Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
192,798
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8
"CEPATLAH sikit! Terhegeh-hegeh!” Maziah membentak di hadapan pintu rumah. “Apa lagi yang kau buat dalam bilik tu, Ayu?” Dia mengipas-ngipas muka dengan kipas tangan. Panas.

Di tangan kirinya ada bakul berisi tiga bungkus tepung, sebotol air kosong dan beberapa keperluan untuk berniaga. Ada lagi sebakul diletakkan di sebelah pintu. Bakul itu lebih besar daripada di tangannya.

Ayu yang berada di dalam bilik terkocoh-kocoh bersiap setelah menunaikan solat zuhur. Dia sudah terlambat kerana menyediakan hidangan untuk tengah hari tadi. Memang itu rutin hariannya sejak bercuti tiga minggu lalu. Bangun pagi sudah kena menolong Maziah menyediakan sarapan. Kemudian rumah dikemas, disapu dan dimop.

Sambil-sambil itu dia membasuh pakaian dengan mesin basuh, disidai pula di ampaian yang sekangkang kera. Rumah flat... biasalah. Ruang yang ada dimanfaatkan secukupnya. Kalau salah sidai, bising mulut Maziah membebel.

Habis semua kerja itu, Maziah menyuruhnya menolong masak untuk tengah hari pula. Dia hanya boleh menolong saja. Sudah diberitahu pada Maziah yang dia tak reti memasak. Apa lagi, melangsinglah suara Maziah apabila tahu yang dia tak pandai memasak.

Petang bermula pukul 4.00, dia perlu menolong Maziah di gerai menjual air dan pisang goreng. Semua kerja dia kena buat. Kalau tak menolong, tak tahan telinganya mendengar leteran Maziah.

“Woi, Ayu! Apa yang kau buat tu? Cepatlah!” tempik Maziah. “Aku ni panas! Kau bikin panas hati aku pulak!”

Ayu tersentak dipekik begitu. Dia baru nak menukar pakaian yang lebih elok. Tudung yang ada belum bergosok. Ah, pakai saja tudung sarung yang ada. Kelam-kabut dia menyapu bedak bayi ke muka.

“Pergi tengok Kak Ayu dalam bilik tu, Mas. Tengok apa dibuatnya.” Maziah mengarah anak sulungnya yang sedang melingkar di hadapan televisyen.

“Malaslah!”

“Pergilah tengok kejap.”

“Kejap lagi dia keluarlah. Eeii... sibuk betul!” Mastura geramkeranaMaziahmengganggunya menonton televisyen.

“Kau tu kalau cuti sekolah 24 jam menghadap TV. Yang kat sebelah tu pun sama. Dua-dua mengikut perangai kakaknya. TV, TV, TV!” Maziah merujuk pada Raffi dan Adila.

Ketiga-tiga anaknya buat keras seolah-olah tak mendengar apa-apa.Rancangan komedi di televisyen lebih menarik perhatian mereka.

Maziah mendengus.

Ketika itu Ayu keluar dari bilik. Dia bersiap ala kadar. Baju T lengan panjang,seluar panjang trek suitdan tudung sarung.

“Siap pun. Huh! Entah apa dibuat kat dalam bilik tu.” Maziah membuntang mata memandang Ayu. “Terhegeh-hegeh! Bersiap bukan main lama. Tak adalah lawa pun,” sinisnya.

Ayu buat-buat tak dengar. Telinganya memang ‘tebal’ dan kalis sindiran. Sebenarnya dia tak mahu melayan sangat apa yang Maziah kata, takut dia jadi panas hati dan tak mampu bersabar.

“Kau angkat bakul tu!” Maziah terus berlalu ke bawah blok.

Ayu melihat bakul yang biasa dia angkut ke gerai. Kali ini barang di dalamnya lebih banyak daripada biasa. Terlepas keluhan berat daripada bibirnya. Larat ke dia nak angkat semua barang itu? Sudahlah rumah Maziah di tingkat tiga.

“Cepatlah keluar, Kak Ayu. Tutup pintu tu!” arah Mastura. Sempat dia menjeling Ayu yang masih tercangak-cangak.

“Ya, ya... Kak Ayu tutup pintu.” Terkocoh-kocoh Ayu keluar membawa bakul tersebut. Argh... beratnya! Bersusah payah dia mengheret bakul itu menuruni anak tangga.


AYU melayan pelanggan seperti biasa. Waktu petang begini, ramai penduduk blok-blok berhampiran beriadah di laman kawasan tersebut. Ada kala tak menang tangan dia melayan pelanggan. Lebih-lebih lagi hari minggu.

“Aku nak naik. Kau jaga gerai ni.” Maziah membuka apronnya.

