Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
37,238
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 16

MALAM makin larut. Sesudah semua kerja di dapur selesai, Hani menuju ke biliknya. Sebelum ke bilik, dia menjengah ke ruang tamu. Dilihat Salleh dan Suraya dah tak ada di situ. Mesti dah masuk ke dalam bilik. Di sudut balkoni ruang tamu pula dia nampak Jay masih lagi melukis.

Biarlah dia nak melukis sampai pukul berapa pun. Dah hobi dia melukis. Janji tak kacau aku dahlah.

Lalu dia melangkah masuk ke dalam bilik. Dicapai sebuah buku motivasi dari rak dan dibawa ke katil. Dia berbaring selesa sambil membaca buku itu. Sambil membaca tanpa sedar dia terlelap.

Lena dia beradu walau lampu terpasang terang-benderang. Buku tertelangkup ke dada yang berombak perlahan dan tenang.

Namun dia terjaga apabila terasa sebelah tangannya yang menindih bantal di tepinya bergerak dan bagaikan disentak. Mendadak matanya terbuka.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Jay berada di dalam bilik itu. Spontan dia duduk berlunjur. Buku di dadanya tadi tercampak ke tepi hingga jatuh dari katil. Dirapikan baju dan seluar track suit yang dipakai. Risau terselak dan Jay nampak apa-apa yang tak patut.

“Buat apa kat sini hah?”

“Nak ambil bantal ni.” Selamba aje Jay mengambil bantal yang tadi ditindih tangan Hani.

Berkerut muka Hani pandang Jay. “Apasal masuk bilik orang? Lepas tu, nak ambil bantal orang pulak.”

Jay tak ada mood nak melayan cakap Hani. Diambil bantal itu juga tanpa meminta izin. Kemudian dia meliarkan pandangan ke sekeliling bilik itu. Mencari ruang untuk tidur. Hanya lantai di hadapan katil Hani saja yang luas dan sesuai. Tapi hanya beralaskan karpet. Takkan tidur atas karpet. Gatal kot!

“Ada toto tak?”

Makin berkerut Hani dibuatnya. “Nak buat apa pulak toto bagai ni?”

“Nak tidurlah.” Jay membalas dengan nada malas.

“Pergilah tidur bilik sana macam biasa. Apasal tiba-tiba masuk bilik orang ni? Pergi!” Pelik sungguh Hani dengan Jay. Dia yang dulu beria-ia nak tidur bilik asing-asing. Sekarang nak tidur dalam bilik aku pulak. Ada wayar short kat otak Jay agaknya.

Dipandang Jay dengan riak berjaga-jaga. Risau pulak dia. Buatnya datang gila si Jay ni, tak pasal-pasal aje ada adegan yang tak diingini terjadi.

“Ada ke tak ada?” Jay masih menanti jawapan.

“Yang tanya ni kenapa?”

“Eh, cakap ajelah! Ada ke tak ada? Rimas betullah dia ni. Orang tanya tu jawab ajelah!” Jay buat muka cemberut.

Hani mencemik sambil menggeleng.

“Takkan tak ada kot?” Jay dah rasa nak marah.

“Lepas kenduri hari tu saya hantar semua basuh kat dobi. Tak ambil lagi.”

Dihempas diri ke birai katil. Terhenyak Jay duduk di situ. Aduhai...

Hani menepikan kakinya. Dia syak Jay nak memegangnya. Macam nak tunggu masa ambil kesempatan. Lain macam betullah! Tiba-tiba aje masuk bilik orang. Bahaya jugak Abang Jay ni. Jangan-jangan dia...

“Dah, dah... pergi keluar. Dah keluar tu tutup pintu rapat-rapat. Tutup lampu sekali. Orang nak tidur ni. Pergi tidur,” suruh Hani. Malaslah nak bertekak. Orang mengantuk ni. Jam dinding ketika ini menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi.

“Aku tidur sini.”

Membulat mata Hani. “Hah?” Terkejut.

Jay merenung Hani. Dia amat pasti yang Hani pura-pura terkejut. Meluatnya! “Tak payah nak happy sangatlah! Aku tidur sini sebab mama suruh. Macamlah kau tak tahu yang mama dan papa dah tidur kat bilik aku.”

Hani cuba menghadam kata-kata Jay. Berlapis-lapis dahi berfikir. Dia kan baru tersedar daripada tidur. Tengah mamai. Manalah larat nak fikir macam-macam. Baru dia ingat yang Rozilah dan Salleh duduk dalam bilik Jay. Sejak siang lagi dia tahu.

