Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,594
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 20

Bab 20


     Izraf pulang agak lewat dari biasa, selepas maghrib. Tiba sahaja di rumah, Izraf kehairanan memerhati persekitaran yang sunyi sepi. Rumah syurganya itu terasa kosong dan beku. Tiada bunyi radio atau televisyen dipasang, juga tiada suara Aina menyanyi kecil seperti biasa.

Izraf tertanya-tanya di mana Aina. Rasa cemas mula terdetik di hati. Namun, ketika hendak meletakkan kasutnya di rak, kelihatan kasut tumit tinggi hitam yang dipakai oleh Aina pagi tadi, elok terletak di situ. Hatinya menjadi sedikit tenang, bermakna Aina ada di rumah.

Izraf segera masuk dan meletakkan beg bimbitnya di atas meja kopi yang diperbuat daripada kayu jati itu. Izraf mencari Aina di dapur dan bilik air, namun hampa kerana Aina tiada di situ.

“Mungkin Aina terlena,” bisik nalurinya.

Izraf menaiki tangga ke tingkat atas. Sebaik sahajaIzraf menjejakkan kaki ke dalam bilik tidur, matanya terus tertancap pada susuk tubuh Aina yang tidur mengiring berbantalkan lengan. Bantal-bantal yang ada telah jatuh bertaburan ke lantai.

“Ganas jugak isteri aku ni tidur,” ucap Izraf tersenyum sendiri. Izraf mengambil bantal yang jatuh dan menepuk-nepuknya sebelum meletakkannya semula di katil.

Simpati hatinya melihat Aina tidur tanpa bantal. Bangun nanti tak pasal-pasal lenguh tangan berhari-hari. Seperti yang berlaku beberapa malam yang lepas, tanpa sedar Aina beralih tidur ke lengan Izraf, terpaksa Izraf tahankan saja lenguh kerana tidak sanggup mengejutkan Aina yang tidur pulas.

Selesa sangat agaknya tidur berbantalkan lengan, Izraf sudah mula memahami tabiat Aina. Kalau lengan Izraf tak apalah lenguh, lepas angkat dumbell nanti hilanglah lenguh tu. Tapi kalau dibiarkan, kesian pula Aina yang lenguh nanti, baik tukarkan lengan Aina dengan bantal.

Kepala Aina diangkat oleh Izraf untuk menyelitkan bantal di bawah kepala, tindakan Izraf begitu berhati-hati, risau mengganggu tidur si sleeping beauty. Aduh susahlah pula nak angkat, nanti tergeliat pula leher dia ni. Aina masih diam tidak bergerak, wajahnya tenang dan damai. Izraf menyentuh bahunya perlahan.

“Aina, angkat kepala sayang, abang nak letak bantal ni,” bisik Izraf dengan nada lembut.

Aina masih tidak bergerak. Izraf memerhati wajah Aina yang kemerah-merahan, alisnya sederhana namun terbentuk rapi, bulu matanya lentik dan tebal, anggun bagai bulu merak. Mata Izraf singgah ke hidungnya yang kecil, kemudian ke tulang pipinya yang tinggi dan kelihatan begitu anggun. Bibir Aina yang mungil dan sehalus kelopak mawar itu separuh terbuka.

Izraf merasakan debaran di dadanya semakin kuat. Nafasnya tiba-tiba sesak. Peluh jantannya merembes. Macam simptom nak kena serangan jantung. Ah, bukan lelaki namanya jika Izraf tidak tergoda untuk menjadikan gadis cantik itu miliknya, apatah lagi Aina adalah haknya yang sah.

Dengan berat hati, Izraf terpaksa memerangi pelbagai rasa yang timbul kerana simpati melihat Aina tidur begitu lebih menguasai. Kerana sayang, nafsu jatuh nombor dua. Izraf memang boleh menang anugerah lelaki paling gentleman abad ini. Izraf menghela nafas dalam-dalam. Lalu sebelah tangannya menyelinap di belakang pinggang Aina dan cuba mengangkat tubuh itu sedikit ke arah dadanya, sambil sebelah lagi tangannya menarik perlahan tangan Aina yang dijadikan alas.

