Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,594
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 25


Bab 25


     “Baik kelas, setakat ini sahaja untuk hari ini. Untuk minggu ini, kita sudah pun belajar tentang tajuk keanjalan permintaan, serta tajuk teori permintaan dan perlakuan pengguna. Saya harap kamu akan ingat perbezaan keluk-keluk tersebut berdasarkan perbezaan kes.”

Mendengar suara Aina menamatkan kelas, baru nampak beberapa orang pelajar terpisat-pisat bangun dari mimpi di siang hari. Eh kelas dah nak habis ke?

‘Apa pula yang Cik Aina sebut keanjalan-keanjalan tu, rasanya kulit mereka semua memang masih anjal-anjal belaka, belum perlu pakai produk apa-apa untuk meningkatkan keanjalan kulit.’

‘Err, perbezaan kes apa? Ini kelas Ekonomi ke kelas Pengajian Am, yang ada sebut kes-kes ni kenapa? Tapi nak kata kelas Pengajian Am, kenapa Cik Aina yang mengajar?’

Melihat reaksi Cam dan Shafiq yang terpinga-pinga kebingungan, nampak benar mereka tengah sedap tidur tadi. Geram betul! Orang mengajar di hadapan sampai nak pengsan, sekurang-kurangnya bolehlah faham serba sedikit, ini bila tengok muka-muka blur itu, rasa macam nak menangis saja. Macam mencurah air ke daun keladi, memang muka-muka tu pun dah nampak macam daun keladi. Teringin Aina hendak lumat-lumatkan. Nak kena cari lesung batu dulu. Tak ada rotan, akar pun berguna. Tak ada lesung batu, blender pun boleh! Blender memang dah ada kat rumah, tiga biji pula tu, hadiah yang Aina terima daripada tetamu masa kenduri dulu.

“Baiklah, sebelum saya mengakhiri kelas, ada sesiapa nak ajukan sebarang soalan?”

Nak habis kelas dah? Yihaa!!!

Amboi, bukan main semangat lagi, muka yang tadi layu tiba-tiba semangat, yang lain pula sudah mula mengemas buku. Macam dah tak sabar nak suruh Aina angkat kaki segera. Mengecewakan!

“Tak ada sesiapa nak tanya ke? Apa-apa soalan atau permasalahan?”

Danial mengangkat tangan. Danial? Yang asyik termenung kosong sepanjang masa? Dari tadi Aina tak dapat pastikan, sama ada Danial merenung dirinya atau papan tulis di belakangnya. Mata tu dreamy sangat, tak lain tak bukan tengah bermimpi di siang harilah tu. Ada orang memang ada kebolehan tidur dengan mata terbuka, itu tak dinafikan.

Eh, tapi sekarang ni Danial yang nak bertanya soalan? Bila masa Danial mengikuti apa yang diajarkan? Amat tak disangka. Tapi ini sudah cukup bagus, maknanya Danial menunjukkan minat juga pada subjek yang diajarnya. Mana tahu suatu hari nanti Danial akan jadi pakar ekonomi. Angan-angan Aina makin berkepul-kepul naik ke langit.

“Ya Danial?”

“Apa soalan Cik Aina tadi?”

Eh ingatkan angkat tangan tu ada benda nak cakap, rupanya baru nak bertanya. Nak kena ulang pula benda yang Aina dah cakapkan. Buang karan layan budak ni.

“Saya tanya, kalau ada sebarang masalah?”

“Oh masalah. Haa ada! Masalahnya, saya dah jatuh cinta dengan Cik Aina. Bila boleh masuk meminang?” Itu dia! Straight to the point. Danial hampir nak menampar mulut sendiri. Mulut ni memang tak boleh diharap, lain hendak ditanya, lain yang keluar.

Nampaknya sangkaan Aina terpesong, Danial bukannya menunjukkan minat pada subjek yang diajarnya, tapi minat kepada Aina pula. Ini mesti dia sengaja nak mendera perasaan Aina, kalau Aina malu, cepatlah dia dapat menghalau Aina dari kelas mereka. Dah boleh agak dah strategi Danial.

Aina memang dah tak boleh berpura-pura tenang. Merah padam muka Aina. Kering otaknya mahu mengeluarkan idea untuk menangkis gurauan Danial. Lain kali nak masuk kelas ni kena pakai full gear, paling senang pakaian scuba diving dengan kaki katak tu sekali.

Sejak akhir-akhir ini memang Aina selalu rasa kekurangan oksigen bila berada di dalam kelas itu, nanti mudahlah, nak bernafas pakai saja tong oksigen yang ada. Kalau ada yang cuba-cuba buat lawak mendera perasaan, terjun saja dari kelas di tingkat dua itu, terus menyelam dalam kolam ikan yang menanti di bawah. Hmm, memang budak ni sengaja nak dera mental dia, patutlah Cikgu Laura sampai berhenti dari SM Harapan.

Kringg!

Wahh, nasib baik loceng menyelamatkan keadaan. Boleh angkat kaki cepat-cepat, menyampah Aina tengok sengihan Danial yang semakin lebar menunggu respons darinya.

“Oh, loceng dah bunyi, sekian sahaja untuk hari ini. Kita berjumpa lagi di kelas akan datang.”

Zupp! Aina terus pecut 100 meter meninggalkan kelas itu. Nasib baik loceng bertuah itu membantu. Selalunya tak berfungsi, hari ini elok pula dia.

Lari Aina, jangan pandang belakang! Tak sia-sia Aina pernah berbakti kepada sekolah menjadi atlit balapan 100 meter semasa zaman kegemilangannya dulu.

Danial terpinga-pinga. Lajunya dah cabut! Err... kenapa rasa macam lamarannya baru ditolak?


Bersambung...



*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.