Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
77,400
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13
HARI yang paling penat dan melecehkan ialah hari ini. Semua benda nak diuruskan sesegera yang mungkin. Pergi daftar mata pelajaran, kena dapatkan kelulusan pensyarah, kena pula dapatkan jadual agar tiada pertindihan kelas, isi borang itu, isi borang ini... macam-macam lagilah.

Sudahlah dari satu tempat ke satu tempat agak jauh. Jenuh mereka berjalan kaki. Selesai semuanya, barulah mereka ke kafeteria. Itupun sudah pukul 4.00 lebih. Perut lapar tak ingat. Nampak makanan macam dua minggu kebuluran.

Sebaik saja makanan yang dipesan sudah berada di depan mata, kalau bakal mak mertua lalu pun tak nampak. Semua senyap tunduk menghadap makanan masing-masing sehinggalah Mala sendawa sesudah meletakkan sudu.

Tergelak Ayu dan Eja.

“Khusyuk sangat!” komen Eja.

Mala tersenyum sambil menghirup Milo aisnya. “Alhamdulillah... kenyang jugak aku. Dahlah pagi tadi aku makan roti aje. Menggigil lutut aku nak dapat makan ni.”

“Kaulah ni!” Eja mula nak mengungkit. “Elok-elok ambil subjek Mandarin semester lepas, nak tukar bahasa Jerman pulak. Mengada-ngada! Sebab kaulah kita lambat settle semua ni.”

“Aku pulak?” Mala tak mahu dipersalahkan, lalu membela diri. “Aku cuma bagi cadangan. Ayu pun beria-ia jugak nak ambil bahasa Jerman. Aku ni ikut suara majoriti. Demokrasi.”

“Demokrasi sangat!” selar Eja.

“Aku tak cakap pun nak ambil Jerman,” beritahu Ayu lurus.

“Eh, jangan nak membongak! Kau cakap kat aku ‘best jugak dapat cakap Jerman’. Haa... sekarang tak nak mengaku pulak.” Mala tetap membela diri.

“Aku cakap best aje. Tak cakap pun nak ambil bahasa Jerman.” Ayu memperbetulkan persepsi Mala. Cakap ‘best’ pun tak boleh? Apalah Mala ni.

“Aku tahu sebab apa Ayu kata bahasa Jerman best.” Akhirnya, Mala sudah dapat sebuah kesimpulan. Terangguk-angguk dia bersama riak wajah yakin.

Eja terasa ada sesuatu yang menarik. “Sebab apa? Kau ni kan... tak payah nak misteri-misteri sangat. Cakap aje!” gesanya. Geram dia tengok muka Mala yang seolah-olah nak buat orang berdebar.

Ayu mula rasa tak senang. Dah mulalah si Mala ni. Entah apa entah dia nak cakap. Nak mengumpat akulah tu! “Eh, jomlah balik. Aku dah penat sangat ni.”

“Alah... relakslah.” Eja menahan Ayu yang sudah berura-ura nak menggalas begnya. “Kau balik awal bukannya boleh rehat pun. Mak cik kau tu dah tunggu nak suruh kau jual pisang goreng.”

Mala tergelak. “Dia nak mengelak daripada akulah tu, Eja. Dia ingat aku tak tahu? Yang dia tu suka kat Shahrul... budak Mat Ngek, kawan si Jeff tu? Geng Mat Ngek tu kan ambil bahasa Jerman.”

Ah, bocor sudah rahsia. “Apa benda kau ni, Mala? Shahrul mana pulak ni? Aku tak kenal Shahrul pun.” Cepat-cepat Ayu mengelak. Tak boleh jadi! Tak boleh jadi!

Eja terus membelalakkan mata seperti terkejutkan sesuatu. Dia baru teringat. “Haa... aku dah lama nak cakap, tapi tak ingat pulak. Kau ingat lagi tak, Mala... masa kita last paper hari tu? Yang Geng Mat Ngek kacau kita tu.”

