Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
15,906
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

INILAH hari yang ditunggu-tunggu. Hari bersejarah buat Shila. Sebentar lagi dia akan diijab kabul dengan Ezzat. Dia akan jadi isteri Ezzat yang sah. Menanti detik itu membuatkan Shila berdebar-debar walau senyumannya tak lekang dari bibir.

Dia yang sudah siap dimekapkan dan kelihatan sangat cantik dengan busana baju kurung moden warna putih bermanik, lengkap dengan tudung putih yang dihiasi veil berkerawang. Sopan dia duduk di birai katil ditemani Liyani dan rakan-rakan yang lain. Semua sibuk mahu bergambar dengan Shila.

“Tok kadi datang pukul berapa, Shila?”

Shila memandang jam dinding. “Kejap lagi sampai kot. Nikah pukul 10.00 pagi.”

“Sempat nak selfie lagi.” Liyani masih tak puas-puas bergambar. Telefon bimbit diangkat tinggi-tinggi supaya dapat mengambil gambar semua yang ada di situ.

Macam-macam posing mereka beraksi. Dah puas bergambar ramai-ramai, mereka selfie berdua pula dengan bakal pengantin. Lepas seorang, seorang bergambar di sebelah Shila.

Pintu yang bertutup rapat tiba-tiba dibuka dari luar. Semua mata memanah ke arah itu. Muncul Rozana dengan wajah kelam-kabut.

“Kau dah siap ke belum ni, Shila?”

“Dah, Kak Ana. Dah!” Liyani yang tolong menjawab. Sebagai pengapit, dia betul-betul menjaga Shila.

“Hah, keluar cepat! Rombongan pengantin lelaki dah sampai tu.”

Shila terkaku. Dah sampai? Ya ALLAH... dah nak nikah ke aku? Ya ALLAH, ya ALLAH... Dia mula rasa menggelabah. Mula kalut tak pasal-pasal.

“Tak payah buat muka kalut macam tulah, Shila oii!” Rozana menyergah.

Shila serentak memandang Rozana dengan riak terkulat-kulat. “Err... err...”

“Yani...” Rozana beralih kepada Liyani pula. “Kau jaga dia nanti, Yani. Jangan sampai dia buat hal masa majlis. Buat malu orang je!”

Liyani mengangguk walau tahu memang susah nak suruh Shila bertenang tak menggelabah dan tak melatah.

“Dah, pergi depan cepat. Cepat! Cepat!”

Semua bergegas mahu keluar dari bilik itu. Liyani membantu Shila membetul-betulkan tudung sebelum beredar. Beriringan mereka ke ruang tamu. Kelihatan sudah ramai tetamu di situ. Namun, suasana bagaikan sunyi sepi. Semua bagaikan tergamam.

Shila mengambil tempat di alas duduk untuk pengantin perempuan. Bersimpuh elok dia duduk di sisi Liyani. Keadaan yang seakan kekok ketika itu membuatkan mukanya berkerut pelik. Semua yang ada di situ membisu. Dicari wajah Ezzat. Tiada. Wajah Husin pun tiada. Begitu juga dengan adik-adik Ezzat. Tak ada seorang pun keluarga sebelah pengantin lelaki kelihatan di situ.

“Kenapa semua diam, Yani?”

Liyani mengangkat bahu. Dia pun sedang terpinga-pinga sebenarnya. Kenapa suasana lain macam sangat ni? Semua senyap je.

Shila menangkap suara-suara dari luar rumah. Suara berbincang tapi seolah-olah tegang nadanya. Spontan dia bangun menjengah ke luar pintu. Melihat ayah dan emaknya tercegat berdiri di halaman rumah, dia menuruni anak tangga mendapatkan mereka. Husin dan Zamri pun ada bersama.

Liyani mengekori Shila. Kena ikut ke mana saja Shila pergi. Lagipun, dia nak tahu juga apa yang dah jadi.

Husin terkaku melihat Shila menghampiri mereka. Wajahnya kelat. Zakiah dan Karim yang menyedari reaksi Husin, berpaling ke belakang. Mereka terdiam apabila melihat Shila sudah berdiri betul-betul di sisi.

“Kenapa, ayah? Mak?” Teragak-agak Shila bertanya. Wajah-wajah di hadapannya itu yang berkeluh-kesah membuatkan dadanya diamuk debaran menggila.

Husin berdecit. Sambil bercekak pinggang dia memandang ke arah lain. Riak wajahnya bertambah keruh.

Hati Shila makin tak keruan. “Kenapa, pak cik? Ma... ma... mana... Ezzat?”

Husin membeku.

Zakiah memaut lengan Shila, cuba menenangkan gelodak jiwa anaknya itu. Dia tahu Shila mula mengesyaki sesuatu.

“Mak, kenapa ni? Mak...” Nada suara Shila berbaur.

“Kau cakap betul-betul, Husin!” Karim bercekak pinggang menghadap abah Ezzat itu. “Kau jangan malukan keluarga aku! Cakap betul-betul!” Riak marahnya begitu memuncak.

