Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,550
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Prolog- Bab 2

PROLOG

Dua puluh tiga tahun. Masih terlalu muda rasanya untuk dia menjadi seorang pendidik, apatah lagi bergelar isteri. Tetapi itulah hakikatnya. Statusnya kini ialah isteri orang, inai di jari pun masih belum pudar benar.

Perkahwinan itu bukanlah seperti kisah Snow White yang bertemu dengan Prince Charming, sebaliknya demi memenuhi permintaan keluarga semata-mata. Bukannya tidak harmoni mahligai yang dibina bersama Emir Izraf; seorang lelaki yang gentleman, penyabar melayan kerenahnya dan memahami. Lebih kurang macam Prince Charming juga, cuma mahligai itu seperti sebuah istana yang kosong bila ada yang masih belum sempurna.

Ah... malaslah Aina hendak fikirkan. Menyesakkan otak sahaja! Ada perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan. Contohnya, hari ini hari pertama Aina bergelar guru. Latihan mengajar selama enam bulan tidak mampu mengenyahkan rasa gentar di hatinya ketika membaca papan nama yang tertulis SEKOLAH MENENGAH HARAPAN. Di sinilah dia bakal menabur bakti, mungkin jua sepanjang hayat dikandung badan. Hmm, Cikgu Aina Humaira Binti Hafizuddin, taklah buruk sangat bunyinya.


Bab 1


“Selamat datang ke Sekolah Menengah Harapan, walaupun sekolah swasta, tapi tugas kita tetap sama, iaitu mendidik pelapis kita. Semoga Cikgu Aina gembira di sini dan akan berkhidmat lama dengan kami.”

Skemalah pulak skrip tuan pengetua, Cikgu Rahman Haji Hanafi, semasa dia melapor diri tadi, namun skrip keramat itu jugalah yang menjadi bekal kekuatan untuk Aina meneruskan langkah ke pejabat guru. Gementar seluruh tubuh, rasa bagai hendak tercabut tempurung lututnya. Silap-silap, boleh kena sawan! Tapi agak dramatiklah pula kalau tiba-tiba dia sawan di luar pejabat itu.

Tak boleh jadi ni! Kena berani, mesti! Desis Aina cuba berlagak tenang. Eh, tapi apa maksud tuan pengetua tadi, semoga dia berkhidmat lama di SM Harapan? Orang lain tak lama ke kerja di sekolah ini? Ah abaikan, jangan bazirkan sel-sel otak untuk fikirkan perkara remeh. Sekarang kena caj otak untuk menjanasegala teknik icebreaking seperti yang dibacanya semalam.

Darah gemuruh pula hendak memulakan perkenalan dengan bakal rakan sekerja. Kalau darah pun dah gemuruh, jantung jangan cakaplah. Adakah bakal rakan sekerja dapat menerimanya nanti, atau silap-silap mungkin orang baru macam Aina akan dipinggirkan?

Waa... tak sanggup! Mengenangkan diri yang sudah bergelar guru dan kecekalan yang lebih besar akan diperlukan untuk berhadapan dengan para pelajar kelak, Aina gagahkan jua diri. Biar jiwa kental macam dodol, badan besi urat dawai macam Robocop! Biarpun hatinya sedang terketar-ketar macam kehabisan bateri, tak siapa dapat membacanya. Pasang muka yakin, Aina.

Kelihatan guru-guru di dalam pejabat itu masing-masing sedang sibuk dengan persediaan untuk mengajar, menyebabkan tiada sesiapa menyedari kehadiran Aina yang terpacak di muka pintu bagaikan tugu negara.

‘Kalau ikutkan pengetua, meja aku kat depan sekali, tapi tak nampak pulak macam ada tempat kosong. Semua meja dah berlambak dengan buku, macam ini rupanya sekolah elit. Yang pengetua ni kalau iya pun bergegas sangat nak ke mesyuarat, bagilah amanah kat sesiapa untuk perkenalkan aku, boleh pulak dia lupakan aku macam tu aje.’ Rungutan Aina cuma bersarang dalam hati, nak bertanya terasa malu ditambah pula dia belum mengenali sesiapa pun.

