Bunyi burung bersiul gembira mengejutkan Aina dari tidurnya. Aina
terpisat-pisat membuka mata. Langsir putih tipis itu tidak dapat menghalang
sinar suria pagi dari menerjah masuk ke dalam bilik.
‘Aduh, kalau terang-benderang macam ni
alamatnya dah terlepaslah solat subuh. Penat sangat sampai terlajak tidur. Tak
laratnya nak bangun. Pinggang dan kaki ni pun rasa kejang macam ditindih benda
berat, agak-agak kena ke hospital kot kejang otot.’
Aina menggeliat malas sambil membuang
selimutnya ke tepi. Aik, rupa-rupanya ada sesuatu yang menindih kaki Aina. Tapi kenapa nampak
rupa bentuk tu macam kaki orang aje? Hah, kaki orang?
Tanpa disedari, Aina
melompat terjun dari katil dengan sekali harung sahaja. Dia hampir terjelepok,
buku lalinya menunjukkan simptom terseliuh. Terkejutmelihat ada kaki lain
yang menindih kakinya. Terlupa seketika kaki itu milik Izraf, lelaki yang telah
sah menjadi suaminya.
Izraf yang terkejut dengan tindakan refleks
Aina bertindak pantas mendapatkan Aina. Apakah ada gempa bumi? Kenapa dia tak
merasakan sebarang gegaran pun melainkan ketika Aina terjelepok macam nangka
busuk tadi?
“Kenapa ni, Aina? Ada
apa?Kat mana?” Izraf yang masih mamai riuh bertanya.
Kepalanya membelingas mencari gerangan yang mungkin mengganggu Aina sehingga
menakutkan dia begitu sekali.
Hasrat Izraf yang baru berkira-kira mahu
menyentuh Aina terbantut apabila menyedari Aina yang duduk bersimpuh sedang
mengurut dadanya. Jatuh pun sempat lagi control ayu, siap bersimpuh
macam tunggu pinangan. Rasa kasihan pula melihat wajah Aina yang tadi takut
bercampur keliru, kini bertukar lemah.
“Aina, tarik nafas, kemudian lepas
perlahan-lahan. Jangan tak lepas pulak, nanti biru muka habis oksigen. Calm
down, okay honey?”
Nada Izraf yang jelas mengambil berat
membuatkan satu perasaan aneh tiba-tiba terjun ke relung kalbu Aina. Apatah
lagi panggilan honey yang diungkapkan Izraf tadi, serta-merta ada efek
rama-rama berjimnastik di dalam perut.
Telinga Aina hampir tidak mampu mencernanya,
mahal benar nilai perkataan itu kerana inilah kali pertama Izraf memanggil Aina
dengan nama timangan manja seperti itu. Rasanya kena rekodkan dalam diari
dengan kadar segera. Hari ini dalam sejarah.
‘Ah, mungkin dia tersasul. Entah tadi dia tengah
mimpikan buah hati.’ Aina cuba menyedarkan diri sebelum perasaannya terbuai
oleh panggilan Izraf itu. Bahaya. Nanti buai laju-laju sampai cucur atap, sakit
tu kalau jatuh.
Perlahan-lahan Aina
menghela nafas sambil mengurut dada, menepuk-nepuk jantungnya memujuk dia
bertenang. Teringat kembali tahap terkejutnya tadi menyebabkan Aina tidak dapat
mengawal ketawanya dari pecah.
Izraf kelihatan
terpinga-pinga tidak mengerti. Tadi Aina kelihatan begitu terkejut, kini ketawa
beria-ia pula. Ah, tak kisahlah, comel pula tengok Aina ketawa tertahan-tahan
sambil menutup mulut dengan kedua-dua belah telapak tangannya yang kecil itu.
Macam tikus mondok.
‘Tikus? Isk, zalimnya aku, melenting agaknya
Aina kalau dia tahu apa yang aku fikirkan. Ala, comel apa tikus macam stuart
little tu. Tahap putih gebu tu kan dah nak sama,’ desis Izraf tersengih
lucu.
