Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
15,906
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

SHILA memandang sekeliling setelah Ezzat memberhentikan motosikalnya. Dia kehairanan. Fikirnya, Ezzat bawa dia minum di restoran seperti semalam. Tapi petang ini, Ezzat membawanya ke... taman permainan kanak-kanak?

“Dah, turunlah...” Ezzat membuka topi keledar.

Seketika barulah Shila turun dari motosikal. Topi keledar yang dibuka diserahkan kepada Ezzat. “Kenapa kita datang sini, bang?” Dia melilaukan pandangan. Kelihatan ramai kanak-kanak bermain di situ. Meriah juga keadaannya.

“Kita main buai tu nak?” Ezzat menunjuk ke arah buaian yang dimaksudkan.

Shila berpaling ke arah tersebut. Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di buaian itu. “Okey.”

Bibir Ezzat melirik sedikit. Dia dah agak dah. Sikap lurus bendul Shila susah nak tanggal.

Dia menghampiri penjual aiskrim bermotosikal tak jauh dari situ. Dibelikan aiskrim coklat dua batang untuk mereka berdua. Sebatang diberi pada Shila.

Senyuman Shila menguntum.

“Jom duduk kat situ,” tunjuk Ezzat ke arah sebuah bangku batu.

“Kata nak main buai?”

“Buai?” Ezzat ketawa. “Takkanlah kita nak main buai. Tu buaian untuk budak-budaklah! Nanti tak pasal-pasal roboh pulak.”

“Ohh...” Shila mengekori Ezzat. Tertoleh-toleh dia melihat buaian tersebut. Memang kecil buaian tu.

Mereka duduk di bangku batu. Petang-petang begini duduk menikmati aiskrim sambil sesekali dibelai bayu terasa nyaman benar.

Seronok Shila menikmati aiskrim itu. Bukan selalu dia dapat makan. Sekejap je dah tinggal separuh.

“Best kan ada anak?”

Soalan Ezzat itu membuatkan Shila mengulum senyum. Sampai muncung bibirnya. Malu!

Ezzat kembali memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain. “Rumah abang tu, dah empat tahun tak ada orang perempuan. Sunyi sangat.” Nafas panjangnya terhembus.

Tergamam Shila seketika. “Hmm... Shila tanya boleh?”

Ezzat memandang Shila.

“Hmm... arwah mak dengan arwah Sofia adik abang tu, macam mana boleh accident?”

Dihabiskan aiskrimnya. Ezzat merenung di kejauhan. “Dah ajal, Shila. Motor yang Sofia bawa dengan mak tu... brek rosak. Abah nak betulkan, tapi tak sempat.” Dia berkeluh lagi.

Sayu hati Shila melihat wajah Ezzat yang suram.

“Masa mula-mula tu, memang semua mati kutu. Tak tahu nak buat apa. Yalah... semua lelaki. Adik-adik kecik lagi. Nak masak tak reti. Kemas rumah tak pandai. Buat apa pun kat dalam rumah tu, masing-masing tak tahu.”

Tekun Shila mendengar.

“Abanglah yang kena buat semua. Kena berdikari. Abang yang masak, kemas rumah, basuh baju... macam-macam lagilah! Yang lain-lain tolong sikit-sikit. Nasib baik sekarang masing-masing dah besar, dah boleh diharap. Kalau ada yang malas, abang pelangkung je.” Ezzat ketawa.

“Shila suka lelaki yang pandai buat kerja rumah,” puji Shila dengan perasaan kagum pada Ezzat.

“Elehh... suka konon! Entah-entah, dia tak reti masak. Ada hati nak suka kat lelaki yang pandai buat kerja rumah. Sudahlah!” perli Ezzat mengusik.

“Eh, orang pandai masaklah!” Shila mengangkuhkan diri. “Tapi sikit-sikitlah...” Dia tersipu malu setelah membuat pengakuan begitu. Yalah... malu kot! Ezzat yang lelaki pun tahu masak, buat kerja rumah semua. Sedangkan dia perempuan, banyak yang dia tak tahu.

Ezzat memandang Shila dengan senyuman. “Tak apa... boleh belajar. Lepas ni bila Shila duduk kat rumah tu, taklah sunyi lagi.”

Senyuman Shila menguntum. Sudah terbayang di fikiran bagaimana keadaan jika dia tinggal bersama keluarga Ezzat.

“Lepas ni, Shila jaga adik-adik abang. Jaga abah abang. Masakkan untuk kita orang. Boleh?”

Shila mengangguk. Senang sungguh dia disuruh. Lagi-lagi kalau Ezzat yang suruh. Mudah saja dia bersetuju dengan lurus bendulnya.

“Tapi... abang nak lepas kahwin nanti, Shila ubahlah sikap Shila tu.” Wajah Ezzat berubah serius. “Abang tak nak Shila kalut menggelabah lagi. Melatah-latah tu semua kalau boleh abang nak Shila buang.”

Permintaan Ezzat itu membuatkan Shila bungkam. Berkerut dahinya. Kenapa Abang Ezzat cakap macam ni? Bukan ke dia kata terhibur dengan perangai aku tu?

“Takkan sampai bila-bila Shila nak kalut tak pasal-pasal? Shila kena buang sikap menggelabah tu semua. Buang! Melatah-latah tu abang tak nak dengar lagi. Macam mak cik-mak cik je!” runggut Ezzat pula.

Makin terdiam Shila. Ezzat tak pernah cakap begini padanya. Dia macam tak percaya. Selama ni, Abang Ezzat terima aku seadanya. Walau tahu perangai aku macam ni, dia terima. Abang Ezzat yang cakap dia lucu tengok aku menggelabah, bila aku kalut. Habis tu, sekarang ni...

“Tengok...” Ezzat mengeluh. Dipandang tangan Shila yang memegang aiskrim. “Makan aiskrim pun comot!” Disekeh kepala Shila.

“Adoi!” Shila mencemik nak menangis. Dipandang aiskrim yang dipegangnya. Cair meleleh mencomotkan tangannya.

Ezzat mengambil aiskrim Shila yang masih belum habis itu. Diambil dengan bungkusan plastik sekali. “Benda macam ni pun...” Dia mengeluh. Tak dihabiskan ayatnya.

Sapu tangannya diberi pada Shila. Lantas dia bangun menuju ke tong sampah yang terletak agak jauh dari tempat mereka duduk.

Shila terkulat-kulat mengelap tangannya. Belakang badan Ezzat yang menjauh dipandang dengan perasaan berbaur.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.