Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,579
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 21

Bab 21


     Izraf menghabiskan masa hujung minggu itu dengan menjaga Aina yang terlantar sakit. Girang hatinya apabila Aina sudah hampir pulih.

Tidak sia-sia dia keluar tengah-tengah malam ke 7-Eleven untuk membeli plaster kool-fever. Izraf tidak peduli walaupun biasanya ia digunakan oleh bayi dan kanak-kanak sahaja. Dia risau dan buntu apabila demam Aina tidak mahu kebah. Puas dia menukarkan tuala basah di dahi Aina, namun panasnya masih membakar.

‘Hmm, nampaknya berkesan juga kool-fever tu dengan izin ALLAH, alhamdulillah.’ Izraf bergumam sendiri. Matanya melekat pada Aina yang sedang duduk bersantai di taman mini mereka.

Suasana petang Ahad ini terasa lebih indah apabila Aina ada bersama. Sepanjang Aina sakit, dunia Izraf seperti sunyi tanpa suara Aina Humaira yang suka bercerita dan melapor itu ini kepadanya. Aina Humaira, bidadari syurganya. Sayangnya Aina tidak mengerti hati dan perasaan Izraf.

Izraf mengeluh perlahan, lalu bersandar seketika di birai jendela sebelum mengorak langkah menuju ke arah Aina. Langkahnya santai dan wajahnya kelihatan tenang, gelodak hatinya tenggelam jauh ke dasar. Sedikit pun tidak terpancar gundah di hatinya, biarlah hanya dia yang tahu. Belum masanya Aina tahu.

“Abang,” sapa Aina apabila Izraf menarik kerusi di sebelahnya. Sinar matanya gemilang, mungkin riang kerana dapat mengambil angin petang, sedangkan sebelum ini sudah dua hari dia hanya berkurung di dalam bilik ketika terlantar sakit.

“Aina dah sihat?”Izraf sekadar ingin memastikan. Dari raut wajah Aina, jelas terlihat Aina sudah sihat sepenuhnya.

“Emm... hmm...” Aina mengangguk kecil sambil tersenyum simpul dan kelihatan agak malu-malu mencuri pandang ke arah Izraf. Sebentar kemudian, Aina mengangkat kepalanya dan memandang Izraf serius.

“Abang, terima kasih sangat-sangat sebab jaga Aina masa Aina sakit. Biasanya kalau Aina sakit, mesti rindu kat mak. Sebab selalunya mak yang jaga Aina, masak bubur, paksa Aina makan ubat. Tapi, ini kali pertama sepanjang hidup, Aina tak ada teringatkan mak pun masa Aina sakit. Maksudnya abang dah jaga Aina dengan sempurna macam mak jaga.”

Izraf tersenyum.“Aina isteri abang. You are now my responsibility. Of course I will do anything for you without you asking.

Aina tersenyum. Terharu.

“Apa pun,Aina tetap nak ucap terima kasih atas semua yang abang lakukan untuk Aina. Aina rasa dah sihat sekarang. Tapi bila fikirkan esok dah kena ke sekolah, rasa macam nak ambil cuti lagi. Susah hati Aina, tak tahu dah macam mana nak tackle budak-budak tu. Nakal-nakal! Hari Jumaat tu Aina sakit adalah seorang dua yang tiba-tiba jadi prihatin. Tapi dia orang tu bermusim, kejap insaf, kejap nakal balik.

Abang tahu tak, hari tu Aina bawa coklat nak bagi kat mereka sekelas, ingatkan nak ambil hati. Alih-alih bukan main lagi Aina diperli,dia orang kata cara Aina macam budak-budak. Memang terkilan sangat-sangat. Bila Aina dah merajuk, pandai pulak dia orang pujuk. Ingatkan dah insaflah, tapi bila Aina masuk kelas semula, tengok kerenah nakal macam itu juga. Aduh, pening kepala Aina.”

Izraf tergelak mendengarkan aduan Aina yang panjang lebar. Aina yang suka mengadu sudah kembali beraksi.

“Tengok tu! Abang pun gelakkan Aina!Lawak sangat ke cara Aina tu?” Aina menampar bahu Izraf kegeraman.

Nope! Tak lawak, cuma cara memujuk Aina tu cute sangat.” Izraf tergelak lagi.

Menyedari Aina wajah Aina sudah mula masam, Izraf berusaha menghentikan tawanya.Telapak tangannya menekup mulut bagi mengelakkan sisa tawanya tersembur keluar.Dengan sengihan yang tertahan-tahan, Izraf memujuk Aina semula.

Okay, my bad, I am sorry.Abang tak patut gelakkan Aina. Okey, abang serius. Dia orang akan okey, tak selamanya dia orang nak buat hal. Budak-budak ni bila memberontak, dia orang sebenarnya nakkan perhatian. Aina kena fikir lagi banyak cara untuk mendekati dia orang.