Setelah Izraf pasti Aina kini lebih tenang
dan santai, dia menghulurkan tangan untuk membantu Aina berdiri. Aina yang
masih ketawa dengan malu-malu menyambut huluran tangannya. Mereka sama-sama
duduk di birai katil menghadap jendela.
Izraf bangun untuk
mengikat langsir yang ditiup angin, nakal sangat langsir ni asyik hinggap
membelai wajah Aina, Izraf hendak menatap Aina pun tak senang. Kalau ikutkan
hati, ada juga langsir yang dibakar Izraf kejap lagi.
Izraf kembali duduk di sisi Aina, kali ini
bersila sambil memasang raut wajah tidak sabar menanti cerita Aina. Terpaksa
buat rupa macam tu, Aina ni buat lambat pula, saspens betul. Betapa dramatisnya
kalau tiba-tiba ada sound effect. Kasihan melihat Izraf ternanti-nanti,
Aina pun membuka cerita dengan derai tawa yang masih bersisa.
“Sebenarnya tak ada apa pun. Aina bangun tadi
masih mamai-mamai lagi. Lepas tu Aina rasa kaki dengan pinggang Aina berat
sangat. Tengok-tengok ada kaki orang atas kaki Aina dengan tangan sekali kat
pinggang. Aina pun terkejutlah, Aina pun melompat dengan automatiknya. Ingatkan
orang minyak mana tadi. Lupa pulak kat sebelah Aina ada abang. Tak ingat yang
Aina dah nikah. Selama ni kan Aina tidur seorang.”
Izraf ketawa lucu mendengar penjelasan Aina,
apatah lagi melihat cara Aina yang menerangkan keadaan itu dengan begitu
bersungguh-sungguh. Semakin comel Aina di mata Izraf, rasa geram bagai mahu
dicium-cium pipi gebu itu. Namun, semua itu hanya dipendam di dalam hati, mana
mungkin dia berani melakukannya, takut Aina menuduhnya mengambil kesempatan
pula nanti.
Izraf sedar Aina masih belum bersedia, dan
dia seharusnya bertolak-ansur dengan memberikan Aina masa dan ruang yang
secukupnya. Malah Izraf sentiasa mengingatkan dirinya supaya bersikap dewasa
dan matang. Izraf tidak mahu Aina hilang keyakinan terhadap kelayakannya
sebagai suami yang mampu memimpin dan menjaga Aina.
“Amboi, ngeri sangatlah tu abang peluk dia? Sorry,
abang tak ada niat pun, mungkin masa dah lena tu abang ingat Aina ni bantal
peluk abang,” kata Izraf, tersenyum. Tipulah tak ada niat, terpaksa bohong
sunat. Kalau tak, nanti ada pula yang dah trauma nak masuk bilik tidur.
‘Tak apalah kalau sengaja pun. Aina bukan tak
sudi, cuma terkejut. Tapi Aina rela dan redha, Aina kan isteri abang, kepunyaan abang.’
Sayangnya Aina tidak mampu menyuarakan kata hatinya yang sebenar. Sebaliknya
menjawab dengan gurauan bersahaja, mengikut rentak Izraf.
“Adakah patut Aina yang wangi ni abang
samakan dengan bantal busuk abang tu. Abang simpan lagi ya bolster abang
dari kecik-kecik dulu tu? Euww!”
Izraf lantas tertawa dengan usikan Aina. Duduk
berdua sekadar berbual begitu pun sudah cukup membuatkan dia hanyut dengan rasa
bahagia.
“Eh nakal ya, nak kenakan abang pulak!
Walaupun bantal masih sama, tapi abang tukar cadar tiap minggu okey, mana ada
busuk. Meh abang bagi cium bantal ni.” Sengaja Izraf mengacah Aina dengan
bantal busuknya. Aina terkekeh-kekeh mengelak. Eii... tak sudi, entah-entah
kutu dah beranak-pinak dalam bantal antik tu!
“Mahu tak mahu, Aina kena biasakan diri.