“Abang...” Zakiah menegah suaminya. Tak nak jadi gaduh pula.

Karim mendengus. Kusut riak wajahnya. Dia memandang ke arah lain. Cuba disabarkan hati.

“Kenapa ni, mak?” Bertambah tak keruan jiwa Shila. Perasaannya mula sebak. Kenapa ayah marah-marah? Kenapa Pak Cik Husin muram? Apa dah jadi ni? Mana Ezzat? Ya ALLAH... apa dah jadi ni?

“Mak... cakaplah. Kenapa ni?” soal Shila lagi. Sebak di dada bergelora.

Zakiah membungkam. Wajahnya kelihatan keruh.

Liyani turut terkesan sesuatu yang buruk. Lihat wajah Husin, Zamri, Zakiah dan Karim... cukup untuk dia buat kesimpulan. Dia memandang Shila. Perasaan risau sudah meresahkan. Ya ALLAH...

Shila melepaskan pegangan tangan Zakiah di lengannya. Dia mendekati Zamri. “Mana Abang Ezzat, Zam? Cakap, Zam!”

Zamri menunduk. Tak bereaksi.

Shila jadi geram. Digenggam bahu Zamri dan menggoncangnya. “Cakap! Cakap, kenapa? Cakaplah!” raungnya sebak. “Cakaplah... kenapa?”

Liyani menghampiri Shila. “Shila... sabar, Shila.” Dipaut bahu sahabatnya itu. “Sabar, sabar...” pujuknya.

Shila mengelak dari dipegang Liyani. Dia masih menggenggam bahu Zamri. “Cakaplah...” rayunya pula.

Sambil menggeleng Zamri masih tunduk.

Shila menolak Zamri. “Cakaplah!” Dilepaskan perasaan geram, sakit hati, kehairanan, keliru... semuanya berbaur. Dia berdengus kuat. Seakan mahu menangis dia ketika ini.

Semua yang ada di situ turut diam membisu. Zakiah sudah menangis. Dilap matanya dengan hujung lengan baju kurung. Dia sebagai ibu lebih luruh hati melihat keadaan Shila ketika ini.

“Shila!”

Serentak Shila berpaling ke belakang. Rozana memanggilnya dari anak tangga rumah.

Semua mata bertumpu ke arah Rozana yang menghampiri mereka sambil membawa sebuah telefon bimbit.

“Shila...” Rozana menghulurkan telefon bimbit itu kepada Shila. Dia buat isyarat supaya Shila menjawab panggilan tersebut.

Kelam-kabut Shila mengambil telefon itu. Sempat dia melihat nama pemanggil di skrin. Lalu, didakapkan ke telinga. “Helo...”

Tiada suara yang kedengaran di hujung talian.

“Helo...”

Tetap sunyi.

Air mata Shila bergenangan. Dia tahu Ezzat di hujung talian. Bergelora perasaan sebaknya menyesakkan dada. Dia mengemam bibir menahan emosi. Dia beredar. Menjauh dari situ. Tak mahu sesiapa dengar perbualannya.

“Helo... Abang Ezzat...” Matanya yang bergenangan mula tumpah. Dia tahu Ezzat mendengar suaranya.

Ketika ini di hujung talian, Ezzat merenung telefon bimbitnya. Dia berkira-kira. Panggilan yang dibuat tadi dibiarkan. Bersandar dia duduk di kerusi bas ekspres yang dinaiki. Nafas dihempas berat. Setelah seketika, barulah dia melekapkan telefon bimbit di telinga.

“Helo...” Suaranya mendatar.

“Abang Ezzat...” Sayu suara Shila. “Kenapa ni, Abang Ezzat?” Berderaian air matanya.

Sekali lagi Ezzat menghempaskan nafas panjang. Dia merenung ke luar cermin tingkap. Pemandangan yang dilalui terasa kosong.

“Abang... hari ni kita nak nikah, bang. Datanglah sini.” Shila membiarkan air matanya berjuraian. Dia teresak sayu. “Majlis nak mula ni. Abang datang ya?”

“Shila...” Ezzat berdeham. “Dengar sini baik-baik.”

Shila menumpu perhatian. Dia nak dengar apa yang Ezzat katakan dengan jelas.

“Aku nak kau batalkan majlis tu!”

“Abang!” Terjerit Shila seakan meraung. Sungguh dia amat terkejut. Matanya makin berkaca-kaca.

Liyani segera mendapatkan Shila. Berdasarkan reaksi sahabatnya itu, tahulah dia. Pasti Ezzat buat sesuatu yang tak betul.

“Beritahu ayah dengan mak kau, majlis kita batal!” Tegas Ezzat menyuruh.

“Abang! Jangan buat Shila macam ni, bang...” Shila merayu-rayu dengan linangan air mata. “Abang...” Terasa lemah seluruh tubuh. Terasa berat permintaan Ezzat. Tak sanggup dia terima. “Kenapa buat Shila macam ni, bang?”

Zakiah, Karim dan Rozana mengerumuni Shila. Ternanti-nanti mahu mengetahui apa yang Ezzat katakan pada Shila.

