Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,951
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22

Bab 22


    “Hey!”

     Haqym menyergah Aina yang sedang sibuk menyelongkar laci. Aina terkejut sehingga terjerit kecil. Kedua-dua tangannya cepat-cepat menekup mulutnya.

Beberapa orang guru memandangnya sepintas dengan riak wajah tidak senang, mungkin kemesraannya dan Haqym menyakitkan mata mereka, atau mungkin mereka menganggap Aina gedik, terjerit-jerit di bilik guru begitu. Ah, Haqym yang salah! Sengaja mengusik dia walaupun sudah tahu dirinya agak lemah semangat. Mahu dia cepat jadi arwah agaknya.

Sudahlah semenjak dua menjak ini Aina perasan yang guru-guru lain seakan tidak begitu menyenanginya. Hairan betul. Entah apa salah dia pada mereka. Sekali-sekala tertangkap juga di pandangannya akan mulut-mulut yang mencebik dan muka menyampah yang dipasang oleh beberapa orang guru perempuan. Tapi kalau guru lelaki,bukan main baik lagi dengan Aina, pijak semut pun tak mati kalau di depannya. Sekadar dibelanja dengan macam-macam makanan dan tolong itu ini sudah jadi perkara biasa.

Bukannya dia yang mengada-ngada meminta, tidak pernah sama sekali. Bukan sifatnya meminta-minta, apatah lagi nak menggedik. Tetapi ada sahaja yang tiba-tiba menjadi sukarelawan. Aina pun kenalah menjaga air muka mereka, takkan nak menolak pula orang dah susah-payah cuba berbuat baik. Mungkin guru-guru lain meluat melihat jejaka-jejaka itu berebut-rebut berbuat baik dengannya, atau mungkin mereka menganggap dia yang cuba menarik perhatian lelaki. Sumpah tidak pernah terlintas di hatinya niat begitu. Dia pun ada harga diri, tambah-tambah lagi statusnya isteri orang.

Kenapalah perkara begini selalu saja terjadi padanya, ini bukanlah kali pertama dia tiba-tiba dibenci oleh kaum wanita tanpa sebab. Semasa belajar dulu pun begitu juga. Ingatkan boleh mendapat ramai kawan, tapi dapat lawan pula.

Sedih betul! Yang nampak ikhlas baik dengan Aina hanya Haqym ni, itu pun tak habis-habis memberi kejutan kepada jantungnya. Kalau Aina lapar, sudah lama dia telan mamat yang dah nampak kecil sangat di matanya ketika ini.

“Wow, wow, relaks. Ini Haqym yang kacaklah, bukan optimus prime. Kaki latah betul rupanya cik mek molek yang seorang ni,” seloroh Haqym mati apabila melihat Aina menyeka tubir matanya.

Aina menangis! Hanya kerana gurauannya? Haqym serta-merta rasa bersalah. Mungkin Aina benar-benar terkejut, agaknya gurauan Haqym dah keterlaluan kali ini. Perlahan-lahan Haqym menarik kerusi dan duduk di sebelah Aina.

“Awak, saya mintak maaf sangat-sangat. Saya gurau aje, tak sangka awak sedih macam ini sekali. Forgive me? Come on now, big girl don’t cry. Awak janganlah cengeng.

Sudahlah buat dia menangis, sekarang mengata Aina cengeng pula? Ini sudah lebih!

“Saya menangis bukan kerana sedih, saya terperanjatlah! Semangat saya terbang entah ke mana, tahu tak? Kan saya dah kata jangan mengusik macam tu lagi. Bodoh sangat ke tak faham-faham!”

Aina menyemburkan kemarahannya tanpa memikirkan perkataan yang ingin diucapkannya terlebih dahulu. Kepalanya sebenarnya sebu memikirkan nasib dirinya, sudahnya Haqym yang terkena tempias. Biarkan, mungkin ini yang guru-guru lain hendak tengok. Merekakan nampak tak senang dia baik dengan Haqym, bergaduh begini mungkin mereka lebih suka. Satu dua orang mula perasan akan ketegangan antara Aina dan Haqym. Baguslah, bolehlah menonton siaran langsung sandiwara semasa, versi tak ada cut!

Yes, it was a bad joke, I agreed. Tapi sampai hati awak kata saya bodoh. Hmm, tapi tak apalah, memang saya bodoh pun tak habis-habis mengganggu awak.” Haqym bersuara rendah sambil bangkit dari kerusinya.

Jelas nadanya berjauh hati. Aina yang masih panas hati terhadap Haqym bertambah marah. Mengapa pula Haqym yang hendak terasa, sedangkan Aina yang menjadi mangsa dan sepatutnya berang.

I hate you!

Hanya perkataan itu yang terlintas di otaknya untuk menumpahkan segala kemarahannya terhadap Haqym. Aina segera bangun dan berlari ke tandas dengan muka merah padam. Apabila Aina kembali ke tempat duduknya, Haqym sudah tiada. Mungkin dia telah ke kelas. Menyedari yang dirinya juga sudah agak terlewat, Aina mengambil beg kertas berisi kek yang ingin dibawanya ke kelas berserta buku-bukunya.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.