimpi pun ada.

Hani menguap panjang sambil menutup mulut dengan belakang tapak tangan. Mata mula kuyu. Perlahan-lahan kelopak mata memberat sebelum akhirnya dia terlelap. Keadaan di dalam bilik itu terang-benderang, namun sunyi sepi. Deruan nafas Hani lembut saja. Dia betul-betul hanyut dalam alunan mimpi. Mimpi sebagai seorang pengantin. Sehingga senyumannya terbawa-bawa ke alam realiti.

Dalam mimpi itu, Jay merenungnya dengan pandangan manja. Membuatkan hatinya cair. Apatah lagi apabila Jay meleretkan senyuman. Bagaikan seluruh tubuh dibius rasa cinta. Hingga dia tak mampu mengalihkan pandangan daripada tatapan mata Jay.

Jay merapatinya perlahan. Sehinggalah kini mereka berdepan dan bertentang mata. Jarak antara mereka teramat dekat. Lama mereka bertatapan begitu. Debaran dada kencang menggila. Terasa panas darahnya naik ke muka kerana terlalu malu terus-menerus direnung Jay. Jay makin merapati sehingga tubuh mereka bersentuhan. Bagaikan terkena renjatan elektrik Hani terus memejamkan mata rapat-rapat. Merinding bulu romanya.

Jay menyentuh bahu Hani dengan kedua-dua tangannya. Membuatkan Hani memandang Jay semula. Panahan mata Jay menusuk hingga ke dasar hatinya. Dia terpukau. Dan apabila kedua-dua tangan Jay melurut dari bahu ke lengan, kemudian dari lengan menyentuh pinggang pula, Hani seperti tak dapat nak bernafas. Di pinggang Hani, Jay mengeratkan pegangan. Dipeluk mesra penuh kehangatan. Terpejam mata Hani kerana terlalu malu. Degupan jantung makin kencang. Pelukan itu semakin lama semakin erat.

Hani rasa sesak tak bernafas. Pelukan Jay terlalu erat. Mahu saja dia menolak Jay, tapi seluruh tubuhnya bagaikan dipaku. Nak bergerak seinci pun tak boleh. Tangan Jay merangkulnya lebih erat pula. Tak tertahan sesak nafas, dia meronta-ronta minta dilepaskan.

“Hei, hei, hei...”

Hani masih meronta lagi.

“Hei, hei... kenapa ni?”

Hani yang membuka mata setelah tersedar daripada tidur, terus bingkas bangun dan duduk berlunjur. Bilik yang tadi malap kini terang-benderang semula. Terkejut Hani apabila melihat Azah berpeluk tubuh di tepi dinding berdekatan suis lampu.

“Adik?”

“Kakak mimpi apa ni sampai mengigau?” Azah duduk di birai katil memandang Hani.

Baru Hani tahu yang tadi hanyalah mimpinya saja. Dia beristighfar berkali-kali. Dilepaskan nafas panjang. Barulah lega. Ditoleh ke arah Azah. “Adik buat apa dalam bilik kakak?”

“Temankan kakaklah.”

Mendadak Hani mengangkat kening. Temankan?

“Kakak nak tidur dengan Abang Jay ya?” usik Azah.

Cepat-cepat Hani mencemik. “Eii... mana ada.”

“Tadi adik peluk kakak, kakak ingat Abang Jay yang peluk ya? Tu yang mengigau tu.” Azah ketawa lagi. “Kakak, kakak...” Dia menggeleng-geleng sambil tersengih nakal.

“Kakak mimpi seramlah!” nafi Hani dan mencebik.

Azah masih tak mampu nak sorok senyuman nakal. “Boleh ke adik temankan kakak ni?”

Hani serba salah nak jawab apa. Sejak dah jadi isteri orang, dia seperti mahukan ruang privasi pula.

“Abang Jay yang suruh adik temankan kakak tidur. Dia kata nak bagi adik bermanja dengan kakak puas-puas sebelum ke Mesir.” Akhirnya Azah berterus terang.