Ayu sempat menjeling jam tangan. Asal pukul 5.00 lebih mesti Maziah mahu tinggalkan gerai. Dia tahu mak ciknya itu mahu melepak dengan kawan-kawannya di pondok bawah blok mereka.

Maziah mengeluarkan bekas duit di tempat simpanan. “Aku ambil duit ni semua. Kalau aku tinggalkan, ada saja yang hilang. Panjang sangat tangan kau tu!” perlinya.

Ayu tahu Maziah menyindirnya. Tapi... “Kalau orang bagi duit besar, macam mana nak bagi baki kalau mak cik ambil semua?”

“Kau mintalah duit kecik! Itupun aku nak ajar ke? Apa punya sengal kau ni! Belajar sampai ke universiti! Tapi, macam orang tak ada otak!” selar Maziah.

Tercangak-cangak Ayu. Memang boleh minta duit kecil. Tapi, kalau orang tu tak ada duit kecil macam mana? “Kalau...”

“Kau ni ada saja nak membantah. Tak pernah nak dengar cakap aku langsung!” Maziah melenting. “Yang kau tahu, melawan, melawan, melawan, melawan! Kalau aku lempang, baru senyapagaknya!”

Ayu diam. Dia rasa malu setiap kali Maziah memarahinya di hadapan orang lain. Mujur kali ini cuma ada beberapa orang budak-budak. Dan ada... seorang lelaki tak jauh dari situ. Dia pandang dengan hujung mata saja. Malu nak tunjuk muka bila kena marah.

Ah, tebalkan saja muka. Dia dah biasa dimarahi depan orang ramai. Lagipun penduduk di situ rasanya kenal sangat dengan perangai Maziah. Banyak kali dia mendengar umpatan jiran-jiran tentang pak cik dan mak ciknya. Tapi dia tak mahu ambil pusing.

“Kak Ayu, nak pisang goreng dua ringgit. Air oren satu.”

“Saya nak pisang goreng jugak!”

“Saya nak air, kak. Air sarsi.”

Ayu terus melayan sekumpulan kanak-kanak yang selalu membeli di gerai mak ciknya itu. Walaupun tak sampai empat bulan dia tinggal di situ, ramai juga yang dia kenal.

“Belilah banyak sikit! Jangan kedekut sangat. Untungkan mak cik ni. Haa... beli banyak-banyak. Beli semua lagi bagus. Biar cepat sikit mak cik kaya,” kata Maziah selamba tanpa rasa malu.

Ayu melihat Maziah berlalu pergi dari situ. Dalam hati dia menggeleng-geleng mengenangkan perangai Maziah. Fikir pasal duit saja!

Dilayan kehendak budak-budak itu yang boleh tahan becok berbual. Seronok dia melayan mereka. Terhibur sedikit hatinya.

“Semua dah dapat ya?”

“Dah...” sahut budak-budak itu hampir serentak. Banyak juga mereka beli. Masing-masing berlalu dengan basikal.

Ayu beralih ke arah lelaki yang sabar menunggu sejak tadi. “Ya, bang... nak beli pisang goreng?”

Lelaki yang tadi berdiri agak jauh menghampiri sedikit.

Ayu menunggu sambil tersenyum.

“Err...” Lelaki itu membetulkan kaca mata hitamnya. “Cempedak goreng lima ringgit.”

Berkerut dahi Ayu. “Saya tak jual cempedak goreng, bang. Yang ada cuma pisang goreng.”

“Kenapa tak jual?”

“Err... sebab buah cempedak tak ada.” Pelik Ayu mendengar soalan lelaki itu, tapi dia menjawabnya juga.

“Kalau tak ada, tanamlah pokok cempedak kat belakang gerai ni.”

Aik... main sedap cakap aje suruh orang tanam pokok cempedak. Dia ingat pokok cempedak tu macam rumput? Senang-senang aje nak tumbuh?

Tersengih-sengih lelaki itu ketawa. Lalu dia menanggalkan kaca mata hitamnya.

Terlopong mulut Ayu sebaik sahaja melihat rupa sebenar lelaki itu. “Jeff ngok ngek?”

“Woi!” Jeffry mula nak naik angin. Berubah mukanya kelat. Ada ke patut panggil aku Jeff ngok ngek?

“Eh! Sorry, sorry... saya nak sebut Jeff Geng Mat Ngek sebenarnya, tersebut Jeff ngok ngek pulak.” Ayu ketawa, buat-buat kelakar.

“Eeii! Suka-suka aje panggil Geng Mat Ngek. Saya bukan Geng Mat Ngek! Faham?” Jeffry lantas mencapai sepotong pisang goreng dan memasukkannya ke dalam mulut.

