Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
16,304
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

SHILA dan Liyani melangkah panjang-panjang keluar dari bangunan kilang. Van pekerja sedang menunggu mereka di luar pagar kilang.

“Jangan-jangan van dah tinggalkan kita. Driver van tu bukan kira! Tak menyempat-nyempat kalau nak balik.” Liyani merungut.

“Tu! Dia ada lagi tu!” tunjuk Shila apabila matanya menangkap kelibat van yang biasa mereka naik dari jauh.

“Cepat!”

Berlari-lari mereka berdua. Takut kena tinggal.

Tak semena-mena sebuah motosikal Modenas Kris warna biru berdesup merempit dan berhenti mengejut betul-betul di hadapan Shila dan Liyani.

“Oi, mak kau! Kumbang kau! Berdosa kau terbang! Woi, terbang!” Shila terlatah yang bukan-bukan.

Berdekah-dekah Ezzat ketawa. Lucu dia melihat muka Shila terkulat-kulat.

Bukan main terkejut lagi Shila dan Liyani. Mujur mereka sempat menghentikan langkah. Kalau tak...

Liyani bercekak pinggang kegeraman. “Abang Ezzat! Orang nak cepatlah. Dia boleh buat lawak pulak! Ingat kelakar?” Marah betul dia.

Shila mengurut dada. Dijeling Ezzat dengan perasaan geram. Tadi mengusik, sekarang mengusik lagi!

Ezzat menghulurkan topi keledar kepada Shila. “Abang hantar. Jom!”

“Hah?!” Shila tercengang.

“Eii!” Liyani menepuk kuat bahu Ezzat. Sakit hatinya.

Tak sempat Ezzat mengelak. Mukanya berkerut menahan pedih.

“Dari tadi tak nak cakap. Orang dahlah lambat ni.” Liyani menahan geram. Dipandang Shila. “Kau baliklah dengan tunang kau ni, Shila. Aku balik dulu. Bye!” Tanpa menunggu, dia terus berlari ke arah van.

“Eh!” Shila mahu bersuara, namun tak sempat. Dipandang Liyani sehingga kelibat sahabatnya itu melolos masuk ke dalam van.

“Nah!”

Shila memandang Ezzat yang masih menghulurkan topi keledar. “Kesian Yani balik sorang-sorang.”

“Kan ramai dalam van tu?”

Shila memandang van pekerja yang dinaiki Liyani mula beransur pergi.

“Kita pergi minum jom.” Ezzat mempelawa dengan senang hati.

“Lain kali... abang cakaplah awal-awal kalau nak ajak balik sama-sama. Boleh Shila bagitahu Yani awal-awal. Kesian Yani. Dia sanggup tunggu Shila keluar lambat tadi tau!”

“Tiba-tiba abang terasa nak minum.” Ezzat beralasan sambil tersenyum manis menggoda.

Nak tak nak, Shila menyambut topi keledar yang dihulur Ezzat. “Nanti abang kena minta maaf dengan Yani. Tahu?”

Ezzat mengangkat tangan kanan separasa bahu. Aksi berjanji.

Barulah Shila menyarung topi keledar. Dia menyorokkan senyuman yang menguntum di bibir. Senyuman Ezzat tadi dah buat hati dia cair sebetulnya.


SHILA menyedut jus tembikai yang baru dihantar pelayan restoran itu di atas meja. Seketika mukanya menjeruk. “Adoi... manisnya!” Tak jadi dia nak minum lagi.

Ezzat sudah ketawa berdekah. “Yang tak menyabar minum tu dah kenapa?”

“Haus.”

Tergeleng Ezzat melihat Shila dengan senyuman. “Kacaulah dulu air tu sebelum minum, Shila. Macam ni...” Lalu, dia menunjuk caranya. Dikacau gelas jus tembikainya dengan straw beberapa kali. Kemudian, barulah dia menyedut jus itu. “Hmm... sedap!”

Shila meniru tingkah Ezzat. Dikacau bersungguh-sungguh! Tiba-tiba...

Pap!

“Oh, kro kro kro... kopocot kau pokopot copokot!” Buntang mata Shila. Macam nak tersembul keluar. Gelasnya tumpah di atas meja! Meleleh air tembikai itu ke lantai. Dia mengelak-elak apabila lelehan air itu hampir nak kena padanya.

Cepat-cepat Ezzat mencapai tisu di atas meja. Diletakkan di atas lelehan air supaya tak merebak. “Eh, mak cik... tadi kacau air ke, bertumbuk?” Dia boleh pula buat gurau.