Jay cakap macam tu kat Azah? Kenapa dia tak cakap sendiri dengan aku?

“Lagipun, bilik adik tu adik suruh mak ngah dan pak ngah sekeluarga tidur.”

Hani hanya diam.

“Dahlah, adik nak tidur. Mengantuk. Esok kena bangun pagi-pagi nak siapkan sarapan untuk dia orang semua.” Tak menunggu kata-kata Hani, Azah menutup lampu semula. Bilik itu kelam kembali. Hanya lampu tidur yang menyinari.

Mereka merebahkan diri semula. Hani membelakangkan Azah. Pelik sungguh dia dengan Jay. Termenung dia sendirian memikirkan tentang lelaki itu. Hingga tak sedar entah bila dia terlelap semula.


-*-*-*-*-*-


Keesokan harinya...

SERONOK Hani melihat ibu dan bapa saudara serta sepupu-sepupunya menjamu selera pagi itu. Sampai bertambah. Berselera betul mereka makan. Hilang melayang penat yang dirasakan. Pukul 6.00 pagi dia dan Azah dah bertungkus lumus di dapur menyediakan nasi lemak sambal sotong.

Hani sesekali memandang Jay yang turut sama-sama makan di dapur. Masih seperti semalam. Langsung tak bercakap dengannya. Bila ditanya, Jay hanya mengangguk atau menggeleng.

Naik malu pula nak tanya lebih-lebih kalau respons Jay macam tu. Rasa macam terhegeh-hegeh. Lebih-lebih lagi depan keluarga yang lain. Dahlah nak tukar nama panggilan ‘mak usu’ dan ‘pak usu’ jadi ‘mama’ dan ‘papa’ pun rasa macam nak tercekik tekak.

“Kakak...”

Lamunan Hani bertempiaran lari apabila dipanggil Azah.

“Macam hari raya kan, kak? Meriah betul.”

Hani yang sedang mencuci pinggan mangkuk di singki mengerling Azah dengan senyuman. “Hari raya pun tak meriah macam ni.”

“Yalah... sebab masa raya dia orang semua memang tak datang pun rumah kita ni.” Azah ketawa. Terasa lucu dengan hubungan kekeluargaan yang sangat renggang begini. “Dengan sepupu-sepupu sendiri pun tak mesra.”

“Sebab tak selalu jumpa.”

“Tolong basuh pinggan sendiri pun tak nak. Pemalas!” rungut Azah sambil memandang lantai dapur yang penuh dengan pinggan mangkuk kotor. “Lepas makan, dah kenyang... semua cabut pergi depan. Bukan nak menolong!”

“Hisy!” Hani menyenggol pinggang Azah dengan siku. “Tak baik cakap macam tu. Dia orang tu tetamu. Karang kalau ada yang terdengar, jadi gaduh pulak. Merajuk tak nak balik sini lagi.”

“Orang cakap aje.” Azah kembali menyambung membilas pinggan mangkuk yang Hani dah cuci.

Tapi memang betul pun apa yang Azah cakap tu. Anak Pak Ngah Badar empat orang. Mak Uda Hidayah ada lima orang anak. Anak Mak Usu Rozilah pulak ada empat orang. Bukannya kecik-kecik. Semua dah sekolah. Yang belajar kat universiti pun ada. Boleh sangat kalau nak menyuruh sepupu-sepupunya itu buat kerja. Disebabkan mereka tak rapat, Hani jadi segan sendiri.

Mereka mengemas dapur sehinggalah selesai. Dapur yang tadi tunggang-langgang sudah bersih semula. Selesai semuanya, barulah Hani dan Azah ke ruang tamu.

Kelihatan semua sudah cantik-cantik belaka bersiap dengan beg masing-masing.

“Dah nak balik ke semua?” Hani bertanya lurus. Fikirnya, mungkin petang-petang baru semua balik lepas makan tengah hari.

“Baliklah, Hani.” Hidayah yang menyahut. “Mak uda ni nak balik Kelantan. Jauh. Anak-anak nak balik kolej, nak sekolah. Kalau cuti lama-lama nanti masing-masing naik lemak pulak.”

