Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
79,524
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15
HARI ini pagi-pagi lagi Ayu sudah sampai di kelas. Sepatutnya kelas jam 9.00, tapi jam 8.25 dia sudah sampai. Kelas masih kosong dan gelap. Selepas suis lampu dan kipas ditekan, barulah kelas menjadi terang-benderang.

Hari ini hari Rabu! Dia tersenyum senang. Ada yang membuatkan dia sungguh bersemangat hari ini. Cuba teka? Senyumannya semakin meleret. Entah apa yang patut aku buat ya? Semerta diri rasa bergemuruh. Muka terasa panas tiba-tiba. Dia menutup wajahnya dengan buku teks yang dipegang.

Menyedari ada seseorang melangkah masuk ke dalam kelas, cepat-cepat dia membuka buku teks tersebut dan membacanya. Pura-pura membaca.

“Awalnya kau sampai, Ayu...” tegur Farah, rakan sekelas yang baru sampai itu. Dia mengambil tempat di hadapan kelas.

Ayu sekadar tersenyum. Seorang demi seorang masuk memenuhi kelas. Dia masih berpura-pura membaca, sedangkan dalam fikiran berpusu-pusu mencari idea. Idea langsung tak mahu datang. Makin gemuruh dia dibuatnya.

“Hoi!” Mala menepuk bahu Ayu. Tersentak tubuh sahabatnya itu. Dia ketawa bersama Eja.

Ayu mengurut dada dengan muka berkerut. Hampeh punya kawan! Buat terkejut aku aje.

Mala dan Eja duduk mengapit Ayu sambil tersengih-sengih.

“Awalnya kaudatang harini. Macam pelik aje.” Eja mengeluarkan cermin solek. Dibetulkan tudungnya yang sudah sedia betul.

“Terdatang awal,” jawab Ayu.

“Hmm...” Mala mencebik.

Ayu cuba mengawal perasaannya. Jangan sampai budak berdua tu perasan. Kalau tak, habis kena sakat. Dia menyelak-nyelak buku teksnya, konon-konon khusyuk.

“Apa yang kau baca ni?” Mala mengambil buku teks yang Ayu pegang. “Kau tengok, Ja... tengok buku apa yang si Ayu ni baca.”

Eja menyimpan cerminnya. Sebaik melihat buku yang Mala pegang, dia ketawa.

Dahi Ayu berkerut. Kenapa?

“Ya ALLAH... kau dah kenapa, Ayu?” Eja makin ketawa.

“Subjek ni esoklah.” Mala masih mentertawakan Ayu.

Cepat-cepat Ayu mencapai buku teksnya dari tangan Mala.Insurance Policy? Subjek hari ni bukanInsurance Policy ke? Macam mana aku boleh bawa buku ni pulak? Aduh...

“Simpanlah buku kau tu. Kita orang ketawakan kau pun, muka kau blur aje.” Eja rasa geram setiap kali melihat muka kosong Ayu.

“Aku tersilap capai bukulah ni.” Ayu turut ketawa. Ketawa buat-buat. Dia pelik. Entah bila masa dia buat muka ‘blur’. Dia terkejut jugak sebenarnya tadi.

Eja dan Mala buat muka tak puas hati.

Baru Ayu nak bersuara, pensyarah sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Tidak jadi dia mahu bersuara lagi. Tapi pagi tadi memang dia teruja sangat nak datang ke kelas. Kelam-kabut. Hari Rabulah katakan. Dia senyum sorok-sorok.


SELEPAS habis kelas, terkocoh-kocoh Ayu menyimpan buku-buku dalam beg. Dia mengerling jam tangan. Hampir pukul 11.00 pagi. Alamak! Tak boleh jadi ni.

Mala perasan tingkah laku Ayu. Kelam-kabut semacam. Aik? Apasal minah ni? Terkocoh-kocoh tak tentu pasal. Bukan ada kelas pun lepas ni. Kelas seterusnya pukul 12.00 tengah hari nanti.

“Kau dah kenapa?” tanya Mala sambil mengerutkan dahinya kerana pelik.

Ayu tersentak. Dia terus menyandang begnya. “Kenapa apa?” soalnya sedikit gelabah. “Err... aku... aku nak buang air kecik.”

