Sudah hampir sejam Aina menunggu teksi, namun kelibat kenderaan itu
masih belum kelihatan. Semua pelajar sudah beransur pulang, sama ada dijemput,
atau menaiki bas. Boleh tahan ramai juga pelajar yang memandu kenderaan
sendiri. Bukan itu sahaja, sekumpulan pelajar lelaki yang menaiki motosikal
berkelakuan ala mat rempit sempat melambai dan bersiul-siul padanya sewaktu
lalu di hadapan perhentian bas itu.
Berani sungguh! Kalau ada rotan di tangan,
mahu saja dihambatnya
mereka semua. Baru tahu, kecil-kecil cili api, jangan ingat dia kecil tak
menyengat. Eh, apa kaitan cili dengan tebuan? Aduh salah konteks lagi, gagal
peribahasa. Menyesal dulu dia tak betul-betul mendalami subjek Bahasa Melayu.
Sebuah
kereta Toyota Vios berhenti di pinggir jalan. Pemiliknya segera menurunkan
cermin gelap keretanya apabila melihatnya dia berusaha mengenal pasti gerangansi
pemandu. Ini yang nak lapor pada JPJ ni, penggunaan cermin gelap melebihi had
yang dibenarkan. Kalau pemandu ni culik Aina kan susah nanti, bukan ada siapa
yang nampak bila cermin gelap macam tu sekali. Susah-susah nak tinted,
alang-alang baik cat hitam terus cermin tu, habis cerita.
Cermin kereta diturunkan.
Kedengaran bunyi muzik berdentam-dentum menyakitkan telinga, ingatkan pasang
lagu hard rock, bila dengar betul-betul, rupanya lagu Hari Raya! Hai
silap genre kot mamat ni, raya lama lagi bang, dah ambik mood siap-siap
ke?
“Hai cikgu baru, balik
mana? Jom Ihantarkan?” pelawa Farami sambil menjulurkan kepalanya ke
luar cermin kereta. Lagu sudah bertukar ke irama dangdut. Ulat bulu mula
tergedik-gedik naik daun.
Aina teragak-agak. Teksi yang ditunggu belum
kunjung tiba, tapi hendak menumpang kereta Farami rasa tak gamak pula apabila
melihatkan tingkah lakunya yang agak ‘kebuayaan’ itu. Menyesal pula rasanya
jual mahal dengan Haqym tadi. Ketika ini andai kata Haqym muncul biarpun dengan
menaiki Toyota Corolla tahun 80-an, sanggup rasanya Aina tumpang berbanding
disambar buaya di depannya itu.
“Hmm, panggil Aina aje.Tak apalah, I tunggu
orang ni. Thanks,” jawab Aina sekadar berbasa-basi.
Sengaja dia berdusta kononnya menunggu
seseorang agar alasan yang diberikan lebih kukuh. Kalau agak goyah, nanti tidak
pasal-pasal dirayu pula. Tapi,
kalau dibayangkan ulat bulu yang gemuk berjus sambil menggenggam tangan dan
mata pula dikelip-kelipkan, macam comel juga tu. Masalahnya Farami ni versi
ulat bulu pencen, eii geli... geli...kalau tengok kali kedua, macam patung
pembunuh ‘Chuck’ pun ada.
Farami sekadar mengangkat kening sambil
tersenyum, kemudian meneruskan perjalanannya. Selamat. Tak payah dia keluarkan
jeritan ‘Mayday! Mayday!’ yang telah dipraktiskan di dalam hati tadi.
Hampir setengah jam kemudian barulah teksi
tiba.Setibanya
di rumah, Aina terus ke arah tujuan, sofa! Langkah Aina pun sudah seperti zombi, mata dah separuh
tertutup. Hebat dia, dalam keadaan separa sedar pun masih tak missed sasaran.
Sepanjang perjalanan pulang tadi Aina telah
terbayang-bayang betapa
leganya berbaring di atas sofa empuk itu merehatkan segala urat saraf yang dah
tersimpul macam riben. Kini bila sudah tiba di tempat tujuan, bukan
sekadar berbaring lagi, tapi terbongkang terus. Buruk sungguh rupanya, kalaulah
Emir Izraf ternampak gaya tidur Aina sebelum berkahwin dulu, silap-silap
pengantin lelaki cabut lari di hari perkahwinan, gara-gara tak sudi beristerikan jelmaan King Kong.
Ini semua sebab keletihan. Kalau tidak, Aina
tidur bagaikan Sleeping Beauty, siap mengenakan losen dan pelembap bibir
lagi sebelum tidur. Boleh tahan juga penangan keletihan bekerja di hari
pertama.
