Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 19 - Part 1

BAB 19 - Part 1

Matahari yang terik menyinar langsung tidak menjadi penghalang. Gigih Rayyan dan Tipah melangkah menuruni anak tangga setingkat demi setingkat. Hati Tipah gembira tidak terkata. Sijil kursus pra-perkahwinan, gambar rekod kedatangan, ‘proof of attendance’ dan surat akuan bujang yang sudah siap di cop dari pejabat Zura’s Akademik sudah berada dalam tangannya. Kesemua dokumen itu sudah selamat berada di dalam beg galasnya.

Ikutkan hati malas Rayyan nak mengikuti Tipah ke sini lagi setelah adegan memalukan tempohari tapi mengenangkan yang pernikahan ini harus di segerakan, apa sahaja pun sanggup Rayyan redahi. Mereka berdua sudah berada di pinggir jalan. Sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ menjadi sasaran mereka. Sejurus selepas itu mereka berdua sudah berada di dalam perut teksi tersebut. Halatuju mereka seterusnya adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang terletak di Kompleks Pusat Islam. Cuaca yang tadinya panas terik tiba-tiba bertukar mendung. Awan hitam mula berarak menutupi langit yang membiru.

Tipah mengomel sendiri. “Gelapnya! Macam nak hujan jer. Tapi bagus jugak kalau hujan, kan? Lama dah tak main hujan ni.”

Rayyan membentak. “Tak habis-habis dengan perangai kanak-kanak ribena awak tu! Sudah! Jangan nak mengada-ngada, yer? Kita ni ada urusan penting.”

Tipah mencebik. “Eh, saya bukannya nak ajak awak main hujan dengan saya pun. Tolong jangan perasan!” Rayyan terus terkedu. Boleh tahan juga ‘laser’nya mulut minah ni!

Sebaik sahaja teksi itu merentasi Muzium Negara, dengan tidak semena-mena enjin teksi itu bergegar dengan kuat. Asap sudah mula keluar dari bahagian hadapan enjin.

Rayyan mula kaget. “Abang, kenapa dengan teksi ni? Macam nak meletup je. Baik abang berhenti sekarang!”

Pantas abang teksi itu memberhentikan teksinya betul-betul bersebelahan dengan stesen KTM. Di bukanya bonet teksi tersebut. Berkepul-kepul asap menerjah keluar. Rayyan dan Tipah segera melangkah keluar dari teksi tersebut.

Rayyan sudah bercekak pinggang. “Apa ni, bang? Saya nak cepat ni. Apa cerita sekarang ni?”

Abang teksi menggaru-garu kepalanya. “Tak dapek nak nolongnya, dik! Senang cerita adik berdua ni jalan kaki jelah. Lagipun Kompleks Pusat Islam tu dah tak jauh dari sini. Adik berdua jalan terus ke hadapan, lepas tu belok kiri. Kompleks Pusat Islam tu betul-betul kat depan Masjid Negara.” Masam mencuka wajah Rayyan mendengarnya. Sambil membentak-bentakkan kaki pantas Rayyan melangkah pergi dari situ.

“Abang, minta maaf, ya? Dia tu memang kepala angin sikit. Berapa tambang ni bang?” ujar Tipah dengan wajah serba-salah.

Abang teksi itu hanya mampu tersenyum hambar. “Takpe abang faham. Memang salah abang pun. Takpelah adik bayar RM 4 jelah.”

“Ok. Nah ni duit abang.” Tipah menghulurkan empat keping not biru muda kepada abang teksi itu. Kemudian dia segera mengejar Rayyan dari belakang. Kilat sudah mula memancar-mancar di segenap ruang. Tanpa di sangka titis-titis hujan rahmat mula turun dan membasahi bumi.

Rayyan mendengus. “Tengok! Kan betul-betul hujan dah turun! Ini semua awak punya pasal lah! Yang awak minta naik main hujan tadi kenapa? Tak pasal-pasal saya pun kena hujan jugak ni!”

Kata-kata Rayyan itu bagaikan angin bayu yang mendesis lembut sahaja di gegendang telinga Tipah. Dia langsung tidak kisah malah dia terloncat-loncat kesukaan! Siap menyanyi –menyanyi lagi!

“Kenangan malam minggu...waktu jalan-jalan...berdua jalan kaki...saat turun hujan...” Kelakuan Tipah itu menarik perhatian sekalian umat manusia yang sedang berada di situ.

Malunya Rayyan bukan kepalang. Pantas dia menarik lengan Tipah. “Dahlah tu! Buat malu jelah. Jom cepat, kita dah lambat ni!” Pegangan tangan Rayyan itu bagai mengalirkan suatu kuasa elektrik ke seluruh tubuh Tipah. Terasa hangatnya kasih yang berpijar di saat kesejukan mula merantai mereka. Pandangan mata mereka bertautan buat seketika. Sesuatu terasa di hati-masing-masing. Bagaikan menonton adegan Shah Rukh Khan dan Kajol kebasahan di sirami hujan dalam filem Kuch Kuch Hota Hai pula!

“SPLASH!!!!” Percikan air dari kereta yang lalu-lalang segera menyedarkan mereka berdua. Rayyan segera melepaskan genggaman tangannya.

“Err...jomlah kita pergi sekarang. Nanti tutup pula pejabat Jabatan Agama tu nanti.”

Tipah hanya akur. “Yelah. Jomlah pergi sekarang.” Hati Tipah sarat dengan bunga-bunga cinta yang mula kembang mekar. Namun sedaya-upaya dia cuba menahan gelojak perasaannya kerana dia sedar cintanya masih belum dapat bertapak di hati Rayyan.

Akhirnya setelah bersusah-payah mendaki anak tangga demi anak tangga mereka tiba juga ke pejabat Jabatan Agama Islam dalam keadaan yang basah kuyup. Keadaan mereka segera menarik perhatian segenap mata yang berada di situ. Namun Rayyan tidak peduli dengan semua itu. Yang penting baginya sekarang adalah menyelesaikan segala urusan bagi membolehkan dia bernikah dengan Tipah secepat mungkin.

Tipah dan Rayyan segera menuju ke kaunter. Petugas lelaki yang berada di situ hanya tersenyum sumbing melihat keadaan mereka. “Belum apa-apa lagi dah basah, yer?”

Selamba Tipah menjawab. “Mujurlah basah sebab hujan, encik. Janji jangan tangkap basah sudah.” Rayyan segera mencubit lengan Tipah. Selamba rock je budak ni! Geram pula dia melihatnya. Tipah hanya menyerigai.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.