Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
15,507
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

SUDAH dikerah budak-budak sekolah rendah mencari di serata kampung. Mereka berbasikal. Senang nak mencilok keseluruh pelusuk dan ceruk kampung. Liyani percaya, Shila masih ada di sekitar.

Macam mana Shila nak keluar dari kampung? Tak ada kenderaan keluar ke jalan besar. Kalau menumpang orang, mesti ada saksi. Ni dah kecoh satu kampung berita kehilangan Shila, tak ada seorang pun yang kata ada nampak Shila di mana-mana.

Dia dengan bermotosikal meronda menjengah-jengah ke setiap sudut kampung yang dia pergi. Hari dah makin lewat. Kalau hari dah gelap, lagi susah nak cari. Ketika jenuh mencari, dari jauh dia nampak motosikal Modenas Kris warna biru dari arah bertentangan. Adik Ezzat! Cepat-cepat dia berhenti. Turun dari motosikal, dia bercekak pinggang di tengah-tengah jalan.

Zamri yang memboncengkan Ammar memberhentikan motosikal. Cuak dia melihat muka serius Liyani.

“Mana abang kau pergi? Hah?!” soal Liyani garang. Dia tahu, adik-beradik Ezzat mesti bersubahat sama!

Zamri mengangkat bahu. Takut-takut dia nak pandang wajah Liyani.

Liyani mengigit bibir menahan geram. “Baik kau cakap abang kau kat mana. Kalau tak, aku terajang kau orang berdua!” Ditunding jari ke arah Zamri dan Ammar. Biar kecut perut masing-masing.

“Kita orang tak tahu, kak. Betul, tak tipu.” Zamri makin cuak.

“Betul, kak. Memang kita orang tak tahu,” sampuk Ammar yang menyorokkan muka sedikit di belakang badan Zamri.

“Ah! Pembohong!” Liyani memandang kedua-duanya geram. “Kau cakap dengan abang kau, orang yang jahat ni hidup tak aman. Kau tengoklah nanti apa jadi kat abang kau orang tu. Aku doakan biar dia merana seumur hidup!”

Zamri dan Ammar terkulat-kulat diherdik begitu.

“Memang kita orang tak tahu Abang Ezzat pergi mana.” Zamri menjelaskan. Tak nak dipandang serong. “Kita orang pun terkejut tengok Abang Ezzat tak ada subuh semalam. Tengok-tengok... baju Abang Ezzat banyak yang dah tak ada kat rumah.”

Liyani memandang sangsi wajah Zamri dan Ammar. “Alahh... kalau kau orang menipu pun, bukan orang tahu!”

“Sumpah, kak!” celah Ammar serius.

Liyani mencebik. “Apa masalah abang kau orang tu? Dah nak kahwin, boleh pulak lari dari rumah. Dia tu kenapa? Ada otak ke tak ada? Dia tak kesian ke kat Shila? Orang tu menangis tak berhenti dari semalam. Sekarang dah hilang pulak. Tak tahu ke mana! Abang kau tu sedap-sedap je lari dari kampung. Tunang tak guna! Dasar!”

Terdiam Zamri dan Ammar. Nak cakap lebih-lebih pun, mereka masih lagi bersekolah. Apalah yang mereka tahu sangat tentang masalah orang dewasa.

“Kau orang kalau tiru perangai abang kau orang tu, siaplah! Aku kerjakan cukup-cukup! Aku patah-patahkan tenguk kau orang!” Teremosi pula Liyani dibuatnya. Tak dapat Ezzat, dengan adik-adik Ezzat pun jadilah dia dapat melepaskan geram.

Terkulat-kulat Zamri dan Ammar.

“Kak Yani! Kak Yani!”

Liyani berpaling apabila terdengar namanya dipanggil sekumpulan budak-budak yang mengayuh basikal menghampiri mereka.

“Dah jumpa dah!”

Mata Liyani membulat.

“Kita orang dah jumpa Kak Shila dah!” laung seorang budak lelaki dari atas basikalnya.

