Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,619
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

Bab 3


Usai kelas, Aina bergegas ke Pejabat Am untuk mendapatkan kepastian berkenaan tugas mengajarnya. Sepanjang perjalanan, Aina disapa dengan ucap selamat dan salam oleh beberapa orang pelajar yang berselisih dengannya. Masih ada rupanya pelajar yang menghormati guru.

Hmm, tapi biasanya spesies yang hampir pupus tu pun budak-budak saja, kalau yang sudah besar panjang, jarang ada yang setakzim itu.Terasa sama tahapdengan guru, tambah-tambah suku-sakat yang kamceng dengan guru. Apa tidaknya sama tahap, kalau dapat guru yang muda, pelajar pula dah dewasa, terutama puak yang mengulang sampai berkali-kali, mau tak tua. Contoh paling jelas, si Danial Iskandar tu. Kan ke tua bangka tu? Kalau mengulang lagi tahun ini tak tahulah, suka sangat kot duduk di sekolah ni. Aina sempat mengomel sendiri walau dalam melemparkan senyuman buat pelajar yang menyapanya. Bukannya rugi pun nak senyum, bukankah senyum itu satu sedekah yang paling mudah dan percuma? Banyak sungguh dia telah bersedekah hari ini.

Kalau boleh, biarlah dia senyum 24 jam, tapi risau dikatakan ada isu masalah kesihatan mental pulak nanti. Manakan tidak, jika sudah senyum 24 jam, maknanya masa tidur pun senyum jugalah. Boleh kena serangan jantung suami kat sebelah, terjaga tengah malam tengok isteri tersengih dalam tidur. Mimpi ngeri tu!

Aina tergelak sendiri.

Ketika melalui lorong berhampiran kelas 4 Delta yang riuh-rendah dengan ketiadaan guru di dalam kelas, matanya sempat menangkap gelagat beberapa orang pelajar yang sedang bermain gasing di dalam kelas.

‘Sampai macam ni sekali tahap kenakalan budak-budak ni? Ingatkan Haqym cuma bagi perumpamaan semata-mata tadi, tak sangka rupa-rupanya betul ada budak main gasing dalam kelas. Tradisional sungguh budak-budak ni, baguslah jugak.’ Aina mengomel sendiri, namun tetap meneruskan langkahnya. Malas dia hendak memandai-mandai masuk campur dalam situasi tersebut.

Menangani kelasnya sendiri pun sudah cukup membuatkan dia sakit kepala tadi. Biarlah, mungkin sebentar lagi sampailah guru kelas itu. Pelajar-pelajar ni memang tak boleh diharap, sekejap saja tiada guru, bukan setakat gasing malah termasuk congkak dan batu seremban agaknya dibentangkan di atas meja. Ini barulah usaha gigih memelihara budaya dari pupus. Aina tersengih.

Sebaik sahaja tiba di pejabat, Aina terus menuju ke meja Pembantu Am. Setelah melihat sekilas tanda nama kerani tersebut, Aina bertanya lembut,“Assalamualaikum Kak Leha, saya Aina Humaira, guru baru kat sini. Saya baru aje melapor diri hari ini. Saya nak semak jadual tugas sayalah kak. Tadi ada pelajar tanya sama ada saya yang akan pegang kelas dia orang sebagai guru kelas, ataupun guru lain? Saya dah tengok jadual mengajar saya, cuma dinyatakan saya bertugas mengajar subjek Ekonomi aje. Macam mana ya, Kak Leha?”

Saleha menilik Aina atas bawah sebelum menjawab soalannya dengan nada tidak berminat. “Tunggu sekejap. I tengokkan.Duduk dulu.”

Aik, ini pelawaan ke arahan? Tegas bunyinya, desis Aina di dalam hati.

“Tak apalah. Saya tunggu kat sini aje,” balas Aina. Saleha mengerling sekilas dengan ekor matanya. Ada riak seperti tidak senang pada raut wajahnya itu.

“Hah, ini dia. Hmm, betullah, Cikgu Aina guru kelas yang baru untuk kelas 6 Delta, menggantikan Cikgu Laura yang berpindah kerana... err... abaikan. Dan cikgu jugak kena ajar kelas yang sama untuk subjek Ekonomi. Buat masa ni, itu aje. Mungkin jadual yang ada kat cikgu tu jadual sementara, kenapa tak ambil jadual yang baru? Tak apalah, saya cetakkan.” ujar Saleha memberi kepastian, namun nadanya seperti menyalahkan Aina pula kerana tidak mendapatkan jadual yang terkini.