Sedang Aina mengagak-agak tempat duduknya, dengan tidak semena-mena kedengaran suara yang begitu merdu pada telinga Aina. Mentang-mentanglah ia suara pertama yang sudi menegurnya, tak pasal-pasal kedengaran macam buluh perindu.

“Assalamualaikum, ini cikgu baru yang ajar subjek Ekonomi tu ya?” Tidak semena-mena, berdas-das perkataan tersembur dari mulut Aina, tanpa sempat mengkategorikan kepada soalan dan jawapan terlebih dahulu.

“Haah, sayalah orangnya. Hmm, meja saya kat mana ya? Tak nampak pun macam ada meja kosong kat sini, semua nampak serabut aje macam dah bertuan. Eh, lupa pulak jawab salam, waalaikumussalam,” ujar Aina inginkan kepastian.

‘Gulp! Dahlah tak tanya pun nama aku yang begitu berhati mulia ni, sempat lagi dia kutuk meja kita orang. Rupa punyalah ayu lagi putih gebu, rasa macam dah terjatuh cinta. Sikit lagi nak tanya, agak-agak bila boleh masuk meminang. Bila tengok dia bercakap, pergh... mengalahkan senapang penabur, nasib baik aku belum sempat mengutarakan niat mulia aku.’ Terkedu sebentar jejaka berambut hitam berombak itu sebelum dia menemui kembali suaranya yang tertelan tadi.

“Saya Ahmad Haqym, cikgu yang paling handsome kat sekolah ni. Meja awak kat sebelah meja saya ni aje, yang serabut tu sebab saya tumpang letak buku sikit kat meja awak, tapi jangan risau, sekarang jugak saya kosongkan demi tuan puteri,” ujarnya sambil tersenyum.

Sikit dia kata sekepuk macam tu? Wah, loyar buruk sungguh mamat ni, ada rupa pun tak boleh membantu langsung menaikkan saham beliau. Awal-awal dah gagal, kalau tinggi macam inilah tahap keyakinan dirinya.

Perlian Haqym ditolak ke tepi, Aina sedaya-upaya cuba menjawab dengan sopan, bukannya apa tapi takut terkena lagi.

“Oh, terima kasih! Mintak maaflah sebab teruja sangat sampai lupa nak perkenalkan diri. Anyway, nama saya Cikgu Aina Humaira Binti Hafizuddin, salam perkenalan,” ucap Aina sambil tersenyum.

Haqym tersengih nakal. “Kasihmu kuterima. Eh, memang dalam kad pengenalan pun ada title cikgu tu, ya?Kalau begitu saya pun kena panggil cikgu jugaklah?”

Ceh, kan dah kena lagi! Sempat pulak tu menyelitkan niatnya di situ. Menangguk di air keruh betul, mengambil kesempatan ke atas insan yang lemah sepertinya. Kira lemah longlailah tu hari pertama bekerja, orang dahlah tengah darah gemuruh.

“Yelah, saya tahulah saya over excited, tak adanya huruf C.I.K.G.U. tu dalam IC saya. Panggil Aina aje. Saya pulak boleh panggil awak Uncle Haqym aje kot.”

“Amboi, ada hati nak kenakan saya balik nampak? Saya ni baru 30 tahun, walaupun macam matang dan handsome, tapi sebenarnya masih muda remaja tahu? Nak join Kelab Rakan Muda nanti bagitahu aje, saya setiausahanya, bolehlah saya tolong daftarkan.”

Setiausaha? Dengan misai-misai kat muka tu? Oh tak sanggup nak bayangkan! Pecah berderai tawa kedua-duanya. Sepantas itu mereka menjadi mesra. Aina memang periang orangnya dan mudah ramah. Jika kena cara, mudah sahaja orang lain ingin mendekati dan berteman dengannya. Baru kenal sepuluh minit, tapi rasa macam dah berkawan sepuluh tahun.

Derai tawa yang masih bersisa itu berjaya menarik perhatian beberapa orang guru yang sedang sibuk membuat persiapan untuk ke kelas, masing-masing melemparkan senyuman dan yang berselisih dengannya hanya sempat mengangguk. Nampaknya mereka telah dimaklumkan bahawa ada guru baru akan mula bertugas hari ini.