“Habis tu, aku nak tidur mana ni? Takkan atas karpet. Kau nak aku tidur sambil menggaru ke?” Jay pandang lantai kayu itu dengan muka mencemik. Karpet dalam bilik itu jenis berbulu-bulu tebal. Memang sah merenyam punya.

“Eii... dia ni kan...” Hani menggaru-garu kepala. Rasa leceh melayan songeh Jay. “Pergilah tidur dalam bilik lain. Rumah ni ada lagi tiga bilik kosong. Tapi jangan tidur bilik Azah pulak. Pilih bilik yang dua lagi tu. Nak tidur yang mana-mana pun suka hati Abang Jaylah. Apa masalahnya?” Haa... ini yang buat dia keliru. “Bilik aku jugak yang dia nak masuk,” gumamnya perlahan seakan-akan merungut.

Berbulu Jay dengar kata-kata Hani. “Macamlah aku terhegeh-hegeh nak tidur dengan kau. Eh, Hani... aku pun tak naklah tidur kat bilik kau ni. Tapi mama dah warning. Dia suruh aku tidur dengan kau. Tak bagi tidur kat bilik lain.”

Tertelan liur Hani dibuatnya. Maknanya... Terus badannya rasa tak berdarah.

“Siang tadi bila dia masuk bilik aku, dia nampak barang-barang dan baju-baju aku dalam bilik tu. Kantoilah aku! Tak sangka pulak mama dan papa nak bermalam kat sini.” Jay melepaskan nafas panjang. Lemah.

Barulah Hani faham duduk perkara sebenar.

“Mama siap bagi tahu nak buat spot check tengah malam nanti kat bilik lain. Entah apa-apa entah. Macam budak-budak. Haih...” Sekali lagi Jay mengeluh.

Suasana yang tadi tegang, berubah terus. Sunyi. Sepi. Jay membatukan diri. Berfikir tindakan yang seharusnya diambil. Nak tak nak, dia terpaksa tidur dalam bilik Hani. Tapi kalau kena tidur atas karpet berbulu begitu, dah tentulah dia tak boleh tidur lena.

Hani merenung Jay yang duduk membelakangkannya. Kesian pula dia dengan suaminya itu. Jadi mangsa mama sendiri. Nampaknya, Rozilah memang betul-betul nak dia jadi menantu. Sampaikan Jay tidur bilik lain pun kena marah.

“Hmm... macam nilah, Abang Jay.” Akhirnya, Hani bersuara memecahkan keheningan malam yang membeku itu. Dia mahu mencadangkan sesuatu.

Jay memalingkan muka menghadap Hani. Ditunggu apa yang Hani mahu cakap.

“Abang Jay tidur ajelah atas katil ni.”

Gembira Jay dengar cadangan itu. “Okey! Set!” Dia naikkan kaki duduk bersila di atas katil. “Tepi! Tepi! Pergi tidur bawah,” arahnya. Dah tak sabar nak tidur. Mengantuk kot.

“Saya tak cakap pun saya nak tidur kat lantai.”

Senyuman Jay mati. “Habis tu?”

“Abang Jay tidur ajelah sebelah saya.” Memang selamba saja Hani ketika ini.

“Kau jangan nak mengadalah!” Jay menolak mentah-mentah. Sorrylah nak tidur sekatil dengan Hani.

“Tidur ajelah sebelah saya. Katil ni luas. King size. Abang Jay tidur hujung sana, saya tidur hujung sini. Habis cerita.”

“Tak nak aku!” bentak Jay dengan muka monyok.

“Tak nak, sudah!” Hani merebahkan tubuh semula. Dia baring dengan lebih selesa. “Tutup lampu tu. Eii... banyak songeh!” Menyampah dia nak layan sikap demand Jay itu.

“Kau tidurlah bawah, Hani. Cuba hormat sikit kat aku ni. Aku tua daripada kau tau.” Jay masih tak mahu mengalah. Tak ingin dia tidur sekatil dengan Hani. Bahaya, bahaya...

So what?” Naik angin Hani dengan perangai Jay. Orang dah mengantuk, lagi nak melayan kerenah dia pulak. Esok dahlah aku nak kena bangun awal pagi.

Geram sungguh Jay dengan Hani yang tunjuk degil. Kecil besar kecil besar saja dia melihat Hani. “Takkan kau nak aku tidur atas karpet? Kau dah kenapa?”

“Orang dah suruh tidur hujung katil, tidur ajelah! Banyak bunyi pulak. Tak adanya saya nak rogol abanglah!” Haa... kan dah kena ‘sound’. Hani sudah geram sangat dengan Jay sampai terlepas cakap begini.