Macam sangat membantu, tapi muka dia tu, hisy, kelat! Kelat-kelat buah salak pun ada juga sedikit manisnya. Yang ini, buah salak reject!

Soal Cikgu Laura berpindah, sekali lagi dia diberitahu untuk mengabaikannya. Memang misteri sungguh. Sedikit masa lagi nampaknya terpaksalah Aina menggilap bakat tersembunyinya sebagai Sherlock Holmes.

“Terima kasihlah kak. Saya tak tahu kena ambil jadual kat sini. Tak terfikir pun, lagipun pagi ni agak kelam-kabut sikit. Maklumlah, hari pertama,” kata Aina segera menjelaskan.

“Hmm, tak apa. Biasalah, orang baru,” balas Saleha acuh tak acuh seraya menghulurkan jadual kepada Aina.

Aina yang mula merasa kurang senang dengan nada dan layanan Saleha mula berkira-kira mahu segera angkat kaki. Aina menghadiahkan senyuman yang tidak semesra tadi sambil mengangguk tanda hormat walaupun dalam terpaksa.

“Walau tak suka macam mana sekalipun pada seseorang tu, kita kenalah berbudi bahasa jugak, dah adat orang kita. Kita berbaik-baik sahaja dengan orang lain, kalau orang itu tak hendak berbaik-baik dengan kita, dialah yang rugi. Yang penting, kita dah jalankan tanggungjawab kita.”

Pesanan neneknya itu masih kukuh tersemat di ingatan Aina walaupun sudah hampir sepuluh tahun orang tua itu kembali ke rahmatullah. Sempat rindu mengetuk hati Aina apabila terkenangkan arwah. Kedengaran keluhan kecil keluar dari mulutnya.

Sambil membelek jadual barunya, Aina berjalan berlenggang kangkung menuju ke pintu keluar. Dengan tidak semena-mena, Aina terlanggar sekujur tubuh di muka pintu, pantas Aina menekup hidungnya yang dirasakan bagai telah kemek. Fuyo, langgar pintu pun tak kemek macam ni kot.

Dalam menahan sakit, Aina sempat mengucapkan maaf dengan agak kelam-kabut. Manalah tahu kalau bocor badan orang yang dilanggarnya itu, hidungnya boleh tahan mancung jugak.

Sorry, sorry, saya tak nampak,” ucap Aina sambil mengerdip-ngerdipkan matanya berpura-pura rabun. Nanti tak pasal-pasal dapat penampar pulak kalau tak beralasan begitu.

Agak-agak kalau mutu lakonannya masih kurang meyakinkan, mungkin dia patut pura-pura meraba mencari cermin mata pula. Walhal matanya masih di tahap sepuluh per sepuluh sebenarnya, berkat makan lobak merah hari-hari, biarpun makin hari Aina terasa seperti semakin menyerupai arnab.

Aduh, kenapa tak ada respons ni? Tahulah lakonannya mungkin kurang mengesankan. Kali terakhir dia berlakon pun semasa menjadi ahli Kelab Drama di sekolah menengah dulu. Ini bukan kira bakat terpendam lagi, dah jadi bakat terendam dah ni.

Aina mendongak takut-takut. Terpempam Aina seketika dihidangkan dengan sengihan panjang lelaki itu.

“Ala tak apa. Hi, I Farami.You mesti Aina Humaira, kan? I’ve heard about the hot stuff.”

Euww! Gediknya! Hot stuffpulak tu, sejak bila Aina jadi sejenis barangan? Menyampah!

Aina tersengih dalam terpaksa. Cukuplah sekadar anggukan kecil mengiakan. Tak sanggup dia hendak berlama-lama. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Sekilas pandang, dah boleh detect rupa buaya.

Ops! Baru tersedar, rupa-rupanya lengannya masih dipegang oleh Farami. Tahulah nak selamatkan dia dari jatuh tadi, tapi agak-agaklah, takkan nak pegang 24 jam kot, roti pun boleh expired tahu. Eii, merenyam!

“Err, tangan saya... dah jammedya tangan tu?Youada penyakit rheumatism agaknya, itu yang tangan selalu kejang-kejang.” Pedas dan bersahaja sindiran Aina.

Farami tersengih lalu melepaskan tangannya. Kedua-dua tangannya diangkat ke paras bahu, tanda menyerah kalah. Tapi sengihan masih sampai ke telinga! Eii... berbulu mata Aina, cepat-cepat dia melangkah pergi. Sayup-sayup masih kedengaran siulan riang Farami diikuti dengan sapaan mesranya terhadap Saleha.

