Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
15,906
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

EZZAT memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah Shila. Shila turun sambil membuka topi keledar. Diserahkan pada Ezzat. Ketika itu, seekor anak kucing muncul di sisi kaki Shila. Dia meleset-leset manja. Baru enam bulan usia kucing itu.

“Eh, Beckham!” Lantas Shila tunduk memaut tubuh kucingnya yang berwarna kelabu kehitaman. Tapi kedua-dua telinganya berwarna putih. Beckham didukung. “Tata, Abang Ezzat.” ‘Tangan’ Bechkam dilambai-lambai pada Ezzat.

Ezzat ketawa. “Hari tu, dia datang rumah abang.”

“Dia ni memang! Suka merayau. Nak makan baru balik rumah.” Shila mengusap-usap kepala Bechkam. Dia memandang Ezzat semula. “Tata...”

Ezzat menunggang motosikal menghala ke rumahnya yang terletak tak jauh dari rumah Shila. Kira-kira dua minit. Mereka tinggal sekampung. Walau tinggal sekampung, mereka bukan kenal sangat sebenarnya. Kenal-kenal macam tu je. Bertegur sapa pun tak pernah.

Namun sejak Shila bekerja di kilang yang sama dengannya dua tahun lalu selepas Shila habis SPM, dia mula tertarik dengan gadis itu. Mereka makin lama makin rapat sehinggalah tahun lepas dia meluahkan perasaan dan memberitahu mahu meminang Shila. Seronok betul dia bila tahu Shila pun sukakannya. Tak menunggu lama, terus dia menghantar rombongan meminang.

Sampai di pekarangan rumah, Ezzat lihat motosikal abahnya tiada. Dia mendengus. Diparkir motosikalnya berdekatan dengan tangga rumah. Setelah mematikan enjin, terdengar rumahnya riuh-rendah.

Setelah mendaki tangga rumah, dilihat tiga orang adiknya yang kesemuanya lelaki sedang bermain tumbuk-tumbuk. Mengekeh masing-masing ketawa. Rumah berkecah! Kusyen-kusyen bersepah di atas lantai. Dengan buku-buku sekolah berterabur di sana sini. Dah tak macam rumah!

Kerana seronok sangat bermain, semua tak perasan dia dah balik. Bunyi motosikal langsung tak dengar.

“Woi!” sergahnya garang.

Semua terdiam bagai dilanggar garuda.

“Ni apa ni? Sepah sana, sepah sini! Rumah macam nak pecah!” Ezzat marah sambil bercekak pinggang.

Terkulat-kulat Zamri, Ammar dan Redza.

“Pergi mandi!” tengking Ezzat.

Bergegas tiga beradik tu berlari ke bilik.

“Hei! Hei! Hei!” tahan Ezzat dengan suara sehabis kuat.

Mati terus langkah masing-masing.

“Kemas dulu rumah ni! Kutip semua yang kat lantai. Kalau aku tengok tak kemas, tak bersih... tiga-tiga aku bantai! Kemas cepat!” gertak Ezzat.

Zamri, Ammar dan Redza berpatah balik, tak jadi masuk ke bilik. Semua tak berani pandang wajah Ezzat. Perlahan-lahan mereka menunduk mengutip segala yang bersepahan di lantai.

“Kau yang paling besar pun macam budak-budak, Zam. Tahun ni nak SPM. Bukan nak belajar! Main je tahu!” marah Ezzat pada Zamri.

Dia melangkah ke dapur. Tudung saji di atas meja diangkat. Ada ikan goreng dua ekor dan sedikit sayur goreng. Perutnya terasa lapar. Pinggan di rak dicapai. Mahu mengambil nasi di dalam periuk di atas dapur gas. Sebaik saja penutup periuk dibuka, yang kelihatan hanya kerak nasi.

“Woi! Siapa makan nasi sampai habis ni hah?!” pekik Ezzat sekuat suara.

Zamri, Ammar dan Redza yang sedang mengemas terhenti. Mereka saling berpandangan.

“Dah habiskan nasi, masaklah lagi!”

Terdengar lagi suara Ezzat menjerit dari arah dapur.

“Kau tadi yang makan paling lambat, Ammar.” Zamri menuding jari. Suaranya berbisik, tak nak didengari Ezzat.

“Apa pulak aku! Kau kan yang makan tambah dua kali.” Ammar tak nak dituduh.

Redza yang bongsu tak nak masuk campur. Dia baru 11 tahun. Lagipun balik sekolah tadi, dia yang makan paling awal.

“Kau yang habiskan nasi tadi.” Zamri menunjal kepala Ammar dengan kusyen.

“Sakit, bodoh!” Ammar nak membalas balik, tapi terdengar lagi Ezzat melaung.

