Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,861
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17

Bab 17


     Aina yang sedang duduk di perpustakaan bersembunyi di sebalik buku yang dibacanya. Kus semangat apabila Haqym muncul di hadapannya secara tiba-tiba. Mamat ini memang macamvampire, tiba-tiba muncul di merata-rata. Nasib baik kali ini Haqym cepat memberi salam sebelum Aina sempat berleter sekali lagi. Taubat agaknya nak mendengar leteran Aina. Aina menjawab salam Haqym ringkas.

“Aik, jawab macam tu aje? Orang muncul tiba-tiba, dia marah. Ini bagi salam pun macam tak senang aje dengan kehadiran saya. Kalau saya mengganggu, biar saya duduk kat tempat lain aje.”

Aina cepat membetulkan, dia tidak mahu ada hati yang terluka lagi kerananya, “Bukan macam tu Haqym, maaflah kalau awak terasa. Hati tengah tak seronok, ada masalah sikit.”

Haqym mengangguk faham, kerusi di sebelah Aina ditariknya.Nasib baik kaunseling ni bidang kepakaran Haqym, walaupun tak bertauliah.

“Nak tahu sesuatu tak? Hari ni saya dapat tahu satu perkara yang istimewa tentang awak. Rupanya bila awak sedih, awak akan ke perpustakaan dan baca buku tentang galaksi serta planet-planet yang terdapat di dalam milky way.” Usikan Haqym dengan nada yang riang bersahaja itu membuatkan Aina tersenyum. Tidak tahan Aina berlama-lama pasang muka sebal di depan Haqym, ada sahaja modal jejaka itu untuk mendapatkan senyuman Aina.

“Hah, kan manis senyum macam tu. Tapi bukanlah nak kata bila tak senyum tu rupa awak jadi masin, macam mana pun awak tetap manis. Tapi, saya lagi suka tengok awak senyum. Awak tahu tak, bila awak senyum, mata awak menjadi semakin coklat dan bercahaya?”

Aina tersenyum lagi dengan kata-kata Haqym yang tidak habis-habis mahu menceriakannya. Kali ini dengan modal puji-pujian pula. Bahaya ni, boleh kena kencing manis dek termakan kata-kata manis Haqym. Tebal ilmu memujuk nampaknya lelaki ini.

So, apa masalahnya tuan puteri? Bolehkah kiranya patik pacal yang hina ini, ingin busy bodybarang sebentar? Tengah boring ni, tak ada cerita lain yang menarik untuk diambil tahu,” tanya Haqym separuh berseloroh. Lega hatinya melihat sudah ada senyuman di wajah Aina.

“Budak kelas sayalah, kelmarin saya marah dia orang sebab keputusan ujian teruk sangat. Tahun ni nak ambil periksa, tapi macam masih tak tahu apa-apa, zero! Kalau saya kena ulang ajar semua sekali, mana mungkin saya mampu habiskan sukatan pelajaran dua tahun tu dalam setahun aje? Bila saya marah, dia orang boleh gelak-gelak pulak. Tak reti nak serius, kalau nak suruh insaf lagilah, harap maaf ajelah. Jadi saya pun termarah lebih sikit. Saya sedar, saya pun silap jugak sebab ikutkan perasaan sangat. Tapi saya dah geram sangat. Awak tahu, si Danial tu sampai keluar dari kelas dan terus ponteng sekolah. Dia itulah yang paling mencari pasal dengan saya. Eee... tension!”

“Biasalah, itu kan cabaran? Kan saya dah warned awak tentang perangai dia orang. Awak kena buat persediaan mental lebih sikit setiap kali sebelum masuk kelas, baru awak boleh survive. Kalau boleh, sebelum masuk kelas awak buat senaman pernafasan terlebih dulu.”

Tengok tu, sempat lagi buat lawak bodoh!

Melihat tiada senyuman di bibir Aina, Haqym cepat-cepat menyambung sebelum awan nano muncul di wajah Aina.

“Okey. Saya cadangkan, buat masa sekarang, biarkan aje dulu. Dah sejuk-sejuk nanti awak pujuklah balik. Kadang-kadang memang kena bertegas jugak, kalau tak, nanti dia orang pijak kepala.”

“Itulah masalahnya sekarang. Saya dah beralah, dahcuba pujuk dia orang. Hari ni saya bawa coklat untuk bagi kat dia orang. Saya buat sendiri dengan penuh kasih sayang tau? Dia orang gelakkan saya pulak, macamlah benda yang saya buat tu bodoh sangat. Saya tahulah dia orang tu bukan budak-budak lagi, tapi saya hanya nak cuba berbaik dengan dia orang.You do know chocolate can stimulate your happy hormone, right? Bila makan coklat aje yang tak gembira pun boleh jadi ceria. Danial tu siap perli saya lagi kata cara saya macam budak-budak, sakit betul hati saya! Saya dah tak tahulah macam mana nak berhadapan dengan dia orang, marah salah, pujuk pun salah. Akhirnya saya keluar macam tu ajelah.”

Ini mesti lari keluar dari kelas sambil menangis, tengok mata yang sembap tu pun dah boleh agak. Haqym tersengih. Lucunya Aina ni, hal kecil begitu pun boleh membuatkan dia menangis. Orang perempuan kan, ada masa-masatertentu memang beremosi sikit. Kalau Haqym yang dibuli mereka, entah-entah mereka yang menangis meraung-raung dibuatnya.

