“TENGOK tu! Tengok tu!” Seorang lelaki yang
sedang melepak di sebuah meja di tengah-tengah kantin menunjuk ke satu arah
pada kawan-kawannya. Wajahnya sungguh teruja. “Lain macam je aku tengok muka si
Ezzat tu.”
Semua mata memanah ke arah Ezzat yang
sedang membeli sebungkus minuman.
“Hai... muka toya je,” kutuk salah seorang
daripada mereka.
Berderai ketawa masing-masing.
“Woi, pengantin!” panggil lelaki yang
mula-mula tadi sambil menggamit Ezzat agar datang ke meja mereka.
Ezzat yang pada mulanya mahu beredar dari
situ, mengatur langkah menghampiri kawan-kawan lelaki sekilangnya itu. Ada
tujuh lapan orang duduk berborak sambil minum pagi.
“Nak pergi mana? Marilah duduk sini dulu.
Minum-minum. Lepak-lepak.” Lelaki itu mempelawa sambil menarik kerusi dan
memberi ruang pada Ezzat untuk duduk.
“Entah kau ni. Esok dah nak kahwin. Lepas
ni, berkepit jelah dengan bini,” celah yang lain pula.
Ezzat melabuhkan duduk di kerusi yang
disuakan. Minumannya disisip dengan straw. Wajahnya masih lagi bagaikan tak ada
seri. Monyok je macam kura-kura.
“Eh, Ezzat... dah nak jadi suami ni, ada
menuntut ilmu apa-apa tak?”
Berdekah-dekah satu meja mentertawakan
soalan untuk Ezzat itu.
Ezzat hanya senyum senget. Dia anggap
soalan itu sekadar mahu mengusiknya.
“Kau janganlah menyakat dia, Man.” Salah
seorang daripada mereka membela pula. “Orang tu tengah gabra. Kau apa tahu?”
Ezzat tetap tak bereaksi. Fikirannya
ketika ini sangat kosong. Jiwanya pun terasa kosong.
“Gabra ke... tengah fikir step by step
malam esok?”
Sekali lagi meja itu gegak gempita dengan
dekahan ketawa.
“Aku tak boleh bayangkanlah macam mana
Shila nanti. Dahlah kalut. Kau baru cuit dia sikit, dah melatah-latah.
Entah-entah, katil pun boleh patah.” Seorang lagi mengusik Ezzat.
Mereka ketawa lagi. Mengekek-ngekek.
Meja mereka menjadi tumpuan di kantin itu.
Ada yang tersenyum lucu, ada yang tersenyum sinis. Yang tergeleng-geleng pun
ada.
Faizah yang kebetulan sedang makan di
sebelah meja Ezzat itu memasang telinga.
“Apasal muka sememeh ni? Senyumlah sikit.
Nak kahwin patutnya happy. Ketawa,” sakat lagi seorang sambil
tersengih-sengih.
“Kau kahwin esok, kita orang datang. Kita
orang nak tengok Shila menggelabah melatah-latah atas pelamin. Mesti lawak
gila!”
Ketawa lagi.
Ezzat terasa panas hati. Dia sudahlah tak
ada mood. Kawan-kawan pakat gelakkan dia pulak. Demi bersabar, dia
menyedut minumannya lagi dengan muka selamba.
“Eh, Ezzat... kau tak kisah ke dapat bini
macam Shila tu?”
Soalan tiba-tiba itu membuatkan Ezzat
terhenti menyedut minumannya. Hatinya bertambah panas apabila terdengar
ketawa-ketawa sinis.
“Bila terkejut sikit, dia punya kalut...
pehhh... lawak siol!” Mengekak lagi kawan Ezzat ini ketawa.
“Tulah... perangai dia menggelabah aku
tengok. Memang lawak!”
“Macam mana kau boleh tahan, Ezzat?”
“Kalau aku, aku tak tahan dah.”
“Tapi kelakar siot kalau dengar dia
melatah. Aku ketawa sampai sakit perut.”
Ketawa bergegar lagi.
Ezzat lantas berdiri. Dia dah tak sanggup
berlama-lama di situ. “Kalau aku tak tahan, aku tinggalkan je dia.” Dengan muka
masam, dia beredar dari situ. Buat sakit hati je! Langkahnya panjang-panjang.
“Alamak... tanya macam tu pun dah sentap,”
ujar salah seorang daripada mereka.
“Orang tu nak kahwin esok. Kau boleh pulak
buat lawak bodoh. Tak jaga hati kawan langsunglah kau ni.” Yang seorang membela
Ezzat.
“Elehh... kau pun dua kali lima menyakat
dia tadi.”
Mereka ketawa berdekah lagi.
Faizah tersenyum mengulum penuh makna. Dia
dengar dengan jelas setiap patah perbualan lelaki-lelaki itu.