“Dah, dah... jom.” Badar menuju ke pintu rumah.

Yang lain-lain pun mula menuruni anak tangga untuk ke halaman rumah.

Hani dan Azah sama-sama keluar dari rumah. Beberapa bungkusan plastik dibawa bersama. Diserahkan bungkusan-bungkusan itu kepada Mahara, Hidayah dan Rozilah.

“Apa ni, Hani?” Mahara bertanya sambil menyambut bungkusan itu sebelum memasukkan ke dalam but kereta.

“Ada pisang, nangka, betik, buah jambu.” Hani senyum.

“Banyak sangat ni.”

“Rezeki kali ni buah tengah banyak, mak ngah.”

Tersenyum Mahara. Seronok dapat bawa pulang semua itu.

“Nanti kalau musim durian, jangan lupa bagi tahu.” Rozilah memesan pada Hani dan Azah.

“Lambat lagi, mak usu.” Hani membalas.

“Mak usu apa bendanya? Panggil aku mamalah! Aku ni dah jadi mak mertua kau, Hani.” Rozilah selamba ‘sound’ Hani depan yang lain-lain. “Dari semalam panggil aku mak usu,” rengusnya.

Hani terkulat-kulat. Dia tahu mak usunya itu bermulut tajam. Tapi takkan dengan menantu sendiri pun nak laser jugak?

“Mula-mula memanglah asyik tersasul. Nanti dah lama terbiasalah nak panggil ‘mama’.”

Mujur Mak Ngah Mahara nak back upaku. Entah, mak usu ni. Mula-mula memanglah kekok. Tak biasa kot!

Ketika itu, semua mata tiba-tiba tertumpu ke arah tangga rumah apabila Jay turun sambil menjinjit sebuah beg. Siap menyarung kasut sniker sekali.

“Yang kau ni nak ke mana, Jay?” tegur Rozilah dengan riak ragu-ragu.

“Balik sekali.”

Mendadak darah panas Rozilah naik ke muka! “Buat apa nak balik? Kau kena duduk sini dengan Hani.” Nadanya mengeras.

“Nak ambil barang.” Pendek-pendek jawapan balas Jay. Tak dikisahkan langsung reaksi mamanya ketika ini. Apatah lagi riak muka Hani. Kalau aku dah kata tak suka, jangan harap aku nak layan Hani baik-baik.

Hani tercengang. Jay tak cakap apa-apa pun kat aku. Pandang aku sikit pun tak nak. Padahal, aku berdiri depan mama dia ni.

“Nak ambil barang lukisan dialah tu! Heihh..!” Rozilah mendengus. Sakit betul hati dengan perangai bodoh anak sendiri. Menyumpah-nyumpah dia dalam hati.

Jay sudah berlalu ke kereta yang dipandu Salleh.

Rozilah memandang Hani. “Kau jangan risau, Hani. Esok dia balik sini semula. Dia nak ambil barang lukisan dia aje tu.” Terpaksalah dia berhemah begitu dengan Hani.

“Tak apa, mak...” Hani rasa nak gigit lidah sendiri. Hampir tersasul lagi. “Tak apa, mama.”

Rozilah beredar ke keretanya. Mahara pula ke kenderaan yang Badar pandu. Hidayah sekeluarga dah lama masuk ke dalam kereta mereka. Hani dan Azah menghantar dengan pandangan saja. Sebuah Alphard, sebuah Estima dan sebuah CRV. Kenderaan masing-masing besar belaka.

Sampai saja ke CVRnya, Rozilah melolos masuk dan terus memarahi Jay yang duduk di sebelah Salleh. “Kau pergi salam Hani tu, Jay! Apa benda kau ni? Nak balik pun kau tak cakap dengan Hani. Hani tu aku tengok terpinga-pinga. Kalau Hani syak apa-apa, macam mana? Pergi jumpa Hani sekarang aku kata! Pergi!”

“Alahh... dah jumpa tadi kan?” ujar Jay malas-malas.