Izraf tersentak apabila tersentuh tangan Aina. Kejutan elektrikkah, kenapa panas sangat ni? Rasanya Izraf yang macam cacing kepanasan baru keluar dari gym, badan siap bermandi peluh lagi. Peluh jantan, peluh betina, semua lengkap berpasang-pasang. Tapi suhu tubuh Aina yang berapi ini memang tak normal, jauh melebihi panas tubuhnya sendiri.

Aina yang sudah terjaga kerana pergerakan Izraf terpisat-pisat menggosok-gosok matanya. Beberapa saat kemudian barulah Aina tersedar tubuhnya separuh dipeluk oleh Izraf. Wajahnya yang sedia merah kerana suhu badan yang berbahang menjadi bertambah merah. Izraf menyedarinya lalu cepat meletakkan kembali tubuh Aina setelah mengalas kepalanya dengan bantal.

Sorry, abang nak letak bantal aje. Aina sakit ke? Badan Aina panas sangat ni,” tanya Izraf dengan prihatin sambil telapak tangannya meraba dahi Aina. Aina mengelak lemah, tidak betah bersentuhan kulit dengan Izraf. Tubuhnya yang sedia panas terasa semakin membakar apabila tersentuh kehangatan kulit Izraf.

“Tak tahulah. Rasa tak sedap badan. Hari ni Aina kena gastrik kat sekolah, tak sempat makan apa pun pagi tadi. Lepas minum susu dah okey, tapi balik rumah ajeterus rasa tak sihat semula,” lapor Aina lemah.

Izraf mengeluh. “Salah abang, abang yang bawa Aina tengok wayang tengah-tengah malam. Tak pasal-pasal lewat bangun, tak sempat sarapan. Tengok Aina dah jatuh sakit.Lain kali kita tak payah pergi tengok wayang dah, kerja bodoh!”

Izraf berasa kesal kerana merasakan dialah penyebab Aina jatuh sakit. Dia sepatutnya menjaga Aina, tapi kerana ikutkan cadangannya yang tak masuk akal, Aina yang jatuh sakit. Kalau boleh biarlah sakit itu berpindah kepadanya, dia lelaki, sekadar sakit begitu dia boleh hadapinya. Bukan Aina yang kecil molek, yang nampak begitu lemah di matanya sekarang. Macam anak kucing yang tak berdaya, cuma bezanya Aina tak mengiau.

Aina terkedu mendengar nada marah Izraf.Aina sebenarnya teruja dapat menghabiskan masa tengah-tengah malam begitu berdua dengan Izraf. Izraf seolah-olah punya sifat romantik yang selama ini terpendam apabila secara spontan mengajak Aina menonton wayang semalam.

Aina merasa lebih dekat dengan diri Izraf, seolah-olah ada ruang yang dibuka oleh Izraf di dalam hatinya untuk Aina mengisinya. Tidak terlalu menjaga jurang seperti selalu. Tidak, itu bukan kerja bodoh!Ingin sahaja Aina menjawabnya, namun Aina terlalu lemah untuk berbalah ketika ini.

“Jom, kita pergi klinik. Aina demam ni. Ambil ubat gastrik sekali.” Nada Izraf lebih kepada mengarah berbanding mengajak.

Aina menggeleng lemah. “Aina nak tukar baju pun tak larat, jangankan kata nak jalan,” ujarnya lemah.

“Tak payah tukar baju, biarkan aje pyjama ni, doktor tu nak check Aina, bukan nak check pakaian.Pakai macam ni pun comel dah, siap dengan kartun Garfield lagi.Kalau segan sangat cover dengan jaket abang yang besar gedabak tu.”

Aina menggeleng lagi.

Degil! Kepala batu! Dah sakit-sakit pun masih nak berkeras. Nak jugak kena paksa.

Izraf segera bangun dan mencapai jaketnya yang tersangkut di dalam almari. Dia membangunkan Aina untuk membantu menyarungkan jaket itu sebelum Aina sempat membantah. Izraf terus mencempung tubuh Aina dengan begitu mudah, seolah-olah berat Aina hanya seberat bantal kapas. Tubuh Aina didakap ke dada, manakala tangan Aina diletakkan di bahunya. Aina terkesima dengan tindakan drastik Izraf dan tersipu-sipu menahan malu. Berat sakitnya membuatkan dia merelakan bantuan Izraf. Setelah sampai di tingkat bawah barulah Aina sedar dia terlupa mengambil kad pengenalannya.