Jangan kecewa bila satu cara tak berjaya, sebab percubaan pertama tak semestinya berjaya. Don’t be too optimist. Ada masanya, pesimis itu bagus. Bila kita bersikap pesimis, kita akan fikir dengan lebih luas dan nampak segala kemungkinan yang ada sehingga ke worst case scenario. Jadi, bila kita dah terfikirkan kemungkinan itu, secara tak langsung kita dah ready nak menangani kalau-kalau benda yang tak diingini itu benar-benar berlaku. Dari sepuluh cara yang Aina cuba, mungkin yang kesepuluh itu barulah menjadi.Makanya, Aina tak boleh putus asa disebabkan satu cubaan yang gagal, sebaliknya Aina preparesembilan lagi cara yang lain.”

Tu dia! Bila dah serius, maka syarahan berlembar-lembar muka surat diulas dengan sekali harung.

Aina terdiam. Tidak pernah terfikir pula ada kebaikannya berfikiran negatif. Tapi apa yang dikatakan oleh Izraf memang masuk akal. Selama ini Aina selalu mengingatkan dirinya untuk menjadi seorang yang sentiasa positif. Nampaknya, akalnya bagaikan cuma sejengkal apabila dibandingkan dengan cara berfikir Izraf yang jauh lebih matang.

“Hmm. Aina suka cara abang berfikir. Hari ni Aina belajar benda baru yang berguna. Lepas ni Aina kena seimbang, tak boleh positif sepanjang masa. Positif sangat pun boleh makan diri jugak.”

“Sebenarnya, bergantung pada keadaan.Bukan sepanjang masa nak pesimis, ada masanya kena optimis pula. Contohnya, bila tengah bersedih atau apabila sesuatu perkara yang malang menimpa kita, pada masa itulah kita kena optimis bahawa sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Mungkin ALLAH ada rancangan yang lebih baik untuk kita.”

“Aina setuju dengan abang. Tapi macam mana Aina nak sediakan sembilan lagi idea, ini satu idea pun Aina dah tak boleh fikir. Aina tak kreatif sangat dalam bidang psikologi pujuk-memujuk ni.”

“Bertuah Aina dapat abang sebagai suami. Dalam otak abang ni ada banyak stok cadangan. Hmm, Aina kan gemar buat kek.Sedap sangat tau,kek lapis yang warnadia macam lampu trafik tu. Apa kata bila Aina dah sihat nanti, Aina buatlah kek tu bagi kat pelajar. Mesti dia orang terpikat dek air tangan Aina. Masa nak baking tu baca doa pelembuthati sekali.”

Aina dengan tidak semena-mena melompat dari kerusinya menyebabkan Izraf hampir terlompat sama gara-gara terkejut dengan tindakan refleks Aina. Pantas tangan Izraf menekan dadanya, kalau begini selalu, cepatlah dia kembali ke rahmatullah agaknya, hari-hari jantungnya diberi kejutan.

“Kenapalah Aina tak terfikir! Betul cakap abang.Mesti dia orang akan dapat rasakan keikhlasan Aina nanti, bukan senang tau nak buat kek tu, empat jam baru siap kukus. Lagipun, mesti seronok kalau ramai orang yang sudi makan kek Aina. Terima kasih abang! Abang memang bijak!”

Izraf tersengih senang dengan pujian Aina. Aina yang sedang tersenyum gembira tiba-tiba sudah mula berlari menuju ke rumah.

“Aik, Aina nak ke mana tu?” Izraf bertanya hairan melihat tingkah Aina yang macam lipas kudung berkuasa turbo. Sekelip mata dah hampir tiba di pintu rumah.

“Nak pergi buat kek!”

Aina tidak menghentikan langkah sebaliknya menjawab soalan Izraf dengan suara yang separuh menjerit.

“Tapi abang kata kalau dah sihat nanti.”

“Sekarang dah sihat!”

Aina terus lenyap di sebalik daun pintu. Izraf menepuk dahinya.

‘Aduh, patutnya minggu depan baru aku bagi cadangan tu, baruaje nak menikmati masa bersantai dengan dia petang-petang ni. Dahlah tak sihat mana pun lagi.’ Izraf mengeluh sambil menggeleng.

Akhirnya senyuman lucu terbit jua di bibirnya mengenangkan keseronokan Aina. Tapi sebenarnya, Izraf pun tumpang seronok, nanti dapatlah dia turut merasa kek Aina. Memang betul-betul sedap, Secret Recipe pun tak mampu tandingi.

Sejak merasa kek yang dibuat Aina di rumah papa tempoh hari, terus menjadi No.1 favourite Izraf!Sebenarnya Izraf yang habiskan semua sekali sampai licin. Cuma Aina sahaja yang tidak tahu. Tidak pasal-pasal si Tiger, kucing Sarah yang dituduh Aina mencuri kek itu.

Aina, Aina... sejak bila pula kucing pandai makan kek. Izraf pula tak sanggup hendak mengaku, nampak sangat gelojohnya nanti, malulah dia. Akhirnya, Tiger yang menjadi si tertuduh dalam kes itu. Kasihan Tiger. Tergelak Izraf mengingatkan peristiwa itu.



Bersambung...

*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.