Mungkin disebabkan
stamina yang menurun kerana sebelum mula bekerja, Aina hanya duduk di rumah dan
menghabiskan masanya dengan berehat. Kononnya hendak kumpul tenaga cukup-cukup
sebelum bekerja, sudahnya stamina pula merosot. Esok kena mulakan semula senaman, lari naik turun
tangga di rumah itu seribu kali cukuplah agaknya. Fuh. Persediaan macam nak mendaki Everest. Ingat
senang jadi cikgu?
Kroh... kroh...
LEWAT petang barulah
Aina terjaga dari lena. Kelam-kabut dia menyediakan makan malam. Nasib baik
Izraf pulang ke rumah agak lewat hari itu, iaitu sejurus sebelum maghrib.
Selepas solat berjemaah bersama, barulah Aina dan Izraf menikmati makan malam
berdua.
“Macam mana hari pertama?” Izraf mula membuka
topik perbualan.Setelah
seharian tidak ketemu, terasa berat rindunya kepada isterinya itu. Namun, nada
suara Izraf tenang sahaja. Pandai control.
“Penat!” Sepatah jawapan Aina.
“Mula-mula memang macam tu, lama-lama nanti biasalah.
Alah bisa tegal biasa,” balas Izraf.
Tanpa disengajakan, Aina
mengadu dengan nada yang agak manja, “Pelajar nakal-nakal. Aina kena ajar satu
subjek aje, Ekonomi, tapi kena jadi guru kelas untuk kelas yang sama. Susah
hati Aina, tak tahulah macam mana nak ajar dia orang. Dia orang tu dahlah kelas
upper six, dah besar-besar semua, kalau ikutkan saiz pun dia orang tu besar dua kali
ganda dari Aina tau, lagilah dia orang berani nak buli Aina. Tak
tahulah budak-budak tu terlebih makan kacang panjang ke apa, tinggi melangit,”
cerita Aina.
Izraf ketawa kecil
sebelum menasihati lembut, “Hmm, cabaran besar jugak tu.Tapi,
dapat satu kelas aje bermakna lagi banyak masa Aina dapat ditumpukan pada dia
orang.Sedangkan belakang parang pun kalau diasah boleh menjadi
tajam.”
“Ala, abang ni banyak sangat
stok peribahasa, hari-hari ada aje peribahasa baru abang, dah macam Karam Singh
Walia pulak Aina tengok. Nasib baik tak terkenan dengan gaya tangan tu sekali.
Hmm, Aina nak pergi basuh pingganlah, nak tidur awal sebab esok kena bangun
awal,” ujar Aina seraya bangun dan mengangkat pinggannya. Izraf hanya ketawa
kecil, tidak mengambil hati dengan omelan Aina sebaliknya ikut ke dapur dengan membawa
pinggannya.
“Abang basuh dengan sabun, Aina bilas okey?”
kata Izraf.
Izraf pantas mencelup tangannya ke dalam air
sabun sebelum Aina sempat membantah.
“Eh
abang, tak payahlah tolong. Biar Aina buat, abang kan dah penat kerja
seharian, dengan mesyuarat lagi.Abang pergilah solat isyak dulu. Nanti Aina
solat sendiri.”
“Kita buat sama-sama. Aina pun penat jugak
kerja. Dah tu dibuli pelajar yang besar-besar macam gorila pulak tu. Lagi
kasihan dari abang. Abang paling-paling pun dibuli dek papa aje kat pejabat tu.
Dah, jom buat sama-sama, nanti kalau siap cepat, cepatlah kita boleh solat bersama. Aina
tahukan, solat berjemaah tu lebih banyak pahalanya?”
Aina tersenyum mendengarkan ceramah Izraf.
Sekejap jadi Karam Singh Walia, sekejap bertukar jadi Ustaz Azhar Idrus.
Sejenis masalah personaliti ni, multiple personality disorder. Aina
tersengih lucu.
Sebenarnya, Aina
merasakan dirinya amat bertuah kerana mendapat suami yang bertimbang rasa dan
mementingkan kebajikan isteri. Aina tidak pernah bercinta malah tidak pernah
pun menetapkan sebarang kriteria untuk jejaka idamannya. Namun, jejaka yang
dinikahinya atas keputusan keluarga ternyata melayannya dengan begitu baik
sekali. Hanya cinta buat Izraf belum terlintas di hatinya.
Dia juga tahu Izraf
tidak mencintainya. Jika tidak, masakan Izraf tidak pernah meminta haknya
sebagai seorang suami. Malah Izraf tidak pernah sekalipun melafazkan cinta
terhadapnya. Ah, Aina tahu, Izraf mengahwininya hanya kerana amanat ibunya.
Mungkin hati Izraf telah dimiliki orang lain sebelum terpaksa menikahinya.
Bukankah Izraf sendiri tidak pernah menyangkalnya? Fikiran Aina lantas terbang
melayari ruang kenangan yang masih segar.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada
di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.