Terkedu Jay. Tak sangkanya Hani!

“Tutuplah lampu tu cepat. Orang nak tidur tahu tak? Datang bilik orang buat kacau aje. Banyak songeh! Tu tak nak, ni tak nak. Macam-macam hal! Bilanya saya nak tidur? Esok sebelum subuh saya dah kena bangun. Bertimbang rasalah sikit. Pentingkan diri sendiri aje tahu.” Hani membebel pula.

“Janji kau tak apa-apakan aku?”

Hani rasa macam nak sekeh kepala Jay. Diketap gigi menahan geram. “Saya ni nak rogol Abang Jay? Eii... selekeh aje!” Dia buat muka tak hairan langsung pada Jay.

Jay tetap pandang Hani dengan riak sangsi.

“Suka hati Abang Jaylah!” Terus Hani menyelubungkan tubuh dengan selimut. Kepala pun diselubung sekali. Kalau Jay masih tak percaya kat aku jugak, tak tahulah nak cakap apa lagi.

Barulah Jay sedikit yakin dengan kata-kata Hani. Selepas menutup lampu bilik, perlahan-lahan dia memanjat katil. Lampu dari ruang tamu membuatkan bilik itu tak terlalu gelap. Diletak bantal betul-betul di penghujung katil. Baring terlentang dia di situ. Berjaga-jaga.

Bukan boleh percaya sangat Hani ni. Buatnya dia rogol aku, macam mana? Tengok gaya macam buas jugak perempuan tu. Bukan boleh percaya perempuan zaman sekarang.

Lama kemudian suasana semakin hening. Jay masih berjaga merenung siling bilik. Sebelah tangannya menapung di bawah kepala. Manakala sebelah tangan lagi direhatkan di atas perut.

“Huargh!!!” Tiba-tiba Hani menyergah sambil menyingkap selimutnya dengan suara dalam yang seram sampai dia terduduk.

Jay terperanjat sampai tersentak dan terbeliak mata memandang Hani. Bup! Tergolek dia jatuh dari katil.

Mengekek Hani ketawa. Memang lawak gila! Siap tepuk-tepuk tilam sebab kelakar sangat melihat riak muka Jay.

Kurang ajar! Cepat-cepat Jay bingkas bangun. Sakit kot jatuh katil. Tapi sebab marah punya pasal, dah tak peduli dah! Dia panjat katil semula. Bantalnya dicapai lalu memukul Hani yang masih mengekek ketawa.

“Adeh!” Hani hampir nak tertonggeng kena hempuk dengan bantal.

“Diamlah, gila!” Jay letak jari telunjuk ke bibir. “Ketawa macam puntianak malam-malam. Kalau mama dan papa dengar, tak malu ke?”

Tercengang Hani sekejap bila kena marah.

Jay menjeling Hani. Geram. Cari pasal betul perempuan ni!

“Tu pun terkejut,” gumam Hani perlahan sambil bingkas turun dari katil. Diambilkan selimut dari dalam almari untuk Jay. “Nah...” hulurnya.

“Tak payah. Panas.” Dengan penuh ego Jay menolak. Dia baring semula. Masih di hujung-hujung katil.

“Tak nak, sudah.” Hani campak selimut itu ke tengah katil. Suka hatilah nak ke tak nak. Sombong!

Dia turut membaringkan diri di atas katil. Selimut ditarik hingga ke paras dada. Mata dipejamkan rapat-rapat. Mahu segera dibuai mimpi. Tetapi dia sekadar memejamkan mata saja. Langsung tak boleh tidur. Tak tahu kenapa. Mungkin kerana Jay ada di atas katil yang sama.

Lama suasana menghening. Hani masih lagi tak boleh melelapkan mata. Dalam cahaya kelam begitu, dia berpaling memandang Jay. Jay yang baring membelakangkannya pasti sudah hanyut dalam lena. Nampak tubuh Jay sedikit berombak.

Melihat belakang tubuh Jay begitu, hatinya disapa sayu. Dia hanya mampu merenung Jay dari jauh tanpa dapat menyentuh suami sendiri. Sedangkan dia rasa ingin dibelai dengan kasih sayang seseorang yang sudah sah menjadi suaminya.

Tangan dihulur mahu menyentuh tubuh Jay, namun tak kesampaian. Jay jauh darinya. Kalaupun Jay dekat, yang disentuh hanya diri Jay. Tapi dia tak ada harapan untuk menyentuh hati suaminya itu. Mengenangkan itu, ditarik semula tangannya. Mata yang sudah berkaca dipejamkan semula.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.