“Sally, slip gaji Idah ada?” Suara Cikgu Farami sempat menerjah telinga Aina sebelum Aina keluar. Aina segera berpaling melihat reaksi Saleha.

“Kejap Mi, Icarikan,” jawab Saleha tersenyum manis sambil jari-jemarinya sibuk membetul-betulkan rambutnya.

‘Amboi, ini dah kira diskriminasi gender ni! Dia layan aku macamlah aku nak mintak derma, dengan Farami siap terlentok sana, terlentok sini. Sotong tak bertulang pun tak lembut macam tu, macam agar-agar tak berapa nak menjadi, cair semacam. Berlaku pencairan glasier di situ nampaknya.’

Aina memberontak tidak puas hati. Namun, Aina tidak dapat menahan senyuman bila mengenangkan nama Saleha yang bertukar menjadi Sally. Patutlah Saleha menunjukkan raut kurang senang apabila Aina memanggilnya Kak Leha.

‘Tak apa, lain kali aku akan panggil dia dengan nama glamor tu, mungkin dengan itu dia akan layan aku sama standard dengan layanannya kepada Farami. Tapi kalau dah gedik macam tu, rasa geli-geleman dan tak berapa rela pulak jadinya. Macam sekarang pun tak mengapalah.’ Aina ke bilik guru dengan senyuman yang masih meleret.

Beberapa ketika sebelum loceng tamat waktu persekolahan berbunyi, Aina menghabiskan masa yang tinggal dengan membersih dan mengemas mejanya. Meja yang telah bersih dilapik dengan kertas dinding berwarna merah terang, kemudiannya dialas pula dengan plastik jernih lutsinar.

Aina memotong penjuru plastik itu dan memasukkan beberapa kuntuman ros kering. Turut dimasukkan adalah beberapa mutiara kata di bawah plastik itu. Dia sememangnya suka mengumpul mutiara kata untuk dijadikan sumber inspirasi dan motivasi.

“Ewah, merahnya kak ngah...”

Aina tidak perlu menoleh lagi. Dia sudah dapat mengagak siapa yang empunya suara, tak lain tak bukan, pasti Haqym. Aina berpura-pura tidak mendengar usikan Haqym.

“Ewah bulan, ewah bulan, ewah bulan teraju tiga.” Haqym masih mencuba nasib.

Sudah. Kalau tak dihentikan, siap berdikir barat pulak mamat ni nanti.

“Suka hati sayalah, merah tu kan warna yang terang dan berani, barulah nampak bersemangat sikit. Kalau boleh tiap hari saya nak pakai baju warna merah datang mengajar,” kata Aina, buat-buat garang.

“Orang perempuan janganlah pakai warna merah, seksi sangat. Kalau pakai kat bilik tidur, tak apalah. Cuba pakai warna-warna pastel, baru sejuk mata memandang,” usik Haqym lagi, tidak mengendahkan wajah Aina yang sudah berubah merah padam.

Ini sudah lebih, bagai menjolok sarang ibu tebuan mengandung sembilan bulan!

“Kalau orang tu otaknya kuning, orang perempuan berkabung pakai warna hitam pun dia nampak seksi jugak!” balas Aina bengang.

“Okeylah, sorry, sorry, isu sensitif pada anak dara. Nanti tak pasal-pasal saya dituduh gangguan seksual di tempat kerja pulak.” Haqym masih cuba melawak untuk membetulkan keadaan, tetapi pantas ditukas oleh Aina.

“Memang pun. Sekarang ni mengeluarkan perkataan yang membuatkan teman sekerja kurang selesa pun dah dikira gangguan seksual, takkan tak tahu. I see you in court!” Aina mengacah.

“Baiklah saya mengaku salah. Tutup kes. Bagi awak menanglah, payah nak lawan cakap awak ni, mengalahkan lawyer. Dulu silap ambil course agaknya. Eh, awak bawa kereta tak ni?” ujar Haqym mengalih topik melihat riak tidak senang timbul pada raut Aina.

Salah dia juga mulut laser sangat, adakah patut dia buka topik sensitif macam itu dengan anak gadis orang. Patut sangatlah Aina malu semacam. Kenapalah asyik salah teknik aje, patutlah sehingga kini Haqym masih belum berjaya menakluk hati mana-mana gadis, mahupun janda. Semua salah mulut puaka yang tak ada insurans ni, memalukan, memalukan! Nak tampar, sakit pulak nanti.