Ayu memandang sambil mencemik. Kenapalah anak setan ni yang datang? Macam manalah dia boleh sesat sampai ke sini? Kalau Shahrul yang datang, tak apalah jugak. Ni... arghh! Menyampah!

“Hmm... sedap jugak pisang goreng ni. Awak yang goreng ek?”

Ayu malas nak melayan. Dia duduk sementara menunggu pelanggan lain datang. Haihh... kenapalah Mat Ngek ni yang aku jumpa? Kenapa bukan Shahrul? Kalaulah dia dapat jumpa lelaki pujaan hatinya itu sekarang...

Dia melemparkan pandangan jauh ke taman permainan kanak-kanak yang terletak agak jauh dari situ. Terbayang bagaimana perasaannya bertentang mata dengan Shahrul pada hari terakhir peperiksaan akhir semester tempoh hari.

Kali ini dia amat yakin yang dia benar-benar telah jatuh cinta. Dadanya bergemuruh ketika menatap wajah lelaki itu. Degupan jantung berdegup dahsyat daripada biasa. Nak bersuara, tapi seolah-olah bibir melekap ketat. Tapak tangan terasa sejuk. Tak syak lagi... rasa-rasanya itulah petanda dia dah jatuh cinta.

Wajah Shahrul nampak tenang lagi menenangkan. Walaupun satu geng dengan Jeffry, Shahrul tak senakal kawan-kawan mereka. Shahrul lebih banyak ketawa dan tersenyum. Tak macam yang lain-lain... menyakat dan mengusik sampai tahap perangai macam anak setan!

Yang pasti Shahrul kacak. Rambut tersisir kemas. Kulit agak cerah. Tinggi. Penampilan santai tetapi kemas. Makin lama dia pandang, makin dia perasan bahawa lelaki itu seperti artis Korea. Dia selalu nampak di majalah. Yong Hwa kalau tak silap. Lebih kurang begitulah rupanya. Senyumannya... boleh cair hati!

Ya ALLAH... aku dah jatuh cinta, weh! Aku dah jatuh cinta!

Berkerut-kerut dahi Jeffry melihat Ayu yang tersengih sendirian. Soalannya tadi langsung tidak berjawab. Dipandang penampilan gadis itu. Tudung kuning, baju merah, seluar panjang trek suit warna biru laut. Ayu ni memang suka berwarna-warni gamaknya. Dia senyum.

Kamera yang digantung di leher dicapai, lalu merakam gambar Ayu yang duduk dari sisi tepi itu beberapa keping. Cantik juga posisi begitu. Apatah lagi dengan pakaian Ayu yang warna-warni. Dia tersenyum. Ayu langsung tak perasan. Berangan! Kameranya diletakkan ke tepi.

“Hah, mari... mari... mari... mari! Goreng pisang panas-panas! Air macam-macam ada. Mari... mari... mari!”

Ayu berpaling ke arah Jeffry yang sudah memakai apron mak ciknya. Terkejut! Weh, gila ke apa? Siap pakai apron macam nak berniaga lagaknya.

“Mari mari beli pisang goreng. Haa... adik nak pisang goreng tak? Cakap aje nak berapa. Abang bagi. Pisang goreng ni free, dik.” Jeffry sengaja nak menyakat Ayu. Tersengih-sengih dia melihat dua orang kanak-kanak perempuan yang melintasi gerai itu. Kanak-kanak itu kelihatan terpinga-pinga.

Terus terberdiri Ayu dibuatnya. Free? Ya ALLAH... melampaunya Mat Ngek ni! Dia buat gerai ni macam dia punya pulak!

“Eh, buka apron tu. Buka! Jangan nak memandai eh? Kalau mak cik saya nampak, habis. Habis saya!” Ayu menolak tubuh Jeffry agar keluar dari situ.

“Alah... relakslah. Relaks. Saya nak belajar jual pisang goreng ni.” Jeffry mengelak-elak daripada ditolak. Dia tetap mahu mengusik.

“Otak awak putus ke? Dahlah kita tak kenal. Tiba-tiba awak datang sini bawa perangai gila awak tu. Keluar! Nanti mak cik saya marahlah.” Ayu menolak tubuh Jeffry kuat-kuat, tapi lelaki itu keras berdiri.

Jeffry tergelak-gelak. Otak putus? Dia gelak lagi. “Apalah awak ni, Ayu. Kita kan kawan satu universiti. Tak baik awak cakap tak kenal saya. Eh, yang tadi tu mak cik awak ke? Saya ingat bos awak. Garang macam hantu mengamuk nak makan kambing!”

Tiba-tiba Ayu ketawa. Tidak jadi dia menolak Jeffry lagi. Lucu juga lelaki ni.

