Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
40,823
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 13

“LAPAR...” Jay memegang perutnya yang entah kali ke berapa berbunyi. Dah rasa leper perutnya itu. Berkerut mukanya. Berus lukisan yang sedang dipegang diletakkan ke palet. Air di dalam jag dituangkan ke gelas sehingga penuh. Diteguk sampai habis. Dituang sekali lagi. Sekejap saja air itu habis diteguk.

Seketika rasa laparnya sedikit berkurangan. Tapi perutnya macam bergelodak dengan air sebab asyik minum aje. Air kosong pulak tu! Minum, makan biskut. Minum, makan biskut. Boleh mati kering aku macam ni.

Dia kembali menyambung melukis. Gambar pemandangan tepi pantai. Tapi tak ada rupa pantai lagi. Sebenarnya, dia tak ada mood pun nak melukis.

Rumah bersepah, televisyen terpasang tapi tak ditonton, tingkap rumah pun ada yang tak dibuka. Terkepamlah udara dalam rumah itu. Jay peduli apa! Yang dia kisahkan sekarang perut dia. Apa yang nak diisi? Kalau call mama minta ‘talian hayat’, mesti kena bebel lagi. Boleh berdarah telinga!

Sekali lagi perutnya berbunyi. Dicapai tin biskut. Apabila penutup dibuka, terdengar bunyi detingan. Dia menjengah. Biskut pun tinggal beberapa keping.

“Apalah nasib aku?” Nak tak nak, diambil sekeping biskut. Disuap sikit-sikit ke dalam mulut. Nak berjimat kononnya. Kalau biskut ni habis, apa lagi yang tinggal aku nak makan?

“Assalamualaikum...”

Jay menoleh dengan biskut dalam mulut terjulur separuh. Terbeliak mata dia apabila melihat Hani berdiri di muka pintu. Hani pula melopong. Terkejut tengok rumah macam tongkang pecah! Tengok rupa Jay lagi dia tergamam. Serabut macam kucing lepas beranak!


-*-*-*-*-*-


TERMENUNG Rozilah. Di sofa ruang tamu itu dia duduk bersandar sambil merenung lampu candelier yang berjuraian. Fikirannya melayang-layang. Berkerut muka bagaikan ada yang tak kena. Muka merusuh.

Salleh yang baru pulang dari kerja, melangkah masuk ke dalam rumah sambil melonggarkan tali leher. Sebaik saja menutup pintu rumah, matanya tertancap ke arah Rozilah. Lalu dia menghampiri.

Rozilah langsung tak menyambut suaminya pulang. Dia buat bodoh aje. Pandang pun tak. Bukan dia tak tahu Salleh dah balik. Tapi dia malas nak melayan.

Salleh mengitarkan pandangan ke setiap sudut rumah. “Tak shopping ke?” perlinya.

Barulah Rozilah mengerling Salleh. “Abang tak bagi duit.”

“Awak memanjang cakap saya tak bagi duit. Awak tu, pantang bagi duit. Tak pernah tak habis,” selar Salleh kembali. “Saya lapar ni. Nak makan.”

“Pergilah ambil sendiri.” Rozilah memuncung.

“Hidangkanlah...” Nada Salleh agak merusuh.

“Pergilah ambil sendiri,” ulang Rozilah agak geram. “Kita ni dahlah pening kepala. Anak abang tulah! Buat perangai pulak dia. Entah macam manalah dia dengan Hani kat sana tu.”

“Dia orang dah kahwin. Biar ajelah. Pandailah Jay tu nanti. Buat apa nak sibuk-sibuk?”

“Abang apa tahu? Semalam Hani tak balik rumah. Mesti Jay punya pasal. Kalau tak, takkan Hani buat hal. Bila Hani tak balik rumah, tahu pulak dia lapar nak makan. Masak tak tahu, suruh beli makanan sendiri cakap tak ada duit. Saya dah cakap banyak kali dah. Nak senang, kena buat baik kat Hani tu. Ambil kesempatan bila nampak peluang. Tapi anak abang tu kepala batu! Tak tahulah apa pulak jadi hari ni.” Rozilah merengus.

“Kalau kepala batu, ikut perangai awaklah,” gumam Salleh.

Rozilah menjeling suaminya. “Weekend ni kita balik Kuala Kubu, bang. Kita balik senyap-senyap. Jangan bagi tahu Jay dan Hani. Kita tengok apa yang jadi kat dia orang. Biar kantoi. Masa tu, tahulah saya macam mana nak ajar anak abang tu!”

Salleh dengar acuh tak acuh. Pandang Rozilah pun tak.

“Orang cakap dengan dia, dia buat pekak. Dahlah! Pergilah makan sana. Menyakitkan hati aje.” Bantal kecil di sisi dipeluk. Muka Rozilah monyok lebih dahsyat lagi.

