Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,555
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 19

Bab 19

     Baru setengah jam mengajar, Aina sudah terlalu letih dan berasa lain macam. Perutnya mengeras, bibirnya berubah pucat dan peluh dingin pula mula merembes di dahi.Gastrik! Gastriknya sudah menyerang.

Hendak salahkan siapa, pagi tadi dia dan Izraf sama-sama terlewat bangun sehinggakan tidak sempat menjamah sebarang makanan. Semuanya kerana Izraf tiba-tiba buang tabiat dan mengajaknya menonton wayang tengah malam. Pukul 2.00 pagi baru mereka pulang ke rumah. Dah jadi macam burung hantu. Kata Izraf, bosan dan tak dapat tidur.

Ah, sepatutnya mereka tidak ke panggung wayang pada hari bekerja. Aina tidak bimbangkan Izraf kerana Aina tahu dia tiada masalah gastrik. Lagipun Izraf pasti sempat bersarapan sebelum masuk ke pejabat pada pukul 8.00 pagi tadi. Kalau terlambat sekali pun, bukannya ada sesiapa yang kisah, syarikat itukan milik papanya.Aina pula yang terpaksa speed ala-ala aksi KL Drift dengan Mini Cooper kesayangannya.

Aina mengeluh dalam hati kemudian mengarahkan pelajarnya membuat latihan bagi bab yang baru diajarnya separuh. Ada pelajar yang terpinga-pinga, masakan baru diajar sikit dah kena buat latihan? Tapi apa boleh buat, hanya cara itu yang Aina fikirkan agar tidak menamatkan begitu sahaja kelas itu. Dia sudah tidak larat untuk terus mengajar, sedangkan masih ada 30 minit masa yang tinggal. Tidak mungkin dia boleh meninggalkan pelajarnya begitu sahaja sebelum kelas berakhir.

Kalau ikutkan keadaannya ketika itu, ingin saja Aina terus pulang ke rumah untuk berehat. Ketika murid-muridnya membuat latihan, Aina cuba mengawal kesakitannya dalam tempoh itu. Aina duduk di kerusi lalu meletakkan kepalanya di meja dengan beralaskan tangan. Mazlan yang lebih dulu menangkap situasi itu tidak melepaskan peluang untuk mengenakan Aina.

“Cikgu dah tidur, mari kita main bola!” Mazlan mengajuk dialog filem P.Ramlee.

Dengan susah payah Aina mengangkat wajah, tangannya masih menekan perut, dia tidak mahu dituduh mengabaikan tanggungjawab.

“Saya mintak maaf, saya bukannya mengantuk atau nak curi tulang, tapi saya tengah gastrik. Saya tak larat dan tak mampu nak teruskan. Kamu buat latihan kamu aje dulu, minggu depan kita akan sambung belajar untuk bab hari ini.”

Kata-kata Aina bagaikan sedas tamparan ke muka Mazlan.Dia tidak menyangka Aina sedang bergelut menahan rasa sakit. Danial menumbuk bahunya, tidak sekuat mana, namun Mazlan dapat melihat kemarahan di mata Danial.

‘Apa pulak dia yang nak lebih-lebih marah, Cik Aina tak kata apa pun.’ Hatinya memberontak dengan rasa tidak puas hati, namun Mazlan tidak berani melawan Danial.

Danial segera bangkit dan terus keluar tanpa meminta izin. Aina hanya memerhati, dia tidak berdaya untuk bergaduh dengan Danial hari ini. Hendak keluar, keluarlah. Biarlah Danial dengan degilnya. Aina meletakkan kembali kepalanya. Seisi kelas senyap sunyi, memberi ruang untuk Aina berehat. Tahu pula mereka bertimbang rasa kali ini.

Melihatkan dahi Aina yang telah basah dengan keringat menimbulkan rasa simpati di hati Cam. Tiada siapa berani mendekati Aina kerana takut mengganggunya. Cam merasakan Aina tidak sepatutnya bersendirian tanpa dibantu ketika sedang sakit begitu.

“Woi Hawa, ada sapu tangan tak?”