Husin dan Zamri tercegat berdiri memerhati Shila dari jauh. Wajah Husin benar-benar kelihatan pucat dan lesu. Keadaan ini terlalu rumit baginya.

“Abang...” rintih Shila apabila Ezzat di hujung talian hanya diam. “Jangan buat Shila macam ni, bang. Datanglah sini. Hari ni kita nikah. Majlis semua dah sedia. Datanglah, bang. Shila tunggu abang. Tak apa... Shila tunggu.” Basah wajahnya dengan air mata. Dia tak peduli. Dia nak Ezzat tahu yang dia tak boleh hidup tanpa lelaki itu. Dia tak sanggup.

“Aku suruh batalkan, batalkan jelah!” jerkah Ezzat sekuat hati.

“Abang...” Shila meratap. Menggeleng-geleng dia tak mahu. “Shila tak nak batalkan! Majlis semua dah sedia, bang. Abang tak kesian ke dengan ayah? Dengan mak? Dah bersusah nak buat majlis ni, tiba-tiba abang nak batalkan. Ya ALLAH... kenapa ni, bang?”

Juraian air mata yang membasahi pipi dibiarkan. Kalau Ezzat nak dia berlutut, dia sanggup. Asalkan Ezzat tak batalkan majlis itu.

“Aku dah tinggalkan kampung, Shila. Jangan tanya aku ke mana. Jangan cari aku. Faham?! So... batalkan majlis tu. Anggap kita tak ada jodoh!” Bersahaja Ezzat berkata. Langsung macam tak bersalah.

Tergeleng-geleng Shila tak percaya apa yang Ezzat katakan. Makin berjuraian air matanya. “Abang... jangan tinggalkan Shila, bang. Shila tak boleh hidup tanpa abang. Shila tak boleh, bang. Jangan tinggalkan Shila. Tolonglah, bang. Jangan tinggalkan Shila. Shila merayu, bang. Shila merayu! Shila tak boleh hidup tanpa abang...”

Raungannya bertambah kuat. Sungguh-sungguh dia merayu. Merintih dia menangis. Terngiang-ngiang apa yang Faizah katakan padanya sebelum ini. Betul rupa-rupanya apa yang Faizah kata.

“Shila janji, bang! Shila janji... Shila takkan melatah, takkan menggelabah lagi. Shila janji! Lepas ni, Shila buang perangai kalut Shila. Shila tahu abang rimas dengan perangai Shila tu. Demi ALLAH, bang... Shila janji! Abang jangan tinggalkan Shila. Tolonglah, bang... Shila janji....” Diangkat tangan kanannya tinggi seakan-akan berikrar.

Hujung talian senyap. Ezzat langsung tak membalas kata-kata Shila.

“Abang...” rintih Shila sayu. “Tolonglah jangan tinggalkan Shila,” esak Shila penuh mengharap. Sehabis daya dia cuba merayu. “Jangan tinggalkan Shila, bang. Shila tak boleh hidup tanpa abang. Abang...”

“Kalau kau tak boleh hidup tanpa aku...” Ezzat diam seketika. “Jangan hidup lagi.”

Kata-kata Ezzat itu bagai guruh di telinga Shila. Dia terdiam. Telefon di telinganya melurut jatuh menghentak ke bumi. Air mata berguguran lebih banyak ke pipi. Serasa seluruh tubuh tak mampu ditampung lagi. Dia rebah.

“Shila!” Liyani dan Rozana memaut tubuh Shila. Namun, Shila sudah menyembah tanah.

“Shila... kenapa ni? Ya ALLAH... Shila. Kenapa? Cakaplah!” Rozana menepuk-nepuk pipi Shila. Dia mula teresak. “Ya ALLAH... Shila...”

“Abang Ezzat cakap apa, Shila? Shila?!” Liyani menggoyang-goyang bahu Shila, namun Shila tetap kaku. Hanya air matanya saja yang semakin banyak tumpah.

Karim meraung di situ juga. Malu dia dengan orang kampung. Majlis sudah sedia, tapi terpaksa dibatalkan. Hutang pula sudah menanti. Terluka dia dengan perbuatan Ezzat. Tanpa tertahan, dia menangis jua.

Husin menunduk tak mampu menatap wajah sesiapa. Dia malu! Malu!

Zakiah sudah terduduk lemah di tanah. Yakinlah dia yang majlis ini dah tak ada maknanya lagi. Sah! Ezzat dah lari dari kampung seperti yang Husin katakan sejak awal tadi.

“Kenapa kau buat Shila macam ni, Ezzat? Kenapa?!” Dia meratap tanpa dapat menahan perasaan pilu yang menggoncang jiwanya.

Zamri tak sanggup melihat Shila menangis. Tak sanggup juga dia melihat Zakiah, Karim, Rozana dan Liyani bersedih hiba. Tergeleng-geleng dia penuh kesal. Apa yang jadi hari ni, memang tak patut terjadi!

Tak sanggup menahan perasaan, dia melangkah pergi. Mencuka wajahnya. Sungguh dia kesal!


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.