Terperanjat dan tergamam Liyani mendapat berita itu. Direnung muka budak-budak yang sudah mengelilinginya. Rasa macam tak percaya. Perasaan sebak, gembira dan sayu berbaur di hati.


BERGELODAK gelora sebak dalam dada Liyani apabila dari jauh terlihat susuk tubuh Shila yang duduk menyandar di sebalik pokok mempelam di sebuah kebun milik penduduk kampung. Syukur alhamdulillah. Dia amat pasti Shila sedang menangis ketika ini.

Liyani memandang budak-budak yang menolongnya mencari Shila. “Pergilah balik. Dah maghrib ni. Nanti mak risau pulak. Bagitahu Mak Cik Zakiah, Kak Yani dah jumpa Kak Shila ek?”

Budak-budak itu serentak mengangguk.

“Esok malam datang rumah Kak Yani. Kak Yani masak sedap-sedap.” Itu sajalah cara Liyani menghargai usaha mereka.

Budak-budak itu kemudian beredar pergi. Tinggal Liyani sendirian. Direnung Shila yang membelakangkannya. Terhinggut-hinggut tubuh sahabatnya itu teresak. Kesian Shila.

Perlahan-lahan dia menghampiri Shila. Kehadirannya langsung tak dihiraukan. Shila tetap menangis. Terhembus nafas lemahnya.

“Shila...” serunya memujuk.

Shila memeluk lututnya dan menyembamkan muka di situ. Tangisannya berlarutan.

Liyani berkeluh kesian. Dilabuhkan duduk di sebelah sahabatnya itu. Bahu Shila diusap penuh kasih. Biarlah Shila menangis seketika. Diberi masa pada Shila menghambur kesedihan. Sesekali dia mengusap belakang tubuh Shila pula. Mungkin cara itu dapat mententeramkan perasaan. Tapi Shila masih tak henti tangisannya.

Dipaut bahu Shila, lalu memeluknya. Semerta perasaan sayu menyerbu. “Shila... kau tak boleh macam ni.” Dadanya sebak. Mata mula bergenangan. “Kau kena kuatkan hati. Lawan perasaan sedih kau tu.”

Shila mengangkat kepala. Basah mukanya yang suram dek air mata. Mata merah sembab kerana sudah terlalu banyak menangis. Wajah Liyani dipandang.

Liyani melepaskan pelukan. Sayu hatinya melihat keadaan Shila.

“Aku tak nak hidup lagi, Yani.”

“Astaghfirullahalazim...” Muka Liyani cemas. “Ingat Tuhan, Shila. Istighfar!”

Tangisan Shila sedikit kuat. Tubuhnya disandar lemah ke batang pokok. “Aku tak mampu nak hidup lagi dah. Apa guna aku hidup?” Dia menggeleng. “Semua dah berakhir,” keluhnya. Berderaian air mata ke pipi.

Sekali lagi Liyani beristighfar. Shila dah tak boleh berfikir dengan waras. Disebabkan terlalu sedih dan kecewa, akal Shila seolah-olah tak berfungsi.

“Abang Ezzat tinggalkan aku sebab sikap aku, Yani. Aku ni cepat menggelabah, kalut tak tentu hala. Kuat melatah. Aku yang salah, Yani. Abang Ezzat dah bencikan aku. Apa guna aku hidup lagi?” Bertambah rawan perasaan Shila.

Tak tertahan lagi Liyani mendengar rintihan Shila. Kedua-dua bahu Shila dipegang. “Shila... pandang aku, Shila.”

Dengan bercucuran air mata, Shila menatap tepat ke wajah Liyani.

“Kau sahabat aku, Shila. Aku tak ada sahabat lain selain kau. Kalau kau tak nak hidup lagi, kau sanggup tinggalkan aku?” Genangan di mata Liyani tumpah akhirnya ke pipi. Sebak dadanya terasa menyesakkan.

“Kau lebih rela mati hanya kerana Abang Ezzat rupa-rupanya, Shila. Sanggup kau buat aku macam ni...” keluhnya berjauh hati.

Shila tunduk. Tangisannya berlagu.