Padahal, Shila dah pucat. Takut kena marah dengan pelayan restoran. Nak telan air liur pun dia tak mampu.

“Dik!” Ezzat menggamit pelayan tadi. “Tolong lap ni, dik. Dia tumpahkan.” Ditunjuk ke arah Shila selamba.

Makin cuaklah Shila. “Tak... tak... tadi saya... saya...” Tergagap-gagap dia nak menerangkan.

Terkemut-kemut bibir Ezzat nak ketawa.

“Tadi... masa nak... nak kacau...” Shila masih mahu merenangkan walau gagap.

“Buatkan satu lagi jus tembikai, dik.” Ezzat memintas kata-kata Shila. “Maaf ya? Dia tak sengaja.” Dia memohon maaf bagi pihak Shila.

“Tak apa, tak apa...” Pelayan itu memaniskan wajah. Entah-entah dalam hati mesti menyumpah seranah.

Shila memandang Ezzat setelah pelayan itu berlalu. “Abang...”

“Tak ada apalah! Bukan sengaja pun.”

Kata-kata Ezzat itu menenangkan hati Shila. Tapi dia tetap rasa bersalah. Tadi, beberapa orang pelanggan restoran itu memandang mereka. Mesti Ezzat malu.

“Lepas ni, hati-hati. Tak apa... belajar dari kesilapan.” Ezzat mengukir senyuman lebar-labar. Dia tak nak Shila terlebih risau.

Setelah mengelap tumpahan air, pesanan air Shila pun sampai.

Dengan straw, perlahan-lahan Shila mengacau jus tembikai itu. Seketika, barulah dia minum. “Hmm... sedap!” Senyumannya mula menguntum.

Senang hati Ezzat. Shila dah tak muram lagi. Diperhatikan tunangnya itu yang menyedut minuman semula.

“Shila...” panggilnya dengan nada sayang.

Shila mendongak memandang Ezzat tanpa melepaskan straw dari bibir. Matanya bulat.

“Dah siap ke persiapan untuk majlis kita?”

Barulah Shila berhenti minum. Dia mengangguk. “Ada yang dah siap. Ada yang belum. Malam ni, Shila tolong mak buat bunga telur. Yani kata dia nak datang tolong jugak.” Dia bercerita dengan perasaan teruja.

Senyuman Ezzat meleret. Lagi beberapa hari mereka akan dihalalkan dengan ikatan pernikahan.

“Abang Ezzat jangan risau. Kak Ana kata dia ambil cuti awal nak tolong buat persiapan.” Shila merujuk pada satu-satunya kakak yang dia ada. “Hari Khamis ni Shila dah cuti. Semuanya Shila siapkan nanti.”

Ezzat mengangguk. Lega mendengarnya. “Esok Shila kerja lagi kan? Shila balik kerja dengan abanglah kalau macam tu.”

“Okey!” Wajah Shila makin cerah ceria.

Ezzat menghirup minumannya.

“Abang...”

“Hurmm...”

Shila terfikir-fikir seketika. “Err... nak tanya boleh?”

Ezzat menjongket kening, menyuruh Shila terus bertanya.

“Ada orang cakap kalau abang kahwin dengan Shila, nanti hidup abang kucar-kacir.”

“Siapa cakap?” Meluat Ezzat mendengar cakap-cakap begitu.

“Budak-budak kilang.” Lurus Shila memberitahu apa yang didengar ketika di loker tadi.

“Kalau Shila dengar ada orang cakap macam tu lagi, abang nak Shila tampar dia.”

“Husyhh!” Spontan Shila buat muka keruh. “Tak baik.”

“Suka-suka dia je nak mengata orang. Lagi? Dia orang cakap apa lagi?” Panas hati Ezzat.

“Ada orang cakap, perempuan macam Shila pun ada orang nak. Shila ni tak cantik! Menggelabah je lebih!” Shila langsung tak berselindung. Diberitahu segala yang dia dengar. Memang perangai lurus bendul!

“Alah, Shila... dia orang tu jealous! Shila bukannya tak cantik. Cantik apa. Sweet.” Ezzat meneliti raut wajah Shila yang putih bersih. Berlekuk lesung pipit di pipi kanan kalau Shila senyum.

Cuma Shila tak reti bergaya. Pakai tudung bawal pun herot. Mekap langsung tak pakai. Pendek kata, jenis yang tak pandai bergaya.