Kalau tiap pagi macam ni caranya Aina kejutkan abang, cepatlah abang dapat
sakit jantung. Nanti kalau abang mati awal, Aina jugak yang untung. Aina boleh
kahwin lagi sebab Aina kan masih muda,” kata Izraf, pura-pura mengeluh,
mengharap pujukan daripada Aina.
“Hisy abang ni, ke situ pulak. Kalau abang
mati pun Aina tak terliur nak kahwin lagilah, lagi senang hidup seorang.”
Izraf terkedu mendengar jawapan Aina. Hingga
begitu sekali rupanya Aina tidak merelakan perkahwinan mereka. Jelas sekali
Aina masih ingin menikmati hidup solo. Bukan salah Aina. Berkahwin dengan Izraf
bukan pilihan Aina, yang salah adalah dirinya sendiri kerana meletakkan Aina
dalam keadaan terpaksa untuk menerima lamarannya.
Melihat Izraf terdiam sambil meneguk liur,
Aina menyedari dia sudah tersalah cakap. Pantas sangat jawapannya itu, dia tidak
terfikir untuk memikirkan terlebih dahulu ayatnya. Ah, pasti Izraf sudah
tersalah tafsir. Aina cuma ingin Izraf tahu yang dia tidak ingin berkahwin lagi
walaupun Izraf sudah tiada kelak.
Aina sedar, jauh di
lubuk hatinya ada perasaan halus yang mula terbit untuk Izraf. Tidaklah sukar
sangat untuk dia menerima Izraf. Izraf yang kacak, baik dan memahami. Jika Aina
tahu perasaannya akan menjadi lembut semudah ini, tidak usahlah Aina beria-ia
mogok dan tunjuk perasaan membantah perkahwinan mereka dahulu. Benarlah kata
orang, hati perempuan lembut macam kerak nasi. Tapi kenapa macam kerak nasi,
tak ada kelas langsung. Cakaplah macampuding
karamel ke, kan lembut tu.
Namun, Aina sendiri
bingung. Dia sebenarnya tidak pasti apakah perasaan itu sekadar rasa sayang dan
hormat kepada Izraf seperti sewaktu mereka masih hingusan dahulu, ataupun ada
cinta yang sudah mula mengetuk pintu hati. Macam mana hendak tahu, Aina sendiri
tidak pernah bercinta mahupun mengenal cinta. Senangnya kalau ada mesin MRI
yang boleh mengesan perasaan seseorang itu hanya dengan mengimbas keadaan
luarannya. Eh, kena cipta segera ni sementara ada idea bagus macam ni. Einstein
pun surrender kalau dengar.
Aina menyambung katanya untuk memujuk Izraf
secara bersahaja, dia tidak mahu Izraf terasa lagi. Namun, Aina malu hendak
memberitahu perasaannya yang sebenar. Cara selamba badak adalah yang paling mudah. “Hmm,
macam nilah, nanti Aina lekat sijil nikah kita kat katil, taklah tiap pagi Aina
terkejut bila bangun tengok ada lelaki kat sebelah. Ya?”
Izraf kembali tersenyum mendengar gurauan
Aina itu. “Apa-apalah Aina, jangan mengigau sepak abang, sudah.Esok
kita kena bangun subuh tahu, nanti kita pergi beli jam loceng.Tidur
mati jugak rupanya Aina ni.”
“Bukan tidur matilah, hidup lagi ni. Aina biasanya
tak ada masalah bangun awal, pagi tadi tu terlajak sebab semalam penat sangat
kot.”
“Abang faham. Abang pun sama jugak. Tak
apalah, kita beli aje takut jadi benda yang sama lagi. Syok sangat tidur peluk bolster
baru.” Izraf tersengih seketika, sempat lagi mengusik, seronok sangatlah tu
tengok muka Aina merah padam. Izraf menyambung, “Aina nak pergi honeymoon
kat mana ni? Paris, New Zealand, atau Old Zealand?”
“Abang ni mengarutlah. Mana ada Old Zealand.