“Kita pernah sama-sama susah. Kita pernah sama-sama menangis. Dari kita kecik sampailah sekarang. Aku tak pernah merungut dengan perangai kau. Aku sayangkan kau. Tapi kau sanggup kata nak mati disebabkan Abang Ezzat. Kau tak sayangkan aku ke? Aku ni tak bermakna dalam hidup kau ke?” Teresak-esak Liyani menangis.

Makin laju juraian air mata Shila. Tersentuh hatinya dengan keihklasan Liyani. Lantas dia memeluk Liyani erat-erat. Menangis dia di bahu sahabatnya itu. Liyani membalas pelukan Shila. Mereka bertangisan. Lama mereka berpelukan. Melepaskan perasaan yang berbeku di hati masing-masing.

Seketika kemudian tangisan mereka mula mereda. Liyani mengusap belakang tubuh Shila penuh kasih. Lama-kelamaan, tangisan Shila berhenti. Esakannya sudah perlahan.

Liyani melepaskan pelukan. Wajah Shila ditatap dengan senyuman sambil menyeka pipinya yang basah. Dia mula sedar, malam semakin pekat kala meliarkan pandangan ke sekeliling kebun itu. “Kita balik, Shila. Jom...”

Shila akur dengan ajakan Liyani, namun tubuhnya benar-benar lemah. Sejak semalam dia menangis dan tak makan. Dan hari ini sepanjang hari dia duduk di pokok itu menangis.

Ketika hendak berdiri, tubuhnya melurut tak bermaya. Dia berpaut pada Liyani yang cuba memapahnya. Saat ini, air matanya berjuraian semula. Kasih Liyani padanya sungguh tulus. Kenapa dia tak sanggup kehilangan Ezzat? Sedangkan, sepatutnya dia lebih tak sanggup kehilangan sahabat dunia akhiratnya ini.


“AIKK...” Sepanjang perjalanan pulang, semua rumah bergelap. Hanya diterangi pelita atau lilin. “Blackout kampung kita, Shila.” Diberitahu Shila yang membonceng motosikalnya.

Shila memerhati saja tanpa respons. Dia terlalu lemah. Tubuhnya melembik bersandar ke belakang badan Liyani.

“Dah sampai...” Liyani memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah Shila.

Demi mendengar bunyi enjin motosikal, Zakiah dan Karim keluar dari rumah. Masing-masing bergegas mendapatkan Shila.

“Ya ALLAH... Shila...” Gelodak sebak menghurung dada Zakiah. Sayu hatinya melihat keadaan Shila yang tak terurus begitu. Menitis air matanya.

Dia dan Karim memapah Shila masuk ke dalam rumah, dibawa masuk ke dalam bilik.

Liyani mengekori dari belakang. Dicapai sebatang lilin yang menyala di ruang tamu, lalu dibawa bersama ke dalam bilik Shila yang gelap gelita. Lilin itu diletakkan di atas lantai berdekatan dengan katil.

“Mak suapkan makan ya, Shila?” soal Zakiah setelah membaringkan Shila. Dia duduk di birai katil di tepi kepala Shila.

Bergegas Karim keluar semula dari bilik itu.

Shila menggeleng lemah.

“Makanlah sikit,” pujuk Zakiah bersungguh. Susah hatinya. Sudah dua hari Shila tak menjamah apa-apa. Perut kosong.

Shila tetap menggeleng.

Muncul semula Karim sambil membawa sejag air kosong. Air itu dituang ke dalam gelas. Diserahkan kepada Zakiah. “Bacakan ayat Kursi. Lepas tu sapukan air tu kat muka dia,” suruhnya.

Zakiah menurut. Karim turut membaca sama. Liyani juga membaca ayat suci itu. Moga ALLAH berkenan memberi pertolongan untuk Shila.

Setelah selesai, Zakiah tuang sedikit air di tapak tangan. Diraupkan ke seluruh wajah Shila sambil berselawat. Diulang-ulang perbuatan itu sebanyak tiga kali.

Karim menuang lagi air ke dalam gelas apabila tinggal sedikit. “Bagi dia minum pulak.”

Zakiah membantu menegakkan kepala Shila. Gelas itu disua ke bibir anaknya.

