Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 20 - Part 1

BAB 20 - Part 1

Petang yang indah dan damai. Angin mendesir dari celah-celah pepohonan padi yang subur menguning. Langit pula begitu cerah sekali. Sekalian alam seakan-akan turut bergembira dengan terbinanya sebuah lagi ikatan perkahwinan yang suci di antara Tipah dan Rayyan.

Namun Rayyan pula makin gelisah. Telefon pintar di tangan di telek berkali-kali. Panggilan yang di tunggu-tunggu tidak kunjung tiba. “Mana si Zaff ni? Tak reti-reti nak inform aku ke? Dari tadi aku call langsung tak jawab. Eei panasnya hati aku ni!” gerutu Rayyan dalam hati. Dari dapur Makcik Rosnah terlihat kelibat Rayyan di bawah pangkin tersebut.

“Ini peluang baik yang tak harus di lepaskan! Aku kena jumpa dengan dia,” bisik Makcik Rosnah dalam hati.

Segera dia menghampiri Rayyan. “Rayyan, makcik ada benda sikit nak cakap dengan kamu.”

Tersentak seketika Rayyan melihat wajah serius Makcik Rosnah. “Ada apa ya, makcik?”

Makcik Rosnah bersuara dengan tegas. “Makcik cuma nak tahu, sebelum papa dan mama kamu menghembuskan nafas yang terakhir, ada tak diorang bagitahu apa-apa pada kamu?”

Berkerut dahi Rayyan. “Takde pulak diorang cakap apa-apa. Kenapa makcik tanya saya soalan tu?”

Makcik Rosnah menyumpah dalam hati. “Celaka kau, Khalid! Kau memang sengaja menidakkan hak Raimi. Aku takkan berputus asa, Khalid. Walau apapun yang terjadi, aku akan pastikan Raimi akan mewarisi segala harta-benda kau suatu hari nanti!”

“Makcik, kenapa makcik diam je ni? Kalau ada apa-apa yang makcik nak cakap, saya sedia mendengarnya,” desak Rayyan dengan nada tidak sabar.

Makcik Rosnah segera berdalih. “Tak ada apa-apa, Rayyan. Cuma arwah papa kamu dah janji aritu, kalau kamu kahwin dengan Tipah, kamu tak boleh abaikan kami sekeluarga. Pakcik kamu tu dah tua, tak larat dah nak bekerja yang berat-berat lagi. Raimi pula masih belajar lagi. Kamu faham maksud makcik, kan?”

Rayyan melepaskan sebuah keluhan yang berat. “Ya, makcik. Saya faham. Jangan risau mulai bulan ini saya akan tanggung segala perbelanjaan pakcik, makcik dan Raimi. Saya akan masukkan duit tu ke dalam akaun pakcik tiap-tiap bulan. Makcik jangan risau.”

Makcik Rosnah tersenyum lebar. Jarumnya makin mengena. “Lagi satu Rayyan, kalau boleh janganlah masukkan duit tu dalam akaun pakcik kau. Dia mana reti sangat nak uruskan duit-duit ni semua. Selama ni pun makcik yang uruskan segala urusan duit dalam rumah ni. Masukkan saja duit tu dalam akaun makcik.”

Malas pula Rayyan nak berdebat. Dia hanya mampu akur sahaja dengan permintaan Makcik Rosnah. “Yelah! Apa-apa jelah, makcik. Nanti makcik bagi saya nombor akaun makcik, ya?”

“Ok nanti malam makcik bagi, ya. Terima kasih, Rayyan.” Makcik Rosnah berlalu pergi dengan hati yang riang. Rayyan hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Boleh tahan juga tamaknya mak mertuanya ini!

Tipah tertinjau-tinjau dari serambi rumah. Dilihatnya Rayyan sedang mundar-mandir di hadapan pangkin yang di payungi pepohonan mempelam yang merimbun. Lagaknya bagai sedang menunggu seseorang yang penting. Siapa pula agaknya? Tipah tidak mahu terus berteka-teki. Terus sahaja langkahnya panjang menghampiri Rayyan.

“Tak sangka kita dah sah jadi suami isteri, kan?” Tersentak Rayyan seketika dengan kemunculan Tipah di situ. Kacau daun sungguhlah!

Acuh tak acuh sahaja Rayyan menjawab. “Ye Cik Tipah.”

Unsur-unsur ketegangan jelas kedengaran dalam nada suara Rayyan. Tipah bingung. Apakah agaknya yang menganggu fikiran suaminya?

“Awak ada tunggu sesiapa ke? Dari tadi gelisah je saya tengok. Kalau ada apa-apa masalah, ceritalah dengan saya. Mana tahu saya boleh tolong.”

Meruap pula hati Rayyan mendengarnya. Belum apa-apa lagi dah mula nak tunjuk kuasa ‘queen control’ nampak si Tipah ni!

Rayyan mendengus kasar. “Oh, nak tolong, ya? Boleh tak tolong jangan sibuk hal saya? Saya masih mampu menangani masalah saya sendiri, tak perlu orang lain nak masuk campur.”

Tersentak Tipah. “Orang lain? Saya ni isteri awaklah! Sampai hati awak umpamakan saya ni macam orang lain?”

“Dahlah! Saya malas nak dengar semua ni. Awak jangan nak kusutkan lagi fikiran saya ni!” Pantas Rayyan berlalu dari situ. Terkebil-kebil Tipah di buatnya. Kenapa pula tiba-tiba Rayyan naik angin? Apa salahnya? Hati Tipah mula berbolak-balik. Adakah dia telah melakukan kesilapan yang paling besar dengan mengahwini lelaki yang bernama Rayyan Haikal bin Dato’ Khalid ini?

Sejurus selepas itu sebuah teksi meluncur masuk ke halaman rumah. Seorang lelaki melangkah keluar dari teksi itu. Tampannya! Dup dap dup dap jantan Tipah di buatnya. Segera di dekatinya lelaki tersebut.

Di sapanya lelaki itu. “Assalamualaikum. Encik ni cari siapa, ya?”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.