“Cepatlah kemas tu! Pergi mandi. Dah nak maghrib tak mandi-mandi lagi!” Sambil membasuh beras di singki Ezzat membebel. “Hari-hari nak kena suruh itu ini. Hari-hari nak kena marah. Dah besar pun tak boleh harap!”

Tak jadi Ammar nak bantai Zamri balik. Dia menjeling Zamri sebelum kembali mengemas.

“Kenapa dengan Abang Ezzat tu?” Redza kehairanan. “Tak pernah dia macam ni. Hari ni, balik je marah-marah!”

Zamri dan Ammar hanya diam. Mereka pun sebenarnya kehairanan juga.

Sesudah menanak nasi, Ezzat duduk di kerusi meja makan. Terlepas keluhan panjang. Termenung dia di situ. Macam-macam yang dia fikirkan. Dibilang hari majlis perkahwinannya. Tinggal empat hari saja lagi! Suara riuh-rendah adik-adiknya berebut masuk ke bilik air tak dipedulikan. Fikirannya tetap melayang jauh. Makin difikir, makin serabut kepalanya.

Ketika dia berkeluh-kesah, kedengaran bunyi motosikal Husin. Abahnya sudah balik! Lantas dia ke ruang tamu. Dilihat Husin baru saja duduk di kerusi kusyen.

“Baju Melayu untuk budak-budak tu abah dah beli belum?” Ezzat terus bertanya.

Husin bersandar selesa melepaskan lelah.

Diam Husin itu sudah cukup untuk Ezzat tahu jawapannya. “Bila abah nak beli?” Angin dalam badan Ezzat mula bergelora.

Husin masih tak respons. Pandang Ezzat pun tak.

Makan hati Ezzat dengan abahnya itu. Perasaan geram yang sudah menggigit-gigit hati disabarkan. “Orang tanya ni... bila abah nak beli? Jawablah...”

“Nanti-nantilah.” Jawapan Husin acuh tak acuh.

“Abah bagi duit. Orang pergi beli sendiri esok.” Dah tak boleh bersabar lagi Ezzat.

“Esok-esoklah abah beli.”

“Majlis lagi empat hari, bah. Esok-esok tu bila? Apa benda pun abah tak beli lagi! Satu benda pun orang tak nampak abah beli. Nak tunggu bila?” Ezzat mula naik angin.

“Nanti abah belilah. Tak reti sabar ke?”

Sakit hati Ezzat melihat muka selamba Husin. Langsung tak risau majlis dah makin dekat! “Esok orang nak pergi Simpang.” Dia memaksudkan pekan Simpang Renggam. “Biar orang je yang beli. Orang belikan baju sekali. Bagi duit, bah.” Dia menghulurkan tangan.

Husin tak pandang wajah Ezzat.

“Bagilah duit, bah...” Ezzat mendesak sambil menahan sabar. Dikawal geram yang makin menguasai diri.

“Duit apa?”

“Duitlah! Baju tak beli. Barang hantaran satu apa pun tak ada lagi.” Nyaring suara Ezzat.

“Kau ni, duit! Duit! Duit! Duit!” tengking Husin. Naik darahnya didesak-desak begitu.

“Majlis orang hari Sabtu ni, bah!” Ezzat makin naik angin. “Bagilah duit! Kalau abah tak bagi duit, nak beli dengan apa?”

“Umur kau baru 23 tahun. Si Shila tu 20 tahun. Dah sibuk nak kahwin! Entah reti masak, entah tak dia tu. Orang kampung cerita, dia tu bukannya elok pun! Perangai kalut. Menggelabah melatah entah apa-apa. Macam mana kalau dia duduk sini? Macam mana dia nak jaga adik-adik kau? Nak jaga abah?”

“Abah bagi jelah duit! Tak payah membebel! Bagi jelah!” Suara Ezzat memetir.

Husin memandang Ezzat dengan renungan tajam.

Ezzat membalas renungan itu dengan berani. Dadanya turun naik agak kasar.

“Kurang ajar!” selar Husin.

“Abah yang buat orang jadi kurang ajar!” balas Ezzat berani.

Dengan muka membengis, Husin bingkas berdiri. Dia melangkah keluar dari rumah.

“Abah! Abah! Abah!”

Husin tak hiraukan panggilan Ezzat.

“Abah!” laung Ezzat keras.

Setelah menghidupkan enjin motosikal, Husin berlalu pergi.

Ezzat yang berdiri di muka pintu menumbuk dinding kayu rumah itu sekuat hati penuh geram. Tak puas hati, dia tendang pintu pula. Terhempas kuat ke dinding. Bergegar rumah itu dibuatnya.

Zamri, Ammar dan Redza yang sejak tadi mengintai di sebalik pintu bilik saling berpandangan. Masing-masing mengangkat bahu dengan riak takut.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.