Shila meneguk hingga habis. Haus benar dia.

Sebak dada Zakiah. Luruh air matanya. “Ya ALLAH... alhamdulillah...”

Mata Karim turut bergenangan. Diambil gelas kosong dari tangan Zakiah.

“Shila nak makan? Mak suapkan. Makan ya?”

Menggeleng Shila tak mahu. Dia berbaring selesa. Matanya terpejam-pejam. Terasa tak bermaya. Dia cuma mahu tidur je ketika ini.

“Bagilah dia rehat dulu, Kiah.” Karim memujuk isterinya. “Dia dah penat sangat tu. Biarlah dia tidur.” Dia tak mahu Zakiah terlalu memaksa. Lebih-lebih lagi apabila melihat Shila sudah memejamkan mata. Jelas anaknya itu mahu tidur. Lantas dia keluar dari situ.

Zakiah membelai-belai dahi Shila penuh kasih. Matanya bergenangan lagi. Gugur berderai ke pipi. “Ya ALLAH...” Perasaannya makin sayu.

Liyani turut duduk di birai katil, di hujung kaki Shila. Dia hanya memerhati perlakuan Zakiah sambil menahan sebak yang bergulung-gulung dalam dada.

“Terima kasih, Yani... tolong carikan Shila. Bawa dia balik rumah. Mak cik bersyukur sangat-sangat.” Kedengaran suara Zakiah bergetar sebak. Air matanya diseka.

Liyani hanya berdiam. Sebenarnya, banyak yang dia nak cakapkan pada Shila. Dia masih belum puas bagi kata-kata semangat pada sahabatnya itu. Betul kata Karim. Biarlah Shila berehat dulu. Esok, dia akan datang lagi ke sini.

“Ni semua Ezzat punya pasal! Lelaki tak guna!” Masih bersisa amarah dalam jiwa Zakiah. “Sampai hati dia buat Shila macam ni. Esok-esok, tahulah nasib dia macam mana nanti. Mak cik tak ampunkan dosa dia, Yani.” Diseka air matanya. Sayu.

Liyani bingkas berdiri. Bahu Zakiah dibelai, memujuk agar wanita itu bersabar. Apalah yang boleh dibuat lagi bila dah jadi macam ni? Hanya teruskan hidup dan lupakan saja apa yang dah jadi. Tak guna lagi mengenangkan orang yang menyakitkan hati. Jiwa akan lebih sakit nanti.

“Yani balik dulu, mak cik. Esok, Yani datang jenguk Shila lagi.”

Zakiah mengucup dahi Shila. Diambil selimut, lalu menyelubungkan tubuh anaknya itu. Sebiji bantal peluk diletakkan di sebelah Shila supaya anaknya itu tak jatuh dari katil.

Mereka berdua keluar dari bilik Shila. Zakiah menutup pintu bilik rapat-rapat.

Tinggal Shila sendirian dalam bilik yang suram lagi kelam itu. Dia sudah nyenyak tidur. Namun, bibirnya ada kala bergerak-gerak. Terkumat-kamit.

“Terima kasih, Yani... mak cik tak tahu nak balas budi baik kau ni.” Zakiah berkata sambil mengiringi Liyani ke pintu rumah.

“Shila tu kawan baik Yani, mak cik. Yani pun risau kalau jadi apa-apa kat dia.” Liyani tak mahu Zakiah rasa terhutang budi sangat. Apalah budi yang dia beri kalau nak dibandingkan dengan kebaikan Zakiah kepadanya sekeluarga selama mereka hidup berjiran berpuluh-puluh tahun ni.

“Mak cik janganlah susah hati lagi. Doakan yang baik-baik je untuk Shila tu. Ya?” pujuknya pula.

Zakiah mengangguk dengan riak wajah terharu. Bergenang lagi air matanya.

Ketika Liyani menuruni anak tangga, dia terpandang kucing Shila yang duduk termenung di situ. “Beckham...” panggilnya, lalu membelai kucing itu. “Jagakan Shila tau.”

Beckham merenung jauh entah ke mana.

Setelah seketika membelai kucing itu, Liyani berlalu pergi.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.