Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
16,304
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

“Ya ALLAH, Yani... malu aku. Malu!” Shila menutup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan. Dia meraung seakan-akan nak menangis. “Aku malu gila kot! Lelaki tu macam nak tampar muka aku sebab jatuhkan motor dia. Huhuu...”

Mengekek Liyani ketawa. Sampai menekan-nekan perut. Terbayang macam mana cuak muka Shila sebab dah terduduk atas motosikal orang lain. “Macam nak pecah perut aku ni, Shila. Kau ni... lawaklah!”

Shila menurunkan tangannya dari muka. Mukanya menjeruk. Bersandar dia duduk di tepi katil.

“Teruk ke motor budak lelaki tu?” Liyani bertanya setelah ketawanya reda.

“Nasib baik tak apa-apa. Tapi motor yang hujung tu teruk sikit. Ada calar-calar.”

“Habis tu, macam mana?”

“Abang Ezzat berdirikan balik semua motor tu. Motor yang hujung tu terpaksa tinggal jelah. Tak tahu nak buat apa. Tuan motor tu tak tahu kat mana.” Shila meramas-ramas rambutnya dengan perasaan serabut. Terlepas keluhan yang berat.

Liyani duduk sambil memaut lutut. Wajah runsing Shila direnung.

“Ya ALLAH...” keluh Shila terkilan. “Nasib baiklah Abang Ezzat tak marah aku. Dia siap pujuk aku suruh bertenang. Baik betullah dia tu.”

“Untung kau dapat Abang Ezzat. Beruntung betul!” puji Liyani ikhlas.

“Tu yang buat aku sayang sangat kat dia, Yani. Kalau dia dengar ada orang kutuk aku, dia mesti back up aku. Dia tak suka orang mengata aku. Siang tadi, aku cerita pasal budak-budak kilang yang mengutuk aku kat Abang Ezzat. Kau nak tahu? Abang Ezzat suruh aku tampar muka orang tu.”

“Perghh... sayang betul dia kat kau! Kau takkan jumpa lelaki sebaik Abang Ezzat, Shila. Betul aku cakap ni.”

Shila mengangguk setuju. Ezzat satu-satunya lelaki yang dia sayang selepas ayahnya. “Tapi dia tu boleh tahan suka mengusik aku. Geram jugak aku dengan dia kadang-kadang.” Wajah dimonyokkan.

“Alah... dia usik-usik manja je, Shila. Barulah bahagia!” Seronok pula Liyani.

Shila ketawa. Itulah yang buat dia makin sayangkan Ezzat. Pandai mengusik, pandai menenangkan, suka memujuk, baik dan kadang-kadang kelakar.

“Kau rasa... perangai menggelabah kau tu menyusahkan eh?”

Shila mengangguk lemah.

Liyani duduk bersila sambil menggosok-gosok kedua-dua tapak tangan. “Ada cara supaya tak menggelabah sebenarnya. Kau ikut aku. Kau kena tarik nafas dalam-dalam.” Dia mempraktikkan apa yang dicakap. “Lepas tu, lepaskan perlahan-lahan. Macam ni.”

Shila tiru apa yang Liyani buat. Sungguh-sungguh serius mukanya.

Liyani tengok muka Shila sampai melopong! Shila buat betul-betul dengan aksi begitu fokus. Shila buat apa yang dia suruh tanpa banyak soal. Taat semacam! Sambil pejam mata pulak tu. Beria-ia sungguh! Tarik nafas sampai berbunyi kat hidung. Hidung sampai kempis. Dada terangkat kembang.

Selepas menghembus nafas perlahan-lahan sehingga dada turun semula, barulah Shila membuka matanya. Itupun ‘berkurun’ lama jugak Liyani menunggu. Dia senyum semacam. Acah-acah lega tak terkata.

“Dah! Aku okey tak?” Shila berwajah gembira.

Liyani meneliti Shila dari hujung kepala hingga hujung kaki. Tak tahu nak jawab apa. Dia tak nampak apa-apa perubahan Shila. Nampak Shila macam okey saja.

“Aku rasa... aku dah tak kalut menggelabah lagi kot. Aku rasa tenang sekarang, Yani. Tenang!” Begitu yakin Shila mengaku. Dia mencapai sebatang bunga telur yang belum disiapkan bunganya dengan perasaan seronok. Mahu menyambung kerja semula.

Liyani senyum sambil tunjuk kedua-dua ibu jari. Petuanya menjadi! “Aku dah cakap dah. Aku ni pandai. Kau ikut je apa yang aku cakap.”

“Baik, bos!” tabik Shila bergurau.

Tiba-tiba pintu bilik Shila dibuka dari luar dengan kasar.

Serentak Shila dan Liyani terkejut hingga tersentak.

“Woi ya woi! Pak! Pak! Pak! Kelepak kepampong! Kebabom woi pak pok!” Shila terlatah. Laju sebutan latahnya. Bunga yang dipegang tercampak ke kepala Liyani.

Liyani nak ketawa, namun mengemam mulut menahannya apabila melihat emak Shila yang muncul di situ.

“Ya ALLAH...” Tergeleng Zakiah melihat anak daranya. Dilihat masih banyak bunga telur yang belum siap. “Ya ALLAH...” Mengeluh dia dibuatnya. “Apa yang kau berdua buat dalam bilik ni? Bila nak siap semua tu oii?”

Shila menyengih memandang Zakiah yang berdiri di sebalik pintu.