Salleh mengeluh. Dengan riak bosan dia beredar ke dapur.


-*-*-*-*-*-


MACAM nak berderai air mata Hani ketika ini. Dilihat Jay makan dengan sangat berselera. Malah bertambah nasi dan lauk. Tentu Jay betul-betul lapar. Tak segan-silu makan banyak dan gelojoh. Kesiannya.

Tak mungkin sebab lauk-pauk yang aku masak ni sedap. Aku masak ayam kicap aje kot. Dengan sayur terung berlada. Itu aje yang paling senang dan cepat. Sebab dah kesian sangat dia tengok Jay kelaparan.

Tiba-tiba Jay tersedak. Terbatuk-batuk dia. Mulut ditutup dengan tapak tangan. Hani yang melihat air dalam gelas Jay sudah tinggal suku, cepat-cepat ditambah hingga penuh. Jay mencapai gelas itu dan bersegera meneguknya. Seketika barulah batuknya mula reda.

“Okey tak? Tercekik tulang ke?” Hani tanya soalan bodoh. Takkanlah Jay tercekik tulang ayam. Tak logik betul!

Jay pandang Hani dengan kerlingan ‘kau dah kenapa?’. Dia menyambung makan tanpa mempedulikan Hani.

Hani turut menyuap nasi ke mulut. Tak apalah kalau tak nak cakap. Tapi dia ada hal nak cakap dengan Jay. Dia mula teragak-agak. Direnung Jay yang menunduk. Tekun menikmati hidangan. Nasi yang dimakan tinggal suku pinggan. Lantas dengan kecekalan hati, dia berdeham.

“Err... saya nak cakap sikit boleh tak?”

Jay yang sedang mengunyah menoleh ke arah Hani sekilas. Tak tahulah apa perasaan dia sekarang. Geram, nak marah, nak mengamuk, sakit hati, merajuk... semua ada. Tapi disabarkan hati.

Hani menelan liur. Dianggap yang Jay akan mendengar apa yang dia bakal katakan.

“Saya nak minta maaf sebab tak balik rumah semalam. Saya mengaku saya dah buat salah.” Sedetik demi sedetik Hani bersuara. Biar Jay dapat hadam apa yang dia cakap.

“Tahu pun dah buat salah!” Jay pun apa lagi. Melentinglah dia. “Yang kau tak balik rumah dah kenapa? Aku terkontang-kanting kat rumah ni. Kau ingat aku ni tunggul? Dahlah aku tak tahu masak. Ada mi segera pun, dua bungkus aje. Duit dalam wallet aku tinggal sikit, nak kena pergi bank cucuk duit. Takkan aku nak kayuh basikal buruk kau tu pergi pekan?”

Sorry...” Hani merendahkan nada suaranya supaya nampak ikhlas. Dikebil-kebilkan mata minta kesian.

Jay mendengus. Biar Hani tahu yang dia serius marah.

“Hari tu fikiran saya bercelaru.” Hani nekad mahu berterus terang. “Saya mengaku, saya tak boleh terima pengakuan Abang Jay hari tu. Saya terkejut, geram, confuse, sedih...” Hujung ayat itu nadanya berubah sayu.

Terhenti Jay mengunyah. Dia cuma tunduk. Tak ada hati langsung nak dengar Hani bercakap. Dia paling benci kalau isu itu diungkit. Hani buatlah muka sedih macam nak mati. Sikit pun dia tak akan kesian.

“Bila saya fikir semula, saya muhasabah diri... Abang Jay sebenarnya tak salah. Kiranya, kita berdua ni mangsa keadaan. Tapi demi hormatkan mak usu dan pak usu, saya redha apa yang jadi.”

Jay mengeluh agak keras. Sakit hati dengar Hani cakap macam tu. “Kau cakap senanglah. Redha konon! Berapa lama nak redha? Hidup kalau kena ikut telunjuk orang, stress tahu tak? Kau apa tahu? Pergi mampuslah dengan kau punya redha tu.” Segera disudahkan suapan terakhirnya. Nasib baik dah habis makan. Kalau tak, mesti dia tak berselera nak makan. Dibasuh tangannya.

Melihat Jay semacam nak naik angin, terus Hani bersuara lagi. “Abang Jay jangan risau. Saya akan anggap Abang Jay ni abang sepupu yang duduk serumah dengan saya. Tak lebih. Saya janji!” Tangan kiri diangkat separas bahu demi nak meyakinkan Jay.

Jay memandang Hani. Serius. Monyok semacam.

“Saya tak tahu sampai bila. Mungkin sampai Abang Jay dapat buktikan pada mak usu dan pak usu yang kita tak bahagia. Yang saya ni cuma isteri...” Hani terdiam memikir ayat yang sesuai. “Hmm... isteri acah-acah. Hmm...” Dia mengangguk meyakinkan.