“Siapa suruh gelak?” Jeffry buat muka serius.

Ayu terus terdiam. Tak boleh gelak ke? Dia terpinga-pinga. Bingung.

“Awak duduk blok mana?”

Eleh... tanya pulak! “Apa sibuk awak nak tahu?” Dia ni dah kenapa? Semua benda nak tanya.

“Kawan saya duduk kat sini. Yang nama Atang tu. Dia duduk blok 84.”

“Laa... si gila tu duduk situ? Tak pernah nampak pun.”

“Amboi, amboi, amboi... mulut. Sedap aje mengata kawan-kawan saya yang bergaya tu gila.”

“Memang gila pun. Perangai kawan-kawan awak semua gila, kecuali...” Ayu terdiam. Hisy, apa aku punya mulut ni? Berangankan Shahrul lagi. Berangan!

“Mesti awak nak cakap saya yang palinghensem. Hisy! Tak payah cakap pun saya dah tahu. Tapi kalau awak nak cakap pun apa salahnya. Haa... cakaplah. Cakap aje.” Makin panjang sengihan Jeffry. “Saya suka.”

Ayu menatap wajah Jeffry, mahu mengkaji sama ada lelaki itu kacak atau tidak. Lurus bendul betul dia ni! Si Jeffry tu melawak. Dia ingat Jeffry cakap betul-betul.

Naik malu pula si Jeffry direnung dengan mata bundar Ayu. Terdiam dia seketika. Tertelan liur. Cara mata dia merenung aku... hisy!

“Woi, buat maksiat mata nampak?” perli Jeffry untuk menutup rasa malu.

Ayu mengkebil-kebilkan matanya. Mukanya terpinga-pinga. “Awak ni boleh tahan jugak. Saya baru perasan. Muka awak macam saya pernah tengok.”

Jeffry tersengih-sengih bangga. Mesti nak cakap muka aku macam Matt Dallas. Cuma mata aje warna hitam. Kalau mata biru mesti macam kembar Matt Dallas. Dah 476 ribu orang cakap macam tu. Alah... orang perempuan takkanlah tak kenal Matt Dallas. Orang perempuan ni pantang nampak artis lelaki kacak. Mulalah miang. Sanggup tampal poster penuh satu bilik. Melainkan kalau Ayu ni jenis katak bawah tempurung.

“Hah, Jeff!” jerit satu suara.

Jeffry berpaling. “Haa... datang pun si gila ni!”

Ayu pun turut berpaling. Selamba panggil kawan sendiri ‘si gila’. Orang panggil kawan dia gila, tahu pulak marah. Ayu seakan-akan mahu merungut.

Atang muncul bersama skuternya.

“Eh, budak ni kan satu U dengan kita?” Atang tercangak-cangak memandang Ayu.

“Tulah kau. Duduk kat sini dah dua kurun. Penduduk sendiri pun tak tahu,” sindir Jeffry.

“Bila kau balik dari Sabah? Tak bagi tahu aku pun.”

Jeffry menggaru kening. “Semalam. Aku kat sana seminggu aje.”

“Awak pergi Sabah ke? Pergi bercuti? Seronoknya...” Tak pasal-pasal, Ayu terbabit dengan perbualan dua orang lelaki itu.

Jeffry sekadar meleretkan senyuman. Tak ada ‘mood’ dia nak cakappasal kepulangannya ke Sabah.

Atang memandang Ayu dengan muka berkerut. “Awak anak siapa? Anak Pak Darus ke? Anak Mak Cik Maziah? Tuan punya gerai ni, kan?”

“Dia tu pak cik dengan mak cik saya,” jawab Ayu lurus.

“Oh... pak cik. Eh, saya dengan dia kamceng tau.” Atang mula teruja. “Dia tu, dah macam pak cik saya. Dia kalau ada apa-apa hal, mesti cari saya. Orang pertama yang mesti dia jumpa... haa... nilah.” Dia menepuk-nepuk dada. Padahal, berbual dengan Darus pun tak pernah.

“Cari awak nak buat apa?” Ayu masih dengan perangai kaburnya. Perangai ‘blur’.

Atang dan Jeffry sudah ketawa berdekah-dekah. Ayu langsung tak perasan yang Atang cuma bergurau kerana nak menonjolkan diri.

“Pak cik awak tu pernah cakap, dia nak jadikan saya ni anak saudara dia. Hisy, malu pulak saya.” Atang buat muka tersipu-sipu.

Jeffry ketawa lagi. Lucu dia mendengar jenaka Atang.

Barulah Ayu sedar maksud kata-kata itu. Dia mencebik. Dasar Mat Ngek! Sakit hatinya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.