Ada juga beberapa pasang mata guru lelaki yang mencuri pandang dari seberang meja. Nampak seperti masih tertanya-tanya siapakah gerangan. Mesti golongan yang rajin ponteng mesyuarat ni, ada guru baru bakal bertugas pun tak tahu. Kan tak pasal-pasal dah terlepas informasi berguna macam tu.

Aina tersenyum sendiri dengan jenaka yang bermain di benaknya sekadar untuk menyedapkan hati. Guru-guru itu dengan sepantas kilat membalas senyumannya kerana menyangkakan Aina tersenyum kepada mereka. Mahu tidak mahu, Aina terpaksa menghadiahkan senyuman yang lebih manis, tidak sampai hati kalau-kalau ada yang termalu bila menyedari senyuman itu bukan diniatkan untuk mereka.

“Cik adik yang cantik manis, sudah-sudahlah beramah-mesra tu.Semua tu walaupun laki orang, ada free lagi tiga kuota, tahu? Nanti ada pulak yang ambil nombor giliran tunggu depan rumah awak nak masuk meminang. Tapi bagus jugak kot, bolehlah saya mintak kerja sambilan jaga kaunter masa tu kan? Memang tengah cari kerja part-time pun ni,” usikan Haqym secara tidak langsung berjaya menyelamatkannya dari situasi yang serba kekok itu. Serta-merta Aina mengalihkan perhatiannya semula kepada Haqym.

“Encik Haqym, untuk pengetahuan awak, saya dah kahwinlah, tapi tak apalah kalau dia orang nak masuk meminang, nanti biar Mr. Hubby aje yang tolong balas pantun. Eh awak ni sibuk ajelah, jealouslah tu sebab saham saya lagi tinggi daripada awak!”

‘Ceh, macamlah awak tu laku sangat, muka suci murni macam ni dah kahwin. Sekali imbas macam budak bawah umur pun ada jugak. Nak tipu pun tak reti. Kita ni niat baik, nak jaga awak dari pandangan mata buaya, takut dibahamnya awak. Kalau awak dah kena baham, siapa nak jadi isteri saya dalam dua tiga tahun lagi? Kalau boleh, sekarang jugak saya nak booking awak untuk saya, tapi duit untuk kahwin yang saya kumpul sejak tiga tahun lepas pun tak cukup-cukup lagi. Mana taknya, impian di hati tinggi sangat, kalau nak kahwin, mesti buat macam royal marriage. Nanti bolehlah awak merasa jadi puteri.’ Haqym senyum meleret, provokasi daripada Aina sekadardibidas di dalam hati sahaja. Perang harus ditamatkan, nanti silap hari bulan, boleh terlepas peluang.

Haqym menghulurkan jadual waktu Aina yang diambilnya dari laci meja Aina.

“Nah, ini jadual awak, saya dah ambilkan minggu lepas lagi demi membuktikan betapa mulianya hati saya ni.”

Eleh! Mentang-mentang yang nak masuk tu awek, cubalah kalau kata golongan pak cik-pak cik. Sahih tak ambik port punya!

Haqym tersengih sebelum menyambung kata-katanya, “Kelas awak hari ni pun bermula pada waktu pertama jugak, Tingkatan 6 Delta. Saya ingatkan awak awal-awal, kelas tu ramai budak-budak nakal.Yang paling nakal sekali dan merangkap ketua segala kenakalan, Danial Iskandar. Dah tiga tahun dia mengulang, masih tak lulus-lulus lagi. Memang budak tak minat belajar, sekolah ni dibuatnya macam bapa dia punya, biasalah anak hartawan. Jaga-jaga sikit dengan dia tu, nampak aje macam pendiam, tapi dialah mastermind dalam segala kegiatan membuli guru. Terutama guru baru, ramai yang menangis jumpa pengetua mintak tukar mengajar kelas lain tahu, yang pindah ke sekolah lain terus pun ada. Budak-budak yang lain tu ikutkan arahan dia aje. Dialah taiko, tailo, taikun, eh semualah!”

“Hmm, anak hartawan pun, kita ni cikgu, takkanlah dia boleh paksa kita quit kalau kita tak nak,” kata Aina.