Itu bermakna dua pilihan yang ada, Paris atauNew Zealand, kan? Saja nak
main-mainkan Aina, tak ikhlas langsung!”
Izraf ketawa apabila
Aina yang berjaya mengesanhelahnya. “Pandai pun abang, saja nak uji
Aina tengok mamai lagi tak.Abang gurau aje, Aina pilihlah nak ke mana,
nak roundEurope ke, abang okey je.”
“Aina ingat tak nak
pergi mana-manalah, sebab tinggal dua minggu saja lagi Aina dah kena masuk mengajar. Kalau nak
pergi pun kita postpone ke masa cuti sekolah nanti. Nasib abanglah dapat isteri cikgu,
ingat senang nak suka-suka cuti ke sana ke mari? Lainlah abang kerja dengan company
papa sendiri. Hmm, masa yang ada ni, lebih baik siapkan dekorasi rumah
baru, cepatlah kita boleh pindah masuk ke rumah tu nanti.”
“Betul ni? Aina tak kisah tak dapat pergi honeymoon?
Kalau susah nak cuti, jom kerja dengan abang. Ataupun duduk rumah aje jadi
isteri mithali sepenuh masa, bila abang balik boleh buat massage,
manicure dan pedicure untuk abang.
Atau nak abang beli sekolah tu supaya Aina boleh cuti anytime?”
Sengaja Izraf mengusik.
Aina menampar bahu Izraf. Boleh pula Izraf
buat lawak macam tu, tahulah kaya-raya. Tu siap downgrade lagi nak suruh
jadi spa theraphist, jambulah Izraf nanti kalau hari-hari dapat rawatan
spa di rumah.
“Anyway, kenapa Aina bergegas sangat
nak pindah? Aina tak selesa ya duduk dengan famili abang?”
“Bukan tak selesa, famili abang pun famili
Aina jugak. Cuma Aina rasa lebih baik kita duduk berdua, apa-apa hal dalam
rumah tangga kita nanti, kita sendiri yang putuskan. Aina dah jemu asyik ikut
telunjuk orang.”
Izraf sekali lagi terkedu. Terasa seperti
Aina sengaja mengingatkan yang dia dipaksa mengikut kehendak orang lain
walaupun dalam soal perkahwinan.
“Kalau macam tu kata Aina, tak apalah, hari
ni jugak kita ke IKEA, pilih sofa dan dekorasi lain yang Aina suka. Rasanya
dalam seminggu boleh selesai.Abang upah interior designer dari company
papa jugak, jadi bolehlah runding nak mintak cepat. Aina... abang mintak maaf
sebab tak dapat tolong selamatkan Aina daripada dipaksa kahwin dengan abang.”
Aina cepat tersedar,
Izraf sudah tersalah anggap dengan kata-katanya. “Bukan macam tu abang, Aina
cuma ingin mencorak hidup sendiri. Dah tiba masa kita mulakan keluarga kita
sendiri, takkan nak menumpang kat rumah keluarga sampai ke tua.Aina nak pindah cepat-cepat sebelum Aina mula mengajar.Nanti Aina kerja, dah susah nak cari masa. Tentang honeymoon
tu Aina tak kisah. Kalau nak pergi, kita pergi hujung tahun ni, kalau tak nak
pergi pun tak apa. Aina tahu, Aina pelik sikit. I’m not crazy about
travelling, for me it’s exhausting.”
“Kalau macam tu kata Aina tak apalah, esok
kita cari barang rumah,” jawab Izraf ringkas. Memujuk sendiri hatinya yang
semakin menangis. Luaran nampak macam The Rock, tapi hatinya lembut macam
tauhu. Biarlah. Izraf tidak mahu merumitkan lagi situasi antara mereka.
Aina mengangguk dan cuba mengukir senyuman
ikhlas. Cukup sudah lelaki itu terluka akan kata-katanya. Siap kau mulut, lepas
ini akan digam selama seminggu. Derhaka pada tuan, asyik cakap benda yang tak
kena aje! Esok wajib kena daftar kursus etika dan protokol!
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di
pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.