Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
37,238
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 10

SUDAH tiba waktu rehat. Hani tak berganjak dari meja kubikelnya menyiapkan kerja. Kerja-kerja yang ditinggalkan semasa bercuti harus disiapkan secepat mungkin. Ralit dia menghadap komputer sambil sesekali menekan papan kekunci.

Rakan sepejabat yang lain mula berkemas-kemas mahu keluar. Sudah agak riuh. Hani buat tak tahu saja. Tak ada niat langsung nak keluar rehat hari ini. Sudah ramai yang beredar keluar.

“Hani... jom makan,” ajak rakan kubikel sebelah.

Terdongak Hani. “Tak apa, Kak Zana. Hani ada bawa bekal ni.” Ditunjuk bekas makanan di atas mejanya dengan senyuman.

“Wah... bawa bekal. Buatkan bekal untuk suami sekalilah tu.” Zana yang tak tahu apa-apa mengusik pula. “Maaflah, Hani... kita orang semua tak dapat datang masa kau kahwin. Jemput last minute. Kalau jemput awal-awal, confirm kita orang tak plan pergi ke mana-mana. Pergi majlis kau aje, Hani.”

Tersungging sedikit senyuman Hani. Baru saja nak membalas, datang tiga rakan sepejabat yang lain.

“Tahniah, Hani!”

“Amboi... kahwin tiba-tiba aje. Terkejut kita orang bila kau jemput hari Khamis lepas.”

“Apa cerita ni, Hani? Tak ada angin, tak ada ribut... tiba-tiba aje kahwin.”

Bertubi-tubi Hani diterjah soalan daripada kawan-kawan yang semuanya berpangkat kakak. “Terkejut, kan? Saya ni lagi sepuluh kali terkejut. Mujur tak meninggal, kak.”

Semua tergelak.

“Kau orang kena tangkap basah ke?” Soalan Zana tersangat selamba.

“Choi!” Hani sudah tercemik-cemik menidakkan. “Selisih simpang malaikat 44.”

“Habis tu?”

Hani memandang semua yang sedang berdiri di hadapan mejanya. “Saya memang nak buat kenduri untuk Azah sebelum dia pergi Mesir. Buat doa selamat aje. Jemput famili dan kawan-kawan, cikgu-cikgu sekolah Azah. Tanpa disangka-sangka, tiba-tiba...”

Sampai ternganga semua yang mendengar.

Nak tergelak Hani sebelum kembali menyambung. “Mak usu pinang saya untuk anak dia. Dia kata, sepupu saya tu nak kahwin dengan saya. Nak jaga saya bila Azah tak ada. Disebabkan nak Azah ada masa saya kahwin, semua nak saya kahwin masa majlis tu jugak. So... saya terimalah.” Bahu diangkat mengakhiri penerangannya yang serba ringkas.

Makin melopong Zana dan yang lain-lain.

“Kahwin dengan sepupu?”

“Macam tu aje?”

Sekali lagi bertubi-tubi Hani dituju soalan. Hani hanya mengangkat bahu. Bagaikan hanya berserah pada takdir.

“Mana gambar kahwin kau? Tengok sikit muka sepupu kau tu.” Zana nak menyibuk ambil tahu.

Hani teringat gambar-gambar kahwinnya yang Azah kirimkan di WhatsApp. Dikeluarkan telefon bimbitnya dari dalam laci meja. Dibuka galeri foto lalu menyerahkannya kepada Zana.

Zana terus dikerumuni yang lain-lain. Tersengih-sengih mereka.

“Cantiknya kau, Hani. Laki kau ni pun boleh tahan handsome,” puji Zana sambil menyelak-nyelak gambar yang lain.

“Yalah, Hani. Cantik sangat kau. Pakai baju kurung warna putih simple tapi sweet.” Yang lain turut memuji.

“Memang sepadan kau orang berdua. Macam buah pinang terjuntai kat pokok.” Yang seorang membuat lawak.

Mereka terkekeh ketawa.

Senyuman Hani bagaikan jadi tak jadi aje. Telefon bimbit dari tangan Zana dirampas semula. “Dah, dah... kakak-kakak semua nak pergi makan kan?” Lantas dia berdiri. Ditolak Zana dan rakan-rakan yang lain agar menjauh dari mejanya. “Pergi makan sana. Perut dah berbunyi tu. Jangan sampai saya yang makan kakak-kakak semua.”

Tergelak yang lain-lain. Mereka berlalu keluar dari bilik jabatan akaun itu menuju ke kafeteria.

Terlepas nafas lega Hani. Bilik itu sudah tiada sesiapa. Dia kembali duduk di kerusi dengan perasaan tenang. Termenung dia seketika. Teringat balik apa yang dia kata pada kawan-kawan sepejabatnya tadi.

“Mak usu pinang saya untuk anak dia. Dia kata, sepupu saya tu nak kahwin dengan saya. Nak jaga saya bila Azah tak ada.”

Sampai sekarang dia masih tak boleh hadam dengan kata-kata yang Rozilah khabarkan.

“Jay cakap macam tu?”

Diimbas semula dari detik dia bernikah sehinggalah ke hari ini. Mana istilah ‘kahwin’ dan ‘jaga’ yang Jay cakap tu? Sudahnya, dia sendirian di rumah itu. Sampai ke hari ini dia masih tak dihubungi Jay. Senyap macam tu aje. Berkeluh dia dibuatnya.