“Eh, awak tak tahu ke? Famili Danial Iskandar tu founder sekolah ni. So, he actually can fire you,” balas Haqym.

Aduh, kalau macam ni susahlah. Ah apa dia kisah, pecatlah kalau berani. Ini Aina Humaira, dia takkan mengalah begitu mudah.

“Tak payahlah dahi sampai berkerut-kerut macam tu, bukannya masalah negara nak difikirkan dengan begitu serius sekali. My advice, you just do your job. Que sera, sera. You know, whatever will happen, will happen.”

Aina terangguk-angguk, otaknya merangkak-rangkak cuba menghafal taklimat daripada Haqym itu. Panjang pula ceramah dia ni, adabakat penceramah bebas.

“Eh kelas saya pun nak mula sekarang, kena bergegas ni, nanti lewat pulak. Pelajar saya pun bukan boleh harap sangat, kalau lewat sikit mulalah dia orang main gasing dalam kelas. Hah, nanti kita jumpa lagi, jangan rindukan saya pulak.”

Haqym sempat mengerdipkan mata, lalu cepat melangkah pergi meninggalkan gema ketawa mengusiknya. Aina hanya mampu tersenyum melihat kenakalan tingkahnya.

Adakah patut Haqym kata budak-budak tu main gasing dalam kelas. Takkanlah...



Bab 2


Loceng berbunyi menandakan masa pertama telah bermula. Aina kelam-kabut meninggalkan beg tangannya di atas meja lalu mengambil fail serta segala alat tulis yang dirasakan perlu.

Aina bergegas membuka langkah yang lebih luas lagaknya dari langkah pasukan tentera berkawad. Lupa seketika hari itu dia memakai kebaya, nasib baik kainnya tak koyak kerana cubaan berkawad. Setelah beberapa minit meronda kelas demi kelas, Aina mula cemas apabila masih belum berjaya menemui kelas 6 Delta.

‘Aduh, macam mana ni?’ Aina merungut cemas dengan wajah yang sudah kemerah-merahan. Sudah hampir sepuluh kali dia tawaf sekeliling sekolah.

Mujur Aina terserempak dengan seorang pengawas yang memakai tanda nama Sary Yanty yang baru sahaja selesai bertugas menaikkan bendera. Fuh, nama macam artis!

“Err... Sary,” Kenapa rasa pelik ni, macam sejenis sari minuman aje.

“Eh Yanty... saya tengah cari kelas ni, tak jumpa-jumpa lagi. Boleh kamu tunjukkan saya di mana kelas 6 Delta?” Aina segera menyapa pelajar itu sambil menghadiahkan senyuman manis.

“Oh, kelas 6 Delta ada kat hujung sana. Cikgu ikut lorong sebelahkoperasi sana,” beritahu Sary Yanty.

“Ye ke? Tapi tadi saya dah ke sana, tak nampak pun kelas 6 Delta.”

“Kadang-kadang tanda nama kelas tu dia orang tutupkan dengan bunga hiasan, kerja budak-budak nakal di kelas itulah. Tapi cikgu jangan bimbang, cikgu ikut aje lorong tu, kelas yang pertama selepas lorong tu memang sah kelas 6 Delta,” beritahu Sary Yanty.

‘Cis! Budak ni macam nak perli pulak, tahulah memang sah kelas tu tak tukar pergi mana dah, memang tak adanya kaki kelas tu nak berjalan ke pasar ikan mahupun kilang bata, bukan salah aku kalau tak nampak tanda nama kelas tu, siapa suruh dia orang pergi tutup dengan bunga hiasan. Memang terserlah sangatlah kenakalan dia orang. Alamak, habislah aku kali ni!’

Aina tersenyum kambing sambil menjawab ringkas,“Okay, I’m sure I’ll find it, thanks a lot, Sary Yanty.”

Pelajar itu mengangguk kecil sambil menghadiahkan senyuman manisnya.

Tanpa berlengah, Aina pantas meneruskan misi, sesekali berlari anak mengejar masa. Apalah nasib, hari pertama dah kena berlari maraton. Itu pun dah cukup baik tak bertriatlon.

Seperti yang ditunjukkan oleh pengawas tadi, Aina akhirnya menemui kelas itu. Memang betul rupanya papan tanda nama kelas tersebut telah ditutupi dengan bunga hiasan.