Menurut Thomas Edison, beliau bukannya gagal tapi telah menemui 10,000 jalan yang tak akan berjaya. Jadi jika teori itu diaplikasikan, ditolak dengan skor kegagalan Haqym sebelum ini, sekurang-kurangnya masih ada baki 100 percubaan lagi. Baik, akan ditumpukan segenap usaha itu untuk mengusha Aina.

“Kereta belum balik rumah lagilah, minggu depan baru dapat.” Nada Aina bertukar lembut.

Haqym hanya bergurau. Sepatutnya Aina sudah dapat meneka sikap Haqym yang periang dan suka bercanda walaupun perkenalan mereka masih terlalu singkat. Sesiapa sahaja yang melihat Haqym pasti dapat meneka personalitinya yang periang itu.

“Belum balik rumah? Pandai dia berjalan, ya? Belum keluar ‘hospital’ atau belum keluar dari kedai lagi?”

Aina tergelak mendengar perumpamaan hospital yang digunakan oleh Haqym untuk merujuk kepada bengkel membaiki kereta.

“Belum keluar kedai tinted. Jauh saya hantar, tu yang lambat sikit. Nak buat yang special, kalau pukul dengan kayu besbolpun takkan pecah.”

Siapalah yang nak pukul cermin kereta Aina dengan kayu besbol? Macam persediaan nak rekrut masuk mafia pulak. Gadis ini semakin mengerikan.

“Wow, maknanya kereta barulah? Hebat awak ya, baru masuk kerja dah ada kereta, gaji pun tak dapat lagi. Ambil kereta apa? Entah-entah Nissan Fairlady, macam awaklah, fair lady,” senda Haqym.

“Ala, kereta kecil aje.Ikut saiz tuan dia. Hairan ke saya boleh beli kereta? Sebenarnya saya ada sugar daddy. Kalau awak tak percaya, saya boleh dapatkan seorang untuk awak kalau awak nak. Buy one free one.” Aina menyambut gurauan Haqym dengan gurauan juga. Segan dia hendak ceritakan yang kereta Mini Cooper S itu dihadiahkan oleh Izraf. Nampak macam materialistik pula.

Haqym tergelak lucu dan membiarkan sahaja gurauan yang semakin terpesong ke alam lain itu. Bahaya betul awek ni. Baru kenal sehari, dia dah hendak disorong untuk dijadikan anak ikan! Tapi Haqym tahu, Aina sebenarnya hanya sengaja mengacahnya. Tak mungkinlah betul-betul.

“Okey, okey, jomlah saya hantar balik. Takkan nak naik kaki pulak,” pelawa Haqym segera.

“Apa pulak naik kaki, saya naik teksilah.”

“Eh, buat apa naik teksi, nanti pemandu teksi tu culik awak macam mana? Tak takut? Tumpanglah saya, jimat duit, boleh merapatkan silaturrahim, dan boleh singgah makan kat mana-mana sekali. Pakej lengkap tu,” kata Haqym, masih belum jemu memujuk.

“Ikut awak lagilah saya takut, tak pasal-pasal saya kena jual nanti, muka awak tu pun dah ada menunjukkan ciri-ciri tak boleh dipercayai.” Aina pula memprovok Haqym.

“Waduh, kecewanya hati kanda, sampai hati dinda tuduh kanda begitu. Tak apalah, orang tak sudi, nak buat macam mana.” Sekali lagi Haqym memujuk Aina dengan menggunakan teknik reverse psychology pula.

“Maaflah awak, tapi betul-betul tak perlu. Hah, loceng pun dah bunyi, seronoknya dah boleh balik!” Aina kelam-kabut bangun dan menolak kerusi. Beg laptopnya rupa-rupanya sejak tadi sudah tersangkut di bahu. Inilah yang dikatakan persediaan rapi.

Haqym hanya mampu melambai, itu pun tak berbalas. Nak dibalas macam mana, Aina sudah pun menghilang di balik pintu. Ada kuasa pecutan turbo dia ni, bekas pelari balapan 100 meter agaknya.

Haqym tersenyum lebar melihatkan tingkah Aina yang tidak sabar-sabar mahu balik, mengalahkan pelajar pula lagaknya. Tak matang-matang budak kecik ni. Malam ni susahlah dia nak tidur lena terkenangkan Aina Humaira. Dah dapat penyakit baru pula!


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90


Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Prolog- Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.