Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
40,823
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 3

“Nak tambah nasi lagi, bang?” Rozilah mengangkat bekas nasi apabila melihat nasi di pinggan suaminya hampir habis. Dihulur kepada Salleh. “Nak tak? Cepatlah! Berat ni!”

Salleh yang sedang mengunyah menggeleng kepala.

“Hei, dia ni... cakaplah awal-awal tak nak. Kita mengangkat bekas ni bukannya ringan. Berat!” Rozilah merungut. Mangkuk yang agak besar itu diletak semula di atas meja dengan kasar. “Tak nak, sudah! Biar saya yang makan bertambah.” Lalu, dia menyenduk nasi ke pinggannya sendiri.

Salleh hanya memandang. Lauk-pauk yang dibeli Rozilah penuh satu meja. Padahal, mereka makan berdua aje. Macam manalah badan isterinya itu tak membulat?

“Saya nak keluar kejap lagi.”

Rozilah mendongak memandang Salleh. “Pergi mana pulak?” Suaranya nyaring. Muka berkerut. Nak tunjuk yang dia tak suka.

“Jumpa kawan.” Salleh menghabiskan suapan terakhir.

“Hari kerja jumpa kawan. Hari cuti pun nak jumpa kawan. Apasal? Dah tak cukup-cukup nak jumpa kawan kat pejabat ke? Hari cuti pun sibuk nak jumpa kawan. Tak reti duduk rumah! Patutnya, bawa saya jalan-jalan pergi shopping. Ada jugak faedah!” Rozilah berleter kegeraman. Dikerling suaminya yang buat muka endah tak endah. Bertambah geram dia rasa.

“Nak bank in duit kat Tasha sekali.” Salleh membersihkan tangan dengan air dari bekas cuci tangan.

“Minggu lepas abang dah bank in RM200 kat dia. Ni nak bank in lagi? Anak abang tu buat apa kat UKM tu? Belajar ke... berjoli? Memanjang tak cukup duit. Tak reti nak berjimat langsung! Yang abang pun mengikut aje kehendak dia. Dia tu kalau nak beli barang, nak yang branded aje!” Bertambah panjang leteran Rozilah. Terhenti dia nak makan dibuatnya.

“Ikut perangai emaknyalah,” gumam Salleh bersahaja. Dengar tak dengar.

Ketika itu, muncul Jay yang baru turun dari tingkat atas. Menonong dia ke meja makan walau dengar emaknya membebel.

Nampak aje kelibat anaknya itu, tak berlengah Rozilah membebel semula. “Hah! Ni sorang lagi! Dah tengah hari buta baru reti nak bangun. Tahu pulak lapar! Kenapa tak tidur aje, tak payah bangun-bangun terus?”

Dengan bersinglet dan seluar bermuda, Jay mencapai pinggan dan menyenduk nasi serta lauk-pauk. Muka pun masih sememeh lagi. Selamba aje dia. Macam tak buat salah langsung!

“Saya tak tahulah dengan anak abang yang sulung ni.” Rozilah menggeleng melihat lagak Jay yang mula menjamah nasinya. “Dah lima bulan menganggur. Suruh cari kerja ada aje alasan. Pergi interview kat ofis abang pun tak dapat kerja jugak.”

Jay buat endah tak endah. Dia betul-betul lapar.

Interview main-main. Mana nak dapat!” Mengenangkan itu, Salleh jadi ‘angin’. Ditenung wajah Jay yang tak memandangnya. “Papa dah deal dengan staf HR tu suruh dia ambil kau kerja. Tapi kau boleh pulak buat besar kepala masa interview. Macam mana tak kena reject?” Dia mendengus. Geram.

Memang sengaja Jay buat macam tu. Tak ingin dia nak kerja sepejabat dengan papa sendiri. Bosan.

“Nanti papa bagi semula resume kau kat HR lagi sekali. Lepas ni, interview elok-elok. Manager HR tu pun strict sangat. Langsung tak boleh nak kautim.” Salleh mengeluh.

“Tak naklah, papa!” cebik Jay sambil menggeleng.

“Tengok tu!” Sakit hati Rozilah dibuat Jay. Dipandang Salleh. “Hantar aje resume Jay kat ofis abang tu lagi, bang. Lantaklah dia nak ke tak nak. Kita ni fikirkan kesenangan dia. Biar senang dapat pangkat tinggi. Kabel dah ada.”

“Tak naklah!” dengus Jay dengan muka cemberut.

“Mama tak kira. Kali ni pergi interview kau main-main lagi... siaplah!” Rozilah beramaran.

Muncung terus muka Jay. Nak makan pun tak ada selera. Mengenangkan perut lapar, dia makan juga. Ni yang malas ni kalau bercakap dengan Rozilah. Semua kena ikut cakap mamanya itu.

“Kalau tak nak kerja, sambung master,” cadang Salleh.

“Abang jangan nak mengadalah!” Suara Rozilah melengking. “Menghabiskan duit aje! Dari diploma sampai ke degree, tujuh tahun baru habis. Repeat paper tak sudah-sudah! Umur dah 25 tahun baru habis belajar. Orang lain belajar lima tahun aje paling lama pun. Umur 25 patutnya dah kerja. Ni CGPA pun tak sampai 2 pointer. Ada hati nak sambung belajar pulak!”