Patutlah tak perasan tadi. Ni nak marah pun susah, nak kata vandalisme, dia orang tak rosakkan apa-apa, malah ini boleh kira menghias kelas lagi ni.

Aina melangkah masuk ke dalam kelas, beberapa kepala yang tadinya terletak di atas meja tiba-tiba sudah tegak. Ada bisik-bisik mula kedengaran, mungkin teruja melihat guru baru yang muda belia masuk ke kelas mereka. Sasaran yang mudah dibuli, mental belum cukup kukuh.

Belum sempat Aina meletakkan fail yang dibawanya, berderap bunyi kerusi disorong oleh para pelajar yang berdiri mengucapkan selamat pagi dengan irama yang meleret-leret bunyinya.Barisan pelajar itu ronggak di sana-sini, kerana ada sebilangan yang masih duduk bersahaja. Begitulah trend pelajar sekolah menengah, terutamanya kelas yang nakal. Sengaja ingin mengusik guru atau mungkin juga tunjuk perasaan tanda tidak suka akan kehadiran guru itu.

Mesti salah seorang daripadanya adalah Danial Iskandar yang Haqym ceritakan tadi, pelajar yang begitu popular dengan kenakalannya itu. Tak apa, dia tak tahu lagi Aina Humaira ini siapa, dia dulu pun ada sejarah kenakalan juga. Tapi nakal-nakal pun tidaklah sampai menyusahkan orang, lagipun sekurang-kurangnya sekarang dia sudah berjaya mencapai apa yang dicitakan dan sepatutnya boleh menjadi role model kepada tunas-tunas muda itu.

“Assalamualaikum, selamat pagi, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.” Itu dia. Macam nak beri mukadimah pidato!

“Kamu semua boleh duduk sekarang. Untuk yang mungkin tertanya-tanya, saya guru baru kamu yang akan mengajar mata pelajaran Ekonomi. Rasanya eloklah jika saya mulakan dengan memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Aina Humaira Binti Hafizuddin, berumur 23 tahun. Menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, major Ekonomi, minor Perniagaan.

Kamu dah kenal saya, sekarang saya pulak nakberkenalan dengan kamu. Namun sebelum itu, saya nak beri satu amanat.Lain kali, bila saya masuk ke dalam kelas kamu, kamu tak perlu bagi salam kepada saya. Biar saya yang bagi salam kerana saya yang hendak masuk ke dalam kelas kamu. Sama macam kita berkunjung ke rumah orang, kita kena bagi salam dulu, bukan tuan rumah yang bagi salam, kan? Jadi, biarlah saya yang bagi salam kerana saya yang nak masuk ke dalam ‘rumah’ kamu ni. Okey? Sekarang ada apa-apa soalan sebelum saya mintak kamu pulak yang perkenalkan diri?”

Fuh! Hampir mati sesak nafas! Mana tidaknya, skrip ucapan satu lembar Aina habiskan dengan sekali lafaz. Dahsyat!

Seorang pelajar perempuan yang kemas berpakaian kot berdiri. Pelajar SM Harapan sememangnya diwajibkan memakai kot sekolah dan tanda nama berwarna hitam keemasan, termasuk tali leher bagi yang berkemeja. Namun masuk sahaja tadi, yang amat ketara sekali pada pandangan mata Aina adalah kot-kot yang berselempang di kerusi, manakala sebahagiannya diletakkan di atas meja.

Mungkin kalau diperhatikan dengan lebih teliti, silap-silap ada yang sudah dijadikan kain lap di atas lantai. Tali leher pula sengaja dilonggarkan, fesyen barangkali, ala-ala pelajar Korea. Nasib baik tak pakai mini skirt. Aina menggeleng. Sudah tergambar sedikit demi sedikit cabaran yang bakal ditempuhi.

Pelajar perempuan ini adalah salah seorang dari segelintir kecil yang masih berpakaian mengikut peraturan sekolah. Pasti pengawas atau ketua kelas, kerana mahu tidak mahu mereka harus menjadi role model kepadapelajar lain.

