Aina ke kantin seorang diri untuk mengisi perut
yang sudah memainkan lagu irama keroncong. Dia belum berkawan dengan sesiapa
pun, kawannya setakat ini baru Haqym seorang. Entah mengapa guru-guru lain
macam susah sangat untuk didekati. Mungkin kerana mereka tidaksama peramah seperti Haqym.
Eh, sepanjang hari ini
Aina belum melihat kelibat Haqym. Ke mana agaknya Haqym bertapa? Selalunya dia
ada saja di mana-mana dengan usikan nakal yang tak pernah kehabisan stok.
Ketika tiba di kantin, kebetulan Cikgu Farami baru sahaja selesai makan. Dia
segera menyapa Aina dengan lagak kasanovanya.
“Hai cik adik, seorang saja?”
Aina menjawab ala kadar, “Haah, seorang.
Janji makan.”
“Kalau you awal sikit, boleh I temankan. Tapi
sayangnyasekarang I ada kelas, ini pun dah terlambat.”
“Tak apa. I tak kisah, seorang pun boleh
makan jugak, lagi bagus ada privacy.”
Ini bukan lagi sindiran, dah terang lagi
bersuluh, kalau tak faham-faham jugak, tak tahulah nak kata.
“Well, in that case, I better go first, next
time I’ll join you for sure.”
Aina hanya mengangguk malas. Bukannya
menyetujui, hanya untuk membuatkan kasanova itu berambus segera.
‘Tak faham-faham betullah mamat ni, aku dah
perli-perli pun dia boleh tak sedar diri lagi,’ rengus Aina jengkel di dalam
hati.
Farami beransur membayar makanannya. Ketika
hendak beredar, sempat lagi dia terkenyit-kenyit mata ke arah Aina. Ada
penyakit mata agaknya dia ni. Aina tidak mempedulikan tingkahnya yang
seolah-olah ingin menarik perhatian itu. Lebih baik pura-pura tak nampak,
mungkin lain kali kena pakai kaca mata hitam, bolehlah buat-buat tak nampak
anasir-anasir yang membuatkan matanya berbulu. Eii!
Makan lagi bagus dari sakitkan mata
memikirkan kerenah Farami yang lain macam gayanya itu. Aina mengambil sedikit
bihun dan telur goreng.
“Mak cik, ada kicap tak, nak bubuh atas telur
ni sikit,” tanya Aina, hormat bunyinya.
“Ada dalam botol hijau tu. Cik ni guru baru,
ya? Tak pernah nampak pun.” Mak Piah menjawab sambil menuding jari ke arah
botol yang terletak di tepi meja.
“Haah, baru masuk kelmarin. Saya Aina
Humaira, mak cik.Aina
tak tahu lagi kantin kat mana, tu yang tak datang makan kat sini.
“La... kenapa Aina tak tanya cikgu-cikgu yang
lain? Tak pasal-pasal ikat perutlah Aina kelmarin, ya? Kesian pulak Mak Piah dengar.”
Aina tergelak sambil menjawab, “Kebetulan
kelmarin haru-biru sikit Mak Piah.Maklumlah, orang baru. Sampai lupa yang Aina
tak makan lagi. Tengah hari baru terasa lapar, mujur Aina ada simpan biskut dalam beg tangan.
Saja persediaan takut gastrik menyerang.”
“Hah, dah tahu ada gastrik jangan
lambat-lambat makan pulak. Dah, dah, makan. Nanti kalau-kalau kena gastrik tu
Aina datang aje kat sini, Mak Piah buatkan susu panas.Lega sikit nanti,
insya-ALLAH.” Pelawaan orang tua itu mengharukan hati Aina. Terasa penuh sifat
keibuan setiap butir bicaranya.
“Baiklah Mak Piah, terima kasih.Ni
saya bayar siap-siaplah. Nanti waktu rehat, sibuk pulak Mak Piah.”
“Cikgu Farami dah suruh kirakan sekali untuk
makanan Aina tadi. Staf kat sini biasanya ada buka buku hutang dengan Mak Piah.
Biasanya yang lelakilah, malas nak bawa duit selalu, jadi pakai kira sajalah.
Nanti hujung bulan dia orang langsaikan. Kadang-kadang siap bayar awal-awal
untuk bulan seterusnya. Aina nak buka buku satu pun Mak Piah tak kisah.”
