Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
40,823
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 1

HIRUK-PIKUK suasana di anak sungai berjeram itu ketika ini. Kecoh sungguh mereka berkubang. Dipercik-percikkan air ke arah yang duduk di tebing. Berdekah ketawa masing-masing. Budak-budak... masih sekolah rendah. Apalah yang mereka tahu? Tahu nak seronok aje. Yang lelaki ke, yang perempuan ke... sama aje.

“Woi, woi! Janganlah simbah. Basahlah baju aku!” jerit salah seorang budak perempuan yang duduk di tepi sungai dengan kawan-kawannya.

“Tak nak basah pergi main pondok-pondoklah kat rumah!”

Berdekah budak lelaki itu dan kawan-kawannya ketawa. Makin galak mereka menyimbah sesiapa yang duduk di tebing sungai.

Bertambah kecoh suasana ketika itu. Macam-macam gelagat. Ada yang buat terjunan tiruk. Terjun gaya Superman. Terjun beramai-ramai pun ada! Habis berkecibak air sungai ke serata tempat.

Hani merendamkan tubuh dalam sungai. Nampak kepala aje. Dia hanya memerhati gelagat budak-budak lelaki itu dari jarak yang agak jauh. Budak-budak lelaki tu bukan orang lain. Sepupu-sepupu dan kawan-kawan sekampungnya juga. Bukan tak kenal.

“Kita terjun macam dia orang jugak nak?” usul Suri yang berendam di sebelah Hani.

“Eii... bahayalah, Suri.” Hani menggeleng tak mahu. “Dia orang tu lelaki.”

“Alah... kita kan dah besar. Dah darjah 2. Apa nak takut? Kita lompat rendah-rendah ajelah.”

Hani tetap buat tak peduli. Malas dia nak turutkan kehendak sahabat baiknya itu. Lagipun dia malu. Nanti budak-budak lelaki tu mesti mengejek. “Nak terjun jugak ke?”

“Sekali aje.” Suri menyengih sambil menunjuk jari telunjuknya.

Degil! Hani menjeling. Perangai lelaki jugak yang dia nak ikut. Kalau Suri tu adik aku, tak lama kena cubit.

“Aku lompat dari situ aje,” tunjuk Suri. Tebing itu agak rendah. Dia dah teruja.

Melihat tebing yang ditunjuk Suri, membuatkan Hani mahu beralih ke tempat lain. Dia ke tengah sungai pula. Dia nak pergi lebih jauh dari tempatnya berendam tadi. Entah macam mana sebelah kakinya terlanggar sebelah lagi kaki sendiri. Dia hilang imbangan. Blup! Tenggelam dia dalam air sungai. Panik!

Tergapai-gapai tangannya mahu berdiri semula. Ketika itu dia tersedut dan tertelan air sungai. Membuatkan dia semakin panik! Dia langsung tak boleh nak berdiri. Tangannya terkapai-kapai dalam air. Kakinya pula bagai tak jejak ke tanah. Nak menjerit tapi tak mampu. Dia panik sampai rasa nak menangis. Ya ALLAH...

Suri sudah berdiri di tebing. Bersedia mahu melompat. Tapi dia tak nampak Hani. Pelik. Melilau dia mencari. Aik..? Takkan Hani sembunyi tak nak tengok aku lompat.

Sedangkan Hani di dasar sungai masih terkapai-kapai. Makin banyak dia tertelan air. Lama kemudian barulah tubuhnya terapung di permukaan sungai.

Saat itu barulah Suri nampak Hani terkapai-kapai. Lemah. Terbeliak terus matanya. “Ya ALLAH! Hani..!” Jeritannya bergema. “Tolong..! Tolong..!” Dengan sekuat hati Suri menjerit. “Tolong..!” Dia mula rasa nak menangis.

Suasana yang tadi hingar-bingar jadi senyap sepi. Semua memandang Suri. Terpinga-terpinga.

“Tolong..! Tolong..!” Suri menunjuk ke arah Hani yang tenggelam timbul kelihatan tak berdaya. “Cepat selamatkan dia. Ya ALLAH...” Air mata sudah bergenangan. Dada bergemuruh macam nak pecah. Berdebar-debar!

Salah seorang budak lelaki yang tadi begitu seronok bermain air, meluru ke arah Hani. Seketika kemudian barulah yang lain-lain berani menghampiri dan cuba nak selamatkan Hani juga. Yang di tebing merapat ke arah Suri.

Budak lelaki tadi sebaik saja dekat dengan Hani, tanpa berlengah terus memaut kolar leher baju Hani. Hani yang terlentang cepat-cepat ditarik menghampiri tebing.

“Hani... Hani...” Suara Suri kedengaran teresak apabila melihat Hani bagaikan tak sedar. Mata Hani kelihatan terpejam.

Dia dan kawan-kawan yang berada di tebing cuba membantu membawa Hani naik ke tebing. Hani dibaringkan di atas tanah.

“Hani!” Suri bertambah gabra apabila melihat Hani tak bergerak. Dada yang berdebar makan kencang debarannya. Muka terasa pucat tak berdarah. “Hani! Bangun, Hani!” Tubuh Hani digoncang-goncangkan dengan tangannya yang terketar-ketar takut.

Kedengaran suara berbisik-bisik.

“Dia lemas ke?”

“Dia dah tak bergeraklah,” kata yang lain pula.

“Tepi! Tepi! Dia lemas tu. Ke tepi semua!” Budak lelaki yang menyelamatkan Hani tadi menyelinap masuk dari kelompok yang berkerumun itu. Semua memberinya ruang.

Sambil teresak Suri mengengsot jauh sedikit dari Hani.

Tak berlengah, budak lelaki itu berlutut di tepi Hani. Kepala Hani didongakkan supaya dagu terangkat ke atas. Teknik CPR mula dilakukan. Budak lelaki itu menekap mulutnya ke mulut Hani.

Tercengang Suri ketika itu. Tak faham apa yang Hani diperlakukan. Oleh kerana dia dah terlalu takut, dibiarkan saja sambil menggenggam tangan sendiri yang sedang menggeletar.

Kemudian, tangan budak lelaki itu menekan-nekan dada Hani berulang kali. Keadaan Hani masih sama. Masih tak bergerak. Suri makin risau. Terbayang wajah ibu dan ayah Hani. Apa yang aku nak jawab nanti? Aku yang ajak Hani mandi kat sungai ni. Air matanya tumpah semula.

Sekali lagi budak lelaki itu menekup mulutnya ke mulut Hani. Dihembus lebih kuat. Sesudah itu, dada Hani kembali ditekan-tekan.

Tubuh Hani tetap kaku. Tak ada respons. Kejur.

“Hani! Bangunlah, Hani... bangunlah!” Suri makin tak tentu arah. Meraung dia melihat Hani kejang tak bergerak. Jantungnya berdegup sangat kencang. Makin menggigil dia.

Semua yang berada di situ tak berani bersuara. Hanya memerhati budak lelaki itu yang masih mencuba menyelamatkan nyawa Hani. Kali ketiga budak lelaki itu mengulang semula teknik CPR itu.

Suri sudah terasa tubuhnya longlai ketika ini. “Selamatkanlah Hani, ya ALLAH...” Dilihat Hani tetap tak bergerak. Dia menangis semahu hati. Kuat dia meraung. Tak sanggup nak terima kenyataan yang Hani dah tak bernyawa.

“Hani! Hani! Bangunlah, Hani. Hani! Hani!”

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.