Mala macam tak percaya, tapi dia buat relaks.

“Aku pergi toilet dulu eh?” Ayu mengerling jamnya lagi.

“Laa... kejaplah. Tunggu kita orang.” Eja yang tadi berbincang dengan salah seorang rakan sekelas kelam-kabut mengemas alat tulisnya.

“Aku tak tahan.” Ayu beralasan.

“Yalah, yalah... pergilah.” Mala mengalah.

“Tunggu aku kat kafe.” Sempat Ayu berpesan.

“Eh, kau nak pergi toilet mana?”

Ayu teragak-agak nak memberitahu. “Blok sana.” Tapi terlepas kata juga. Dia siap tunjuk blok yang mana satu.

Berkerut dahi Mala dan Eja. Mereka saling berpandangan.

Ayu tak menunggu. Terus dia keluar. Jangan lambat-lambat, nanti kantoi pulak. Hisy, yang Mala ni pun banyak sangat tanya kenapa?

Dia tergopoh-gapah. Sudah pukul 11.00 lebih! Mesti dia dah masuk dalam kelas. Susahlah kalau macam ni. Macam mana nak mengintai dia? Aku bukannya biasa buat kerja ni. Dadanya bergemuruh macam nak pecah! Sejuk tangannya. Langkahnya perlahan-lahan diatur tatkala tiba di koridor dewan kuliah yang nak dituju. Tandas blok tu terletak di hujung bangunan. Jadi, dia berpura-pura nak ke sana. Sambil lalu depan kelas itu, dia akan cuba menjeling-jeling. Manalah tahu ternampak dia.

Ya ALLAH... kenapa aku berdebar semacam ni? Rasa macam nak pitam. Aku tak pernah rasa perasaan ni. Tak pernah! Ini kali pertama. Salah ke apa yang aku rasa ni?

Dia menarik nafas dalam-dalam ketika melalui kelas tersebut. Dengan penuh keberanian dia menoleh, tapi langkahnya terasa laju sehingga dia tak boleh nampak muka sesiapa pun di dalam kelas itu.

Terasa hampa hatinya. Selepas melalui pintu kelas itu, dia melepaskan nafas kecewa. Riak mukanya jelas kelihatan tak gembira. Ni Mala punya pasallah. Banyak sangat tanya. Dah melepas aku nak tengok Shahrul.

Dia melepaskan nafas kecewa.Dengan langkah tak bermaya, dia menuju ke arah bilik air sambil menunduk. Terasa beban kecewa sampai ke dasar hati. Punyalah lama dia menunggu hari Rabu. Seminggu dia tunggu nak melalui saat-saat menatap wajah Shahrul yang sejuk mata memandang itu. Sampai masanya, hampeh langsung! Jangan kata wajah Shahrul, bayang-bayang lelaki itu pun tak dapat dilihat.

Namun sebaik sahaja dia mendongak, terhenti langkahnya. Suara ketawa berdekah-dekah bergema. Shahrul! Geng Mat Ngek pun ada sekali. Dia menggelabah tak tentu arah.

Apa nak buat ni? Nak buat apa ni? Ya ALLAH... Relaks, Ayu. Relaks... buat muka selamba. Jalan saja, buat tak reti. Jalan, jalan. Jalan menonong aje.

Ayu melangkah dengan tenang. Sempat dia menangkap wajah Shahrul yang sedang memandangnya. Lelaki itu dilihat agak terkejut melihatnya berada di situ.

“Macam kenal aje budak ni.” Atang terlebih dahulu bersuara ceria. Dia terhenti melangkah.

Semua berdiri di hadapan Ayu, menghalang laluan gadis itu. Ayu terpaksa berhenti melangkah dan berdepan dengan Geng Mat Ngek.

Jeffry merenung Ayu dari atas hingga ke bawah. Tudung putih, blaus biru, skirt merah. Ayu ni selain penggemar skirt, warnanya mesti berwarna-warni. “Eh, minah warna-warni. Dalam kampus ni dia aje kot yang warna-warni macam ni.” Dia senyum, disambut dengan dekahan ketawa Geng Mat Ngek yang lain.