“Cikgu Aina Humaira, saya Clare, ketua kelas 6 Delta. Kami dimaklumkan bahawa guru baru akan ambil alih sebagai guru kelas. Guru kelas kami sebelum ini, iaitu Cikgu Laura, baru sahaja berpindah. Sebab berpindah, err, err... classified. Jadi guru baru yang dimaksudkan tu cikgu jugak ke atau ada cikgu lain?”

Classified? Hisy, buat lawak pulak budak ni. Dahlah teragak-agak nak beritahu, macam ada kejadian rahsia yang tak gamak diceritakan saja. Misteri nusantara betul!

Aina tergamam seketika. Tidak menduga soalan itu. Ingatkan hendak tanya tinggal di mana atau nombor telefon. Ini ditanyanya soalan yang dia sendiri pun tidak tahu. Tak ada pula pengetua maklumkan. Guru kelas pulak tu, biar betul.Katanya kelas paling nakal, diberi pulak mandat itu kepada dia, mentang-mentanglah dia guru baru, suka-suka aje nak buli. Aduh, macam mana ni. Lapor kat aduan pengguna nanti.

“Aah... Clare ya tadi? Begini, tentang itu saya tak pasti lagi, sebab saya tak dapat sebarang arahan mahupun makluman tentang perkara ini. Tapi jangan risau, jangan bimbang, bawa bertenang semua. Tarik nafas panjang-panjang dan marilah kita lompat bintang semua.” Aina tersengih, cubaan untukcover line. Malangnya semua pelajar hanya memerhati dirinya dengan rupa tak kisah, sesetengahnya nampak blur.

Epic fail! Tulah, lain kali jangan buat lawak bodoh lagi! Aina tersenyum kelat.

“Eii, kamu semua ni serius sangatlah! Tak sporting langsung. Tak sukalah kau orang serius-serius jika tak melibatkan sebarang berita kematian mahupun kelahiran. Marilah kita bersama-sama mewujudkan budaya ceria.”

Masih muka-muka blurmemandangnya. Hisy, tak boleh jadi ni, misi percubaan menawan hati nampaknya awal-awal dah gagal, alih-alih dia juga yang malu. Ini kalau berdiri sebelah lampu isyarat, boleh kemalangan sepuluh biji kereta paling kurang, kalau tersilap pandang sikit, mukanya yang merah padam mungkin disangkakan lampu merah.

“Baik, tak mengapa, err... begini, saya akan dapatkan kepastian dari pejabat secepat mungkin, kemudian saya akan maklumkan kepada kamu.Oh, kamu semua boleh panggil saya, Cikgu Aina aje. Bukan Melati, bukan Kemboja, bukan Cempaka, diulangi ya, Cikgu Aina.”

Barulah terlihat barisan gigi putih dipamerkan oleh beberapa orang pelajar. Yang tak berapa putih pun ada juga.

“Ala... panggil Cik Aina aje tak boleh ke?Kan lebih manis, sama manis macam tuan punya badan yang muda jelita.” Suara sumbang pelajar perempuan yang berperwatakan agak tomboyitu disambut riuh dengan siulan dan gelak ketawa.

Wah, ini sudah lebih! Penat-penat belajar barulah dapat title cikgu, sesedap rasa mereka saja untuk menggugurkan title tersebut.

“Untuk pengetahuan kamu semua, I’m not single, I’m married. Jadi, gelaran cik tu amatlah tak sesuai dengan saya. Kalau Cik Puan tak apalah jugak.”

Para pelajar yang menyangkakan Aina masih cuba bergurau semakin meriah bergelak ketawa sambil mempamerkan raut wajah tidak percaya membuatkan Aina pantas menutup buku tentang soal peribadinya, malas rasanya dia hendak memanjangkan mukadimah tentang dirinya pula.

“Okeylah, suka hati kamulah nak panggil saya apa pun. Tapi bagi mereka yang panggil saya cikgu, saya akan bagi markah tambahan bila saya menanda kertas peperiksaan kamu nanti, mereka yang tak nak panggil saya cikgu, tiada markah kasihan pun untuk kamu. Biar bertambah warna merah pada buku laporan kemajuan kamu.”

Hah, padan muka!