-*-*-*-*-*-


TURUN dari kereta, Hani bawa sekali sebuah beg plastik di tangan. Di tepi rumah itu kelihatan Umar sedang membasuh motosikal. Tapi langsung tak pandang ke arahnya. Huh! Marah lagilah tu. Dia menghampiri. Setelah agak dekat barulah dia memberi salam. Umar buat tak reti aje. Macam dia tak wujud di situ.

“Assalamualaikum, ya Umar.” Sekali lagi Hani beri salam. Kali ni dengan loghat Arab. Saja nak bergurau.

Umar meletak span ke dalam baldi yang berbuih-buih air sabun. Paip air dibuka, lalu disembur ke arah motosikalnya. Disembur sampai memercik ke arah Hani.

Terundur Hani selangkah dua. “Hai... lepaskan marah nampak?”

“Pergilah balik.” Umar tunjuk muka benci.

“Aku datang ni nak minta maaf. Nah...” Dihulurkan beg plastik yang dibawa.

Umar mengerling dengan ekor mata saja. Muka masih mencuka.

“Balik kerja tadi terus aku singgah kedai beli coklat ni. Kau kan suka coklat.”

“Tak payah bazir duitlah! Aku tak kebulur tak makan coklat yang kau beli tu.” Nada Umar masih keras.

Hani menjatuhkan tangan yang menghulur tadi. “Umar... kau janganlah marah-marah macam ni. Kita ni kawan dari kecik kot. Takkan tiba-tiba nak bermusuh.”

“Tahu pun! Habis tu, aku nak kahwin dengan kau, kau tolak. Macam-macam alasan. Dengan orang lain, laju aje kau terima.”

Terhempas nafas panjang Hani. Umar masih tak faham-faham. “Dah jodoh, Umar. Jodoh.”

“Tu cakap orang yang nak lepaskan diri. Sikit-sikit salahkan takdir. Sikit-sikit salahkan takdir.”

“Umar...” Berkerut muka Hani. Ada iman ke tak si Umar ni? Cakap ikut sedap mulut aje.

“Apa lagi kau nak cakap? Apa lagi yang kau nak salahkan?” Umar menghempas paip getah yang dipegang. Geram. Pili ditutup. “Dahlah... pergilah balik. Buat menyemak aje kat sini.” Dia tak ada mood nak bercakap dengan Hani lagi.

“Kau tak boleh cakap macam tu. Aku bukan nak salahkan takdir. Tapi kita kena percaya qadak dan qadar. Sebab... benda ni jadi aku tak boleh nak elak.” Tak peduli, Hani tetap nak beri penjelasan.

Umar diam. Bercekak pinggang dia merenung motosikalnya.

“Kita kawan sejak kecik, Umar. Satu sekolah rendah, satu sekolah menengah. Aku tak nak kita bermusuh sebab benda ni. Aku sayangkan persahabatan kita. Lagipun, kita ni jiran. Tak boleh ke kita berbaik macam biasa? Kalau aku bukan jodoh kau, mungkin jodoh kau yang lagi baik dari aku.” Hani nak Umar lebih realistik. Jangan disebabkan ikutkan perasaan, semua benda baik dilupakan.

“Sayang persahabatan kita konon,” ejek Umar meluat. “Kalau sayang, terima aku jadi suami. Bukan orang lain!”

“Kalau aku ada ramai kawan lelaki yang semuanya aku sayang, aku kena kahwin dengan dia orang semualah?”

“Kawan lelaki kau, aku aje!” Muka Umar ketegangan.

“Aku tak faham kenapa kau marah sangat kat aku. Aku tak pernah bagi kau harapan. Tak pernah mempermainkan perasaan kau. Tak pernah declare yang kita ni bercinta atau sepasang kekasih. Habis tu, apa yang kau marah sangat? Majlis aku, kau tak datang. Kau anggap aku musuh pulak. Sahabat apa macam ni?”

Terdiam Umar. Dari riak wajahnya, seolah-olah luntur sedikit keegoan dan kemarahannya.

“Eh, Hani ke tu?”

Hani menoleh ke arah tingkap rumah Umar. Dia tersenyum apabila emak Umar menjengahkan kepala di situ.

“Masuklah, Hani... kenapa berbual kat luar aje? Masuklah...” pelawa Esah bersungguh.

Lekas-lekas Hani menggeleng. “Tak apalah, Mak Cah. Nak balik dah ni. Kejap lagi dah nak maghrib. Hani balik dulu, Mak Cah.”

Dia pandang Umar semula yang masih tak mahu menoleh ke arahnya. “Aku balik dulu, Umar. Nah... makanlah.” Hani meletakkan beg plastik itu ke dalam bakul motosikal Umar. Kalau dia hulur, bukan Umar nak ambil pun. Tahu nak marah aje.

Lantas dia beredar. Masuk ke dalam kereta dan berlalu pulang. Rumah Umar selang dua buah rumah aje pun. Tatkala memasuki pekarangan rumahnya, dia nampak ada bagasi dan barang-barang lain di hadapan tangga rumah. Macam-macam ada. Siap ada papan berkaki yang dia tak tahu apa gunanya. Macam perabot pun ada.

“Barang siapa pulak ni?” Walau berkerut muka tertanya-tanya, dia melolos keluar dari kereta. Tercegat dia di hadapan tangga rumah.

Tiba-tiba muncul seseorang dari arah tepi belakang rumah.

Hani menoleh dan terkejut. “Abang Jay?”

Jay bercekak pinggang merenung Hani tanpa reaksi.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.