Ini tanya ke marah, kasar betul bunyi! Hawa dengan mendongkol cepat menyerahkan sapu tangan miliknya yang putih bersih. Lebih baik serah sendiri sebelum dirampas oleh Cam. Bukan boleh pakai budak ni, dia mintak elok-elok pun dah cukup bagus, biasanya main rembat saja.

Cam bangkit menuju ke arah Aina. Dia memanggil nama Aina agak lembut. Apabila Aina mengadahkan kepalanya, Cam pun menghulurkan sapu tangan itu kepada Aina.Aina mengucapkan terima kasih dengan nada lemah, kemudian kembali meletakkan kepalanya di meja. Sapu tangan itu hanya digenggam, dia benar-benar tidak larat untuk bergerak. Dunianya dirasakan bagai berpusing. Rasa pening dan loya menguasai diri.

Cam menggeleng, kemudian menarik sapu tangan itu daripada tangan Aina. Cam mengelap peluh di dahi Aina dengan perlahan-lahan, takut mengusik Aina yang sedang pening. Seisi kelas terkedu melihat tingkah laku Cam kerana secara tiba-tiba dia kelihatan begitu prihatin dan lemah-lembut, macam tak percaya Cam ada hati perut. Nampaknya ada juga simpati di hati seorang makhluk separa jantan ini.

Aina turut sama terkejut apabila menyedari Cam sedang mengelap peluh yang merenik di dahinya, namun disebabkan sudah tidak larat, Aina membiarkan saja Cam membantunya. Pada ketika itulah Danial melangkah masuk dengan membawa segelas susu panas di tangannya. Rupa-rupanya Danial keluar tadi untuk ke kantin.

“Hoi Cam, apa kau buat ni?” tanya Danial dengan nada yang agak tinggi. Terkejut melihat kemesraan antara Aina dan Cam, cemburumenggigit-gigit hatinya.

Danial terlupa yang Cam juga seorang perempuan sejak azali, punya sifat lembut walau tersembunyi. Di mata Danial, sesiapa pun yang cuba merapati Aina, dia hanya nampak insan itu sebagai saingannya. Tiada siapa boleh mendekati Aina selain dirinya! Perlukah dia letakkan papan tanda di situ agar yang lain memahami?

“Kau nampak apa, aku tengah makan soto?” Itulah bagi lagi soalan bonus, kan dah diberi jawapan bonus juga. Danial mengetap bibir geram, giginya berdecit-decit macam tengah senaman rahang nak makan orang.

“Kau tak nampak ke aku tengah lapkan peluh Cik Aina, dah yang lain tu duduk saja tengok wayang.” Cam menjawab selamba. Dalam hati dah mula gentar, takut dimakan oleh kanibal di hadapannya itu.

“Dahlah tu, takkan nak lap sejam kot?” Dengan sekali rentap, Cam ditarik ke belakang hanya dengan menggunakan satu tangan sahaja untuk menarik lengan Cam. Tahulah dia gagah perkasa. Apa ni, tak ada kelas betul membuli insan yang lemah. Cam hanya berani mengomel dalam hati melihat Danial menggantikan tempatnya di sebelah Aina. Cis, dia pun nak menangguk di air keruh juga.

“Cik Aina, minum susu ni. Sekarang. Mak Piah pesan, pagi-pagi Cik Aina diwajibkan pergi kantin, dia buatkan susu untuk anak kucing.”

Danial menolak gelasitu ke hadapan Aina. Sempat lagi memerli. Dahlah mengarah-arah Aina, dia ingat dia siapa? Bencinya! Namun jauh di sudut hati, Aina tahu Danial sebenarnya prihatin terhadap dirinya. Jika tidak, masakan dia sanggup bersusah-payah ke kantin untuk mendapatkan Aina susu panas. Rasa terharu pula dengan perhatian yang diberikan.

Namun begitu, Aina masih belum dapat memahami sikap Danial. Sekejap dia bermusuhan dengan Aina, sekejap nampak seperti cuba berbaik dengan Aina pula. Sikapnya berubah-ubah dan sukar dijangka. Feng shui kurang baik agaknya.