“Kau pergi jumpa dia sekarang! Kalau tak, kau jangan ikut balik sekali. Melampau betul kau ni. Kalau kau buat perangai macam ni, kantoilah nanti. Tak ada otak ke nak fikir?” marah Rozilah lagi. Kasar betul bahasa dia.

“Pergilah, Jay...” Salleh juga menyuruh. “Hani tu isteri kau. Layanlah dia elok-elok.”

“Nak buat apa? Esok-esok Jay balik sini, hari-hari jumpa dia. Dah, dah... pak ngah dan pak uda dah gerak dah tu.” Jay tetap beralasan. Ditunjuk kenderaan Badar dan Ramli yang mula keluar dari halaman rumah.

“Aku kata pergi jumpa, pergi ajelah!” Rozilah menengking. “Beritahu kau nak ambil barang. Esok balik sini semula. Salam dia sekali. Dah kahwin, buatlah cara dah kahwin! Kau nak Hani syak apa-apa ke? Hah?!” Macam petir suara Rozilah.

“Eii... pergi ajelah, Abang Jay ni. Rimaslah!” Tasha yang duduk di sebelah Rozilah menutup sebelah telinga kanan yang dekat dengan mamanya. Bingit dia dengar suara Rozilah itu.

“Entah, Abang Jay ni. Pergilah cepat! Orang nak balik ni.” Asyikin pula merungut.

“Yalah, yalah!” Dengan hati membentak, Jay membuka pintu. Dilihat kenderaan Badar dan Ramli sudah beredar dari situ. Dia berpaling memandang Hani dan Azah yang sedang memerhati. Berat hati dia nak menghampiri.

“Kenapa Abang Jay tu, kakak?” Azah menyenggol Hani.

Hani hanya mengangkat bahu. Dadanya serta-merta berdebar apabila melihat Jay mendekatinya. Gemuruh seluruh tubuhnya. Nak senyum pun dia rasa tak berdaya. Dia menunggu sehingga Jay berdiri di hadapannya.

“Saya... saya balik.” Jay bagaikan sakit tekak nak bercakap. Nada suaranya keras aje.

Bagai dibius, Hani cuma mengangguk.

Jay memaling ke belakang, melihat Rozilah di tingkap kereta merenungnya tajam. Lalu dipandang Hani semula. Dia menghulurkan tangan. Teragak-agak Hani nak sambut salam itu.

Azah yang jadi penonton rasa geram pulak dengan Hani. Ditumbuk perlahan belakang Hani supaya Jay tak nampak. Nak bagi Hani tu cepat-cepat sambut salam Jay. Termenung pulak dia. Ingat ni drama?

“Err...” Dalam keadaan masih terpana, Hani salam tangan Jay. Mereka bergenggam tangan seketika. Hani pula masih berkira-kira sama ada nak cium atau tak.

Dari ekor mata Jay mengerling Azah. Kekok jadinya dia apabila diperhatikan. Tak tahu nak buat macam mana agar di hadapan Azah dia tak mencurigakan.

Sekali lagi Azah tumbuk belakang Hani. Diketap bibir kegeraman. Eh, eh... cepuk jugak kakak aku ni kang! Boleh pulak main renung-renung mata depan aku.

Automatik Hani tunduk mencium tangan Jay. Tumbukan Hani tu sakit juga walau agak perlahan.

Jay terus menarik tangannya sesudah itu. “Bye.”

Hani yang masih bagai dibius memandang Jay berlalu ke kereta semula. Dihantar kereta itu berlalu dengan pandangan saja.

Azah menyenggol bahu Hani setelah kelibat kereta Salleh sudah tiada. Tersengih-sengih dia. “Eleh... malulah tu!”

Hani memandang Azah. Muka diseriuskan. “Mana ada!” Terasa wajahnya ketika ini bagaikan tak berdarah, tapi panas. Kerana malu, lantas dia beredar masuk ke dalam rumah.

Azah mencemik. “Tak nak mengaku konon. Nyampah!” Tersenyum-senyum dia mengekori Hani.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.