“Isk, kenapa pulak dia nak bayarkan makanan
Aina, tak apalah Mak Piah, Aina bayar sendiri. Tak sukalah terhutang budi,
orang tua-tua kata, mula-mula terhutang budi nanti lama-lama tergadai body.
Kiralah berapa semua ni Mak Piah, dengan teh ais sekali. Aina bayar cash,
takut nak hutang, mana tahu tiba-tiba Aina mati, mati membawa hutanglah nanti
alamatnya.”
Mak Piah tergelak mendengar gurauan Aina,
namun dalam diam dia kagum dengan sikap gadis itu. Punya pendirian dan begitu
merendah diri. Bercakap pun dengan nada yang hormat, tapi masih ada kemesraan
yang ketara di sebalik bicaranya.
“Ala, kalau pun apa-apa berlaku kat Aina, Mak
Piah halalkan aje, bukan nak berkira. Tapi terpulanglah pada Aina, ikut yang
mana lebih elok buat Aina. Tak payah minum teh ais, nanti gastrik pulak. Mak
Piah buatkan susu, ya? Semua RM6.50 aje.”
Aina tertawa dan hanya mengangguk. Mak Piah
membancuh minumannya sambil Aina mengorek duit dari dompetnya. Kerana ketiadaan
wang kecil, Aina mengeluarkan not bernilai seratus ringgit lalu meletakkannya
di atas kaunter. Dengan tidak semena-mena, ada sesusuk tubuh lampai yang baru
tiba di sebelah Aina meletakkan not sepuluh ringgit ke dalam kotak duit Mak
Piah.
“Nah Mak Piah, bayar Coke ni dengan Cik Aina
punya sekali. Keep the change.”
Danial! Tak payah menoleh pun dah tahu, kenal
benar dia dengan suara itu. Angkuh gila, keep the change pulak tu. Orang
banyak duit, macam itulah lagaknya! Sengajalah tu belanja Aina, supaya nanti
Aina tak boleh hendak marah-marahkan dia apabila terkenangkan budinya nanti.
Eii... tak mahu! Ingat Aina boleh dibeli dengan bihun dan teh ais?
“Eh, apa ni! Saya bayar sendirilah, ni dah
keluar duit dah pun,” tingkah Aina segera.
“Duit Cik Aina besar sangat, Mak Piah payah
nak pecah. Terima ajelah, saya ikhlas. Janji takkan ungkit punya.”
Mak Piah tersengih mendengarkan kata-kata
Danial yang memang kenakalannya telah dimaklumi oleh semua orang. Belum sempat
Aina membalas, Mak Piah sudah mengambil wang itu.
“Terima sajalah Aina, dah rezeki. Dari tadi
tak habis-habis orang nak belanja,” gurau Mak Piah sambil menyerahkan susu
panas itu kepada Aina. Mahu
tak mahu, Aina terpaksa menyetujui.
“Alright, many thank you.Hai, awak ni awal sangat
membeli-belah kat kantin, waktu rehat pun belum lagi,” sergah Aina.
Danial hanya mengangkat kedua-dua
belah keningnya tanda menerima ucapan terima kasih Aina. Danial kemudiannya
meneguk air tin itu sambil menjawab ringkas,“Gastrik, Cik Aina.”
‘Gastrik apa beli Coke? Alasan! Kan dah kata,
budak ni tak pernah nak jujur ikhlas punya,’ getus hati Aina geram.
“Aik, Cik Aina, minum susu ke? Macam anak
kucing pulak, comelnya...” Belum habis rupanya usikan Danial.
“Saya gastriklah! Takkan nak minum Coke kot!”
Aina menjerkah geram sebelum sekujur tubuh Danial melayang pergi meninggalkan
sisa ketawanya yang berdekah-dekah.
Mak Piah hanya ketawa melihat Aina
berhempas-pulas menahan geram dengan kenakalan Danial. Ikutkan hati, dah sampai
tangannya di telinga budak itu, biar dipiat sekuat-kuat hati. Tapi susah juga
nak capai misi tu, Danial jauh lebih tinggi dari Aina, Aina hanya sampai ke
dadanya sahaja, sahih takkan cecah jarinya ke telinga gergasi itu. Mission
impossible! Kena bawa rotan ke mana-manalah selepas ini. Bodyguard cikgu
mini macam dia. Aina menyeringai lucu.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di
pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.