Dipaksa senyumannya melirik. Memberi harapan pada Jay yang ‘hubungan’ mereka tak lama. Walau pedih hati kala menuturkan kata-kata ini, dia terpaksa akur. Cinta takkan bahagia kalau bertepuk sebelah tangan.

Hati Jay mula lembut. Riak mukanya mengendur sedikit. Namun, dia masih tak mahu bersuara. Ego.

Hani perasan reaksi Jay itu. Lega hatinya. Disembunyikan senyuman yang tersungging. “Hmm... saya setuju dengan permintaan Abang Jay. Kita buat hal masing-masing. Tapi apa pun, saya masih kena hormat Abang Jay sebagai abang sepupu saya. Saya akan masak, basuh baju Abang Jay, sediakan keperluan...”

“Tapi jangan buat baik kat aku sebab nak pikat aku,” celah Jay tanpa sempat Hani menyudahkan ayat. “Sebab aku dah ada makwe. So... kau jangan harap aku suka kat kau pulak.”

Berderau dada Hani. Walaupun dia kata dia anggap Jay hanya sebagai abang sepupu, tapi kenyataan tetap kenyataan. Jay masih suaminya. Walau dia kata dia isteri acah-acah, tapi dia tetap isteri Jay. Hati isteri mana yang tak berkocak dengar pengakuan begitu dari mulut suami sendiri?

“Yalah, yalah... saya takkan pikat Abang Jay. Apa yang saya buat ni ikhlas,” ujar Hani tanpa waswas.

Bibirnya cuba mengukir senyuman. Sedangkan hatinya sudah hancur luluh terluka. Dadanya bergelora perasaan sebak. Matanya terasa panas. Orang yang dia puja sejak kecil dah ada kekasih. Sudahlah dia tak dicinta, tak dianggap sebagai isteri pula. Namun biarlah terluka macam mana sekali pun, dia akan sorok jauh-jauh perasaannya.

So... kita kawan okey?”

Jay tak bereaksi. Serba salah sebenarnya. Tak sangka sebegini positif sikap Hani. Masalah besar yang macam batu menghempap kepala pun Hani boleh anggap macam sekelumit kuman. Pelik betul!

Hani menghulurkan jari kelingkingnya sambil mengangkat-angkat kening. “Kita kawan?”

“Eii... macam budak-budak.” Jay mengejek mencebik. Dia tunjuk muka geli.

“Nak ke tak nak? Kalau tak nak, pergi masak sendiri kalau nak makan,” ugut Hani.

“Yalah, yalah!” Jay mendengus. Dengan terpaksa dia mengaitkan jari kelingkingnya dengan kelingking Hani.

Hani tersenyum. Syukur. Ini satu permulaan yang baik. Sekurang-kurangnya, Jay tak anggap dia sebagai musuh. Dilepaskan jarinya. Telefon bimbit di tepi meja dicapai.

“Bagi nombor phone Abang Jay.” Dia sudah bersedia mahu menaip di telefon bimbitnya.

Jay teragak-agak nak bagi. Kalau boleh, dia tak nak Hani tahu nombor telefonnya. “Tak payah!”

“Kalau balik lambat, senanglah saya bagi tahu Abang Jay.”

Jay pandang Hani percaya tak percaya.

“Habis, Abang Jay ingat saya nak hantar mesej cintan-cintun? Euww... sorry sikit.” Hani saja tayang muka tak rela.

“Eleh... aku pun tak naklah. Kalau kau bagi jugak, aku block kau!” Kemudian barulah Jay memberi nombor telefonnya. Satu demi satu disebut. “Tapi ingat... jangan hari-hari kau sibuk nak WhatsApp aku. Aku dah ada makwe.” Sempat dia memberi amaran lagi.

“Ya...” Hani membalas sambil merengus. Asyik ulang cakap benda yang sama aje. Ingat aku tak faham ke?

“Aku bukan apa. Cuma nak ingatkan aje. Jangan cakap aku tak bagi amaran pulak.”

“Siapa nama makwe Abang Jay tu?” Saja Hani nak tunjuk yang dia supporting. Padahal, hatinya sedang berkecai dan berderai satu per satu.

“Liana.” Jay bangga tatkala menyebut nama itu. “Nanti kau mesej aku password wifi rumah ni. Mati kutu aku duduk kat sini kalau tak ada internet.”

Hani hanya mengangguk. Dibiarkan Jay berlalu pergi. Tinggal dia sendirian di meja makan itu. Selera makan terus jadi tumpul. Tipulah kalau dia kata dia tak kecewa. Nafas panjang dilepaskan perlahan-lahan.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.