“Betul ke pasalhappy hormone tu? Wah lepas ni saya jadi pembekal coklat untuk awaklah, hari-hari saya bawakan coklat supaya mood awak sentiasa elok, ya? Hmm, pada saya, mungkin ada jugalah nampak childish sikit cara awak tu. Tapi apa yang penting, awak dah usaha.Kenapa lepas tu awak mengalah dan terus keluar pulak? Awak dah separuh jalan usha hati dia orang tu, sikit lagi terpujuklah tu.”

Tengoklah tu, Haqym pun kata dia childish! Uwaa... nak resign!

“Sebab, sebab... sebab saya dah nak menangis. Saya terkilanlah awak, sampai hati dia orang tak kisahkan usahasaya langsung, boleh dia orang tolak ke tepi macam tu aje.” Setelah teragak-agak, Aina memecahkan juga cerita yang memalukan itu dan disambut dengan gelak ketawa Haqym. Menyesal cerita!

“Awak ni memanglah, princessbetul. Takkan kerana itu awak dah menangis.Bila awak menangis, lagilah dia orang suka, rasa macam hebat sebab dapat buat awak nangis. Lain kali kalau rasa nak nangis, jerit kuat-kuat biar bergema satu sekolah. Lepas tu dia orang takkan berani usik awak lagi. For now, pedulikan saja dia orang, esok-esok okeylah tu. Buat apa awak nak susahkan hati dengan bersedih dan bersembunyi kat library ni, buat-buat baca buku pasal planet-planet pulak tu. Kalau saya tanya black hole tu apa, entah-entah kelu tak boleh jawab.”

“Ingat saya tak tahu ya, black hole tu kan lubang hitam kat angkasaraya. Itu tak payah pun gigih baca ensiklopedia sains,kalau awak nak tahu, inilah yang dinamakan pengetahuan am.” Ada saja jawapan budak kecik ni!

“Yelah, yelah, surrender! Dah, jom lepak kat bilik guru, saya ada terbeli nasi lemak lebih tadi. Nak?” Tak kisahlah ada terbeli lebih atau sengaja melebihkan, ajakan Haqymdisambut oleh Aina dengan senang hati. Perut tengah lapar, ingat tak penat ke merajuk, memerlukan banyak tenaga tau?

SETIBANYA di tempat duduk, Aina terpegun melihat kotak coklat yang ditinggalkannya di dalam kelas tadi kini terletak di atas meja, sebiji coklat pun tak tinggal. Bererti mereka semua telah mengambil bahagian masing-masing. Atau mungkin ada seekor dinosaur yang telah menghabiskan kesemuanya sekali.

Aina tersenyum senang. Yang lebih menarik perhatian, ada sebatang lolipop pink yang begitu comel di dalam bekas itu. Tiada sebarang nota disertakan, namun Aina sudah dapat mengagak kerja siapa. Pasti Danial. Tadi Danial yang menyindir Aina tentang lolipop, sekarang tiba-tiba lolipop sudah berada di depan Aina dengan magiknya. Cara Danial memujuk agaknya, mungkin malu untuk meminta maaf secara terang-terangan. Atau mungkin kata maaf itu terlalu mahal untuk diungkapkan. Siapa tidak kenal dengan Danial, mana pernah dia meminta maaf, orang yang bermohon sembah meminta ampun kat dia adalah. Tengoklah sekeping memo pun tak ada, macam secret admirer saja. Tapi kan... Sweet jugak!

‘Hmm... aku ada salah kat dia, dia pun ada buat silap dengan aku. Aku mintak maaf melalui coklat, dia pula nak memujuk dengan lolipop. Okeylah. Kira kosong-kosong sajalah.’ Aina bermonolog sendiri sambil membelek-belek gula-gula comel itu. Senyuman Aina mati apabila lolipop di tangannya tiba-tiba direntap oleh Haqym.

“Wah, dia dapat lolipop! Nampaknya ada orang mintak maaf. Saya rasalah kan awak, dia orang ni dah suka kat awak. Sebabnya, tak pernah-pernah dia orang buat kerja macam ni untuk cikgu-cikgu lain sebelum ni. Awak ni first case.”

Aina yang pertama? Mereka sudah sukakan Aina? Tapi kalau betul teori Haqym mereka dah sukakan Aina, kenapa masih nak buli dia? Harapnya lepas ini pembulian akan berakhir. Tak larat hari-hari menangis.

“Bagi balik, itu saya punya! Kalau awak nak jugak, pergi merajuk dengan kelas awak. Saya buat baik dengan dia orang, dia orang balas dengan baiklah. Kalau tak nak bagi balik, tukar dengan coklat saya ni, saya ada simpan sikit untuk diri sendiri.” Aina sepantas mungkin cuba berunding apabila Haqym berpura-pura mahu menggigit lolipop di tangannya. Haqym ketawa, kemudiannya mempamerkan mimik sedang mempertimbangkan tawaran Aina.

“Haqym, janganlah... itu dia orang bagi kat saya,” ujar Aina merayu.

“Eleh, sayang sangat kat lolipop tu, nak bawa balik untuk awetkan ke? Okey boleh, tapi dengan syarat, saya nak kesemua coklat dalam Tupperware awak tu.”

Wah, demand betul mamat ni! Rasa macam diperas ugut. Aina tidak berpuas hati sebenarnya, tetapi mahu tidak mahu terpaksa juga dia menyerahkan Tupperware di tangannya kepada Haqym. Berat macam nak serah ufti bunga emas.

Haqym ketawa kuat melihat reaksi terpaksa Aina, nampak sangat tak ikhlas. Akhirnya Aina juga ikut ketawa. Hari yang masih berbaki itu Aina tempuhi dengan gembira, semuanya kerana sebatang lolipop yang telah menceriakan kembali hatinya.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.