‘Hmm, sempat lagi kenakan aku kata Mak Piah buat susu untuk anak kucing. Mujur dia cakap tak kuat, hanya aku dan Cam yang dengar. Tapi Cam tak rasa lucu pula, atau budak ni lurus bendul tak faham dengan perlian Si Danial tu? Tengok muka memang nampak macam sentiasa berada di luar kawasan liputan.’ Aina merungut di dalam hati. Nanti kalau kutuk depan-depan, orang kata tak berterima kasih pula.

Aina meneguk susu itu perlahan-lahan. Danial memerhati dengan rasa puas hati. Sanggup Danial terpacak di sebelah Aina untuk memastikan Aina menghabiskan susu itu. Memaksa betul! Setelah Aina selesai minum, Danial mengambil kembali gelas itu tanpa berkata apa-apa. Danial kemudian terus menyeret Cam balik ke tempat duduk. Tak boleh tinggal budak seorang ni, nanti ada saja yang tak diduga dibuatnya.

“Wah, bersihnya sapu tangan ni, Cik Aina tak pakai apa-apa bedak ke?” Cam berpaling dan menyoal Aina dengan nada terkejut. Sempat lagi nak jadi CSI menyiasat bahan bukti. Aina tersenyum tipis dan hanya menggeleng sebagai jawapan.

Snow White itu wujud,” bisik Cam seronok sambil menyiku Danial yang sudah berada di tempat duduknya.

Danial yang sedang merenung Aina diam sahaja, namun di bibirnya ada senyuman yang begitu sukar untuk disembunyikan. Mujur tiada siapa yang perasan kerana Danial duduk di belakang sekali. Dia sendiri tidak tahu mengapa,tapi seperti ada rasa bangga mengisi hatinya sehinggakan kembang macam belon apabila mendengarkan pujian Cam untuk Aina. Hairan, sedangkan Aina bukan miliknya pun. Kenapa pula Danial yang terlebih-lebih nak berbangga?

Aina berehat seketika dalam posisi yang sama. Selepas meneguk susu itu sehingga habis, perutnya mula selesa dan tenaganya perlahan-lahan pulih kembali. Sebelum loceng berbunyi, Aina sudah boleh berdiri dan mengucapkan salam kepada kelas. Sebaik sampai di pintu kelas, Aina berpaling ke arah Danial dan Cam yang duduk bersebelahan. Yang seorang sedang mengelamun jauh, si tomboi itu pula sedang bergendang dengan mejanya.

Thank you both, dear,” ujar Aina sambil tersenyum manis.

Danial terpaku. Cam mengangguk bagai burung belatuk.Aina sekali lagi tersenyum manis sebelum keluar dari kelas.

“Ada harapan, aku nak tackle dialah,” bisik Cam nakal, separuh bergurau.

Danial memandang Cam dengan mata yang berapi, ingin sekali dia memasukkan Cam ke dalam mulut dan mengunyahnya 40 kali hingga cukup lumat.

She’s mine.” Suara Danial dah macam bunyi harimau menderam. Cam tersentak, terkejut dengan jawapan Danial. Lebih terkejut lagi dengan nada Danial. Perlahan-lahan Cam mula memahami hati Danial. Cam tersengih.

“Eh, sejak bila pulak Cik Aina jadi milik kau?”

She will be!”

Ceh, over confident! Menyampah! Baik provok lebih sikit.

“Aku ada sapu tangan dia!”

“Aku ada gelas dia!” Danial menentang.

Cam berfikir seketika. “Woi, tu bukan gelas kau, tu gelas kantin.”

“Sapu tangan tu pun bukan kau punya. You never bring a handkerchief!”

“Yep, Hawa punya. But it’s mine now.” Cam menghidu-hidu sapu tangan itu, sengaja hendak menyakitkan hati Danial.

Danial mengetap giginya geram. Kalau bukan sapu tangan itu sedang digenggam kemas oleh Cam, pasti sudah direntapnya dari tangan Cam. Dahlah tangan macam jerangkung, ada hati nak pegang sapu tangan Aina.

“Kau tu perempuan, jangan lupa. Kau Sophie Camilia, takkan selamanya Cam.”

Ini yang tension bila dah mula sebut nama penuh dan nak ungkit asal-usul keturunan. Cam kehabisan modal. Blah lagi bagus.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.