“Dah malam buta tak siap lagi. Si Yani tu nak balik tidur. Esok nak kerja. Mak suruh siapkan bunga telur tu, dia bantai berborak-borak pulak. Esok tak siap tu semua, tak payah kahwin!” Zakiah masih mahu membebel.

“Kalau tak siap, bagi je telur macam ni.” Shila tunjuk cara bagi telur sebiji-sebiji bogel begitu saja.

Zakiah mula bercekak pinggang dengan muka herot-berot nak marah. Shila ni dah nak kahwin, tapi perangai tak matang-matang lagi!

Liyani balun gelak. Terkekeh-kekeh dia. Tak tahan dia menahan ketawa sejak tadi lagi. Perangai lurus bendul Shila menggelikan hatinya.

Shila senyum menyangka ideanya bernas.

Zakiah menggeleng-geleng. Dah tak tahu nak cakap apa dengan anak daranya itu. Buat kering air liur je!

Ketawa Liyani mula reda. Tapi bibirnya masih menyengih. “Tak apalah, Mak Cik Kiah. Yani tolong Shila siapkan semua ni.” Dia mencapai bunga yang jatuh atas kepalanya tadi dan mengambil sebatang lidi. Pita pelekat berwarna hijau tua digunakan untuk mencantumkan bunga ke lidi tadi.

“Mak kau nak balik dah tu, Yani. Pergilah balik. Sambung esok jelah.”

“Mak Cik Senah nak balik dah? Awalnya?” Shila memandang emaknya macam tak percaya.

“Awal apa bendanya, Shila? Dah dekat pukul 11.00 dah. Heh, anak dara ni!” Geram pula Zakiah dengan anak bongsunya itu.

Shila seakan kecewa kerana terlalu cepat masa berlalu. “Alah... rumah Yani sebelah je, mak. Kejap lagilah dia balik.” Dipandang Liyani penuh mengharap.

“Yani tidur sinilah, mak cik. Temankan Shila ni. Boleh siapkan bunga telur ni sekali.”

Shila sudah menjerit keriangan.

“Ha’ah... siap sangatlah bunga telur tu nanti.” Zakiah menggeleng-geleng. Tak percaya dia dengan Shila dan Liyani ni. Kalau berjumpa, asyik berborak tak sudah-sudah. Dari kecil sampailah sekarang. Tak pernah berenggang. Sekampung, satu sekolah, sekelas... dan sekarang kerja satu kilang.

Sesudah melihat Zakiah menutup pintu, Shila dan Liyani menjerit kegembiraan. Seronok dapat meluangkan masa berdua dan tidur bersama.

Mereka mula menyambung kerja.

“Tadi... kau kata aku dah okey, Yani.” Shila bersuara dengan nada tak puas hati. “Habis tadi, apasal aku melatah jugak? Sampai tercampak bunga yang aku pegang atas kepala kau.”

Liyani ketawa mengenangkan peristiwa tadi. “Manalah aku tahu! Aku cadangkan je.”

“Cadangkan ‘hek’ kau!” Muka Shila memonyok. Dia sebenarnya risau sikap kalut menggelabahnya tak berubah sampai bila-bila.

“Kau buatlah banyak kali. Ni baru buat sekali, memanglah tak nampak hasil dia.”

Shila diam memfokus pada kerjanya. Bunga yang sudah bercantum dengan lidi dan sarung telur, dimasukkan ke dalam sebuah kotak besar yang sudah separuh penuh.

“Kau menggelabah kambing macam mana sekalipun, Abang Ezzat tetap sayang kat kau. Kau tak payah risaulah, Shila!”

Ada sedikit senyuman menguntum di bibir Shila. Membayangkan wajah Ezzat saja sudah membuatkan dia bahagia.

“Eleh-elehh... senyum malu-malu pulak,” usik Liyani sambil ketawa.

Senyuman Shila makin meleret. “Eh!” Tiba-tiba dia teringat sesuatu dengan mata membulat. Segera dia bangun membuka pintu almari.

Liyani terlopong memandang Shila penuh tanda tanya.

Sebuah bungkusan plastik dikeluarkan, lalu Shila menyerahkannya kepada Liyani.

“Apa ni?” Liyani menyambut bungkusan itu.

“Aku belikan baju untuk kau. Pakai tau masa aku kahwin nanti.” Shila duduk semula di tempatnya tadi bersama riak teruja.

Tak berlengah Liyani mengeluarkannya. Sepasang baju kurung moden kain sutera warna biru. Siap berbatu-batu bergemerlapan! Mukanya cerah ceria. “Cantiknya, Shila! Cantiknya...”

Seronok Shila melihat Liyani sukakan baju itu.

Terus Liyani memeluk Shila erat-erat. “Terima kasih, Shila. Ya ALLAH... aku suka! Suka! Suka!” Dia menjerit kegembiraan. Pelukan dilepaskan setelah dia berasa puas.

“Kau kan pengapit aku, Yani. Mestilah kena cantik-cantik. Manalah tahu ada yang berkenan nanti...” Terangkat-angkat kening Shila mengusik.

Terjuih bibir Liyani mencebik. “Tak nak aku!”

“Eleh, elehh, elehhh...” usik Shila lagi. Mengekek dia ketawa apabila Liyani menjelingnya tajam konon-konon sedang marah. Dia tahu Liyani sedang ‘cover’ malu.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.