“Abang, IC Aina tak ambil lagi.” Suara Aina yang separuh berbisik begitu hampir di leher Izraf. Dagunya yang disanggah di bahu Izraf membuatkan bulu roma Izraf automatik meremang, lututnya tiba-tiba lembik.

Penyakit apakah ini? Hampir terlepas Aina dari gendongannya. Izraf cepat-cepat menepis rasa itu. Orang tengah sakit pun sempat lagi dia tangkap feeling atas insiden yang tidak disengajakan itu.

Izraf mengangguk kemudian naik semula ke tingkat atas dengan Aina masih berada di dalam gendongannya. Sebenarnya boleh saja sekiranya Izraf meninggalkan Aina di sofa terlebih dahulu, manakala dia kembali ke bilik tidur seorang diri untuk mengambil kad pengenalan Aina. Lebih pantas dan menjimatkan tenaga.

Namun, Izraf terasa sayang pula untuk melepaskan tubuh Aina yang sedang elok terletak dalam rangkulannya. Jika boleh, dia tidak mahu melepaskan tubuh Aina sampai bila-bila. Biarlah dikatakan mengambil kesempatan dalam kesempitan. Pada waktu itu Izraf sudah tidak peduli. Kalau bukan kerana Aina tak larat, mana mungkin Izraf dapat peluang untuk memeluk Aina begitu.

SETELAH berjumpa doktor, Izraf sempat singgah membeli bubur ayam sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Nak masak takut lambat pula, nanti sempat lagi gastrik Aina menyerang. Lagipun, Izraf memang tidak begitu tahu memasak, silap hari bulan, dari bubur menjadi nasi jelantah pula. Cuci pinggan sahajalah bidang kepakarannya sehingga kini. Bab masak-memasak memang kelemahan paling besar Izraf. Sedangkan setakat bakar roti pun boleh hangus.

Memandangkan rekod hitamnya itu, Izraf tidak berani hendak mengambil risiko memasak bubur untuk Aina. Memanglah lebih romantik kalau Izraf masakkan sendiri dengan penuh kasih sayang, tapi nak membayangkan dia menetak ayam pun Izraf sudah ngeri. Nanti berjam-jam Izraf bergelut dengan ayam di dapur, alih-alih jadi nasi jelantah atau bubur hangus, ah baik beli saja. Kasihan Aina nanti tiada apa yang hendak dimakan, mesti Aina sudah lapar dalam waktu yang lewat begini.

Aina yang sudah tertidur pulas di sisinya sedikit pun tidak sedar ketika pelayan kedai menghantar bubur itu ke kereta. Izraf hanya membuat pesanan saja kemudian menunggu di kereta. Risau agaknya meninggalkan Aina yang kurang sihat seorang diri di dalam kereta, atau takut Aina diculik barangkali.

Suara pelayan itu pula bukan main kuat lagi macam pakai mikrofon, tak reti bertimbang rasa nampak orang tidur. Nasib baik Aina tak terjaga sedikit pun. Letih agaknya, atau efek ubat yang dimakan ketika di klinik tadi. Beria-ia Izraf memaksa Aina untuk makan ubat tadi, tak sempat nak balik rumah, yang penting dia mahu Aina segera sembuh. Belas hati Izraf melihat Aina yang selalunya lincah menjadi lembik macam tauhu. Tidak biasa dirinya melihat Aina begitu.

Setibanya mereka di rumah, ketika Izraf cuba mendukung Aina keluar, Aina tersedar dan berkeras mahu berjalan sendiri. Malu rasanya balik-balik hendak didukung, bukannya dia budak kecil, mentang-mentanglah tubuhnya kecil molek, senang-senang saja Izraf yang berbadan sasa mengangkatnya.

“Aina nak jalan sendiri.”