Rozilah kalau dah membebel, tadah ajelah telinga tu.

“Dah awak paksa dia ambil course yang dia tak suka. Dia nak belajar Art and Design. Awak suruh dia belajar Ekonomi. Benda kalau dia tak suka tapi kena paksa, mana nak jadi.” Salleh membela Jay. Rozilah asyik nak salahkan Jay saja.

“Buat apa belajar seni-seni tu semua? Boleh dapat kerja bagus ke? Besar ke gaji? Tinggi ke pangkat? Nak jadi pelukis konon!” Rozilah mencemik. Tak faham sungguh dia dengan mentaliti orang yang belajar benda-benda yang tak mendatangkan faedah ni.

Melihat Salleh dan Jay diam, Rozilah rasa sudah menang berdebat. Dia menyambung makan semula. “Yang bapaknya tak reti melekat kat rumah. Anak pulak memerap aje dalam bilik. Asyik buat lukisan sampah tak habis-habis!” Dia meluat setiap kali nampak anaknya itu melukis.

Jay langsung tak hiraukan apa yang Rozilah cakap. Sekejapan saja nasi dalam pinggannya dah habis. Dia bingkas bangun menuju ke dapur. Pinggan ditinggalkan dalam singki.

“Nak kerja kat tempat papa? Jangan haraplah...” rungut Jay sambil mencuci tangan. “Interview lagi sekali, aku buat hal lagi. Lagi teruk aku buat. Tengoklah...” ugutnya pula.

Telefon bimbit Rozilah di sebelah pinggannya berbunyi. “Siapa pulak call ni? Orang tengah makan, menyibuk aje.” Melihat nama ‘Hani’ di skrin, dia berdecit. “Apa pulak Hani ni nak entah.”

“Jawab ajelah.” Salleh menyuruh.

Rozilah menjawab panggilan itu sambil lewa. “Helo...”

“Assalamualaikum, mak usu...”

“Hmm... Hani, ada apa call ni?”

Salleh memasang telinga. Nak juga dia tahu kenapa Hani menghubungi isterinya. Jarang si Hani menghubungi mereka.

Ketika itu, Jay muncul dari dapur menghampiri meja makan semula. Air sirap dari jag dituang ke gelasnya.

“Maaflah mengganggu, mak usu. Ni Hani nak menjemput mak usu sekeluarga. Hani nak buat kenduri doa selamat. Mak usu semua datang ya?” Bersopan Hani menjemput.

“Kenduri doa selamat? Sempena apa ni? Tiba-tiba aje.”

“Azah dapat sambung belajar kat Mesir. Buat kenduri kecil-kecil aje, mak usu.” Dengan gembira Hani memberitahu.

“Amboi... sampai ke Mesir dia belajar. Tak nak jauh lagi ke? Macamlah kat Malaysia ni dah tak ada U.”

Hani dapat rasa ‘ketidaksenanghatian’ Rozilah. Tersentap dia.

“Bilanya kau buat kenduri?”

“Hmm...” Disebabkan agak terkejut dengan reaksi Rozilah, Hani tergagap. “Err... lagi tiga minggu... Ahad.”

Setelah habis segelas air diteguk, Jay berlalu dari situ. Mahu naik semula ke bilik. Dia langsung tak nak ambil tahu apa yang dibualkan Rozilah. Maaflah. Tak minat.

Rozilah mengerling anaknya hingga hilang daripada pandangan. “Tengoklah. Kalau aku senang, aku datang.” Dia mematikan talian sesudah dia tak nak bercakap lagi dengan anak saudaranya itu.

“Hani nak buat kenduri? Kenapa?” Salleh bertanya tak menyempat-nyempat.

“Azah dapat sambung belajar kat Mesir.”

Terbeliak Salleh. Memang betullah apa yang dia dengar Rozilah sebut tadi.

“Maknanya...” Mata Rozilah mengecil. “Banyak bahagian untuk Hani yang arwah mak abah dia bagi. Jangan-jangan, bahagian arwah emak dengan abah saya pun dia dapat jugak.”

“Betul jugak tu. Kalau tak, takkanlah dia mampu nak hantar adik dia belajar jauh-jauh. Dia tu pun kalau tak silap baru aje kerja. Tak sampai setahun. Takkanlah dah mampu kumpul banyak duit. Siap nak buat kenduri lagi.”

Kata-kata Salleh itu menguatkan lagi sangkaan Rozilah. Akalnya ligat memikir. Tiba-tiba dia menepuk meja. Dipandang suaminya. “Abang tak payah keluar hari ni! Ikut saya!”

Dahi Salleh berkerut. “Alah... abang dah...”

“Jangan melawan! Yang ni lagi penting.” Rozilah memaksa.

Salleh buat muka tak rela kena paksa. “Nak pergi mana?”

“Ikut ajelah!” Geram betul Rozilah dengan suaminya itu.
Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.