RIUH suasana rumah Shila. Sanak saudara sudah
ramai yang datang. Jiran tetangga bergotong-royong membantu apa yang patut.
Selepas maghrib, rumah itu jadi makin meriah.
Shila walaupun bakal pengantin, tetap mahu
menolong. Di tengah-tengah ruang tamu itu dia bersama yang lain-lain membungkus
cenderahati untuk tetamu yang datang. Sedikit kudapan dan makanan ringan serta
cenderahati dibungkus ke dalam beg kertas.
Zakiah dan Karim di luar rumah sibuk
dengan orang yang merewang. Tuan rumahlah katakan.
Liyani muncul di muka pintu rumah Shila
dengan muka teruja. “Shila!” panggilnya.
Shila menoleh.
Liyani menunjuk tangannya yang sedang
memegang sedahan kecil daun inai.
Berubah ceria wajah Shila. “Wahh... daun
inai! Daun inai!” Dia yang duduk bersila terkinja-kinja seronok. Yeahh! Lepas
ni nak pakai inai. Tak sabarnya!
“Aku nak tumbuk daun ni.”
“Nak! Nak! Nak tumbuk jugak!” Menonong
Shila teruja. Dia bangun mahu mengikut Liyani. Terlalu gopoh, tanpa sedar dia
terpijak bungkusan-bungkusan makanan ringan yang dilonggokkan di tepinya.
Pom! Sebungkus makanan ringan yang
dipijaknya meletup, membuatkan dia yang berdiri berasa badan tak seimbang.
“Neraka kau woi neraka! Pom pom dum dam
dum dam! Cakaman belalai kau bunyi-bunyi.” Yang bukan-bukan Shila latahkan.
Terhoyong-hayang dia mahu terjatuh.
Semua yang duduk mengelilingi membuat
kerja membungkus memandang Shila dengan wajah cuak. Shila dilihat memang
benar-benar mahu jatuh.
Tak dapat menahan keseimbangan tubuh,
Shila terus terjatuh menghempap seorang mak cik yang duduk di sebelah kanannya.
Bap!
Semua tergamam menyaksikan aksi tersebut.
“Adoiii... sakit kepala aku. Sakit!” Mak
cik itu merintih ditindih Shila. Siku Shila betul-betul kena kepalanya. Mahunya
tak sakit? Ditolak tubuh Shila dengan kasar. “Tepilah kau! Sakit aku!”
Shila jatuh terlentang di atas lantai.
Semua yang ada di situ ketawa melihat
telatah Shila. Menggeleng masing-masing.
Serta-merta Shila berdiri mahu menolong
mak cik itu, tapi dia mengelak daripada ditolong Shila. Nanti tak pasal-pasal
dia kena lagi dengan gadis itu.
Rozana yang berada di dapur, meluru ke
ruang tamu apabila mendengar Shila melatah-latah dan suasana jadi riuh.
Tergamam dia melihat Shila terkulat-kulat. Dilihat beberapa bungkusan makanan
ringan leper dan isinya berterabur di lantai.
“Ya ALLAH...” Rozana mengeluh. Tahulah dia
apa yang dah jadi. “Kau kutip tu semua, Shila. Kutip! Buang yang rosak tu. Kau
ni...” Dia mengeluh lagi sambil berlalu ke dapur semula. Banyak kerja dia nak
kena buat. Tak kuasa dia melayan perangai Shila tu.
Wajah Shila memonyok. Bukan dia sengaja
nak pijak. Dia teruja sangat sampai kalut jadinya. Dipandang Liyani. Sahabatnya
itu dengan muka serba salah mengangkat bahu. Lalu, dia tunduk mengutip
bungkusan makanan yang sudah rosak dan isi-isi yang bersepah itu. Sempat dia
mengerling mak cik yang dilanggarnya itu. Wajah mak cik itu masam sambil
mulutnya terkumat-kamit membebel.
“Minta maaf, mak cik...” Suaranya mendatar
dengan nada bersalah.
“Kau ni, Shila... Kau tu dah nak kahwin.
Susah nanti kalau kau tak ubah perangai kau tu.” Salah seorang mak cik menegur
serius.
Shila mengerling mak cik yang duduk dekat
dengannya itu.
“Hidup dengan orang gopoh menggelabah
macam ni, tak amanlah jawabnya. Ada je yang jahanam hari-hari kalau macam ni.”
“Memang! Aku serik dah ni,” sokong mak cik
yang ditindih Shila tadi.
Shila dengar bisikan-bisikan yang
mentertawakannya. Tak dihiraukan itu semua. Selesai mengutip, dia berdiri mahu
membuang semuanya. Saat itu matanya bertembung dengan Faizah yang baru sampai
di rumahnya dengan beberapa orang rakan. Pasti mahu merewang juga. Dia
menguntum senyum, namun mati apabila Faizah berwajah sinis memandangnya.