Kedengaran mereka berkeluh-kesah, mungkin risau dengan ugutan hukuman ala kuku besi itu. Namun, ada juga pelajar yang masih bergelak ketawa, pastinya mereka yang tidak menganggap serius akan ancaman Aina. Termasuk juga pemilik sepasang mata yang tajam bagai helang, mata yang dari tadi mengamati Aina tajam-tajam sehingga membuatkan Aina menjadi serba tidak kena. Jejaka itu tidak ketawa, cuma mengukir senyuman sinis bagai ingin mencabar kuasa veto Aina.

Aina segera membuka kata semula bagi menjauhkan rasa geram yang semakin sebu. Silap hari bulan kalau dia hilang sabar, boleh berlaku kes dera dalam kelas itu nanti.

“Memandangkan kamu telah mensia-siakan peluang bertanyakan soalan tadi, jadi rasanya eloklah kita beralih kepada sesi icebreakingpula. Sebelum kamu tanya, biar saya jawab siap-siap, no, bukan nak pecahkan ais, tapi sesi memperkenalkan diri. Saya nak tahu nama penuh kamu, dengan nama panggilan sekali supaya senang saya nak ingat, serta asal dari mana, di mana kamu tinggal sekarang dan cita-cita kamu.”

Para pelajar merungut tidak berpuas hati kerana dipaksa mendedahkan rahsia sulit mereka. Ya, cita-cita! Pasti semuanya malu apabila cita-cita mereka diketahui ramai. Sewaktu zaman persekolahan dulu, Aina juga amat malu apabila ditanya berkenaan cita-citanya, takut orang mentertawakan kesederhanaan impiannya yang hanya mensasarkan profesion keguruan.

Namun, jika dikenang-kenang, semasa kecil dahulu dia sebenarnya ingin menjadi pramugari kerana menganggap kerjaya itu enjoy dan mampu memenuhi impiannya untuk ke luar negara. Apabila diingat kembali, cita-cita itu amat melucukan kerana ia amatlah tidak realistik. Dengan saiznya yang comel, pasti Aina bagaikan maskot pasukan pramugari yang kesemuanya anggun dan tinggi lampai seperti model.

“Baik. Saya nak mulakan dari awak yang kat hujung sana,” kata Aina memberi arahan sambil menuding jari pada jejaka misteri itu. Pelajar itu merenungnya seketika. Aina membalas, berpura-pura berani. Dalam hati sebenarnya gentar boleh tahan juga.

Selepas sengaja merenungnya untuk beberapa ketika, pelajar itu kemudiannya bangun, kelihatan begitu selamba dengan kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar.

“Nama diberi, Syed Danial Iskandar Bin Syed Mohamed Iskandar. Lahir di Paris, kini menetap di Villa Vistana, Bukit Harapan. Kalau nak melawat, dekat aje, sebelah sekolah ni ha. Cita-cita tu tak terfikir lagi, tapi buat masa ni saya dengan tiba-tiba bercita-cita nak couple dengan Cik Aina ajelah kot.” Sorakan meriah bergema, siap ada yang bergendang memalu rebana lagi.

Danial Iskandar, of course! Memang dah agak, dengan lagak samsengnya yang selamba itu, senang sahaja nak mengenal pasti dia yang mana. Aduh...kan dah terkena, yang gatal mulut tanya cita-cita dia orang pasal apa. Kononnya nak mengenakan, tak pasal-pasal sendiri yang terkena. Dahlah loyar buruk budak ni. Apalah malang nasibnya hari ni, asyik bertemu dengan orang yang loyar buruk saja.

Hmm, tapi Bukit Harapan, ada kena-mengena ke dengan SM Harapan? Kenapa nama-nama di tempat ini macam penuh dengan pengharapan?

Aina menjawab juga, tidak mungkin dia mengaku kalah. Pantang keturunan pahlawan! “Huh, awak jangan nak kelentong saya kononnya awak lahir kat Perancis. Saya pun boleh reka cerita macam tu. Tak mahu beritahu yang sebenar, sudah! Tak payah nak bermadah berhelah.Hah, Apa nick name awak, senang sikit saya nak panggil.” Senyuman sinis tersungging di bibir Aina. Jangan-jangan nama panggilannya Bob, atau Boboi, atau kalau menimbangkan soal saiz badan, mungkin Hulk?