Bengong! Ayu menyampah betul dengan Jeffry. Dia panggil aku minah warna-warni? Kurang ajar!

Ayu sempat mengerling Shahrul. Hanya Shahrul yang tak ketawa. Cuma tersenyum dengan wajah tenang. Sejuk hatinya sedikit.

“Haa... saya baru ingat yang awak student fakulti ni.” Jeffry betul-betul terlupa. Nampaknya sekarang, dia ada peluang yang baik. “Kita orang ambil subjekBusiness Ethics kat sini. Awak mesti dah pernah ambil subjek tu, kan?” Dia tersengih pula. Datang idea nak membodeknya pula.

Melihat sengihan Jeffry, fahamlah kawan-kawannya.

“Kita orang ni manalah reti bab-bab macam ni. Student foto, tapi kena ambil subjek bisnes. Aduh... masak kita orang!” Burn pula masuk jarum.

“Kalaulah ada orang yang sudi tunjuk ajar...” Fauzi pula mencelah. Masih dengan riak nak membodek.

Ayu kabur. Dia sekadar mendengar.

“Kalau sudi, awak pinjamkanlah nota awak kat kita orang. Kalau sudilah...” Akhirnya, Shahrul pula yang bersuara. Lembut nadanya.

Jeffry terkesan perubahan sikap Shahrul. Direnung lelaki itu. Amboi... kemain lemah gemalai suara. Lain macam aje dia ni. Takkan nak mengayat Ayu kot. Hatinya mula rasa tak senang.

Baru Ayu faham.Ohh... dia orang nak aku ajar subjekBusiness Ethics. Shahrul cakap, baru dia faham. Tapi sorry... aku tak nak ajar Geng Mat Ngek macam dia orang. Tapi kalau dengan Shahrul, bila-bila masa pun tak apa. Tak ada masalah. Pucuk dicita, ulam mendatang!

“Boleh tak?” Shahrul menambah lebar senyumannya. Dia dapat rasa yang Ayu suka padanya. Dia dapat rasa!

Bergemuruh gelodak jiwa Ayu dibuatnya mendengar suara Shahrul itu. Ya ALLAH... rasa apakah ini? Bagaikan nak luruh jantungnya. Perlahan-lahan dia mengangguk, membuatkan Shahrul spontan menggenggam penumbuk dan berkata ‘yes!’.

“Err... awak ada kelas pukul 11.00, kan?” Ayu melihat jam tangannya. “Dah pukul 11.15 sekarang ni.”

“Aik?!” Jeffry ke depan menghampiri Ayu. “Macam mana awak tahu kelas kita orang pukul 11.00?” Dia dapat menangkap sesuatu. Ayu ni...

Ayu tercangak lagi tergamam. Aisehmen! Macam mana aku boleh terlepas cakap? Macam mana aku tertanya soalan bodoh tu tadi? Kenapalah mulut aku ramah sangat beritahu yang aku tahu waktu kelas dia orang? Aduh... apa aku nak jawab ni?

“Dah mula dah. Muka dia ni memang muka blur ek? Atau dia ni memangblur?” Atang ketawa.

Jeffry yang memang nak dengar jawapan Ayu terpaksa gelak juga apabila yang lain-lain sudah berdekah. Tapi dilihat Shahrul hanya senyum memandang Ayu. Aishh... apa hal si Shahrul ni?Hatinya makin tak senang.Ketawanya pun macam sumbang saja.

Ayu yang teragak-agak nak menjawab soalan Jeffry hanya tegak berdiri. Entah kenapa matanya tak nak lepas daripada memandang Shahrul walau banyak kali dia mengelak supaya tak bertembung mata dengan lelaki itu.

“Ayu!”

Tersentak Ayu apabila terdengar namanya dilaung. Geng Mat Ngek yang mengekeh ketawa terus terdiam. Semua memandang ke satu arah di hadapan mereka.

Ayu berpaling. Mala dan Eja! Ya ALLAH... habislah aku! Mukanya berubah kelat-kelat tawar.

Mala dan Eja sudah bercekak pinggang.

Oh... patutlah terkocoh-kocoh tadi. Nak pergi tandas konon. Banyaklah kau punya tandas! Mala sudah membebel-bebel di dalam hati.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.