Ayu dah tak senang duduk. Apa dia orang ni? Tak payahlah ingat weh. Bukannya ada apa-apa pun. Hisy, macam mana nak cakap ni? Aku cuma suka gitu-gitu aje.

“Gila aku tak ingat!” Mala sudah tersengih-sengih nakal. “Sampai sekarang aku terbayang macam mana Ayu renung Mat Ngek tu sambil tersipu-sipu. Hai, lain macam nampak? Ada apa-apa ke, Ayu?”

Eja dan Mala ketawa terkekeh-kekeh melihat wajah Ayu yang sudah terkulat-kulat.

“Dia dah buat muka blur pulak dah. Pura-pura tak fahamlah tu.” Eja mencebik.

“Patutlah kau cakap kalau ambil bahasa Jerman pun best. Nak ambil subjek tu sebenarnya. Manalah tahu boleh dapat sekelas kalau Geng Mat Ngek tu repeat subjek tu semester ni.” Mala menambah.

“Arghh... tak kuasa aku dengan Geng Mat Ngek tu. Lagi-lagi ketua Mat Ngek, si Jeff tu. Perangai macam Sarip Dol. Macam Ali Setan. Suka mengacau orang.” Ayu teringat saat-saat Jeffry datang ke gerainya. Bikin kacau-bilau! Sepanjang cuti semester, asyik nampak budak tu aje! Samalah dengan Atang tu. Tak mengacau hidup orang tak sah.

“Jeff kau tak suka, tapi dengan Shahrul... pandang sampai tak berkelip.” Galak Eja mengusik.

“Eeii... mana ada!” Ayu pura-pura menafikan. Aduhai budak berdua ni. Aku langsung tak boleh nak sorok apa-apa. Tahu aje!

“Tak payah nak ‘mana ada’ sangatlah! Dengan kita orang ni kau nak tipu? Sampai kambing pakai kain pelekat pun belum tentu boleh kau tipu kita orang.”

Ayu tak boleh nak cakap apa lagi. Berdasarkan riak muka Mala dan Eja, tahulah dia. Mereka takkan mudah tertipu dengan helahnya. Mengalah sajalah nampaknya.

“Tak payahlah, Ayu... kalau dengan Shahrul tu... hisy!” Mala akhirnya bersuara setelah masing-masing mendiamkan diri.

Eja spontan memandang Mala. Tak sangka Mala sungguhberterusterang. Tak menjaga hati kawan langsung. Nak larang pun agak-agaklah. Kenalah ada caranya.

“Apa?” Mala tahu Eja tak puas hati. Dia kalau bercakap memang takkan bertapis. “Betul apa aku cakap. Perangai Geng Mat Ngek tu macam monyet. Macam anak setan! Aku tak naklah kawan aku ni bercinta dengan orang macam tu,” kutuk Mala, selamba.

“Tapi Shahrul tak sama macam geng dia orang.”

Serentak Mala dan Eja menoleh ke arah Ayu. Itu satu pengakuan. Jadi, memang betullah Ayu suka Shahrul?

“Hisy... Ayu, Ayu... Tak padan denganmuka blur. Tadi tak mengaku. Gatallah kau ni!” Pedih ayat Eja.

Ayu terkebil-kebil. Salah ke? Salah ke kalau aku suka kat Shahrul? “Shahrul tu pendiam sikit. Dia baik. Dia lebih suka ketawa, senyum... tak mengacau orang sangat. Tak macam Jeff dan geng dia yang lain tu.”

Mala dan Eja saling berpandangan. Sah! Memang sah Ayu dah mabuk kepayang. Membela Shahrul betul-betul dia tu.

Ayu baru sedar yang dia seolah-olah sudah membuat pengakuan. “Err... aku cuma... aku cuma suka tengok dia aje. Bukan nak betul-betul. Aku tahu, dia takkan nak dengan aku ni.” Dia ketawa bagaikan kelucuan sangat. “Kalau dia dengar apa yang aku cakap tadi, mesti dia muntah darah punya.”

Eja dan Mala mencebik dalam hati. Konon! Padahal memang suka gila kat Shahrul tu.
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.