Danial mendengus jengkel. Banyak songeh pulak awek mini ni, desisnya geram. Dia yang sudah duduk tidak bangkit, sebaliknya selamba menjawab soalan Aina sambil menyandar santai.

Whether you want to believe it or not, I am telling the truth, my father is Malaysian, but my mother came all the way from France.Takkan tak perasan wajah handsome Pan Asian saya ni kot? Atau perlu saya berbahasa French sikit? Ma chère, tu me rends fou!” Danial menyeringai lucu, itupun selepas memberi hadiah kerdipan mata ala kasanova.

Sambil menaikkan sebelah keningnya yang sememangnya mengancam, Danial menyambung, “Saya tak ada nick name, panggil aje Danial Iskandar. Mak saya pun panggil begitu aje, atau Cik Aina memang sengaja nak apply jadi special case? If that’s the case, then it’s my pleasure.

Merona merah wajah Aina. Memang mencabar benar budak ini. Itu Aina belum tahu lagi maksud perkataan Perancis yang diucapkan Danial tadi, “My dear, you drive me crazy!”Kalau tidak pasti semakin berbahang wajah Aina menanggung malu. Biasalah orang Perancis memang terkenal dengan kehebatan ‘mengayat’. Mana boleh Danial memalukan nusa dan bangsa.

Tapi ya tak ya jugak, patutlah wajah dia lain daripada yang lain, macam kacukan Melayu sikit, Arab sikit, mat saleh sikit. Pendek kata, pakej lengkap kalau setakat nak jadi model antarabangsa. Hisy,macam manalah boleh tak perasan tadi.

Aina takkan begitu mudah mengalah. Segera dia membidas, “Masalahnya, saya bukan mak awak, dan saya tak tahu awak ada berapa adik-beradik, tapi saya yakintidaklah seramai pelajar yang saya nak kena ingat, kan? Muktamad, saya akan panggil awak Danial aje, tak kisahlah awak suka atau tak.”

“Kalau Cik Aina suka dengan nama tu, dah tentu saya terima dengan relanya.”

Melihatkan wajah Aina yang merah padam sekali lagi, serta-merta membuatkan ada rasa yang berdetik. Walau galak mengusik, jauh di sudut hati, Danial berasa teruja melihat wajah yang mudah benar berubah warna itu, malah kelihatan semakin cantik setiap kali diusik.

‘Kenapalah aku terlebih aktifsangat hari ni, selalunya mood berubah-ubah ikut keadaan cuaca. Tapi cikgu baru ni masuk, aku pulak yang teruja lebih-lebih. Aduh, cover sikit Danny!’ getus hati Danial, agak jengkel dengan perubahan cuaca hatinya. Selalunya elok sahaja hatinya bagai musim kemarau, tiba-tiba dah macam ditiup angin monsun barat daya pula, serba tidak kena jadinya.

‘Tengok tu, Cik Aina lagi! Tak apa, tahulah aku nak marking paperbudak ni nanti. Tu belum sebut lagi pasal merit demerit, kuasa veto harus digunakan sebaik-baiknya.’ Aina memasang tekad dalam hati.

SempatAina melemparkan jelingan tajam pada Danial sebelum mener uskan sesi memperkenalkan diri tersebut dengan pelajar yang lain pula. Malas dia hendak berlama-lama melayan jejaka yang tak makan saman itu, buat hilang sabar sahaja.

‘Sudah, dia jeling pulak! Takkan tak tahu kot kaum aku ni paling lemah lutut kalau bab jeling-jeling ni, bukan gentar, tapi rasa macam jatuh cintalah pulak. Hisy, tak boleh jadi ni.’

Terkumat-kamit mulut Danial bermonolog. Kalau orang tak pandang, mahu sahaja dia menampar pipinya sendiri supaya tidak terus tenggelam dalam pesona yang dirasakannya makin menggoda itu.

Ah, tak mungkin Danial Iskandar yang berhati ais kini mencair semata-mata kerana seorang gadis yang baru sahaja beberapa saat dikenalinya, tak mungkin! Atau... inikah yang dikatakan cinta pandang pertama?


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.




Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.