“Kenapa Abang Ezzat nak kahwin dengan Shila? Shila ni cepat kalut. Menggelabah tak pasal-pasal. Melatah pulak tu!” Shila bertanya lagi. Dia pun pelik sebenarnya. Tak sangka cepat pulak dia berjodoh.

“Shila nak tahu tak? Shila punya kalut dengan menggelabah melatah tulah yang buat abang terhibur. Abang rasa kelakar. Ceria hidup abang bila dengan Shila.” Ketawa Ezzat berderai. Teringat dia peristiwa Shila jatuh tertiarap kat kilang tadi. Kesian memanglah kesian. Tapi rasa kelakar pun ya jugak!

Menguntum senyuman Shila. Bahagia bila Ezzat cakap begitu.

“Alah, Shila... abang pun bukannya handsome.”

Shila tahu Ezzat bukanlah kacak mana pun. Tapi dia tak pandang paras rupa langsung! Yang penting... hati.

“Habis, kenapa Shila nak kahwin dengan abang? Abang ni dahlah kerja kilang je. Sijil SPM tak laku. Harta tak ada. Harapkan motor buruk tu jelah yang abang ada. Tak handsome pulak tu!” Ezzat menduga Shila.

“Sebab abang baik, bertanggungjawab...” Makin meleret bibir Shila. “Senyuman abang manis. Shila suka tengok abang. Kulit sawo matang. Muka bersih tak ada misai tak ada janggut. Ada lesung pipit. Comel...”

Kembang hati Ezzat dipuji. Tersenyum-senyum dia bangga. “Dah kahwin nanti abang cari duit banyak-banyak, okey?” Bersemangat dia nak pegang status suami.

“Hah, abang!” Tiba-tiba Shila tepuk tangan. Teringat sesuatu. “Mak tanya, baki duit hantaran enam ribu tu abang bagi masa nikah ke?”

Ezzat terdiam seketika sebelum teragak-agak mengangguk.

“Sebab mak dah ambik barang kat kedai runcit Kak Tipah. Hutang dulu. Lepas majlis baru mak bayar bila dapat duit hantaran tu. Untuk mak andam, pelamin, baju semua tu pun... hutang dulu.”

Ezzat mengangguk lagi. Diam dia berfikir.

“Dua ribu yang abang bagi dulu dah habis beli macam-macam.”

Terhembus nafas panjang Ezzat. “Jom abang hantar Shila balik.”

Cepat-cepat Shila menghabiskan minumannya.

Ezzat bingkas membayar di kaunter.

Setelah selesai, mereka berdua beriringan keluar dari restoran tersebut. Langkah Shila laju mendahului Ezzat menuju ke arah deretan parkir motosikal di hadapan bangunan itu. Terus dia mendapatkan motosikal Ezzat.

Ezzat setelah keluar dari restoran, matanya tertancap ke arah hujung deretan bangunan kedai itu. Langkahnya terhenti. Kedai nombor ekor itu direnung. Lama.

Shila baru perasan yang Ezzat masih berdiri di hadapan restoran. Dia duduk di atas motosikal sementara menunggu Ezzat. Dia pelik melihat Ezzat berdiri tercegat tak bergerak-gerak sambil merenung ke satu arah. Diperhatikan tunangnya itu. Dia meninjau ke arah yang dilihat Ezzat. Tak tahu apa yang menjadi fokus pandangan lelaki itu ketika ini.

“Kak, boleh ke tepi tak?”

Spontan Shila berpaling ke arah suara itu. Seorang lelaki muda berdiri di tepi motosikal.

“Tu motor saya, kak... yang akak duduk tu.”

“Hah?!” Mendadak Shila melompat dari motor tersebut.

Tak semena-mena motor itu bergoyang-goyang, lalu jatuh menimpa motor di sebelahnya. Motor itu pula jatuh menimpa motor di sebelahnya pula dan jatuh ke motor seterusnya dan seterusnya. Bam! Bam! Bam! Bam!

Membulat mata Shila terkejut. Mulutnya melopong. Menggelabah dia berlari cuba menyelamatkan motor-motor itu daripada terus jatuh, namun dia tak mampu berbuat apa-apa sehinggalah motor paling hujung turut jatuh menyembah bumi.

Ezzat yang mendengar bunyi itu mengalihkan pandangan ke arah Shila. Tercengang dia melihat motor-motor di situ jatuh menyenget. “Ya ALLAH...”

Pucat wajah Shila memandang Ezzat. Memohon diberi pertolongan.

Tergeleng-geleng Ezzat. Hai, Shila... Shila...


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.