Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,794
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

Bab 10


Selama seminggu Aina dan Izraf bergelumang dengan habuk dan perabot untuk persiapan rumah baharu mereka. Rumah yang sebelum itu telah menjadi tempat tinggal rasmi labah-labah dan mungkin juga seekor duatikus comel.

Banglo dua tingkat yang terletak di pinggir sebuah bukit kecil itu dibina mengikutrekaan Izraf. Amat memukau mata yang memandang. Ada banyak jendela tinggi dan anjung yang luas, sekilas pandang macam istana mini.

Lengkap dengan patio di tingkat atas, terdapat set meja kopi dan kerusi berukir bunga mawar yang kelihatan begitu klasik terletak di sudut kediaman itu. Manakala di suatu sudut yang lain pula terletak dua buah kerusi pantai dengan meja kecil di sebelahnya. Ala-ala berjemur di pantai Bahamas.

Tingginya imaginasi! Dapat dibayangkan betapa santainya duduk-duduk mengambil angin di waktu petang, atau berbaring malas berbumbungkan lautan bintang di waktu malam. Kalau hujung minggu pula, bolehlah mereka berdua bersarapan di anjung itu sambil menikmati zat vitamin E yang diberikan percuma oleh sang suria. Sudah bermacam-macam angan-angan Aina. Makin dibiarkan, makin berhubung sel-sel otaknya.

Di halaman rumah pula terdapat taman mini bunga mawar yang sedang rimbun berbunga cukup tujuh warna iaitu, merah, merah jambu, kuning, putih, oren dan ungu. Senang Aina hendak mandi tujuh jenis bunga nanti, petik saja. Boleh buat Balinese Spa di rumah, jimat kos. Di sebelah kiri laman rumah pula ditanam dengan rumput karpet, disertai air terjun buatan di penjuru. Manakala di kawasan belakang rumah pula ditanam dengan pokok buluh madu yang rimbun meneduhkan suasana.

Tanaman buluh sememangnya diketahui umum mampu menyegarkan udara kerana ia menghasilkan 35% lebih oksigen berbanding pokok biasa. Sudahlah rumah atas bukit, siap ada pokok buluh lagi, kalau pencuri hendak masuk pada waktu malam pun boleh batal niat gara-gara naik seram agaknya. Nasib baiklah tak ada tanah perkuburan berdekatan. Boleh tahan menyeramkan cita rasa Izraf, terlampau alam semula jadi sangat. Tahulah Izraf dulu ahli kelab pencinta alam.

Masuk sahaja ke dalam rumah, jubin putih bersih memberi ilusi ruangan kelihatan lebih luas. Hampir keseluruhan rumah itu bercat krim, terasa bersih dan menyamankan. Ada lima buah bilik kesemuanya. Bilik tidur utama putih sedondon dengan set bilik tidur berwarna krim. Cadar serta comforter juga berwarna putih bersih. Katil bertiang empat daripada kayu jati gelap itu dihiasi langsir panjang yang telus pandang. Menimbulkan mood seperti sedang berehat di chalet lima bintang.

Sebuah bilik tamu dan sebuah lagi bilik bacaan yang disiapkan dengan rak-rak buku hingga ke siling, sudah diisi hampir penuh dengan pelbagai bahan bacaan. Aina seronok bukan kepalang, memang hobinya mengumpul dan membaca buku, macam tahu-tahu saja Izraf. Hampir sahaja Aina memeluk Izraf gara-gara terlalu seronok, tapi terpaksa dikawal perasaannya takut nanti Izraf menuduh dia rakus pula.

Wah, macam perpustakaan mini! Kalau Shah Jahan hadiahkan Taj Mahal untuk permaisurinya, maka Emir Izraf hadiahkan perpustakaan peribadi untuk Aina Humaira. Ini jauh lebih romantik! Tapi satu saja masalahnya, Izraf macam lupa isterinya itu bersaiz mini, rak buku pula tinggi melangit, nampaknya nanti kena beli tangga untuk panjat kalau nak ambil buku. Ini satu penghinaan. Ah tak kisahlah, yang penting Aina sudah dapat mengagak 90% masanya akan dihabiskan di dalam bilik ini nanti. Andai dia hilang selama dua hari, tak usah kecoh-kecoh buat laporan polis, cari saja di bilik itu.

Ketika melihat dua buah bilik yang lain masing-masing dicat dengan warna biru muda dan merah jambu lembut, Aina jadi tersipu-sipu dengan usikan Izraf sebelum Izraf menghilang ke ruang tamu.

“Untuk anak-anak kelak, baby girl dapat bilik pink, baby boy pulak dapat yang biru.”

Gurauan Izraf itu masih bermain-main di telinga Aina. Indahnya anganan itu, namun bagai terlalu jauh dari capaian kerana bermula dari hari pernikahan mereka sehingga ke detik ini, hubungan suami isteri di antara mereka masih belum sempurna. Aina sendiri tidak mengerti apa sebabnya Izraf seperti selalu mengelak dan cuba mengawal diri dari mendekatinya. Pelik, kan? Jika lelaki lain pasti tidak akan melepaskan peluang bila sudah berdua-duaan dengan gadis, tambah-tambah telah sah di sisi agama dan undang-undang sebagai haknya yang halal.

Mungkin hati Izraf masih belum dapat menerima dirinya sebagai seorang isteri, bukankah Izraf juga sama sepertinya, terpaksa mematuhi kehendak Datin Hanim? Mana mungkin Izraf sudi menyentuh insan yang tidak dicintai. Mungkin juga ada seseorang yang telah menghuni takhta hati Izraf. Kalau tiada sesiapa di hatinya, masakan Izraf memasang Tembok Besar China dalam hubungan mereka?

Ah, andai begitu ceritanya, lantas siapalah Aina di dalam hidup Izraf? Sama-sama pelakon drama seperti Izraf, memainkan watak masing-masing untuk menggembirakan keluarga mereka? Hairan, Izraf melayannya dengan begitu baik, tidak adakah sedikit pun perasaan cinta berputik di hati Izraf? Tapi, sejak dulu lagi Izraf memang melayan Aina dengan baik. Bukannya perkara baru jika sekarang pun Izraf melayan Aina sebaik itu. Melayan dengan baik tidak semestinya bermaksud cinta.

“Huh!”

Aina mengeluh dalam hati. Serabut bila difikirkan, semakin Aina memikirkan soal itu, semakin banyak pula persoalan lain yang timbul.

Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.