“Ezzat bagitahu saya, mak cik... kalau
Shila ni menggelabah kalut tak berubah-ubah, dia tinggalkan je Shila ni, mak
cik.” Faizah memberitahu apa yang dia dengar siang tadi tanpa rasa berdosa.
Shila terpaku. Berderau dia. Terasa darah
dalam badannya bagaikan kering. Dadanya berdebar-debar. Lemah lututnya. Ezzat
cakap macam tu?
Semua yang ada di situ mendengar apa yang
Faizah kata. Faizah mengerling Shila untuk melihat riak gadis itu. Dia tahu
Shila terluka ketika ini. Padan muka! Mentang-mentang dapat kahwin awal,
berlagak!
“Jangan memandai-mandailah nak fitnah
orang!” Liyani berang dengan Faizah. “Datang rumah orang, nak buat kacau
pulak.”
“Aku cakap benda betul. Fitnah apa pulak?
Memang Ezzat cakap macam tu,” pertahan Faizah. “Kan?” Dipandang kawan-kawannya
meminta sokongan.
Semuanya mengangguk.
Liyani menahan rasa melihat Faizah
memalukan Shila di hadapan orang ramai. Lantas, dia menarik tangan Shila.
Dibawa Shila ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup. Dilihat wajah Shila berubah
riak. Suram.
“Kau jangan percaya si Faizah tu, Shila.
Dia tu dengki! Sebab tak ada siapa nak kat dia. Tu sebab dia dengki kat kau.
Cakap yang bukan-bukan je dia tu. Buat fitnah sana sini! Aku tak percaya Abang
Ezzat cakap macam tu.”
Shila diam. Cuba dihadam apa yang Liyani
katakan. Sedangkan hatinya sudah diselar luka dengan kata-kata Faizah tadi.
SAMBIL santai berbaring di atas kerusi kusyen,
Ezzat menonton televisyen. Dia bukannya betul-betul menonton pun. Fikirannya
sedang berserabut. Makin difikir, makin dia buntu.
Zamri yang baru lepas makan, muncul di
situ. Dia mahu menonton sama.
Ezzat tak menghiraukan Zamri yang duduk di
atas lantai.
“Abang Ezzat tak makan ke?”
Ezzat hanya diam.
“Makanlah, bang.” Zamri ambil peduli. Dia
tahu Ezzat tak makan langsung sejak balik dari kerja petang tadi.
“Lauk apa?”
“Telur goreng je. Dengan kicap.”
Terlepas nafas panjang Ezzat.
Zamri diam saja apabila Ezzat dilihat tak
bernafsu nak makan.
Tidak lama kemudian, Ammar dan Redza
muncul pula di situ. Masing-masing sedang kekenyangan. Ammar duduk di sebelah
Zamri sambil sendawa.
“Dah basuh pinggan semua kat dapur tu?”
Zamri bertanya pada adik-adiknya.
“Abang Zam pandai eh? Cepat-cepat makan
sebab tak nak basuh pinggan.” Ammar menjeling Zamri.
Zamri buat-buat tak dengar.
“Dah kenyang, pergi buat kerja sekolah.”
Ezzat menyuruh.
“Dah siap dah...” jawab mereka bertiga
hampir serentak.
“Abang Ezzat...” Redza menyeru sambil
menyeret duduk agar lebih dekat dengan Ezzat. “Esok kita orang nak pakai baju
apa? Hari tu kata nak kita semua pakai baju Melayu baru sama warna. Tak ada
pun.”
Kata-kata Redza itu membuatkan Ezzat
mengeluh panjang.
“Apa persiapan untuk esok ni, Abang Ezzat?
Macam tak ada apa-apa pun.” Ammar berkerut muka tertanya-tanya.
Zamri dan Ammar memandang Ezzat menanti
jawapan abangnya itu.
“Abah pergi mana? Dah malam tak
balik-balik lagi.”
Semua adik-adik Ezzat menggeleng tak tahu.
Ezzat bingkas duduk. Seketika kemudian
setelah berfikir, berfikir dan berfikir... dia membuat keputusan. “Abang nak
keluar kejap.” Dia berdiri.
“Abang Ezzat nak belikan baju eh?” Redza
sudah berwajah teruja. “Nak ikut!”
“Tak payahlah.” Suara Ezzat tegas. Kunci
motosikal dicapai dan terus berlalu keluar.
Ditunggang motosikalnya ke Simpang
Renggam. Masih banyak kedai yang buka ketika ini. Dia memberhentikan motosikal
di hadapan sebuah bangunan kedai. Bukan di kedai menjual pakaian baju Melayu,
tapi kedai nombor ekor. Tak berlengah dengan langkah laju, dia masuk ke dalam
premis itu.