“Aina bukan larat, biarlah abang dukung, Aina tak berat mana pun.” Sebenarnya Izraf rasa rugi tidak dapat memeluk Aina lagi jika Aina hendak berjalan sendiri.

“Aina dah kuat, tadi kan dah makan ubat,” balas Aina, beralasan.

“Mana ada kuat, makan pun tak lagi. Kalau jatuh macam mana?”

“Jatuh tak apalah, Aina bangun sendiri.”

Tengok tu degil betul! Ada saja jawapan dia. Nampaknya inilah sifat Aina yang semakin Izraf kenali; degil, kepala batu, keras kepala! Buat Izraf geram betul, cium baru tahu!

Akhirnya Izraf mengalah dan sekadar membantu memapah Aina ke bilik tidur. Tangan kanannya memeluk bahu Aina, manakala sebelah lagi tangannya memegang lengan kiri Aina. Aina yang masih lemah menyandarkan tubuhnya pada Izraf. Tadi tunjuk kuat sangat kononnya hendak berdikari, tapi akhirnya terpaksa juga separuh beralah. Kalau tidak kerana bantuan Izraf, mungkin Aina betul-betul akan jatuh. Rasa macam nak minta dukung balik. Tapi malu gila kot, tadi dah beria-ia menolak, kononnya dah gagah perkasa macam badang.

Sebaik sahaja tiba di bilik, Izraf memaksa Aina menjamah bubur yang dibelinya, nampaknya dengan Aina, Izraf kena rajin memaksa lebih sedikit.

“Aina tak lapar.”

“Nanti gastrik lagi, tak takut?”

“Tadi kan dah makan ubat.”

Grr... banyaknya jawapan!

“Makanlah sikit. Abang dah susah payah beli tahu.”

“Beli aje pun, bukan masak.”

Gulp! Sentap! Tahulah Izraf tak pandai masak! Kalau pandai dah tentulah dia usahakan demi orang tersayang.

Melihat muka Izraf berubah sedih, Aina rasa tidak tergamak pula menolak. Bukannya Aina sengaja menolak, sebenarnya Aina segan kerana segalanya mahu dibantu Izraf, hendak bergerak pun kena dukung, nak makan pun bersuap, macam orang kurang upaya saja. Sedangkan tangan dan kakinya masih sempurna.

Lagipun, bila Aina sakit, penyakit degilnya pun timbul sama, kerenahnya jadi bermacam-macam. Mujurlah Izraf sabar melayan kerenahnya. Kalau orang lain, mungkin dibiarkan saja kalau tak mahu, tak larat orang nak memujuk atau berbalah dengan Aina.

Akhirnya, mahu tidak mahu Aina terpaksa membuka juga mulutnya. Namun, Aina hanya dapat menelan beberapa suap sahaja. Hatinya boleh dipaksa, tapi tekaknya yang tidak sudi. Rasa pahit saja makanan yang ditelan.

Izraf terpaksa beralah dengan kedegilan Aina. Biarlah, sekurang-kurangnya sudah ada sedikit makanan panas masuk ke dalam perut Aina. Setidaknya selesa sikit dia hendak tidur.

Tidak lama kemudian, Aina sudah terlena dalam posisi meniarap, kepalanya mengiring ke kiri dan tangannya memeluk bantal rapat ke bawah dagu. Jaket Izraf masih melekat pada tubuhnya. Izraf tersenyum lucu memerhati Aina yang kelihatan terlalu kecil tenggelam dalam jaketnya yang besar.

Selepas mandi, Izraf membasahkan tuala kecil untuk digunakan mengelap di bahagian tubuh Aina yang terdedah; tengkuk, tangan dan kaki Aina. Bolehlah untuk mengurangkan suhu badan Aina yang sekejap naik sekejap turun. Izraf kemudiannya menuamkan tuala basah itu di dahi Aina.

Izraf yang tidak lena tidur gara-gara menjaga permaisurinya yang terlantar sakit. Berulang kali dia terjaga, sebaik sahaja terjaga Izraf akan terus menukarkan tuala didahi Aina. Hatinya belas melihat wajah Aina yang kemerah-merahan kerana demam. Akhirnya Izraf terlelap di sebelah Aina dengan tuala basah yang masih berada di tangannya.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.